UMNO tak akan tunduk

UMNO tak akan tunduk


UMNO tak akan tunduk

Posted: 03 Dec 2013 01:12 PM PST

UMNO tak akan tundukTIMBALAN Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan perasmian serentak Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam ini. - Foto Khairul Azry Bidin

Muhyiddin beri jaminan tidak kompromi agenda perkasa Islam, Melayu dan Bumiputera

IKUTI berita lanjut Perhimpunan Agung UMNO 2013 dalam akhbar BH hari ini....

Kepemimpinan UMNO dinilai menerusi KPI

Posted: 03 Dec 2013 01:00 PM PST

Kepemimpinan UMNO dinilai menerusi KPINajib menyampaikan taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Dewan Merdeka, PWTC. - Foto Yazit Razali/bh]

Kuala Lumpur: Ketua cawangan, bahagian dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan dinilai oleh ahli akar umbi menerusi Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi merealisasikan matlamat mencapai kejayaan cemerlang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

KPI yang diperkenalkan untuk memastikan semua pihak terus bekerja dan tidak leka, turut menetapkan supaya setiap cawangan bermesyuarat dua kali sebulan, manakala bahagian, badan perhubungan negeri dan MT sekali sebulan.

Mereka juga akan dinilai menerusi pelaksanaan program Membantu Rakyat (MEMBARA) yang dilancarkan semalam sebagai KPI tambahan di peringkat bahagian.

Penilaian akan direkodkan dalam kad markah untuk menentukan sama ada seseorang itu layak memimpin atau sebaliknya.

Empat fokus utama

Ia antara inti pati amanat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak ketika sesi taklimat presiden menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2013, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Keseluruhannya, ucapan beliau menggariskan empat fokus utama, iaitu visi memajukan negara, meninggikan syiar Islam dan memartabatkan syariat Islam, memperkasakan agenda Bumiputera dan memastikan UMNO berani mempertahankan Perlembagaan dan institusi sedia ada.
Malah, Perdana Menteri yang berikrar untuk berkhidmat dengan penuh bersemangat dengan sokongan kepemimpinan tertinggi UMNO, turut mengajak semua kepemimpinan parti bersamanya dalam usaha memastikan UMNO tetap utuh pada PRU akan datang.

Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata KPI itu bertujuan memastikan sebarang usaha yang dilaksanakan UMNO selama ini mencapai matlamat dan hasil.

"Kepemimpinan muka baru termasuk golongan muda yang dipilih baru-baru ini adalah perubahan ketara dalam UMNO. Ia sekali gus menunjukkan bahawa UMNO sinonim dengan perubahan dan perlu mengadaptasi sesuatu yang baru, tidak kaku dan dapat menyesuaikan diri dengan peredaran zaman.

"Sehubungan itu, ketetapan KPI adalah pendekatan untuk memperkukuhkan parti, selain struktur dan aktiviti untuk kepentingan rakyat," katanya.

Tujuh inisiatif tingkat ekonomi Bumiputera

Posted: 03 Dec 2013 12:58 PM PST

Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, semalam menggariskan tujuh inisiatif utama untuk dilaksanakan segera bagi menyokong pelaksanaan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, termasuk menetapkan Ketua Eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan pelan lengkap membantu syarikat Bumiputera.

Selain itu, selaras Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetap, GLC mesti menyenaraikan peluang yang boleh direbut syarikat Bumiputera dan kemukakan laporan prestasi secara berkala kepada Majlis Ekonomi Bumiputera untuk membantu meningkatkan ekonomi Bumiputera.

Beliau berkata demikian ketika perasmian serentak persidangan tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam tadi. Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri juga menegaskan, UMNO perlu menjadikan agenda memperkasa ekonomi Bumiputera sebagai agenda besar bertujuan meningkatkan ekonomi Bumiputera dalam pelbagai bidang.

Bumiputera kena rebut peluang

"Semua inisiatif itu disediakan oleh kerajaan yang diterajui UMNO untuk membantu golongan Bumiputera dan sehubungan itu UMNO mesti mengambil peranan lebih penting untuk menggalakkan lebih ramai Bumiputera merebut peluang yang disediakan kerajaan," katanya.

Inisiatif lain ialah:

  • Bumiputera mesti segera merebut peluang menyertai pelbagai latihan peningkatan kemahiran disediakan kerajaan. Ini termasuk pendidikan vokasional, salah satu teras dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang menjadi asas pembentukan modal insan berkemahiran
  • Kerajaan perlu mempergiatkan usaha meningkatkan peratusan golongan profesional Melayu dan Bumiputera dalam pelbagai bidang. Sehingga kini kerajaan berjaya meningkatkan jumlah tenaga profesional Melayu dan Bumiputra menerusi skim latihan dan pendidikan tinggi sehingga menjangkau 40-50 peratus dalam pekerjaan profesional seperti doktor perubatan, doktor gigi, doktor veterinar, jurutera dan juru ukur.
  • Peniaga dan pengusaha Melayu dan Bumiputera mesti meningkatkan daya saing dan bersedia menghadapi persekitaran perniagaan yang mesra pasaran. Mereka mesti menerima prinsip ketelusan dan persaingan untuk menikmati bantuan kerajaan.
  • Bagi mengukuhkan kemajuan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera, kerajaan mesti terus membantu dan memajukan aset Melayu dan Bumiputera seperti tanah dan tabungan untuk melengkapkan usaha lain yang selama ini telah dilaksanakan
  • Kerajaan harus meneruskan usaha memenuhi tuntutan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat Melayu dan Bumiputera, sama ada di kota atau di desa. Bagi meningkatkan kesejahteraan Bumiputera di kota, skim perumahan mampu milik perlu diperluaskan segera di samping memperkenalkan skim rumah mampu sewa
  • Lebih banyak program menjana pendapatan mesti dilaksanakan, terutama di luar bandar dan kawasan miskin bandar. Kerajaan mesti memperluaskan industri berasaskan pertanian dengan sokongan bantuan seperti pinjaman modal dan latihan, memperkasa industri kecil dan sederhana serta membantu peniaga kecil, petani dan nelayan.

Puteri UMNO tubuh 3 biro baru

Posted: 03 Dec 2013 12:55 PM PST

Puteri UMNO tubuh 3 biro baruMas Ermieyanti (tiga dari kanan) mengedarkan Tabung Puteri Prihatin kepada EXCO Puteri selepas dilancarkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak di pekarangan Dewan Merdeka, PWTC. Turut kelihatan, Naib Ketua Puteri, Zahida Zarik Khan (dua dari kanan).

Puteri UMNO menubuhkan tiga biro baru untuk memantapkan peranan sayap itu seiring dengan perkembangan teknologi maklumat (IT) dan merapatkan jalinan persaudaraan dengan masyarakat.

Ketuanya, Mas Ermieyanti Samsudin, berkata biro baharu itu ialah Biro Sahabat Puteri, Biro Media Sosial dan Digital, serta Biro IT dan Bioteknologi.

"Puteri membuat lantikan baharu untuk mengetuai ketiga-tiga biro yang ditubuhkan itu, termasuk 20 biro lama yang menyaksikan 70 peratus lantikan adalah barisan muka baru.

"Puteri memiliki ahli pakar dalam pelbagai bidang. Contohnya, Biro IT dan Bioteknologi diketuai Datin Norsabrina Mohd Noor yang juga ahli biologi, selain pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Melaka," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas EXCO Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013, semalam.

Mas Ermieyanti yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, berkata kira-kira 70 peratus muka baru dipilih menerajui barisan EXCO bagi meneruskan kelangsungan perjuangan parti.

"Pelantikan baru ini membawa perubahan positif kepada Puteri dan Barisan Nasional. Sempena perhimpunan ini, Puteri akan mengadakan Majlis Anugerah Khas Puteri bagi menghargai jasa dan pengorbanan bekas ahli Puteri, esok (hari ini)," katanya.

Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Tabung Prihatin Puteri iaitu tabung khas untuk mengumpul sumbangan membantu masyarakat yang ditimpa bencana.
Tabung berkenaan diwujudkan Puteri UMNO untuk kutipan amal sepanjang Perhimpunan Agung UMNO bermula, kelmarin sehingga Sabtu ini.

Tabung itu dilancarkan pada majlis ringkas sebelum Majlis Taklimat Presiden.
Mas Ermieyanti berkata, kutipan berkenaan bermula sejak seminggu lalu dan setakat semalam kira-kira RM130,000 berjaya dikumpulkan.

Katanya, daripada jumlah itu, RM50,000 akan disumbangkan kepada mangsa taufan Haiyan di Filipina, manakala RM50,000 lagi untuk mangsa banjir di negara ini.

Masyarakat dunia perlu sokong nilai wasatiyah

Posted: 03 Dec 2013 12:53 PM PST

Masyarakat dunia perlu sokong nilai wasatiyahMuhyiddin bersalaman bersama Meshaal (kanan) sambil diperhatikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Forum Antarabangsa Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra PWTC. - Foto Azuddin Saad

Kuala Lumpur: Masyarakat dunia harus menyokong nilai wasatiyah atau kesederhanaan bagi memastikan kelangsungan kestabilan dunia, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia sudah membuktikan nilai itu sebagai yang terbaik bagi mengekalkan keamanan masyarakat serta perniagaan dan ia harus disokong dengan integrasi, saling menghormati dan persefahaman walaupun berlainan agama serta bangsa.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata parti itu yang ditubuhkan 67 tahun lalu sudah membuktikan wasatiyah bukan setakat memajukan negara dan membawa kemakmuran hanya untuk masyarakat Melayu, malah kepada bangsa dan agama lain, sejajar konsep kerjasama erat dengan parti komponen Barisan Nasional (BN).

"Kita bertanggungjawab mencari ruang untuk berkongsi dengan pihak lain dan menggunakan akal untuk mencipta keterbukaan," katanya ketika menutup Forum Antarabangsa - Kesederhanaan Politik Ke Arah Keamanan dan Kestabilan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 di PWTC, semalam.

Forum dua hari itu dihadiri 121 peserta dari kalangan diplomat asing dan pemimpin politik dari 25 negara termasuk Ketua Biro Politik Hamas, Khaled Meshaal; calon Presiden Indonesia mewakili GOLKAR, Aburizal Bakrie; bekas Naib Presiden Kenya, Stephen Kalonzo Musyoka dan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Joseph Y Yun.

Kadar pengangguran kekal rendah

Muhyiddin berkata, kesederhanaan politik diamalkan pemimpin BN berjaya mengatasi pelbagai cabaran dalam masyarakat dan ia diperkukuhkan dengan pelbagai transformasi seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
"Sejak ETP dilancarkan, kadar pengangguran dan inflasi kekal rendah serta pelaburan swasta sentiasa meningkat," katanya sambil menambah, kejayaan transformasi ekonomi menyediakan persekitaran positif untuk pelabur asing terus menanam modal di Malaysia yang baru-baru ini diiktiraf antara 10 negara mesra perniagaan.

Beliau berkata, bagi mengekalkan keamanan, masyarakat dunia harus sentiasa berfikir ke arah menyediakan lapangan sama rata dan mencipta peluang untuk manusia mencapai impian tanpa mengira latar belakang ekonomi masing-masing.

Dengan memahami dan mengamalkan konsep berkenaan, katanya, umat Islam secara langsung tidak akan terbabit dalam fahaman radikal kerana agama suci itu mahu umatnya mengamalkan kesederhanaan dalam segala aspek kehidupan.

Forum lonjak kemampuan kupas isu politik antarabangsa

Posted: 03 Dec 2013 12:50 PM PST

Forum antarabangsa dianjurkan sempena Perhimpunan Agung UMNO bagi membincangkan keadaan politik semasa dunia, bukan saja wadah signifikan untuk wakil parti politik negara luar dan peserta bertukar pandangan serta pengalaman, tetapi juga mengantarabangsakan UMNO.

Penganalisis politik berpendapat, penganjuran forum itu memberi makna sangat besar kepada UMNO dan Malaysia dalam memperjuangkan isu politik semasa.

Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Shaharudin Badaruddin, berkata secara tidak langsung, ia membolehkan UMNO menjalin kerjasama erat dengan parti politik asing dan melonjakkan hubungan baik antara negara.

"Pada forum kali ini, ia membolehkan perwakilan melihat sendiri konsep kesederhanaan yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian dunia," katanya.

Penyertaan meningkat

Program itu yang dianjurkan sejak 2010 dan disertai wakil parti politik dari kalangan negara sahabat, penganalisis politik serta perwakilan asing, semakin mendapat tempat apabila penyertaannya meningkat saban tahun.

Forum yang berakhir semalam menghimpunkan 121 peserta mewakili 31 parti politik dari 25 negara serta 85 duta dan pesuruhjaya tinggi asing. Pada 2010, sejumlah 63 peserta mewakili 22 parti politik dari 22 negara menyertai forum berkenaan.

Jalin kerjasama parti politik

Topik yang dibincangkan juga memberi impak, bukan hanya dari segi jalinan kerjasama di antara parti politik, tetapi juga isu semasa antarabangsa yang mendapat perhatian dunia.

Tema forum pada 2010 ialah 'Pembentukan Warga Global: Liberalisasi Media dan Realiti Baru Politik; 'Transformasi Politik, Ekonomi dan Sosial Dalam Era Krisis Global' (2011) dan tahun lalu, bertemakan 'Konflik dan Perdamaian Dalam Politik Rakyat-Menoleh ke Belakang atau Memandang ke Hadapan?'.

Pengerusi Forum Antarabangsa UMNO 2013, Datuk Dr Norraesah Mohamad, berkata forum tahun ini signifikan apabila menjadi titik permulaan kepada Fatah dan Hamas mencari persefahaman politik, seterusnya membentuk kerjasama demi kebaikan rakyat Palestin walaupun tiada pertemuan khusus diatur untuk kedua-dua pihak.