Pertahan semangat perpaduan

Pertahan semangat perpaduan


Pertahan semangat perpaduan

Posted: 24 Dec 2013 10:20 AM PST

Pertahan semangat perpaduanPerutusan Krismas PM melalui blog terbaru 1Malaysia, semalam.

Rakyat perlu menginsafi kemakmuran yang dinikmati

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak semalam mengingatkan rakyat terhadap cubaan pihak tertentu untuk memecah-belahkan keharmonian perpaduan kaum di negara ini.

Perdana Menteri menegaskan, walaupun rakyat berbilang kaum dan agama diuji dengan pelbagai cubaan seumpama itu, Malaysia tetap kukuh berikutan perpaduan rakyat yang sukar digugat.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat supaya mengekalkan perpaduan dan sentiasa menginsafi kemakmuran dinikmati di negara ini yang sukar dinikmati di sesetengah negara lain.

"Tetap wujud percubaan untuk memecah-belahkan keharmonian antara kita. Sering kali tekad perpaduan kita diuji. Mujurlah, berkat kesabaran, penerimaan dan persefahaman, kita dapat mengatasi segala-galanya.

Terus bersatu

"Marilah kita terus bersatu padu dan berusaha gigih untuk memastikan Malaysia sentiasa dipenuhi keharmonian serta peluang, dan kita menginsafi nikmat kerana dapat hidup di bumi bertuah ini," katanya dalam perutusan Krismas melalui blog terbaru 1Malaysia, semalam.
Sambil mengucapkan selamat menyambut Krismas kepada rakyat beragama Kristian, Najib mengucapkan kesyukuran kerana rakyat yang memiliki keunikan budaya mampu meraikan perayaan itu dalam suasana muhibah.

"Ini mampu direalisasikan kerana kita berupaya mendakap perbezaan antara satu sama lain. Jika kita bersatu, kita pasti dapat mencapai tahap kekuatan dan kegemilangan ulung," katanya.

Rakyat Malaysia bertuah

Najib berkata, berbanding persengketaan di sesetengah negara lain berikutan keengganan masyarakatnya menerima hakikat perbezaan agama dan bangsa, rakyat Malaysia harus berasa bertuah mampu meneruskan kehidupan harmoni.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat supaya tidak mudah alpa akan rahmat berkenaan dan bersedia untuk berkongsi dengan orang lain.

"Mari kita melakar langkah ke hadapan dengan penuh harapan, keyakinan dan kepastian bahawa setiap orang dikurniakan masa depan yang cerah di tanah air tercinta ini," katanya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan lawatan kerja Najib ke Arab Saudi bukan sahaja memperkukuh hubungan Kuala Lumpur-Riyadh, malah dianggap sebagai pengiktirafan terhadap golongan profesional yang meneroka peluang di luar negara.

Sambutan perayaan bukti sikap toleransi

Posted: 24 Dec 2013 10:13 AM PST

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan sambutan perayaan Hari Natal penganut agama Kristian di negara ini bukan saja melambangkan kebebasan beragama, malah ia keunikan Malaysia yang menarik perhatian masyarakat antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri berkata, oleh itu, rakyat berbilang kaum di negara ini perlu mempertahankan keamanan dan kestabilan yang dikecapi kini bagi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.

Kebebasan beragama

Beliau berkata, walaupun penganut agama Kristian di negara ini tidak sampai 10 peratus, ia tetap diraikan dengan meriah hasil semangat toleransi dan kebebasan beragama yang menjadi pegangan rakyat selama ini.

"Sambutan Hari Natal yang dirayakan di Malaysia memaparkan keunikan tersendiri kerana ia membawa mesej yang amat jelas tentang betapa pentingnya semangat toleransi dikekalkan demi penyatuan dan keharmonian rakyat di negara ini.

"Tanpa sikap hormat menghormati antara masyarakat berlainan agama, tidak mungkin kita dapat mengecapi kebebasan dan keharmonian dalam hubungan antara agama seperti dinikmati hari ini
Pelihara perpaduan

"Keunikan negara kita juga sentiasa mencuri perhatian masyarakat antarabangsa, justeru adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk memelihara kedamaian dan perpaduan yang menjadi tonggak kepada pembentukan negara maju," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, walaupun baru-baru ini negara berdepan dengan bencana alam iaitu, banjir yang melanda beberapa negeri, ia tidak menghalang kemeriahan sambutan Hari Natal.

Katanya, amalan kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat pelbagai bangsa dan agama perlu diteruskan supaya hubungan masyarakat berbilang kaum di negara ini terus terpelihara.

Kegiatan korek pasir punca banjir kilat

Posted: 24 Dec 2013 10:10 AM PST

Kegiatan korek pasir punca banjir kilatAnggota Bomba dan Penyelamat meninjau kejadian banjir kilat di Jalan Desa 2/3, Bandar Desa Country Homes, Rawang yang didakwa berpunca daripada kegiatan mengorek pasir tanpa kawalan.

Rawang: Kegiatan mengorek pasir tanpa kawalan dipercayai punca banjir kilat di kawasan projek pembinaan di Jalan Desa 2/3, Bandar Desa Country Homes, di sini, pagi semalam.

Lombong pasir yang membentuk kolam takungan di situ, gagal menampung air hujan menyebabkan tebingnya runtuh dan memasuki Sungai Coh.

Seorang penduduk dikenali Ken Ng, 28, mendakwa kelodak hasil pembersihan pasir yang dikorek di kawasan itu memasuki anak sungai serta parit berdekatan menyebabkan ia menjadi cetek dan tersumbat.

Longkang tersumbat

"Pasir dicuci tanpa sistem pembuangan kelodak dan ia disalurkan terus ke sungai berhampiran sehingga menyebabkan longkang tersumbat.

"Hujan lebat pagi tadi menyebabkan air dari sungai berhampiran sebuah pusat beli-belah di Rawang melimpah ke kawasan sekitar serta mengakibatkan lalu-lintas sesak teruk dari arah Jalan Batu Arang.
"Keadaan ini menyusahkan orang ramai dan apabila banjir kilat banyak lumpur masuk ke dalam rumah yang dinaiki air," katanya kepada BH.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata hujan berterusan sejak jam 6 pagi sehingga jam 8 pagi menyebabkan air naik dengan cepat.

"Kejadian tanah runtuh itu mengakibatkan pokok tumbang lalu menghempap sebuah kereta. Manakala sebuah lagi kereta di kawasan tempat letak kenderaan hanya terkena serpihan tanah.

"Air mulai surut jam 8.15 pagi tidak membabitkan kecederaan atau kehilangan jiwa.

"Banjir kilat di kawasan pembinaan dan jentera dari Batu Arang dengan enam anggota dikejar ke lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, semalam.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), memberitahu sebuah syarikat kontraktor pernah didakwa dan mengaku salah di mahkamah kerana mengorek pasir secara haram di kawasan sama lima bulan lalu.

"Terkini, kegiatan itu masih berlaku selepas kes itu. Kegiatan mengambil pasir dari sungai berhampiran Bandar Desa Country Homes itu meninggalkan kesan kepada alam sekitar dan kolam tadahan yang tidak mengikut spesifikasi," katanya.

Isnin lalu, BH melaporkan satu lokasi curi pasir dikesan di Selangor, membabitkan kegiatan penyelewengan permit dan doket (kupon untuk tuntutan royalti) pengeluaran tanah merah di kawasan bahan buangan kuari bersebelahan Kuari Hansson di Rawang.

Penduduk berpesta ikan terdampar

Posted: 24 Dec 2013 10:09 AM PST

Penduduk berpesta ikan terdamparPenduduk kampung mengambil kesempatan mengutip ikan tamban yang terdampar di gigi air di Pantai Kampung Tambisan Darat, Lahad Datu.

Pihak berkuasa nafi fenomena aneh petanda tsunami

Kota Kinabalu: Penduduk Kampung Tambisan Darat, Lahad Datu, berpesta ikan tamban apabila beribu-ribu spesies itu terdampar di pantai penempatan itu semalam.

Fenomena itu bermula jam 8 pagi apabila tiga kumpulan besar ikan tamban melompat-lompat di gigi air di pantai kampung terbabit menyebabkan penduduk mengambil kesempatan menangkapnya termasuk menggunakan baldi.

Angin kencang di Laut Sulu punca fenomena

Bagaimanapun, ada penduduk berkata fenomena sama pernah berlaku pada September atau Oktober lalu di tempat sama yang dipercayai berpunca daripada angin kencang di Laut Sulu.

Saksi dikenali sebagai Gazali memberitahu BH, tiga kumpulan besar ikan tamban mendarat di pantai terbabit bermula jam 8 pagi, diikuti kumpulan kedua kira-kira 15 minit kemudian dan kumpulan ketiga, 30 minit selepas itu.

"Ketika itu, saya kebetulan ke pantai melihat keadaan laut sebelum tiba-tiba ternampak ribuan ikan melompat-lompat menuju ke pantai dibawa ombak sebelum terdampar.
"Saya ada mendengar kejadian seperti ini pernah berlaku, apa yang saya lihat ini amat menghairankan kerana belum pernah ikan yang begitu banyak tiba-tiba terdampar di pantai," katanya.

Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Isu burukkan pendidikan negara: Tokoh pendidik bidas laporan Bank Dunia

Posted: 24 Dec 2013 10:08 AM PST

Kuala Lumpur: Tokoh pendidik membidas laporan Bank Dunia yang dilihat sengaja memburukkan sistem pendidikan negara apabila mendakwa sistem berpusat yang diamalkan selama ini, menyumbang kepada prestasi buruk pelajar.

Sambil menyifatkan laporan itu tidak tepat, mereka mahu kerajaan mengadakan lebih banyak persidangan bagi membahaskan isu berkenaan dengan wakil Bank Dunia.

Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, berkata kajian lebih teliti perlu dilakukan kerana biasanya Barat sering menganggap sistem pendidikan mereka lebih baik, sedangkan sistem berpusat yang dilaksanakan sebelum merdeka di negara ini terbukti berjaya memberikan pendidikan terbaik kepada rakyat sehingga sekarang.

Utama latihan guru

Bagaimanapun, beliau menyarankan kerajaan mengembalikan suasana pendidikan sekurang-kurangnya seperti 50 tahun lalu yang mengutamakan latihan kepada guru dalam usaha menyediakan tenaga pengajar berkualiti, selain mewujudkan pemahaman lebih tepat mengenai pendidikan dalam kalangan guru dan pelajar.

"Sistem pendidikan kita akan dianggap lemah disebabkan keengganan kita ikut acuan dan sistem pendidikan Barat," katanya ketika diminta mengulas laporan Bank Dunia bahawa sistem pendidikan Malaysia yang berpusat dalam mengawal pengambilan dan rancangan perbelanjaan menyumbang kepada prestasi buruk pelajar dalam pengajian.
The Wall Street Journal melaporkan, Kementerian Pendidikan menetapkan perbelanjaan, pengambilan tenaga pengajar, sukatan pelajaran dan buku teks, manakala maklumat umum prestasi sesebuah sekolah sukar diakses.

Laporan itu juga mendakwa sekitar 65 peratus daripada pengambilan guru dilakukan kerajaan, bukannya sekolah berbanding 5 peratus di Korea Selatan di mana sekolah awam ada lebih autonomi. Ia juga melaporkan kedudukan terbaru Malaysia dalam Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (PISA), berkedudukan 52 daripada 65 negara yang dikaji selidik.

Utama guru berkualiti

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata sistem berpusat yang diamalkan sesuai untuk negara bersaiz seperti Malaysia, bukan di negara besar dan padat penduduk seperti Amerika Syarikat atau China.

Katanya, walaupun pengambilan guru dilakukan Kementerian Pendidikan, penempatan di sekolah dilaksanakan mengikut opsyen, sekali gus tidak timbul isu pertikaian mengenai kecekapan guru yang dihantar ke sekolah, malah kerajaan mengutamakan kualiti apabila hanya kelompok kecil yang lulus saringan dan ujian diambil sebagai guru.

"Pada zaman saya, ada 80,000 permohonan untuk latihan perguruan, tapi hanya 2,000 hingga 3,000 dipilih. Mereka yang dapat kepujian beberapa mata pelajaran tertentu dipilih untuk ujian bertulis dan selepas lulus, perlu melalui saringan. Hanya yang terbaik ditemuduga sebelum dilatih di institusi perguruan," katanya.

Komited kurangkan paras defisit fiskal

Posted: 24 Dec 2013 10:06 AM PST

Kuala Lumpur: Penjualan aset dan pensekuritian hutang kerajaan bukanlah satu-satunya cara untuk kerajaan mengukuhkan kedudukan kewangannya, kata Kementerian Kewangan.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kerajaan komited untuk mengurangkan paras defisit fiskal daripada 5.4 peratus pada 2010 kepada 3 peratus pada 2015 dan seterusnya mencapai bajet berimbang pada 2020.

Balas kenyataan

"Sasaran itu akan dicapai menerusi pengukuhan fiskal kerajaan", kata kementerian berkenaan dalam satu kenyataan semalam, sebagai membalas kenyataan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berhubung penjualan aset kerajaan dan pensekuritian hutang kerajaan.

Katanya, penjualan tanah menerusi inisiatif menjana kewangan daripada aset kerajaan bertujuan memajukan tanah berkenaan serta membangunkan kawasan persekitarannya.

"Inisiatif menjana kewangan aset kerajaan ini sudah dilaksanakan sejak 2008. Langkah ini telah merangsang lebih banyak pembabitan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara," katanya.
Kata kenyataan itu lagi, aset kerajaan dipindah milik pada harga pasaran dengan penilaian dilakukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah.

"Sebelum sebarang penjualan tanah dilaksanakan, pandangan dan persetujuan daripada agensi pengguna akan diperoleh terlebih dulu mengenai perancangan penggunaan tanah berkenaan.

Jana tunai aset

Penjualan tanah tidak akan dilaksanakan jika agensi itu tidak bersetuju atau mereka mempunyai perancangan untuk membangunkan tanah itu," katanya.

Kementerian itu berkata, penjanaan tunai aset adalah aktiviti yang biasa dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan bagi menjana aktiviti ekonomi.

"Sebagai contoh, tanah Kerajaan United Kingdom di Canary Wharf, London dijual kepada sektor swasta untuk dibangunkan sebagai hab kewangan antarabangsa. Langkah yang sama juga dilaksanakan oleh Kerajaan Singapura dan Hong Kong," katanya. - BERNAMA