Nenek terkejut usikan ular rempuh cucu

Nenek terkejut usikan ular rempuh cucu


Nenek terkejut usikan ular rempuh cucu

Posted: 08 Dec 2013 02:50 PM PST

Nenek terkejut usikan ular rempuh cucuOrang awam meninjau lokasi Norisah (gambar kecil) yang maut dirempuh kereta dipandu Roda ketika cuba memberhentikan kenderaan di belakang sebuah restoran di Kilometer 30 Jalan Melaka-Muar, Merlimau, Melaka, semalam.

Jasin: Seorang bayi berusia lima bulan maut akibat parah di kepala selepas dirempuh kereta dipandu neneknya di sebuah restoran di Kilometer 32, Jalan Melaka-Muar, Merlimau di sini, petang kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika mangsa, Norisah Wae Useng, berada dalam kereta sorong bayi di belakang restoran itu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Nur Hishamuddin Hashim, berkata kemalangan dipercayai berpunca apabila nenek tiri mangsa, Roda Komeng, 28, tertekan pedal minyak ketika hendak memberhentikan kereta di belakang restoran terbabit, sebelum merempuh mangsa.

Beliau berkata, ketika kejadian, bayi itu berada dalam kereta sorongnya di bawah garaj tempat letak kereta, manakala bapa saudaranya pula sedang memotong bawang di pangkin belakang restoran.

Rempuh kereta sorong

"Siasatan awal mendapati, nenek tiri mangsa yang berasal dari Pattani, Thailand ini hendak memberhentikan kereta Proton Wira dipandunya tetapi secara tiba-tiba dia tertekan pedal minyak lalu merempuh kereta sorong mangsa dan seterusnya melanggar dinding tandas.
"Akibat rempuhan kuat itu, bayi berkenaan cedera parah di kepala dan masih bergerak serta bernafas, sebelum dikejarkan ke Poliklinik Merlimau untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, bayi itu kemudian disahkan meninggal dunia jam 5.45 petang di poliklinik terbabit.

Katanya, kejadian berlaku ketika restoran itu masih belum dibuka dan kereta dipandu Roda turut dinaiki menantu tirinya berusia 20 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan.

"Mayat bayi itu dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat sebelum dituntut warisnya untuk dikebumikan di Thailand.

Diusik ada ular dalam kereta

"Proton Wira berkenaan ditahan untuk pemeriksaan PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, pekerja restoran berkenaan, Zamri Nik Muda, 23, berkata ketika Roda memberhentikan kenderaan, seorang penghantar tong gas berusia 30-an cuba bergurau sambil menjerit memberitahu terdapat ular dalam kereta itu.

"Terkejut dengan jeritan itu, Roda tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan dinaikinya melanggar kereta sorong bayi itu sebelum merempuh dinding tandas," katanya.

Jumlah pesakit HIV turun mendadak

Posted: 08 Dec 2013 02:49 PM PST

Kota Bharu: Jumlah pesakit HIV menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, berkurangan sekali ganda, iaitu 1,380 orang pada tahun ini berbanding 2,761 pada tahun lalu.

Pengarah HRPZII, Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan, berkata bilangan pesakit baru yang mendaftar di hospital itu juga berkurangan daripada 389 pada 2012 kepada 154 pada tahun ini.

Beliau berkata, penurunan secara drastik itu disebabkan masyarakat semakin peka dengan cara jangkitan virus berkenaan dan pesakit juga menjaga persekitarannya dengan mengelakkan virus di badannya dijangkiti orang lain.

Jenis rawatan

Katanya, semua pesakit yang mendaftar itu menerima rawatan Terapi Antiretroviral Sangat Aktif (HAART) berikutan antibodi yang dipanggil CD4 berkurangan dalam darah mereka.

"Tahun lalu, purata seorang pesakit menerima rawatan sehari dan ia berbeza tahun ini apabila seorang pesakit menerima rawatan bagi setiap dua hari," katanya selepas merasmikan sambutan 'Hari HIV/AIDS' Sedunia di pekarangan HRPZII di sini, semalam.

Sementara itu, Dr Ghazali berkata, majoriti penghidap HIV wanita di negeri ini memperoleh virus itu melalui hubungan intim bersama pasangan, manakala bagi lelaki pula menerusi perkongsian jarum suntikan.

Visa umrah dikurangkan

Posted: 08 Dec 2013 02:48 PM PST

Jeddah: Arab Saudi akan mengurangkan bilangan jemaah asing menunaikan umrah ketika tempoh kemuncak bulan Ramadan tahun depan.

Menteri Haji, Bandar Hajjar, berkata pihaknya merancang mengehadkan bilangan jemaah tidak melebihi 500,000 orang sehari di Makkah dan Madinah ketika waktu itu.

Ia bertujuan mengurangkan kesesakan di Masjidilharam di Makkah berikutan kerja perluasan di sekitar kawasan itu.

Pengumuman awal

Menurut laporan Arab News semalam, berikutan keputusan itu visa umrah tidak akan dikeluarkan mulai pertengahan Ramadan.

Bandar Hajjar dilaporkan berkata, pengumuman dibuat lebih awal bagi membantu pengusaha khidmat umrah di Arab Saudi dan negara asing merancang program mereka.

Ketika musim umrah tahun lalu, pengusaha dan hotel kerugian besar kerana lewat dimaklumkan mengenai keputusan mengurangkan bilangan jemaah.
Hajjar berkata, peratusan bilangan jemaah tinggal melebihi tempoh visa juga semakin kurang berikutan langkah itu dengan hanya 0.1 peratus jemaah gagal keluar dari negara itu musim lalu. - AGENSI

Warga tua maut dilanggar van dari arah belakang

Posted: 08 Dec 2013 02:42 PM PST

Parit Buntar: Seorang warga tua yang dalam perjalanan pulang selepas menunaikan solat subuh di surau, maut apabila basikal ditunggangnya dirempuh van dari arah belakang di Kilometer 4, Jalan Terusan Tanjung Piandang di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, Mat Desa Salleh, 71, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan selepas dirempuh van yang datang dari arah Tanjung Piandang menghala ke Sungai Kota di sini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan, berkata akibat rempuhan itu, mangsa dikatakan melambung dan terpelanting hampir lima meter dari lokasi kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya di sini semalam.

Dengar bunyi dentuman kuat

Sementara itu, saksi, Zainal Abidin, 62, berkata beliau yang baru selesai menunaikan solat subuh di rumahnya terkejut apabila mendengar bunyi dentuman kuat.
Beliau berkata, dia segera keluar rumah dan mendapati mangsa yang juga kenalannya cedera parah di atas jalan raya.

"Saya cuba membantu merawat mangsa, namun dia sudah meninggal dunia. Saya kemudian menghubungi ambulans dan memaklumkan kejadian itu," katanya.

9 cedera bas terbalik masuk curam

Posted: 08 Dec 2013 02:41 PM PST

 9 cedera bas terbalik masuk curamOrang ramai melihat bas terbalik di bahu jalan dekat Jalan Kuala Terengganu-Kuantan.

Chukai: Sembilan cedera termasuk lapan penumpang apabila bas ekspres dinaiki mereka terbalik ketika cuba mengelak sebuah kereta di Kilometer 140.8, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 3 pagi itu, bas berkenaan yang membawa 28 penumpang dan sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Johor Bahru dipercayai terbabas berdekatan persimpangan masuk ke Kawasan Industri Teluk Kalong, ketika cuba mengelak sebuah kereta dari arah bertentangan.

Pemandu luka dahi, paha

Pemandu bas, Noh Daud, 54, yang mengalami luka di dahi dan paha, dimasukkan ke wad Hospital Kemaman, manakala lapan penumpang yang cedera pula dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama dan dibenarkan keluar pada kira-kira jam 10 pagi semalam.

Noh berkata, kejadian berlaku ketika bas dipandunya cuba mengelak kereta yang datang dari arah bertentangan selepas kereta itu dipercayai cuba memotong sebuah lori di depannya.

Katanya, akibat kejadian itu, bas terbabas sebelum terbalik ke kawasan curam sedalam tiga meter.
"Saya tidak memandu laju kerana ketika itu hujan renyai dan jalan basah. Kemalangan berlaku ketika saya cuba mengelak kereta yang tiba-tiba cuba memotong lori di hadapannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Che Suza Che Hitam, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan semua 20 penumpang yang terselamat meneruskan perjalanan mereka menggunakan bas gantian.

"Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.