Kerajaan teliti kadar baharu tol

Kerajaan teliti kadar baharu tol


Kerajaan teliti kadar baharu tol

Posted: 21 Dec 2013 03:06 PM PST

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang mengkaji dan meneliti kadar baharu tol lebuh raya supaya tidak memberi keuntungan yang tidak munasabah kepada syarikat konsesinya sehingga membebankan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan juga sedang mencari jalan untuk mengurangkan beban rakyat, termasuk memberi pas bermusim dengan diskaun kepada pengguna yang kerap menggunakan lebuh raya.

"Kita tak naklah pemegang konsesi dapat pulangan yang terlalu tinggi, ini kerajaan sedang teliti. Kita tidak mahu kenaikan ini beri keuntungan yang tak munasabah kepada pengusaha tol.

Cari jalan penyelesaian

"Kita sedang mencari jalan bagaimana kalau ada cara lain mungkin bagi pengguna yang kerap, kita boleh bagi pas bermusim dengan diskaun kepada mereka. Ini langkah-langkah (yang) kita sedang fikirkan," katanya dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-60 di Wisma MCA di sini, semalam.

Beliau berkata, kutipan tol perlu dan tidak dapat dielakkan kerana syarikat konsesi perlu membayar balik pinjaman yang digunakan untuk membiayai pembinaan lebuh raya.
"Bila sektor swasta buat lebuh raya, sektor swasta kena pinjam duit. Anda adalah peniaga... bolehkah anda keluarkan sendiri dana RM5 juta? Anda perlu meminjam, anda perlu ke pasaran bon, bila pergi ke pasaran bon, anda perlu membayar.

"(Duit) dari mana? daripada tol... kalau tak ada tol, kena naikkan cukai... itu pun tak kena juga.... tol itu (kena) pada orang yang pakai jalan (saja)," katanya. - BERNAMA

Empat formula pulih kegemilangan MCA

Posted: 21 Dec 2013 03:05 PM PST

Empat formula pulih kegemilangan MCANajib pada perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke- 60 di Wisma MCA, Kuala Lumpur, semalam.

Najib mahu parti elak perpecahan setiap kali pemilihan

Kuala Lumpur: MCA memerlukan suntikan 'viagra politik' dengan melaksanakan empat pendekatan bagi mengembalikan kekuatannya dan menentukan parti itu kekal relevan bagi masyarakat Cina.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pendekatan '4R' itu diyakini mampu mengembalikan kegemilangan MCA selepas mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

4R itu ialah reunite (kembali bersatu), restrategise (menyusun semula strateginya), reinvigorate (menyuntik semangat baru) dan resuscitate (menghidupkan kembali).

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, MCA tanpa sebarang prejudis perlu menilai semula pencapaian dan kelemahan mereka dengan terbuka.

Laksana strategi baharu

"Maknanya lihat apa kelemahan dan kekuatan yang ada. Saya melihat proses ini telah bermula dalam MCA tetapi perlu untuk kita melaksanakan strategi baharu dan ia mencakupi proses meyakinkan rakyat bahawa formula kongsi kuasa BN ialah formula terbaik untuk negara ini," katanya berucap merasmikan Perhimpunan Agung MCA Ke-60 di sini, semalam.
Perdana Menteri menegaskan kerjasama sesama parti komponen adalah langkah pertama yang harus menjadi amalan, selain menghormati pihak yang tewas dan menerima kekalahan dengan terbuka.

Beliau bagaimanapun mengakui ia tidak semudah yang difikirkan, namun MCA katanya, perlu menerima hakikat bahawa sikap berpuak dalam parti itu memberi impak negatif kepada mereka.

"Kita mesti terima hakikat bahawa kalau dalam sejarah MCA, pucuk pimpinan adakan pertandingan demi pertandingan, daripada dulu sampai ada istilah agak terkenal, 'team A' dan 'team B', lepas itu timbul pula 'team C'.

"Kalau setiap kali berbalah di peringkat atas... bila atas sekali berbalah kesannya MCA akan pecah dua atau pecah tiga," katanya.

Senario itu tegas beliau, membawa implikasi bahawa parti berkenaan di ambang perpecahan setiap kali pemilihan diadakan, sekali gus memusnahkan pengaruhnya.

Memberi amaran perhimpunan kali ini adalah penentu jatuh bangun MCA, Perdana Menteri berkata peluang yang wujud daripada pemilihan ini perlu digunakan sebaiknya oleh parti bagi mengembalikan keyakinan masyarakat Cina.

Isyarat akhir

"Mungkin ini isyarat akhir daripada masyarakat Cina (kepada kita), bukan lagi peringatan tetapi panggilan terakhir. Inilah sebabnya saya anggap ini sebagai titik perubahan, pemilihan titik perubahan. Dalam sistem demokrasi berparlimen, kesudahannya bukan jawatan yang penting tetapi sokongan untuk parti," katanya.

Bukit sampah hadang lebuh raya

Posted: 21 Dec 2013 03:03 PM PST

Bukit sampah hadang lebuh rayaKira-kira 2,000 tan sampah dibuang di atas Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2.

