Tambang bas anjal |
- Tambang bas anjal
- Jumlah deposit SSPN-i 2013 lebih RM1 bilion
- Ubah cara belanja hadapi kenaikan harga
- RM10j wujudkan bilik kawalan KRT
- JAIS berkuasa ambil tindakan
- Tangkap jika buat kecoh: Polis
Posted: 28 Dec 2013 01:16 PM PST SPAD perkenal mekanisme kadar bagi bas sekolah sedia khidmat lebih berkualiti pertengahan tahun depan Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan memperkenalkan mekanisme kadar tambang fleksibel bagi bas sekolah, pada pertengahan tahun depan. Perkhidmatan lebih berkualiti Apabila dilaksanakan pengguna akan menikmati perkhidmatan lebih berkualiti walaupun membayar lebih, manakala pengusaha yang mahu mengenakan bayaran tambahan perlu menyediakan perkhidmatan lebih baik. Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/ |
Jumlah deposit SSPN-i 2013 lebih RM1 bilion Posted: 28 Dec 2013 01:13 PM PST Temerloh: Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjaya menarik dua juta penyimpan di seluruh negara membabitkan jumlah deposit lebih RM1 bilion sehingga pertengahan bulan ini. Pengurus Besar Kanan Perbadanan Tabung Pendidikan Tingga Nasional (PTPTN), Tuan Din Tuan Mat, berkata skim SSPN-i mendapat sambutan selepas pihaknya pada 1 Januari lalu mewajibkan pelajar memiliki akaun berkenaan jika ingin memohon pembiayaan pendidikan PTPTN. Pelbagaikan promosi Beliau berkata, dengan deposit serendah RM20, akaun SSPN-i boleh dibuka di mana-mana cawangan bank terpilih, antaranya Maybank, Bank Rakyat, Agrobank dan Bank Simpanan Nasional. Bagi menggalakkan lebih banyak pembukaan akaun dan penambahan deposit SSPN-i, program promosi melalui cabutan hadiah diteruskan sepanjang 2013 kepada cabutan suku tahun (tiga kali) dan tahunan (sekali), yang dikenali sebagai 'Simpanan Mega SSPN-i' dan 'Simpanan Perdana SSPN-i'. "Cabutan bagi Simpanan Mega SSPN-i Siri 1, 2 dan 3 sudah pun selesai dijalankan manakala kemuncak promosi adalah cabutan Simpanan Perdana SSPN-i yang akan diadakan 13 Januari depan," katanya. - BERNAMA |
Ubah cara belanja hadapi kenaikan harga Posted: 28 Dec 2013 01:11 PM PST Kuala Lumpur: Semua pihak dinasihatkan bertindak wajar dalam mengimbangi perbelanjaan masing-masing ekoran peningkatan berterusan harga pelbagai barang pada masa sekarang. Ahli Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Kewangan Majlis Profesor Negara, Prof Dr Abdul Rahim Abdul Rahman, berkata senario kenaikan harga barang menyebabkan banyak pihak tertekan, justeru kerajaan, institusi kewangan, pengguna dan masyarakat perlu memainkan peranan supaya dapat menghadapi situasi ini dengan rasional.
"Pengguna perlu mengubah cara berbelanja dan diberi pendidikan mengenai pengurusan wang dengan sistematik. Mereka juga dinasihatkan tidak mencari jalan penyelesaian mudah dengan membuat pinjam di luar kemampuan kewangan. Bantu kurangkan kos "Kita bimbang akibat daripada kenaikan harga ini ia juga akan meningkatkan kadar hutang isi rumah. Pihak berkaitan seperti kerajaan yang mempunyai keupayaan untuk mengawal harga harus membantu masyarakat melalui pengurangan kos daripada sektor yang difikirkan bersesuaian," katanya ketika dihubungi BH, semalam. Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Amir Baharuddin, berkata persatuan pengguna harus berganding bahu dalam memastikan harga barangan sentiasa terkawal. Pertahan hak pengguna "Persatuan Pengguna harus lebih agresif dalam mempertahankan hak pengguna yang sering menjadi mangsa setiap kali harga barang naik. Persatuan dapat membantu dalam memberi cadangan atau melaporkan aduan terhadap peniaga cekik darah," katanya. Beliau berkata, kuasa beli pengguna tidak lagi seperti dulu berikutan kenaikan pelbagai kos. |
RM10j wujudkan bilik kawalan KRT Posted: 28 Dec 2013 01:10 PM PST Pasir Puteh: Kerajaan akan memperuntukkan RM10 juta bagi mewujudkan sebuah bilik gerakan atau pusat kawalan di setiap Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara pada tahun depan. Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Azman Amin Hassan, berkata pemberian peruntukan berkenaan menunjukkan kerajaan mengiktiraf peranan KRT dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang dianggotai masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Berikutan itu, Azman meminta pemimpin KRT di kawasan komuniti setempat mengenal pasti premis sesuai disewa untuk dijadikan bilik gerakan atau pusat kawalan dengan bayarannya akan ditanggung kerajaan menerusi JPNIN. Perkembangan baik "Keputusan ini satu perkembangan baik kepada semua KRT di seluruh negara bagi meneruskan agenda perpaduan negara tanpa mengira kaum dan fahaman politik dalam usaha bersama menjaga keselamatan di kawasan komuniti masing-masing, terutama selepas kesan pilihan raya umum lalu. "Tindakan itu juga perlu kerana sebelum ini kebanyakan pusat atau bilik gerakan KRT/SRS dibina di kawasan tidak strategik seperti di hujung kampung, malah ada yang begitu daif dengan menggunakan bahan terpakai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Perhimpunan Permuafakatan SRS/Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jom Ronda Versi 2.0, di Dewan Gemilang Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa 1, di sini, malam kelmarin. Sejuta daftar ahli KRT Sementara itu, Azman berkata, beliau gembira kerana lebih sejuta masyarakat pelbagai kaum mendaftar sebagai ahli KRT dan SRS di seluruh negara termasuk 175,000 orang bertugas sebagai pasukan peronda. Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga bersetuju menyediakan peruntukan RM5 juta untuk program membaik pulih kelas Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) JPNIN dan meningkatkan prasarana pusat KRT di seluruh negara, tahun depan. |
Posted: 28 Dec 2013 01:06 PM PST Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempunyai bidang kuasa terhadap penganut agama lain yang menggunakan kalimah Allah dalam sebarang terbitan atau ucapan berkaitan agama masing-masing. Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata bidang kuasa itu seperti termaktub dalam Enakmen Agama bukan Islam Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam 1988.
Dilarang sebar agama "Mengikut enakmen itu, orang bukan Islam di Selangor tidak boleh menyebarkan agama mereka kepada orang Islam atau menggunakan kalimah berkaitan Islam termasuk kalimah Allah dalam penerbitan dan seruan ajaran agama mereka," katanya. Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas laporan portal berita berbahasa Inggeris kelmarin, yang bertajuk 'JAIS 'Allah' overture unconstitutional, say religious leaders'. Menurut laporan itu, pemimpin gereja dan Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) yang mendakwa cadangan JAIS untuk memaksa gereja di negeri itu untuk berhenti menggunakan kalimah Allah dan perkataan bahasa Arab lain, akan melanggar jaminan perlembagaan membabitkan agama. Ditanya kenyataan pemimpin gereja yang enggan mematuhi enakmen berkenaan, Mohamad Adzib berkata, JAIS perlu menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan kepada penggunaan kalimah Allah itu sendiri. Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Ahmad Mua'adzam Shah Ya'akop, berkata penganut Kristian seharusnya bertoleransi dengan masyarakat Islam berhubung isu penggunaan kalimah Allah. "Mereka perlu mengambil kira landskap politik negara ini dan memahami bahawa majoriti rakyatnya adalah penganut agama Islam dan Islam agama rasmi Persekutuan. "Malah, penggunaan kalimah Allah sudah sinonim dengan penggunaan dalam kalangan masyarakat Islam, seterusnya menjadikan ia khusus bagi masyarakat Islam," katanya. Boleh timbul kekeliruan Beliau berkata, kekeliruan terhadap penggunaan kalimah Allah juga boleh terjadi dalam kalangan penganut Kristian sendiri jika ia digunakan dalam penerbitan gereja. "Contohnya, jika anak seorang Kristian membaca buku agama Islam mengandungi kalimah Allah, kekeliruan boleh terjadi apabila dia mendapati kalimah Allah turut dicetak dalam Bible. "Isu sebegini seharusnya tidak dipolitikkan, kerana ia dibimbangi akan mencetuskan sengketa dan perselisihan agama antara penganut Islam dan Kristian dalam negara ini," katanya. |
Tangkap jika buat kecoh: Polis Posted: 28 Dec 2013 01:05 PM PST Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengenakan tindakan tegas serta menangkap kumpulan atau individu yang menimbulkan kekecohan pada sambutan ambang tahun baharu di Dataran Merdeka, Selasa ini. Ini berikutan polis mendapat maklumat serta risikan berhubung hal itu termasuk 588 laporan polis yang dibuat di seluruh negara, mengenai perhimpunan haram untuk mengganggu sambutan tahun baharu berkenaan. Beliau berkata, Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN), Jingga 13, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dipercayai mengambil kesempatan untuk berhimpun serta melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan, seterusnya menimbulkan kekecohan. "Kita memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyertai dan menyokong usaha kumpulan ini kerana ia menyalahi undang-undang dan pada masa sama boleh mengganggu gugat ketenteraman orang ramai yang hadir pada sambutan berkenaan," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam. Tiada permohonan Amar Singh berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada pihak penganjur untuk mengadakan perhimpunan berkenaan. "Penganjur dianggap tidak mematuhi Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2011 kerana tidak mengemukakan sebarang notis mengadakan perhimpunan sekurang-kurangnya 10 hari sebelum ia diadakan," katanya. Sementara itu, Amar Singh berkata, sempena sambutan ambang tahun baharu di Dataran Merdeka anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jalan Raja akan ditutup mulai 12 tengah malam esok dan Jalan Susur Kinabalu ke Jalan Raja ditutup mulai jam 6 petang pada 31 Disember. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |