PM terharu nasib mangsa |
- PM terharu nasib mangsa
- Mangsa terhutang budi bantuan sukarelawan
- Kaji semula pendidikan formal
- Tak perlu sedia foto pasport
- Lima bukti kegiatan Syiah pemimpin PAS
- Anggota polis maut dijangkiti Influenza A
Posted: 10 Dec 2013 02:49 PM PST Kuantan: Datuk Seri Najib Razak akan berbincang dengan kerajaan negeri yang terbabit banjir supaya memberi bantuan tambahan kepada mangsa banjir. Perdana Menteri berkata, selain RM500 yang diumumkannya Sabtu lalu, bantuan tambahan itu perlu berikutan kerugian besar ditanggung mangsa banjir di Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor dan Melaka minggu lalu. 40,000 dipindah Kalau bersama kerajaan negeri insya-Allah kita boleh timbang bantuan tambahan bagi meringankan beban mereka, katanya ketika melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Isap Murni, di sini, semalam. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim. Banjir di Pahang antara terburuk terutama Kuantan apabila lebih 40,000 dipindahkan, selain hampir melumpuhkan pusat bandar berikutan ketiadaan bekalan elektrik, air dan laluan utama terputus. Perdana Menteri yang melawat beberapa pusat pemindahan banjir di Pekan dan Sungai Isap serta Projek Tebatan Banjir Sungai Isap berkata, banjir kali ini amat menyedihkan. Saya harap mangsa banjir dapat memahami jika ada kekurangan di pusat pemindahan kerana banjir kali ini luar biasa sehingga menyebabkan kesulitan logistik pada peringkat awal, katanya. Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran diarah menghantar laporan termasuk cadangan kaedah terbaik menangani banjir pada masa depan. Sekali pun ia bakal membabitkan kos yang tinggi tetapi sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan kejadian banjir buruk dapat ditangani termasuk kesan banjir dapat dikurangkan, katanya. Sumbangan RM10j Terdahulu, ketika melawat pusat pemindahan banjir di Kampung Lamir, Pekan, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berpuas hati dengan semua agensi dan jabatan kerajaan yang membantu mangsa banjir. Beliau meminta ketua kampung dan penghulu memastikan keperluan asas mencukupi selain mengharapkan mangsa banjir bekerjasama menghadapi bencana itu. Saya meminta pihak swasta, agensi dan badan berkanun kerajaan memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa banjir, katanya yang turut melawat pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Tanah Putih dan SK Seri Maulana, Pekan. Sementara itu, di Johor Bahru, Perdana Menteri mengumumkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menyumbangkan RM10 juta bagi membantu usaha memulih dan persiapan banjir di kawasan yang terjejas. |
Mangsa terhutang budi bantuan sukarelawan Posted: 10 Dec 2013 02:32 PM PST Pekan: Kehadiran sukarelawan misi bantuan mangsa banjir Tabung Bencana NSTP-Media Prima, disambut penuh syukur 12 keluarga di Kampung Meragih, di sini yang terputus hubungan dengan dunia luar sejak lapan hari lalu. Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP diketuai Wan Abdillah Wan Nawi yang dibantu kumpulan pemancing tegar Alucast tiba dengan bot di kampung berkenaan yang ditenggelami air lebih tiga meter, kira-kira jam 6 petang semalam selepas menerima laporan mengenai nasib penduduk di situ. Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini |
Posted: 10 Dec 2013 02:30 PM PST Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu sektor pendidikan formal dikaji semula supaya lebih ramai golongan muda berminda keusahawanan dapat dilahirkan, bukan bergantung kerjaya sedia ada. Timbalan Perdana Menteri berkata, bidang itu adalah pilihan karier terbaik terutama bagi melonjakkan transformasi ekonomi kepada negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Kira-kira 120 peserta dari 21 negara termasuk pembuat dasar, pendidik dan usahawan menghadiri mesyuarat tiga hari yang turut membentangkan 13 kertas kerja. Pada majlis itu, Muhyiddin melancarkan Rangkaian Pendidikan Keusahawanan UNESCO (EE-Net). Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, kerajaan menyedari pendidikan memainkan peranan penting dalam membangunkan kemahiran yang menjana pemikiran keusahawanan dan kepemimpinan. Sehubungan itu, katanya, institusi pengajian tinggi perlu menggariskan usaha strategik bagi memupuk pemikiran keusahawanan dan inovatif generasi muda. Satu daripada isu penting ialah kandungan dan pedagogi iaitu apa yang perlu dicapai dan bagaimana untuk mengajar mereka. Selain itu, adakah pendidik dilatih untuk membangun serta menyokong pemikiran keusahawanan, katanya. Kisah tokoh veteran Sementara itu, di Putrajaya, Kementerian Pendidikan semalam menerima 6,000 naskhah buku bertajuk 100 Wira Negara memuatkan kisah tokoh veteran yang berjasa kepada tanah air untuk diedarkan ke sekolah menengah dan rendah di seluruh negara. Muhyiddin menerima sumbangan itu daripada Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Tan Sri Abdul Aziz Rahman, yang menghasilkan buku berkenaan. Buku 100 Wira Negara yang dilancarkan pada tahun lalu itu adalah sebagai pengiktirafan kepada wira negara yang banyak berkorban dan menyumbang ke arah kesejahteraan serta kemajuaan mesyarakat di negara ini. Sumbangan 6,000 buku menerusi MUBARAK kepada Kementerian Pendidikan itu ditaja Kumpulan UEM Bhd (UEM) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) untuk diedarkan ke sekolah seluruh negara supaya menjadi iktibar kepada pelajar. Ia diserahkan oleh Aziz kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dalam satu upacara simbolik yang disaksikan Muhyiddin, di sini, semalam. Timbalan Perdana Menteri juga menyaksikan dua penaja buku 100 Wira Negara iaitu UEM yang diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Izzaddin Idris dan Bank Rakyat, diwakili Pengerusinya, Tan Sri Sabbaruddin Chik, menyerahkan tajaan kepada Khair. |
Posted: 10 Dec 2013 02:28 PM PST Putrajaya: Mulai Mac tahun depan, Jabatan Imigresen mempermudahkan permohonan pasport apabila pemohon tidak perlu menyertakan gambar bersama borang, sebaliknya akan diambil terus di kaunter. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kemudahan itu diberikan kepada semua urusan permohonan pasport. Komitmen kerajaan Gambar akan diambil di kaunter permohonan. Ia adalah komitmen kerajaan bagi membantu orang ramai yang sebelum ini perlu membiayai kos penyediaan gambar, katanya selepas merasmikan sambutan Hari Imigresen 2013 di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad. Sementara itu, Zahid berkata, sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014, semua pelancong dari China dan India dikehendaki memohon visa terlebih dulu sebelum memasuki negara ini. Beliau berkata, dianggarkan kira-kira 76,000 pelancong tidak pulang ke negara asal, termasuk 36,000 dari India dan 6,000 dari China. Dalam perkembangan berasingan, Zahid berkata, pihaknya bercadang menambah lesen senjata api untuk penguat kuasa imigresen kepada jumlah yang munasabah, berbanding 140 sedia ada ketika ini. Saya cadangkan lesen pistol tambahan diberi kepada imigresen kerana jumlah senjata dibekalkan ketika ini tidak mencukupi berikutan ada pertambahan jumlah pegawai dan kakitangan, katanya. |
Lima bukti kegiatan Syiah pemimpin PAS Posted: 10 Dec 2013 02:25 PM PST Kuala Lumpur: Sekurang-kurang lima bukti kukuh akan dikemukakan bagi membuktikan kegiatan serta kecenderungan seorang pemimpin kanan PAS terhadap fahaman Syiah di negara ini. Menurut sumber, segala bukti itu sudah lama dikumpul pihak berkuasa yang sememangnya sudah sekian lama menyedari kegiatan pemimpin PAS terbabit yang mengamalkan fahaman bertentangan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Enggan dedah secara teliti Beliau bagaimanapun, enggan mendedahkan secara teliti lima bukti yang dimaksudkan bagi mengait pemimpin PAS kerana ia akan didedahkan oleh pihak berkaitan dalam masa terdekat. Antara kecenderungan pemimpin PAS terbabit terhadap gerakan Syiah ialah mengagumi serta menyeru supaya meneladani pemimpin revolusi Iran iaitu Ayatollah Khomeini, serta perlu menyokong pemimpin Iran itu. Beliau juga secara terangan mengakui mengagumi ulama Syiah Lubnan selain turut menuntut ilmu agama dengan seorang guru agama Syiah di utara tanah air dan kerap berkunjung ke Iran. Pemimpin PAS yang didakwa berfahaman Syiah didedahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO pada ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu lalu. Sikap berpura-pura Sementara itu, bekas Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaie Ahmad, berkata Syiah sememangnya sudah meresap dalam parti itu selepas revolusi Iran dan ramai kalangan mereka menghantar anak belajar ke negara itu. Nakhaie berkata, Syiah berjaya meresap dalam PAS adalah kerana revolusi Iran dan pada masa itu, mereka masih belum memahami Syiah dalam erti kata sebenar yang boleh membawa kepada penyelewengan akidah. Nak kesan pengikut fahaman Syiah ini amat susah kerana mereka mempunyai sikap berpura-pura, misalnya bila berada di tanah suci Makkah golongan ini boleh solat mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, katanya. Teliti bukti KDN Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata JAKIM perlu meneliti bukti dikemukakan KDN sebelum melakukan penyiasatan terhadap pemimpin kanan PAS yang didakwa mengamalkan ajaran Syiah. Katanya, tindakan yang akan diambil nanti, bukan hanya bertumpu kepada pemimpin kanan PAS itu, malah kepada semua yang mengamalkan ajaran Syiah. Tidak kira pemimpin nombor satu, dua, tiga atau empat, ia merangkumi semua dan tidak terikat kepada mana-mana parti. Asalkan dia orang Malaysia dan Islam, kemudian dia terikat dengan Syiah, tindakan akan diambil. Kita akan berbincang dengan KDN, kita nak tengok bagaimana pendedahan (yang akan dibuat). Di Malaysia, muzakarah fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan Syiah kerana ia terkeluar daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, itu dari sudut hukum. Cuma, dari sudut pendakwaan kita perlukan kepada pembuktian, katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian sambutan Bulan Zakat dan Ijtima Amil Zakat Kebangsaan 2013 di sini, semalam. |
Anggota polis maut dijangkiti Influenza A Posted: 10 Dec 2013 02:24 PM PST Kuala Lumpur: Seorang kakitangan wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkhidmat di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah, disahkan maut selepas dijangkiti Influenza jenis A+ ketika dirawat di Hospital Mahkota, Melaka, pada 5 Disember lalu. Mangsa yang berusia 48 tahun itu, dikatakan mengadu tidak sihat selepas menghadiri majlis bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di Melaka pada hari sama, sebelum dimasukkan ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan. Katanya, berikutan kematian itu, kira-kira 300 orang kakitangan awam PDRM termasuk beliau sendiri dinasihatkan mendapatkan pemeriksaan saringan di hospital atau klinik berhampiran bagi mengelak wabak merebak. Demam serius Mangsa dimasukkan ke hospital akibat demam serius sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian selepas dijangkiti wabak itu, katanya selepas majlis Anugerah Balai League Table (BLT) 2013, di sini, semalam. Sementara itu, tiga kakitangan awam IPK Kedah yang turut menghadiri perjumpaan bersama Ketua Polis Negara disahkan positif mengalami simptom jangkitan Influenza A+. Hasil pemeriksaan awal dilakukan mengesahkan mereka positif jangkitan influenza itu, sebelum dikuarantin untuk beberapa hari. Bagaimanapun mereka sudah dibenarkan pulang semalam (kelmarin) selepas pemeriksaan lanjut mengesahkan mereka bebas jangkitan virus berkenaan, katanya. Hidap penyakit tiroid Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam menafikan mangsa meninggal dunia akibat jangkitan virus Influenza A (H1N1), sebaliknya disebabkan penyakit tiroid dihadapinya. Kementerian diberitahu, mangsa meninggal dunia disebabkan penyakit tiroid dan tiada sebarang tanda H1N1 dikesan, katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |