KL-Jakarta akrab, pemimpin mesra |
- KL-Jakarta akrab, pemimpin mesra
- Kaji kaedah baru ganti BR1M
- Skim bencana RM30 sehari
- Azih Muda presiden baru CUEPACS
- Sasar tingkat gaji penjawat awam
- Calon peroleh semua A naik
KL-Jakarta akrab, pemimpin mesra Posted: 19 Dec 2013 02:57 PM PST Malaysia dan Indonesia semalam membuktikan kedua-dua negara sememangnya mempunyai hubungan yang sangat istimewa. Kerakraban kedua-dua negara bukan saja dicerminkan menerusi kemesraan pemimpin tertingginya, malah kesepakatan menyelesaikan banyak isu penting bersandarkan semangat persaudaraan dua negara berjiran. Kini usaha diteruskan agar hubungan istimewa ini dapat berkembang dan menjadi lebih komprehensif, katanya. Pada akhir sidang media itu, Najib turut menekankan bahawa persahabatannya dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono akan kekal selama-lamanya. Perhubungan saya dengan bapak Presiden menjangkau hubungan formal. We will always be friends. Now and forever (kami akan sentiasa menjadi sahabat. Kini dan selama-lamanya), katanya dibalas senyuman Susilo serta tepukan gemuruh delegasi kedua-dua negara. Susilo yang menjadi Presiden Indonesia selama dua penggal, akan menamatkan perkhidmatannya pada September tahun depan. Perlembagaan Indonesia mengehadkan jawatan presiden untuk disandang selama dua penggal saja. Rundingan tahunan itu yang dihoskan secara bergilir, menjadi forum penting bagi kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai isu membabitkan kepentingan bersama. Susilo dalam pernyataannya selepas rundingan lebih dua jam itu pula berkata, kerjasama kedua-dua negara dari setahun ke setahun mencapai banyak kemajuan meliputi pelbagai bidang termasuk ekonomi. Rundingan tahunan ini penting untuk memastikan kerjasama bilateral terus berkembang dari semasa ke semasa, katanya yang sebelum itu bersama Najib menyaksikan majlis menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU). Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini |
Posted: 19 Dec 2013 02:55 PM PST Kuala Lumpur: Kerajaan mengkaji untuk memperkenalkan kaedah baru yang lebih sesuai dan berkesan dengan rasionalisasi subsidi kerajaan bagi menggantikan Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Kajian termasuk bentuk bantuan yang akan diberikan untuk diperkenalkan pada 2015, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Ahmad Husni berkata model rasionalisasi subsidi baru yang bakal diperkenalkan kelak akan menjadi lebih berkesan berbanding format semasa. Tempoh jangka panjang Ini adalah tempoh penyesuaian (BR1M) kerana dalam tempoh jangka panjang, perkara paling mustahak bukanlah bantuan dalam bentuk BR1M, bantuan persekolahan atau baucar pendidikan tinggi, sebaliknya pendapatan serta tangga gaji rakyat. Bagaimanapun, katanya, kenaikan pendapatan tertakluk kepada keupayaan syarikat menyediakan gaji yang lebih tinggi kepada pekerja. Itulah sebab kerajaan kini mensasarkan pelaburan teknologi tinggi yang bukan saja mampu menawarkan gaji lebih tinggi, malah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada isi rumah, katanya. Menerusi BR1M 2.0 tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM2.9 bilion yang memberi manfaat kepada 6.8 juta penerima. BR1M 2014 dijadual diberikan mulai Februari depan kepada sehingga 7.9 juta penerima membabitkan peruntukan RM4.6 bilion. Pendaftaran permohonan BR1M 2014 bermula Isnin depan sehingga 31 Januari 2014 bagi pemohon baru yang tidak pernah berdaftar sebelum ini. Bagi penerima BR1M sedia ada, mereka tidak perlu mendaftar kali kedua kecuali mengemaskini maklumat kerana kerajaan bercadang menyalurkan bantuan terus kepada akaun bank penerima. Borang permohonan boleh didapati secara percuma Isnin ini di Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pembangunan Persekutuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat atau dimuat turun melalui laman web LHDN www.hasil.gov.my. |
Posted: 19 Dec 2013 02:50 PM PST Kuala Lumpur: Seramai 42,925 penerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO) di bawah Skim Bencana Pekerjaan akan menikmati bayaran kadar minimum baru RM30 sehari mulai 1 Januari ini. Peningkatan kadar minimum baru RM30 sehari berbanding RM10 ketika ini dibuat selaras pelaksanaan gaji minimum RM900 sebulan mulai bulan depan. Berikutan itu, semua penerima faedah Skim Bencana Pekerjaan akan turut menerima faedah minimum RM900 sebulan. Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abdul Mutalib, berkata kerajaan mengambil keputusan itu berikutan kali terakhir pindaan dilakukan pada 1999 dengan kadar ditetapkan hanya RM10 sehari dan kekal sehingga sekarang. Katanya, kelulusan kenaikan pembayaran kadar minimum itu adalah berdasarkan kepada Warta Kerajaan Persekutuan P.U (A) 357 Peraturan-peraturan Keselamatan Sosial pekerja (Kadar harian Faedah Minimum) (Minimum) 2013 yang diluluskan kerajaan awal bulan ini. Selaras gaji minimum RM900 Penetapan kadar baru itu juga selaras pelaksanaan dasar gaji minimum RM900 yang berkuat kuasa awal tahun depan, katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kualiti dan Inovasi PERKESO 2013 di sini, semalam. Kenaikan kadar ini sebagai langkah berterusan kerajaan melalui PERKESO memberi perlindungan berkesan, selain memastikan kebajikan pekerja swasta dan persendirian terjaga, katanya. Beliau berkata, skim bencana pekerjaan bertujuan melindungi pekerja ditimpa kemalangan semasa waktu kerja, kemalangan dalam perjalanan pergi balik ke tempat kerja dan juga penyakit khidmat. Pada majlis itu, Pejabat PERKESO Kuala Kangsar diumum sebagai juara Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif Terbaik (KIK) PERKESO 2013, Pejabat PERKESO Klang (tempat kedua), dan ketiga, Pejabat PERKESO Muar. |
Azih Muda presiden baru CUEPACS Posted: 19 Dec 2013 02:47 PM PST Kuala Lumpur: Pemilihan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyaksikan Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysis (ANULAE), Azih Muda, 56, diumumkan sebagai Presiden CUEPACS bagi penggal 2013-2016. Bekas Timbalan Presiden 1 CUEPACS itu menewaskan pencabarnya, yang juga Presiden Kesatuan Kakitangan Kementerian Pertahanan (KESATRIA), Ahmad Shah Mohd Zain dengan majoriti 390 undi bagi jawatan tertinggi kesatuan yang mewakili suara 1.4 juta penjawat awam. Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini |
Sasar tingkat gaji penjawat awam Posted: 19 Dec 2013 02:45 PM PST Kuala Lumpur: CUEPACS akan menumpukan kepada usaha meningkatkan pendapatan penjawat awam kepada RM4,000 sebulan dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi menghadapi kenaikan kos sara hidup. Presidennya yang baru, Azih Muda berkata usaha meningkatkan gaji penjawat awam termasuk kumpulan pelaksana II, seperti pembantu am dan pemandu itu akan menjadi agenda utama kesatuan berkenaan. Agenda utama Agenda ini akan kita bincangkan pada peringkat kongres sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi, termasuk kepada Perdana Menteri, katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai Presiden CUEPACS bagi penggal 2013-2016 pada pemilihan Konvensyen Tiga Tahun Sekali CUEPACS di Dewan Wawasan, Menara PGRM Cheras, di sini semalam. Azih berkata, ketika ini penjawat awam kumpulan pelaksana dengan gaji sekitar RM1,200 termasuk elaun kakitangan awam tidak dapat menampung kos sara hidup yang semakin meningkat. Katanya, cabaran berdepan dengan kenaikan kos sara hidup bukan hanya dialami kumpulan pelaksana sebaliknya penjawat awam lain yang bergaji kurang RM3,000 sebulan, terutama di bandar. Kerajaan boleh tambah baik skim gaji, elaun dan insentif penjawat awam supaya mereka lebih fokus dengan hala tuju ditetapkan Perdana Menteri, katanya merujuk kepada sasaran negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020. Aziz juga menyifatkan pemilihannya sebagai Presiden CUEPACS satu amanah yang berat untuk memperjuangkan aspirasi dan kebajikan penjawat awam, turut mencadangkan supaya bekas presiden Datuk Omar Osman dilantik sebagai senator untuk meneruskan sumbangannya kepada rakyat dan negara. |
Posted: 19 Dec 2013 02:44 PM PST Putrajaya: Seramai 30,988 atau 7.33 peratus daripada 422,506 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini, mendapat semua A, peningkatan 514 calon berbanding 30,474 tahun lalu. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, berkata pencapaian dalam 17 mata pelajaran akademik juga bertambah baik dengan peningkatan 0.04 mata Gred Purata Nasional (GPN) daripada 2.71 tahun lalu kepada 2.67 mata kali ini. 17 mata pelajaran akademik meningkat Pencapaian calon bandar lebih baik daripada calon luar bandar dengan gred purata masing-masing 2.56 mata dan 2.81 mata, namun jurang pencapaian semakin mengecil sebanyak 0.01 mata, iaitu daripada 0.26 tahun lalu kepada 0.25 mata tahun ini, katanya pada sidang media, di sini semalam. Berdasarkan indeks Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) pula, prestasi 14 daripada 17 mata pelajaran akademik yang ditawarkan meningkat dengan Bahasa Inggeris mencatatkan 3.13 mata berbanding 3.23 mata tahun lalu, manakala peratusan calon mendapat A bertambah 1.4 peratus daripada 16.8 peratus tahun lalu. Peningkatan turut dicatatkan bagi Matematik, iaitu sebanyak 0.03 mata kepada 2.75 mata tahun ini, manakala calon mendapat A subjek itu meningkat 0.5 peratus daripada 28.8 peratus kepada 29.3 peratus tahun ini, katanya. Bagi Sains, peningkatan sebanyak 0.04 mata dicatatkan, daripada 2.79 kepada 2.75 mata tahun ini dengan peratusan mendapat A juga meningkat 0.9 peratus iaitu daripada 23.7 kepada 24.6 peratus Bagaimanapun, pencapaian Bahasa Melayu menurun 0.03 mata iaitu 2.32 tahun lalu kepada 2.35 mata tahun ini dengan peratusan calon mendapat A turut menurun 0.5 peratus daripada 27.5 pada 2012 kepada 27.0 peratus tahun ini. Seramai 422,506 calon menduduki PMR tahun ini di 3,530 pusat peperiksaan berbanding 440,643 calon tahun lalu. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |