Tentera dikerah ke 4 negeri

Tentera dikerah ke 4 negeri


Tentera dikerah ke 4 negeri

Posted: 07 Dec 2013 03:04 PM PST

Tentera dikerah ke 4 negeriPegawai Operasi Bomba Rantau Panjang, Pegawai Bomba Kanan 1, Zaimi Samat (kanan) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir yang tidak berpindah di Jalan Sekolah Cina, Kampung Kubang Chenok, semalam.

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengerahkan 2,129 anggotanya ke empat negeri yang terjejas teruk akibat banjir iaitu Pahang, Terengganu, Johor dan Kelantan bagi membantu mangsa bencana itu.

Sejumlah besar aset ATM iaitu 58 bot, 13 trak TATRA (tujuh tan); 68 trak tiga tan; satu ambulans medan dan lapan helikopter turut digunakan dalam operasi kali ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata selain itu, pihaknya turut menghantar pasukan perubatan ATM seramai 24 anggota ke Kemaman, Terengganu bagi membantu merawat pesakit di negeri itu yang terputus hubungan.

Katanya, Tentera Darat Diraja Malaysia (TDM) dilaporkan sudah bersiap sedia menggerakkan elemen dari Kor Jurutera Diraja bagi membina Jambatan Taktikal di Sungai Limbungan, Kemaman selepas jambatan di situ runtuh akibat banjir.

"Ia penting bagi menghubungkan kawasan terjejas supaya operasi penghantaran bantuan makanan, perubatan dan keperluan lain dapat dilaksanakan kepada mangsa banjir.

"Pada masa sama, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut digerakkan dalam operasi ini bagi menyelamat dan menghantar bekalan makanan ke kawasan yang terputus hubungan serta terjejas teruk," katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Tugas diselaras MKN

Beliau berkata, penugasan ini diselaraskan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) sejak 2 Disember lalu, selain turut disertai beberapa agensi kerajaan lain.

"Saban tahun, ATM terbabit secara aktif dalam operasi sebegini dan sentiasa memantau perkembangan semasa serta bersiap sedia menghulurkan bantuan tambahan dari segi keanggotaan atau aset jika diperlukan," katanya.

Beri mandat

Sementara itu, Hishammuddin turut memberi mandat kepada Timbalannya, Datuk Abdul Rahim Bakri untuk memantau secara dekat perkembangan dan pengurusan bantuan disalurkan ATM kepada mangsa banjir di negeri yang terjejas.

"Saya juga mengarahkan beliau (Abdul Rahim) turut padang ke negeri terbabit untuk melihat sendiri gerak kerja anggota ATM," katanya.

Sementara itu, Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan berkata, perkhidmatan helikopter kini menjadi aset penting bagi menghantar bekalan makanan dan barangan keperluan sumbangan pelbagai pihak di kebanyakan kawasan kerana banjir di lapan daerah di Pahang terus meruncing.

Katanya, empat helikopter milik TUDM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan TLDM di tempatkan di pangkalan udara TUDM bagi mengagihkan semua bantuan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), korporat dan swasta.

Bantuan lewat tidak disengajakan: Bomba

Posted: 07 Dec 2013 03:02 PM PST

Kuala Terengganu: Kelewatan pasukan penyelamat menghantar bantuan ke beberapa lokasi dilanda banjir bukan disengajakan, sebaliknya disebabkan beberapa halangan tidak dapat dielakkan termasuk gangguan bekalan elektrik, selain kesukaran komunikasi.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata pihaknya juga terpaksa menempuhi laluan ke tempat penghantaran bantuan yang ditutup akibat ditenggelami banjir.

Katanya, terdapat juga kenderaan bomba diletakkan di bahu jalan supaya tidak tenggelam, menyebabkan kelewatan bantuan tiba di kawasan memerlukan.

"Ekoran kekangan itu, perjalanan yang sepatutnya singkat akhirnya mengambil masa sehingga dua atau tiga jam untuk sampai.

"Namun, pengurusan bencana di negara ini masih berada di tahap yang baik jika dibandingkan negara lain. Ini berikutan jumlah mangsa terkorban akibat bencana alam itu berada pada tahap minimum, manakala mangsa berjaya diselamatkan pula masih terjaga makan minumnya," katanya selepas merasmikan Konvensyen Bomba Sukarela Zon Pantai Timur dan Selatan di sini, semalam.

Kadar hujan luar biasa

Sementara itu, punca banjir besar di Kemaman selama dua tahun berturut-turut antaranya disebabkan penerimaan kadar hujan luar biasa di daerah itu dalam tempoh tiga hari bermula 2 Disember lalu.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Mat Hussin Ghani berkata, kadar air hujan di daerah itu melebihi 1,000 milimeter (mm) yang dicatat di Stesen Menyukat Air Hujan Ban Ho dan Hulu Jabor di Hulu Kemaman, yang disifatkan amat luar biasa dan terlalu jarang berlaku.

"Kadar itu keberangkalian berlaku hanya sekali dalam tempoh 100 tahun.
Selain itu, punca banjir besar di daerah itu juga kerana pertembungan air laut pasang ketika air sedang naik disertai hujan lebat tanpa henti dalam tempoh tiga hari pada 2, 3 dan 4 Disember lalu," katanya.

MRCB, Bank Rakyat hulur sumbangan

Posted: 07 Dec 2013 02:59 PM PST

gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Mohamad Salim (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Abdul Jalil sambil disaksikan Najib untuk Tabung Bencana NSTP-Media Prima, di PWTC, semalam.

Foto

Mustafha (dua dari kiri) menyerahkan replika cek untuk Tabung Bencana NSTP-Media Prima kepada Mahfar sambil diperhatikan Hasan dan Saliwan (kiri) di PWTC.

Kuala Lumpur: Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) semalam menyerahkan sumbangan RM500,000 kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima bagi membantu mangsa banjir terutama di negeri Pantai Timur.

Sumbangan disampaikan Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohamad Salim Fateh Din kepada Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid sambil disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang turut dihadiri Pengarang Kumpulan BH, Mahfar Ali.

Mohamad Salim berkata, sumbangan itu sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan bagi meringankan beban mangsa bencana terbabit.

Turut menyalurkan sumbangan ialah Bank Rakyat yang menyerahkan zakat RM150,000 yang disampaikan Pengarah Urusannya, Datuk Mustafha Abd Razak kepada Mahfar sambil disaksikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek serta Ketua Pemasaran dan Komunikasi bank berkenaan, Saliwan Zainal.

Orang ramai atau organisasi yang ingin menyumbang, boleh menyalurkannya ke akaun Maybank (514105320757) atas nama Tabung Bencana NSTP-Media Prima. Kiriman cek boleh dihantar kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Aras 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau mana-mana pejabat Media Prima dan NSTP di seluruh negara.

Mangsa banjir meningkat

Posted: 07 Dec 2013 02:58 PM PST

 Mangsa banjir meningkatPengerusi Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi Jabatan Pengarang NSTP, Shahiman Sharip menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir terdiri daripada pemberita dan jurugambar di pekarangan NSTP cawangan Kuantan, semalam.

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di Pahang dan Terengganu terus meningkat akibat hujan berterusan di negeri itu semalam, manakala cuaca di Johor, Kelantan dan Melaka bertambah baik, sekali gus mengurangkan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir.

Di Pahang, jurucakap Bilik Gerakan Banjir, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, sehingga jam 8 malam, Raub menjadi daerah terbaru terjejas berikutan paras air Sungai Pahang naik.

Seramai 39,580 mangsa daripada 10,929 keluarga ditempatkan di 121 pusat pemindahan banjir di sembilan daerah dengan Kuantan mencatatkan peningkatan apabila 34,222 mangsa daripada 9,700 keluarga masih berada di 38 pusat pemindahan.

Pekan pula mencatatkan jumlah 2,887 mangsa daripada 657 keluarga ditempatkan di 26 pusat pemindahan, manakala Temerloh turut mencatat peningkatan apabila 847 mangsa daripada 167 keluarga ditempatkan di 22 pusat pemindahan.

Beliau berkata, daerah Maran pula terdapat 784 mangsa di sembilan pusat pemindahan, diikuti Jerantut mencatat 520 mangsa dipindahkan ke 10 pusat pemindahan dan Bera mencatatkan 106 mangsa ditempatkan di lapan pusat pemindahan.

"Di Lipis, seramai 53 mangsa daripada 11 keluarga berada di empat pusat pemindahan, Rompin (53 mangsa daripada 13 keluarga di empat pusat pemindahan dan seramai lapan orang membabitkan dua keluarga di satu pusat pemindahan banjir di Raub," katanya.

Jalan yang ditutup ialah Kilometer (KM) 28 Jalan Sungai Lembing-Kuantan, KM72 Jalan Kuantan-Segamat, KM62 Jalan Kuantan-Rompin, KM14 Jalan Temerloh-Bahau, Jalan Temerloh-Bera, KM51 Kuantan-Kemaman, KM18 Jalan Triang-Temerloh dan Jalan Benta-Maran.
Di Terengganu, jumlah mangsa meningkat kepada 22,040 orang membabitkan 5,032 keluarga berbanding 7,083 mangsa membabitkan 1,744 keluarga sehingga jam 8 malam semalam.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata, semua mangsa ditempatkan di 63 pusat pemindahan di empat daerah iaitu Dungun, Kemaman, Hulu Terengganu dan Marang.

Katanya, Kemaman mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 18,576 orang daripada 4,177 keluarga di 43 pusat pemindahan berbanding 2,450 mangsa (596 keluarga) dipindahkan ke 31 pusat pemindahan kelmarin.

Dungun menjadi daerah kedua tertinggi mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan iaitu 3,402 orang (837 keluarga) berbanding 4,432 orang membabitkan 1,095 keluarga, kelmarin.

"Di Marang, jumlah mangsa berkurangan kepada 37 orang (13 keluarga) di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Puteh berbanding 44 mangsa (15 keluarga) di dua pusat pemindahan iaitu di SK Jenang dan SK Pasir Puteh, kelmarin," katanya.

Bagaimanapun, bilangan mangsa di Johor menurun apabila hanya 1,241 mangsa masih berada di pusat pemindahan berbanding 1,674 mangsa pada pagi semalam.

Samseng bergerak ganggu PRK

Posted: 07 Dec 2013 02:45 PM PST

Alor Setar: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin terdapat pihak tertentu melatih sekumpulan samseng untuk membuat kacau ketika pilihan raya kecil (PRK) Sungai Limau, baru-baru ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff, berkata kumpulan itu juga bergerak dari satu PRK ke PRK lain dengan tujuan bagi memperlihatkan perjalanan PRK tidak bersih.

Beliau berkata, kebanyakan samseng berkenaan dikesan bukan saja membuat kacau ketika PRK Sungai Limau, malah turut terbabit mengganggu perjalanan PRK di Kuala Besut, Terengganu sebelum ini.

Katanya, keadaan ini juga berlaku ketika Pilihan Raya Umum (PRU), tetapi ia lebih ketara ketika PRK kerana menjadi tumpuan apabila lebih ramai pihak turun ke kawasan terbabit.

Wujud provokasi

"Walaupun SPR berulang kali memberi nasihat terutama kepada parti politik memastikan tiada penyokong cuba berkempen ketika hari pengundian, namun masih berlaku hingga menimbulkan provokasi dan pergaduhan antara penyokong parti terbabit.

"Namun, kita tiada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka kerana ia bidang kuasa polis," katanya selepas jamuan makan malam sempena penyampaian sijil penghargaan kepada pegawai dan petugas PRK Sungai Limau di sini, malam kelmarin.
Abdul Aziz berkata, perjalanan keseluruhan PRK Sungai Limau baru-baru ini adalah baik kecuali insiden membabitkan kes seorang jentera Pemuda PAS mencederakan seorang petugas wanita Barisan Nasional (BN) yang mencemarkan perjalanan PRK berkenaan.

Adakan bedah siasat

Beliau berkata, pihaknya mengadakan bedah siasat selepas sebulan berlangsung PRK bagi mengenalpasti dan mengkaji semula setiap maklum balas pasukan petugas PRK.

"Setiap maklum balas bermula daripada proses penamaan calon, kempen, hari mengundi, pengiraan undi dan pengumuman keputusan pilihan raya akan dikaji sebaiknya bagi memastikan setiap kesilapan yang berlaku tidak berulang pada masa depan," katanya.

Abdul Aziz berkata, pihaknya turut mengesan terdapat campur tangan NGO membantu parti politik tertentu membuat tindakan di luar bidang kuasa mereka.

Katanya, ia termasuk tindakan ketika PRU Ke-13 apabila kumpulan NGO bertindak menahan kenderaan dan orang tempatan yang wajah mereka seperti rakyat asing.

"SPR mempunyai petugas PRK tetapi mereka dilantik untuk memerhati dan memantau proses pilihan raya, bukannya bertindak seperti kumpulan NGO berkenaan yang seolah-olah membantu parti politik tertentu," katanya.

Rakyat Malaysia di Yaman selamat

Posted: 07 Dec 2013 02:44 PM PST

Kuala Lumpur: Semua rakyat Malaysia di Yaman terselamat dalam kejadian serangan bom berani mati di Sana'a pada Khamis lalu, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Bagaimanapun, beliau menasihati mereka mengambil semua langkah perlu bagi menjamin keselamatan diri.

Katanya, Malaysia mengutuk keras pelaku serangan itu yang menjadikan kompleks Kementerian Pertahanan dan hospital tentera di dalamnya sebagai sasaran mereka.

Serangan pengganas itu meragut 52 nyawa dan mencederakan 167 orang.

"Malaysia bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa perbuatan ganas dan hina itu serta kepada kerajaan dan rakyat Yaman," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Anifah berkata, Malaysia mengulangi pendirian tegas bahawa keganasan dalam semua bentuk dan manifestasi, adalah antara ancaman serius terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia menyokong penuh kerajaan sementara di bawah kepimpinan Presiden Abdu Rabu Mansour Hadi dan usaha beliau untuk mewujudkan perdamaian nasional dan dialog di Yaman.
"Malaysia yakin rakyat Yaman akan bersatu hati dan tidak membenarkan tindakan ganas menggagalkan proses peralihan demokrasi ke arah pembaharuan perlembagaan di negara mereka," katanya. - BERNAMA