Pemandu lori ambil jalan mudah letak bahan buangan selepas mesin pemampat rosak

Kuala Lumpur: Kira-kira 2,000 tan sampah sarap yang dilonggokkan di atas Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin di sini, mencetuskan kesesakan lalu lintas di laluan itu, pagi semalam.

Tindakan itu berpunca daripada perbuatan pemandu lori yang mengambil jalan mudah, membuang bahan buangan di situ dan sekitar stesen pemindahan sisa pepejal terbabit, selepas mesin pemampat di situ dikatakan mengalami kerosakan.

Pemandu lori terbabit dikatakan berbuat demikian kerana marah, berikutan kegagalan pengurusan stesen berkenaan memaklumkan kepada mereka mengenai kerosakan dialami, menyebabkan mereka sukar melupus sampah yang sudah dibawa ke situ.

DBKL siasat

Pembuangan sampah di tepi jalan itu dipercayai dilakukan sekitar awal pagi semalam oleh pemandu lori yang tiba di situ, selain difahamkan kontraktor yang mengendalikan stesen berkenaan juga sudah ditamatkan kontrak.

Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusop, berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu bagi mengenal pasti puncanya.
"Saya harap penduduk dapat bersabar sementara menunggu kerja-kerja pembersihan dijalankan," katanya.

Kerja pembersihan sampai sarap dari lokasi terbabit dimulakan jam 9 pagi semalam, menggunakan lori dan jengkaut milik Alam Flora dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

BH difahamkan, Alam Flora sudah diarahkan melakukan kerja pemindahan sampah-sarap daripada stesen pemindahan sisa pepejal berkenaan ke Bukit Tagar.

Tinjauan mendapati, seramai 30 pekerja Alam Flora dikerah melakukan kerja pembersihan sampah di kawasan berkenaan yang bukan saja menyebabkan kesesakan lalu lintas, malah menyebabkan berlakunya pencemaran bau.

800 jemaah umrah tersadai

Posted: 21 Dec 2013 03:01 PM PST

800 jemaah umrah tersadaiSebahagian daripada 200 penumpang pakej umrah terkandas di sebuah hotel di Bayan Baru, Pulau Pinang, semalam.

Georgetown: Kira-kira 800 jemaah umrah dari seluruh negara tidak dapat menunaikan hasrat itu apabila pesawat yang sepatutnya membawa mereka ke Jeddah, Arab Saudi, tidak muncul.

Mereka yang sepatutnya berlepas dari beberapa lapangan terbang di seluruh negara tidak kesampaian meskipun sudah membayar RM6,100 seorang kepada agensi yang beribu pejabat di Alor Setar, Kedah.

Akibatnya, ada jemaah dikatakan terpaksa menginap di hotel, inap desa atau menumpang rumah saudara selepas syarikat itu menangguhkan perjalanan mereka sebanyak empat kali.

Ghazali Kasar, 53, yang sepatutnya berlepas bersama 18 ahli keluarganya, berkata agensi swasta berkenaan mendakwa berlaku masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

Beliau berkata, mulanya mereka dijadualkan berlepas pada 5 Disember lalu melalui penerbangan terus dari Pulau Pinang ke Jeddah tetapi ditangguhkan kepada 10 Disember.

Empat kali tangguh
"Kami mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila menerima penangguhan kali ketiga dan keempat pada Khamis lalu dan hari ini (semalam).

"Selain kami, saya difahamkan 800 jemaah yang sepatutnya berlepas dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Terengganu turut terkandas," katanya ketika ditemui di sebuah hotel di Bayan Baru di sini, semalam.

Ghazali berkata, beliau sekeluarga kini hilang kepercayaan terhadap agensi itu dan mendesak mereka bertanggungjawab di atas segala kesusahan yang dialami jemaah, termasuk menyewa hotel dengan perbelanjaan sendiri.

Katanya, akibat masalah itu, kebanyakan jemaah membatalkan hasrat untuk menunaikan umrah, sebaliknya pulang ke rumah masing-masing.

Lapor polis

"Saya difahamkan semua mangsa akan membuat laporan polis dan Kementerian Pelancongan serta mengambil tindakan guaman terhadap agensi itu, selain menuntut ganti rugi.

"Kami berasa ditipu agensi itu yang sebelum ini dikatakan mempunyai rekod baik dalam menyediakan perkhidmatan haji dan umrah sejak 25 tahun lalu," katanya.

Sementara itu, usaha BH mendapatkan komen pengurusan syarikat berkenaan gagal apabila pengurusnya tidak dapat dihubungi.

Sastera Melayu jadi subjek tunggal dikaji

Posted: 21 Dec 2013 03:00 PM PST

Georgetown: Kementerian Pendidikan sedang mempertimbang cadangan menjadikan Sastera Melayu sebagai subjek tunggal bagi pelajar menengah rendah, selaras pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) pada 2017.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Pendidikan), Datuk Sufaat Tumin, berkata pihaknya sedang mengumpul input dan maklum balas pelbagai pihak, termasuk tokoh akademik dan persatuan penggiat sastera tanah air sebelum membuat keputusan.

Memartabatkan sastera

"Cadangan mengangkat martabat subjek sastera banyak dibincang kebelakangan ini. Ada pihak mencadangkan ia dijadikan subjek wajib dan turut diajar di peringkat menengah rendah... bagaimanapun pelaksanaannya memerlukan kajian terperinci dan perlu dinilai setiap aspek," katanya kepada pemberita di Seminar Kebangsaan Pelajaran Kesusasteraan Dalam Pendidikan Negara di sini, semalam.

Dalam seminar bertajuk Kesusasteraan, Media Dan Industri Kreatif Satu Transformasi Dalam Pendidikan Negara itu, enam kertas kerja dibentangkan oleh 15 tenaga pengajar dari Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Malaya, selain guru sekolah menengah zon utara.

Katanya, ketika ini pengajian sastera menjadi subjek elektif kepada pelajar Tingkatan Empat dan Lima, manakala komponen sastera (KOMSAS) menjadi sebahagian daripada sukatan mata pelajaran bahasa Malaysia yang diajar kepada pelajar menengah rendah.
Terdahulu dalam ucapannya, Sufaat berkata, elemen pengajian sastera berupaya menjadi pemangkin pemikiran aras tinggi dalam kalangan pelajar di samping membantu mereka membina jati diri dan meningkatkan semangat cintakan negara serta pemahaman budaya.

Ubah persepsi

Beliau berkata, kementerian itu turut melihat keperluan memasukkan elemen teknologi dan multimedia dalam pengajaran subjek sastera bagi menarik minat pelajar di samping menghakis persepsi masyarakat yang menilai pelajar aliran sastera sebagai kelas kedua.

Sufaat juga menggesa guru mempelbagaikan kaedah penyampaian dalam aktiviti pembelajaran supaya lebih kreatif dalam menggabungkan elemen teks sastera dengan persembahan grafik serta visual interaktif bagi menarik minat pelajar.

Kaji kadar pendapatan selari kos sara hidup

Posted: 21 Dec 2013 02:58 PM PST

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang mengkaji beberapa langkah untuk memastikan kadar gaji rakyat selari dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Katanya, kajian mengenainya sudah pun dimulakan dan keputusannya dijangka diperoleh bulan depan.

"Dari situ kita akan putuskan langkah mana yang akan dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar mengenai wakaf anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai rungutan rakyat mengenai kenaikan kos sara hidup yang dilihat tidak seiring dengan pendapatan mereka.

Rasionalisasi subsidi

Ahmad Husni berkata, kerajaan juga dalam masa yang sama sedang menjalankan kajian berkenaan rasionalisasi subsidi, bertujuan untuk memaksimumkan bantuan kepada golongan sasaran melalui penyemakan semula subsidi.
"Pada tahun hadapan, kita akan beri BR1M seperti biasa, namun kita akan tambahkan jumlahnya.

"Kita sedang melihat secara menyeluruh rasionalisasi subsidi sebagai satu model baru, dan bagaimana kita mahu kaitkan BR1M dengan rasionalisasi ini untuk memberi manfaat yang lebih tinggi kepada rakyat berbanding sekarang," katanya.

Ahmad Husni berkata, model sebelum ini menguntungkan rakyat secara keseluruhannya namun bersifat kurang adil di mana beliau mengambil contoh subsidi bagi minyak petrol.

Katanya, berdasarkan model subsidi yang lama, keluarga yang hanya mempunyai motosikal mendapat subsidi minyak yang sedikit berbanding keluarga yang mempunyai empat kereta.

"Jadi, kita sedang melihat kepada model sedia ada supaya kita dapat membuat satu pengukuran kepada golongan disasarkan dalam konteks memberi bantuan lebih tinggi.

"Jadi untuk jangka masa panjang, fokusnya harus kepada kenaikan gaji rakyat," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan dakwaan pembangkang bahawa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan membebankan rakyat tidak berasas dan hanya sekadar bersifat menentang setiap rancangan kerajaan.

"Mereka menentang pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lebuh Raya Utara-Selatan, Putrajaya, KLCC dan sebagainya. Tapi sekarang, adakah mereka masih menentang projek ini?

Ekuiti Bumiputera rendah

"Jadi apa yang penting pada saya, jika dia (pembangkang) mahu bising, bisinglah," katanya mengulas mengenai pelancaran buku oleh pembangkang bertajuk 'Faham GST, tolak GST' yang dibimbangi mengelirukan rakyat mengenai GST.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ahmad Husni menyatakan rasa bimbangnya mengenai pemilikan ekuiti Bumiputera yang masih rendah, iaitu pada tahap 23.5 peratus pada 2012.

"Jika kita ingin pemilikan kekayaan Bumiputera mencecah 30 peratus, adalah perlu kadar peningkatan kekayaan Bumiputera berkembang lebih laju dari kadar pertumbuhan pendapatan kasar negara," katanya.

Ahmad Husni turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum bagi Pusat Antarabangsa Untuk Penyelidikan Wakaf, bagi membangunkan industri wakaf negara.

BERNAMA