Bantuan persekolahan RM100 diagih 15 Januari

Bantuan persekolahan RM100 diagih 15 Januari


Bantuan persekolahan RM100 diagih 15 Januari

Posted: 29 Dec 2013 01:13 PM PST

Bantuan persekolahan RM100 diagih 15 Januari

5.4 juta pelajar sekolah rendah, menengah bakal nikmati manfaat daripada peruntukan RM540 juta

Kuala Lumpur: Bantuan persekolahan RM100 seorang kepada 5.4 juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara akan mula diagihkan selepas 15 Januari depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, ketika dihubungi berkata, beliau akan mengadakan sidang media bagi menjelaskan perkara itu hari ini.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Penjawat awam mangsa banjir boleh tuntut insurans

Posted: 29 Dec 2013 01:09 PM PST

Kuala Lumpur: Mangsa banjir penjawat awam yang mempunyai akaun pinjaman perumahan Perbendaharaan boleh membuat tuntutan insurans, kata Datuk Seri Najib Razak.

"Penjawat awam yang menjadi mangsa banjir boleh hubungi @MOFmalaysia untuk mendapatkan maklumat tuntutan insurans," kata Perdana Menteri dalam Twitter semalam.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian bagi mengulas pautan twitter BERNAMA bertajuk 'Banjir: Penjawat Awam Digesa Kemuka Tuntutan Insurans Bencana Alam'.

Tuntutan daripada panel

BERNAMA memetik makluman Kementerian Kewangan, iaitu penjawat awam mangsa banjir di Terengganu, Pahang dan Johor yang mempunyai akaun pinjaman perumahan Perbendaharaan, dinasihati mengemukakan tuntutan insurans bencana alam daripada panel insurans masing-masing.

Tuntutan insurans meliputi kerosakan struktur bangunan seperti dinding, lantai, atap, siling dan sebagainya, selain kejadian pecah rumah ketika banjir.

Tuntutan boleh dibuat dengan menghubungi syarikat insurans/takaful yang sedia memberikan perkhidmatan. Maklumat lanjut boleh dilayari di http://bpp.treasury.gov.my atau menghubungi meja bantuan banjir talian 03-8880 2121. - BERNAMA

Kekal harga minuman walau caj ais naik

Posted: 29 Dec 2013 01:08 PM PST

Kuala Lumpur: Peniaga kedai makanan dan minuman tidak wajar menaikkan harga jualan walaupun harga ais dinaikkan 50 sen setiap pek mulai Rabu ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS), Datuk R Ramalingam Pillai, berkata ia kerana kenaikan masih rendah dan tidak memberi kesan ketara terhadap kos mereka.

Katanya, walaupun kos meningkat sedikit dan mengurangkan keuntungan, ia tidak sepatutnya dipindahkan kepada orang ramai.

"Kebiasaannya, pengusaha restoran sederhana hanya menggunakan lima hingga 10 pek ais sehari dan perubahan kos maksimum yang mereka tanggung sebanyak RM5 (bagi 10 pek ais) atau kira-kira RM150 sebulan.

Akur kenaikan

"Bagi restoran 24 jam pula, penggunaan ais adalah 10 hingga 20 pek sehari dan perubahan kos ditanggung RM10 (bagi 20 pek ais) atau RM300 sebulan," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar mengenai kenaikan harga ais bermula Rabu ini yang didakwa bakal menambah beban rakyat menjelang 2014.
Ramalingam berkata, peniaga seharusnya akur dengan kenaikan yang tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan kadar tarif elektrik bermula 1 Januari dan kenaikan diesel sejak 2 September tahun ini.

"Kenaikan harga ais juga disebabkan pelaksanaan dasar gaji minimum mulai Januari tahun ini serta kenaikan harga beg plastik, tayar dan alat ganti. Peniaga tidak seharusnya panik tetapi perlu memandangnya dari sudut positif," katanya.

Kenaikan turut dikatakan berpunca daripada pihak penguatkuasaan Kementerian Kesihatan yang menuntut semua pengeluar ais dan pengendalinya mematuhi prosedur keselamatan di bawah Akta Makanan.

Kerajaan komited bantu rakyat

Posted: 29 Dec 2013 01:06 PM PST

Kuala Lumpur: Yayasan 1Malaysia yakin kerajaan berusaha mengurangkan bebanan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana berikutan peningkatan kos sara hidup.

Pemegang Amanahnya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kerajaan melaksanakan pelbagai pendekatan bijak mengurangkan bebanan rakyat kesan kenaikan tarif elektrik, cukai pintu serta harga barang dan perkhidmatan.

Pada masa sama katanya, perlu banyak usaha dilaksanakan bagi mengukuhkan ekonomi negara dalam semua sektor yang secara langsung meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Rapat jurang pendapatan

Beliau berkata, usaha perlu terarah kepada merapatkan jurang pendapatan yang terlalu besar dalam kelompok berpendapatan tinggi dan rendah agar kenaikan kos hidup tidak dirasai semua lapisan masyarakat.

"Kita yakin usaha kerajaan memastikan syarikat konsesi lebuh raya tidak akan mendapat keuntungan besar atau kurang munasabah menerusi peningkatan kadar tol dapat mengurangkan tanggungan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Kami yakin kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya membiarkan rakyat dibebani masalah kewangan kesan peningkatan kos hidup," katanya di sini, semalam.
Lam Thye berkata, dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat, kerajaan perlu meneruskan agenda memperkukuh ekonomi negara, sekali gus menyediakan lebih banyak peluang untuk meningkatkan mutu hidup rakyat.

Katanya, usaha itu sejajar komitmen kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Dalam pada itu, Lam Thye yang juga Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata, polis perlu melipatgandakan usaha mengurangkan lagi kes jenayah bagi membolehkan kawasan awam dan kediaman lebih selamat untuk semua.

"Keselamatan dan ketenteraman awam adalah isu kritikal di negara ini," katanya yang menggesa kerajaan menumpukan isu pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar.

2 kementerian jalin usaha sama tambah doktor pakar

Posted: 29 Dec 2013 01:05 PM PST

Labuan: Kementerian Kesihatan menjalinkan usaha sama dengan Kementerian Pendidikan dalam usaha menghasilkan lebih ramai doktor pakar bagi mengatasi kekurangan golongan berkenaan di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Hilmi Yahaya, berkata pelbagai latihan dan biasiswa ditawar kepada doktor muda yang berminat untuk mempertingkat kepakaran mereka dalam bidang perubatan lain.

"Pihak kami dalam proses menarik lebih ramai menjadi doktor pakar dengan menyediakan mereka pelbagai program pengajian perubatan selain biasiswa.

Doktor yang mengikuti program itu akan menjalani latihan selama dua tahun dan setiap enam bulan, mereka ditukar ke unit lain di hospital. Cara ini melatih doktor muda menjadi doktor serba boleh" Dr Hilmi Yahaya, Timbalan Menteri Kesihatan


"Setakat ini, maklum balas yang diterima terhadap pendekatan penawaran biasiswa diterima baik apabila terdapat peningkatan permohonan program dan biasiswa pada setiap tahun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan sehari ke Labuan, semalam.

Beri 1,000 biasiswa

Berdasarkan statistik pada 2013, sebanyak 1,000 biasiswa dikeluarkan bagi program perubatan di universiti tempatan dan luar negara berbanding hanya 800 pada tahun lalu.
"Doktor yang mengikuti latihan program perubatan itu akan menjalani latihan selama dua tahun dan pada setiap enam bulan, mereka akan ditukar ke unit lain di hospital.

Ganti kekurangan doktor pakar

"Cara ini juga dapat melatih doktor muda ini untuk menjadi doktor serba boleh bagi menggantikan kekurangan doktor pakar di masa depan," katanya.

Mengulas masalah kekurangan doktor pakar di Labuan, Dr Hilmi berkata, kerajaan sentiasa berusaha menyediakan bilangan yang mencukupi.

"Dahulu Labuan hanya ada dua doktor pakar, tetapi kini hospital sudah memiliki lapan doktor yang masing-masing mempunyai kepakaran di bidang perubatan am, pembedahan am, pakar tulang, pakar X-ray, pakar perubatan keluarga, pakar perbidanan dan sakit puan," katanya. - BERNAMA

Segera bertindak terhadap dalang

Posted: 29 Dec 2013 01:03 PM PST

Batu Pahat: Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta segera bertindak termasuk menangkap serta mendakwa dalang serta penganjur perhimpunan mengguling kerajaan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata tindakan pencegahan segera perlu diambil terhadap dalang berkenaan sebelum 'nasi menjadi bubur'.

Katanya, pihak berkuasa tidak perlu bimbang mahu pun apologetik terhadap sebarang tindakan pencegahan yang mampu membawa kekacauan kepada masyarakatnya.

Tindakan tunggu dan lihat pihak berkuasa hanya mengundang padah, apatah lagi kita sudah saksikan kemusnahan yang dibawa dalam demonstrasi sebelum ini" Mohd Puad Zarkashi, Ahli Majlis Tertinggi UMNO


Undang padah

"Tindakan tunggu dan lihat pihak berkuasa hanya mengundang padah, apatah lagi kita sudah saksikan kemusnahan yang dibawa dalam demonstrasi sebelum ini.

"Kelewatan pihak berkuasa bertindak hanya menyebabkan majoriti rakyat negara ini kecewa dan membawa persepsi mereka takut bertindak," katanya selepas majlis penerangan isu semasa dan penyerahan bantuan beg sekolah kepada mangsa banjir, di sini, semalam.

Di Kampung Gajah: Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun meminta polis jangan pilih kasih, sebaliknya menangkap dan mendakwa mereka yang terbabit dalam perhimpunan haram.
"Kita tidak boleh biarkan perhimpunan haram yang tidak mendapat permit dan kebenaran pihak berkuasa dibiarkan berlaku kerana ia mengancam keselamatan rakyat dan negara," katanya.

Di Bukit Mertajam: Setiausaha UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, majoriti rakyat sudah muak dengan kumpulan terbabit yang sering mengganggu keamanan negara ini dengan alasan yang diada-adakan demi kepentingan mereka sendiri.

Katanya, sikap lembut yang ditunjukkan KDN dan pihak berkuasa bakal membuat majoriti rakyat yang cintakan keamanan bertindak bersendirian bagi menyekat tindakan kumpulan kecil yang memungkinkan negara menjadi huru hara.

"Kerajaan perlu bertindak tegas terhadap kumpulan kecil yang berniat jahat untuk menganjurkan perhimpunan haram," katanya.