Teknologi Nuri sudah ketinggalan

Teknologi Nuri sudah ketinggalan


Teknologi Nuri sudah ketinggalan

Posted: 23 Dec 2013 03:11 PM PST

Teknologi Nuri sudah ketinggalanPaparan grafik di muka depan BH hari ini.

Helikopter Sikorsky S-61A-4 perlu penambahbaikan

Kuala Lumpur: Nahas terbaru helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di Pulau Perak, dekat Kedah kelmarin menimbulkan persoalan mengenai keupayaan pesawat Sikorsky S-61A-4 itu untuk terus berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ini kerana sejak pesawat itu memulakan khidmat dalam ATM pada 1968, ia merekodkan lebih 10 insiden nahas yang menyebabkan kehilangan nyawa anggota tentera selain kerugian aset pertahanan negara.

Pakar industri penerbangan dan mereka yang pernah menerbangkan pesawat itu berbeza pandangan sama ada Nuri perlu dikekalkan atau diganti dengan helikopter jenis lain.

Seorang sumber industri penerbangan dan pertahanan berpendapat, teknologi pesawat Nuri sudah ketinggalan zaman untuk berdepan dengan perubahan cuaca.

Beliau berkata perubahan cuaca dunia yang semakin panas menjejaskan penerbangan, terutama pesawat yang terbang di bawah paras 10,000 kaki seperti helikopter.

Keadaan cuaca punca nahas
"Keadaan cuaca dunia yang kian panas dipercayai antara punca utama nahas membabitkan pesawat penerbangan termasuk insiden terbaru pesawat Nuri TUDM kelmarin. Wap panas dan tiupan angin kencang pada paras itu mempengaruhi penerbangan dan ditambah lagi dengan teknologi manual Nuri yang ketinggalan zaman," katanya.

Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Jaga nama baik negara: PM

Posted: 23 Dec 2013 03:08 PM PST

Jaga nama baik negara: PMNajib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor melakukan tawaf di Kaabah ketika menunaikan umrah, semalam. - Foto BERNAMA

Kejayaan lebih cemerlang boleh dicapai jika umat Islam di Malaysia kekal bersatu

Makkah: Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia mampu mencapai kejayaan lebih besar jika rakyat di luar negara sentiasa menjaga nama baik dan imej negara.

Perdana Menteri berkata, ini kerana cita-cita kerajaan menjadikan Malaysia negara Islam yang berjaya, moden dan progresif tetapi berpaksi kepada syariat Islam, terbukti berjaya dengan pembabitan rakyat di luar negara.

Katanya, rakyat Malaysia telah membuktikan kemampuan di luar negara dengan penyertaan mereka dalam projek raksasa seperti projek pembesaran Masjidil Haram dan Menara Jam Diraja Makkah atau Abraj Al-Bait setinggi 602 meter.

"Oleh itu, jika kita terus bersama-sama dan kekal bermuafakat dan bersatu sebagai umat Islam, sudah pasti akan mencapai kejayaan lebih cemerlang pada masa akan datang," katanya dalam pertemuan dengan rakyat Malaysia, di Restoran D'Saji di sini semalam.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Malaysia yang berada di sini atas urusan perniagaan dan mengerjakan ibadat haji atau umrah supaya menjaga nama baik dan imej negara.

Rakyat kita dihormati
"Mereka (warga Arab Saudi) di sini meletakkan kita di tangga (kedudukan) yang begitu tinggi dari segi pandangan mereka terhadap kita dan sebut saja nama Malaysia, kita dapat lihat mereka menyambut kehadiran kita dengan baik," katanya.

Beliau berkata, Arab Saudi senang hati menerima rakyat Malaysia sebab imej yang dipamerkan rakyat yang menghormati undang-undang dan peraturan negara mereka selain hubungan antara rakyat dengan rakyat.

Najib berkata, mereka melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya.

"Oleh itu, saya harap bawa diri dengan baik dan jangan buat angkara membuatkan mereka tidak senang terhadap Malaysia dan boleh merosakkan nama baik negara.

"Dalam mencari rezeki, belajar atau mengerjakan ibadat haji, tunjukkanlah pembawaan diri yang baik dan jadikan mereka sebagai sahabat dan saudara kita dan dengan ini ia dapat memudahkan urusan pada masa akan datang," katanya.

Restoran D'Saji jadi tumpuan

Mengenai Restoran D'Saji yang terletak berhampiran Masjidil Haram, Najib berkata perniagaan yang dikendalikan pengurusan FELDA itu berkembang dengan baik.

Pembukaan restoran itu adalah idea beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab atas pengurusan FELDA.

Beliau berkata, selain mencapai matlamat dalam perniagaan, kerajaan mahu memperkenalkan Malaysia melalui restoran itu dalam kalangan umat Islam negara lain kerana ia juga menjadi tumpuan rakyat asing.

"Restoran ini amat sesuai bagi memperkenalkan Malaysia kepada rakyat Islam negara lain. Selain matlamat perniagaan akan tercapai, pada masa yang sama imej Malaysia akan lebih terserlah melalui Restoran D'Saji ini," katanya. - BERNAMA

ASN umum dividen 6.45 sen seunit

Posted: 23 Dec 2013 03:07 PM PST

ASN umum dividen 6.45 sen seunitAhmad Sarji (kiri) dan Hamad ketika pengumuman pengagihan pendapatan Skim Amanah Saham Nasional (ASN) bagi tahun kewangan berakhir 31 disember 2013.

Kuala Lumpur: Pelabur Skim Amanah Saham Nasional (ASN) akan menerima dividen 6.45 sen bagi setiap unit saham tahun ini, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh 13 tahun.

Jumlah itu meningkat 0.15 sen seunit berbanding tahun sebelumnya 6.30 sen seunit. Ia bakal membabitkan 1.25 juta pemegang unit yang melanggan 1.55 bilion unit ASN.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata agihan itu sesuai dengan objektif ASN serta selaras perkembangan ekonomi dan pasaran saham semasa.

"Lembaga Pengarah ASNB bersetuju memperuntukkan RM100.27 juta sebagai pembayaran pengagihan pendapatan ASN bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013," katanya dalam majlis pengumuman agihan pendapatan itu di sini semalam.

Hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Prestasi ekonomi, saham baik

Ahmad Sarji berkata, secara umumnya prestasi ekonomi dan pasaran saham negara adalah baik sepanjang tahun ini walaupun persekitaran pelaburan berhadapan keadaan tidak menentu berikutan krisis hutang negara Eropah yang berpanjangan dan pertumbuhan ekonomi China semakin rendah serta kebimbangan pelabur terhadap pengumuman penarikan balik dasar pelonggaran kuantitatif oleh Amerika Syarikat.
Beliau berkata, sebagai tabung harga berubah-ubah, matlamat ASNB adalah bagi menjana pertumbuhan modal dan pengagihan pulangan yang berpatutan secara berterusan.

Sehingga 21 Disember 2013, ASN meraih pendapatan kasar RM128.61 juta dengan pendapatan keuntungan jualan saham menyumbang RM82.59 juta atau 64.22 peratus daripada keseluruhan pendapatan kasar.

Beliau berkata, pendapatan dividen diterima daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM34.67 juta atau 26.96 peratus daripada keseluruhan pendapatan kasar, manakala baki RM11.35 juta atau 8.82 peratus daripada pendapatan lain.

Pengiraan pengagihan pendapatan ASN adalah berdasarkan pegangan unit pada 31 Disember 2013, iaitu hari terakhir tahun kewangan tabung ASN. Ia akan dilabur secara automatik dan dikreditkan dalam buku pelaburan pemegang unit, berdasarkan nilai aset bersih ASN pada 31 Disember 2013.

Pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASN di pejabat ASNB atau ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 Januari 2014. Penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan akan dihantar mulai akhir Februari depan.

'Tubuh saya melambung'

Posted: 23 Dec 2013 03:07 PM PST

'Tubuh saya melambung'Kanlaya menerima rawatan di Hospital Sadao kerana cedera di kaki kiri akibat terkena serpihan letupan.

Polis Thailand teliti rakaman CCTV kejadian letupan bom

Sadao (Thailand): "Saya dapat rasakan bahang menerpa, sebelum tubuh tiba-tiba melayang," kata penjaja makanan, Kanlaya Boontha, 31, yang cedera dalam kejadian letupan bom di depan Oliver Hotel di pekan Dannok dekat sini, kelmarin.

Kanlaya antara 27 mangsa yang cedera dan kini dirawat di dua hospital daerah ini, masing-masing di Pekan Siam dan Sadao, susulan letupan menggegarkan pekan tumpuan pelancong itu, jam 12.45 tengah hari waktu tempatan (1.45 tengah hari waktu Malaysia).

Ketika kejadian, beliau sedang melayan pelanggan di gerainya yang terletak di Tanrattanakorn Road, berhampiran hotel berkenaan.

"Saya tidak mampu ingat secara jelas apa yang berlaku... yang pasti badan saya melambung jauh sebelum terhempas dan pengsan.

Keadaan berselerak

"Sebaik sedar, saya lihat orang ramai mula kecoh dengan keadaan sekeliling berselerak. Ketika itu, baru saya sedar kaki dipenuhi darah terkena serpihan letupan, hingga tidak mampu bangun kerana terlalu sakit. Saya dibantu orang ramai sebelum dikejarkan ke hospital," katanya.
Difahamkan, sekurang-kurangnya tiga gerai termasuk milik Kanlaya musnah dalam kejadian letupan yang menggegarkan pekan Dannok, sehingga menyebabkan beberapa peniaga dan pelanggan cedera.

Teliti rakaman CCTV

Sementara itu, sumber Polis Diraja Thailand (RTP) mengesahkan pihaknya sedang meneliti rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh sekitar lokasi kejadian khususnya yang berlaku di Tanrattanakorn Road itu.

Bagaimanapun, sumber itu enggan mengulas lanjut mengenai rakaman CCTV yang turut tersebar melalui Facebook.

Berdasarkan rakaman CCTV selama dua minit 40 saat itu, rakaman ia jelas menunjukkan sebuah pikap putih yang ditinggalkan di hadapan bangunan tiba-tiba meletup, menyebabkan beberapa gerai serta bangunan sekitarnya menerima kesan.

Rayuan petisyen 3 Parlimen diterima

Posted: 23 Dec 2013 03:07 PM PST

Putrajaya: Petisyen pilihan raya Parlimen Bagan Datoh yang dimenangi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikembalikan ke Mahkamah Pilihan Raya bagi perbicaraan penuh.

Perintah itu dibuat Mahkamah Persekutuan semalam, selepas membenarkan rayuan petisyen pilihan raya calon PKR, Madhi Hasan dan seorang pengundi, Azmi Sulaiman.

Panel lima hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif dalam keputusan sebulat suara memutuskan sesiapa saja boleh memfailkan notis petisyen dan tidak semestinya pempetisyen saja.

Turut bersidang, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Seri Abu Samah Nordin.

Mahkamah turut membenarkan dua lagi rayuan petisyen calon PKR bagi Parlimen Tapah dan Ketereh serta petisyen oleh seorang pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubuk Merbau, Perak.

Kekal milik BN

Sementara itu, kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Selangor kekal milik BN selepas mahkamah menolak petisyen dari pembangkang apabila memutuskan tiada alasan mengganggu penemuan dan keputusan hakim Mahkamah Pilihan Raya.
Kerusi Parlimen Sungai Besar dimenangi Datuk Noriah Kasnon manakala Datuk Irmohizam Ibrahim memenangi kerusi Parlimen Kuala Selangor.

Bagaimanapun, panel sama menolak rayuan petisyen calon BN, Dr Dominic Lau Hoe Chai membabitkan kerusi Parlimen Batu dan pengundi, Mohamad Sazali Kamilan bagi Parlimen Lembah Pantai selepas memutuskan petisyen itu kekurangan fakta material dan tiada sebarang kuasa tindakan.

Kedua-dua kerusi itu masing-masing dimenangi calon PKR, Chua Tian Chang atau Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar.

INFO: Empat petisyen yang diperintah didengar semula

- Parlimen Bagan Datoh dimenangi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
- Parlimen Ketereh dimenangi Tan Sri Annuar Musa.
- Parlimen Tapah dimenangi Datuk M Saravanan
- Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubuk Merbau dimenangi Datuk Siti Salmah Mat Jusak

Presiden UAE derma RM32.9j

Posted: 23 Dec 2013 03:05 PM PST

Presiden UAE derma RM32.9jSheikh Khalifa Zayed Al Nahyan

Abu Dhabi: Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan menyumbang sebanyak Dh36.6 juta (RM32.9 juta) kepada misi bantuan kemanusiaan untuk mangsa banjir di Malaysia.

Menurut laporan agensi berita UAE, bantuan berkenaan akan memanfaatkan lebih 20,000 keluarga yang terjejas di Pahang dan Kelantan, baru-baru ini.

Bencana alam terbabit menyebabkan kemusnahan rumah dan kerosakan harta benda.

Antara inisiatif yang akan dilaksanakan Persatuan Bulan Sabit Merah (RCA) UAE, termasuk membaik pulih lebih 20,000 rumah yang musnah, selain menyediakan barangan keperluan asas.

"RCA akan mendapatkan semua bekalan barangan berkenaan daripada pasaran tempatan," katanya.

Menurut laporan itu, inisiatif berkenaan akan membolehkan lebih 100,000 mangsa banjir kembali ke rumah masing-masing dan menjalani kehidupan seharian seperti biasa.

Banjir di pantai timur Semenanjung yang berlaku pada awal bulan ini menyebabkan lebih 40,000 keluarga terjejas dan ditempatkan di beberapa pusat pemindahan.
Bencana alam itu berpunca akibat perubahan iklim dan bukan hanya disebabkan pembangunan pesisiran pantai kurang terancang. - BERNAMA