Serah segera, jangan belasah |
- Serah segera, jangan belasah
- Tun Salahuddin angkat sumpah untuk khidmat satu penggal lagi
- RM2.5 juta setahun kendali 149 PPKK di seluruh negara
- 18,461 MyKad masih belum dituntut di Sarawak
- Masyarakat kini makin sedar kepentingan perangi jenayah
- Liputan secara menyeluruh Sukan SEA di Astro Arena
Posted: 06 Dec 2013 05:18 PM PST by Mahathir Haroun. Posted on December 7, 2013, Saturday Kerjasama orang awam diperlukan cegah jenayah, namun elakkan kekerasan: Polis KUCHING: Biarpun orang ramai dibenarkan menangkap individu yang melakukan kesalahan, namun ia bukan keistimewaan kepada mereka untuk mengambil sebarang tindakan dalam bentuk kekerasan. Pengarah Jabatan Pembanterasan dan Pencegahan Jenayah (JPPJ) Datuk Ayub Yaakob berkata, individu yang ditangkap sepatutnya segera diserahkan kepada polis dan tidak dicederakan. Bagaimanapun, menurutnya, kekerasan hanya boleh dilakukan sekiranya untuk mempertahankan diri atau harta benda awam, namun perlu ada had tertentu. "Kita memang menggalakkan kerjasama masyarakat dalam mencegah jenayah dan membantu kita menyelesaikan jenayah. "Tetapi masyarakat perlu ingat dalam setiap tindakan perlu mematuhi undang-undang. "Sedangkan kita apabila melakukan kekerasan berlandaskan peruntukan undang-undang," katanya pada sidang media di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden seorang pemuda dipukul sehingga mati kerana cuba mencuri duit tabung masjid di Kuala Lumpur, Selasa lepas. Ayub menjelaskan, polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan beliau berharap insiden sama tidak berulang pada masa akan datang. Sementara itu, Mufti Negeri Datu Kipli Yassin berkata, pihak pengurusan masjid tidak boleh mengambil sebarang tindakan berbentuk kekerasan biarpun berlaku kes kecurian di rumah ibadah tersebut. "Sebenarnya orang ramai mengambil sikap sambil lewa terhadap masjid sehingga menyebabkan berlaku kes kecurian," ujarnya. Menurutnya, sepatutnya tabung masjid disimpan dalam keadaan selamat. "Tabung masjid patut disimpan dalam keadaan selamat dan duit (tabung masjid) tidak boleh ditinggal terlalu lama kerana membuka ruang dan peluang kepada berlakunya kecurian," jelasnya. Hadir sama Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Sabtu Osman. To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names. |
Tun Salahuddin angkat sumpah untuk khidmat satu penggal lagi Posted: 06 Dec 2013 05:17 PM PST KUCHING: Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin semalam mengangkat sumpah untuk berkhidmat bagi satu penggal lagi sebagai Yang di-Pertua Negeri. Majlis yang berlangsung di Dewan Lapau, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dimulakan dengan bacaan watikah pelantikan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Tun Salahuddin kemudiannya mengangkat sumpah sebelum menandatangani surat pengisytiharan disaksikan Taib dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Datuk Panglima Richard Malanjun. Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Tun Salahuddin, Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah dan isteri Ketua Menteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib. Tun Salahuddin sebelum ini menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara pada 22 November. Dilahirkan pada 27 Ogos 1921 di Kampung Nangka, Sibu, Tun Salahuddin merupakan Yang di-Pertua Negeri ketiga dari tahun 1977 hingga April 1981 selepas Tun Tuanku Bujang Tuanku Othman. Beliau kemudiannya dilantik buat kali kedua pada tahun 2001 menggantikan Tun Ahmad Zaidi Adruce yang meninggal dunia pada Disember 2000. Turut menyaksikan majlis itu semalam, Speaker DUN Datuk Amar Awang Asfia Awang Nasar, Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom, Menteri Perumahan dan Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong, menteri-menteri kabinet, menteri-menteri muda serta yang lain. To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names. |
RM2.5 juta setahun kendali 149 PPKK di seluruh negara Posted: 06 Dec 2013 05:16 PM PST MIRI: Kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM2.5 juta setahun untuk mengendalikan 149 Pusat Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) di seluruh negara. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, dana tersebut diguna untuk menganjurkan program atau aktiviti PPKK yang menawarkan perkhidmatan sokongan bercorak pencegahan serta perlindungan terutama bagi kanak-kanak yang dianiaya dan diabaikan keluarga. "Ia juga diwujudkan sebagai pusat pembelajaran bagi memenuhi keperluan kanak-kanak yang datang dari golongan keluarga miskin dan pertengahan yang memerlukan tempat belajar lebih selesa. "Ramai yang datang ke PPKK memberitahu mereka tidak mempunyai ruang belajar yang selesa kerana saiz rumah yang kecil dan ditambah bilangan ahli keluarga yang ramai. "Justeru di PPKK, mereka boleh belajar dengan selesa dalam satu kumpulan sambil dipantau seorang penyelia," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke PAKK Bahagian Miri di Bandar Baru Permyjaya di sini, petang semalam. Hadir sama Pengerusi PAKK Miri Jafar Yusuf, Pengerusi PPKK Bahagian Miri, Boniface Julai, ketua-ketua masyarakat serta ibu bapa. Rohani berkata, walaupun menyediakan PPKK, golongan ibu bapa yang bekerja tidak boleh menjadikan faktor kesibukan tugas harian sebagai alasan tidak memberikan kasih sayang dan perhatian sepenuhnya terhadap anak-anak mereka. "Anak-anak yang membesar dengan kasih sayang dan perhatian yang sempurna akan menjadi anak-anak yang berdaya maju, kreatif, inovatif, hebat dan berkarisma. Ini kerana anak-anak pada hari ini akan menjadi penyambung legasi kepimpinan dan transformasi negara," katanya. Selain itu, jelasnya, faktor perubahan zaman sekarang juga menuntut para ibu bapa agar lebih peka terhadap perkembangan dan aktiviti yang dilakukan anak-anak mereka. To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names. |
18,461 MyKad masih belum dituntut di Sarawak Posted: 06 Dec 2013 05:15 PM PST KUCHING: Sebanyak 18,461 kad pengenalan atau MyKad yang tidak dituntut di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak sehingga 3 November lepas. Pengarah JPN Negeri Datu Abu Bakar Mat berkata, bagaimanapun jumlah berkenaan tidak konsisten bergantung kepada Putrajaya, memandangkan sebahagian daripada permohonan kad berkenaan dicetak di sana. Menurut beliau, di Sarawak selain di Kuching, cetakan MyKad hanya dibuat di Miri dan Sri Aman dan akan datang di Sibu yang dijangka beroperasi awal tahun depan. "MyKad yang paling lama tidak dituntut adalah sejak tahun 2010, iaitu dalam empat orang yang tidak berbuat demikian (tuntut). "Pada kebiasaannya, selepas tiga tahun kad terbabit akan dilupuskan, bagaimanapun memandangkan ia pengenalan penting, jabatan terus berusaha mengesan pemohon berkenaan melalui hubungan dengan pelbagai agensi," ujarnya pada majlis wawancara bersama media di pejabat JPN Negeri di sini, semalam. Abu Bakar menjelaskan, antara kerjasama terbaharu ialah dengan Pejabat Residen atau Pejabat Daerah di mana jabatan meminta kerjasama residen atau pegawai daerah menghebahkan perkara itu melalui pertemuan bersama ketua kaum atau tuai rumah. Daripada jumlah keseluruhan MyKad yang tidak dituntut, Kuching merupakan antara yang mencatatkan tertinggi dan masih mempunyai lambakan MyKad sejak tahun 2010. "Meskipun Kuching ada kemudahan dan sebagainya, tetapi ia mencatatkan antara yang tertinggi iaitu 2,372 MyKad serta MyKid tidak dituntut. "Di pejabat kecil kita, tidak banyak yang berlaku misalnya di Lingga iaitu dua kad sahaja yang tidak dituntut, tambahan Lingga berdekatan dengan Sri Aman, maka ramai yang pergi ke sana," jelasnya. Sementara itu, katanya, sejak Januari lepas kira-kira 9,000 MyKad dilaporkan hilang di seluruh negeri dengan alasan biasa ialah kecuaian atau keciciran, selain kes ragut. Bagi kes ragut, ujar Abu Bakar, bilangan laporan kecil berbanding keciciran atau kecuaian dan kompaun yang dikenakan kes ragut juga berbeza daripada dua perkara berkenaan. "Di Sarawak antara cabaran kepada kita dalam menyediakan perkhidmatan ialah dari segi kesedaran masyarakat itu sendiri apabila ada di kalangan mereka yang sudah memohon MyKad tetapi lambat menuntutnya sehingga jabatan mempunyai lambakan kad tidak dituntut," katanya. Selain itu, bagi pendaftaran dokumen pengenalan diri terdapat juga pemohon lewat atau lambat membuat pendaftaran sijil lahir yang akan menyebabkan proses berbeza daripada permohonan biasa. "Ini kadang-kadang boleh menjejaskan pemohon mendapat dokumen dalam masa terdekat kerana kita perlu satu pengesahan atau bukti kukuh sebelum mengeluarkan dokumen," katanya. Abu Bakar menjelaskan, bagi pendaftaran sehari hingga 14 hari selepas kelahiran adalah biasa, manakala tempoh 15 hari hingga 40 hari dikategorikan sebagai lambat dan selepas dari tempoh itu adalah pendaftaran lewat. Pada tahun ini sahaja, kira-kira 2,320 orang yang membuat pendaftaran lewat (bagi mereka yang mendaftar kelahiran selepas 40 hari), bagaimanapun 488 daripadanya berjaya dilaksanakan melalui program 'outreach' atau turun padang oleh JPN Sarawak. To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names. |
Masyarakat kini makin sedar kepentingan perangi jenayah Posted: 06 Dec 2013 05:14 PM PST KUCHING: Hakikat bahawa jenayah kini menjadi kebimbangan utama rakyat Malaysia mencerminkan sikap orang ramai yang semakin sedar tentang kepentingan memerangi jenayah dan mengamalkan pendekatan sifar tolak ansur terhadap jenayah, kata Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye. Beliau berkata, perkembangan ini juga menunjukkan rakyat Malaysia ingin melihat lebih banyak usaha dilakukan bagi menangani jenayah dan mereka tidak lagi memandang ringan tentang perkara itu. "MCPF menyambut baik perkembangan ini dan ingin melihat kebimbangan yang semakin meningkat ini diterjemahkan kepada peningkatan penyertaan orang ramai dalam program pencegahan jenayah serta kegiatan yang dianjurkan yayasan itu. "Sepatutnya, lebih banyak rakyat Malaysia daripada semua kaum melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan pencegahan jenayah di kawasan masing-masing," katanya di sini semalam. Lee berharap lebih banyak rakyat Malaysia melibatkan diri dengan program dan kegiatan pencegahan jenayah anjuran persatuan penduduk, persatuan perniagaan dan pertubuhan bukan kerajaan lain bagi meningkatkan kesedaran mereka tentang langkah yang boleh dan perlu diambil untuk mencegah jenayah. "Objektif akhirnya ialah untuk menyemai atau menyuntik budaya pencegahan jenayah dalam kalangan masyarakat agar tiada sesiapa pun memandang ringan tentang jenayah," katanya. — Bernama To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names. |
Liputan secara menyeluruh Sukan SEA di Astro Arena Posted: 06 Dec 2013 05:11 PM PST KUCHING: Bertepatan dengan misi sebagai Nadi Sukan Malaysia, Astro Arena (Saluran 801) akan membawakan siaran langsung dan liputan menyeluruh Sukan SEA 2013 di Myanmar bermula dari 8 hingga 22 Disember 2013. Para peminat sukan tanah air pasti tidak mahu melepaskan peluang merasai pengalaman tontonan terbaik kerana Astro Arena merupakan satu-satunya saluran yang akan menyiarkan liputan komprehensif Sukan SEA selama hampir 12 jam setiap hari melibatkan atlet tanah air secara langsung terus ke kaca televisyen penonton. Astro Arena selaku kontinjen media terbesar dihantar ke Myanmar akan membawakan liputan Sukan SEA 2013 yang terpantas, terkini, padat dan tepat pada setiap hari kepada para penonton. Di samping itu, para pelanggan Astro juga boleh menyaksikan perjuangan barisan atlet tanah air secara langsung melalui komputer riba, tablet serta telefon pintar pada bila-bila masa dan di mana juga dengan perkhidmatan 'Astro-On-The-Go'. Sila hubungi Sobree di talian 03-9543 6688 ext: 5052 atau 019-545 7445 untuk sebarang maklumat lanjut atau pertanyaan. To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names. |
You are subscribed to email updates from BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |