Misteri kematian 3 beradik

Misteri kematian 3 beradik


Misteri kematian 3 beradik

Posted: 01 Dec 2013 01:29 PM PST

Misteri kematian 3 beradikMAYAT mangsa, Puteri Nurul Akma Rusdi, 3, dijumpai di tali air Kampung Padang Petani, semalam, susulan mangsa tiga beradik yang hilang di Alor Senibong, Alor Setar petang kelmarin. Gambar kecil mangsa (dari kiri), Noor Syafikah Nadia, Nur Izzati Husna dan Puteri Nurul Akma. - Foto Eizairi Shamsudin

Mayat kakak hanya bercoli ditemui 1 kilometer daripada dua adik yang terapung di tali air

Alor Setar: Kematian tiga beradik dari Alor Semela, dekat sini diselubungi misteri apabila mayat kakak mereka ditemui dalam keadaan hanya bercoli, kira-kira 24 jam sebelum mayat dua adiknya pula ditemui terapung dalam tali air 1 kilometer dari situ.

Mayat Noor Syafikah Nadia Rusdi, 14, ditemui tertiarap di kawasan sawah terbiar di pinggir Sungai Tajar, Alor Senibong, lebih 10 kilometer dari rumah mereka di Alor Semela, jam 3.45 petang kelmarin.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 dibentang

Posted: 01 Dec 2013 01:27 PM PST

Kuala Lumpur: Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 Siri 3 akan dibentangkan di Parlimen hari ini.

Menurut kenyataan Ketua Audit Negara semalam, laporan itu adalah mengenai Penyata Kewangan dan Pengurusan Kewangan Tahun 2012 serta aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri.

Menurut kenyataan itu, Jabatan Audit Negara akan memberi taklimat berhubung isu dibangkitkan dalam laporan kepada Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara di Parlimen.

Laporan itu antara lain mengandungi perkara Mengesahkan Penyata Kewangan pihak yang diaudit seperti 419 dari 458 penyata kewangan kerajaan dan agensinya telah diberikan Sijil Audit Tanpa Teguran.

"Sebanyak 23 penyata kewangan diberi Sijil Audit Berteguran kerana ada beberapa piawaian perakaunan yang tidak dipatuhi sepenuhnya.

"Baki 16 penyata kewangan masih dalam proses pengauditan," menurut kenyataan itu.

Laporan Ketua Audit Negara turut menyentuh Prestasi Kutipan Hasil Persekutuan, antara lain Kerajaan Persekutuan telah mengutip hasil berjumlah RM207.9 bilion pada 2012, meningkat RM22.5 bilion berbanding RM185.4 bilion pada 2011.
Pengauditan prestasi

Laporan itu turut menyentuh Pengauditan Prestasi Terhadap Program/Aktiviti/Projek Kerajaan pada Peringkat Persekutuan dan Negeri.

Sebanyak 47 pengauditan prestasi dan 17 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan lagi telah dilaksanakan pada peringkat Persekutuan dan Negeri.

Perbendaharaan Malaysia juga mengeluarkan Laporan Maklum Balas terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2012 Siri 3 dengan ulasan/tindakan oleh ketua perkhidmatan.

Kandungan laporan itu dan sinopsisnya boleh dilayari dalam Laman Web Jabatan Audit Negara di alamat http: //www.audit.gov.my mulai hari ini.

Sebarang pertanyaan lanjut dan pandangan mengenai laporan itu boleh dialamatkan kepada Warkah Untuk Ketua Audit Negara.

Mulai tahun ini, Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri dibentangkan dalam tiga siri dengan Siri 1 dan 2 dibentangkan di Parlimen pada 1 Oktober lalu. - BERNAMA

'Tolak hidupkan komunis'

Posted: 01 Dec 2013 01:25 PM PST

Peguam dibidas cadang aktifkan semula PKM

Kuala Lumpur: Pelbagai pihak menyifatkan cadangan peguam, Darshan Singh Khaira supaya dihidupkan kembali Parti Komunis Malaysia (PKM) adalah usaha untuk menjatuhkan kerajaan secara militan.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Ruslan Kassim, berkata kenyataan biadab yang cuba mengganggu gugat keamanan dan keharmonian negara itu, tidak sepatutnya keluar daripada mulut pengamal undang-undang.

Individu terbabit tidak faham budaya dan sensitiviti masyarakat negara ini. Orang Melayu Islam menolak fahaman PKM, jadi saya minta pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas" Jais Abdul Karim, Presiden GPMS


"Dia sepatutnya faham sistem negara ini menolak ideologi komunis. Saya minta dia cermin dulu muka sebelum mengeluarkan kenyataan sebegitu. Ini adalah usaha halus untuk menjatuhkan kerajaan dan menjadikan negara kembali terjajah.

"Kita minta beliau jangan salah guna kebebasan yang diberikan kerajaan kerana negara ini mempunyai undang-undang," katanya mengulas cadangan Darshan Singh sebagai ahli panel pada sesi perbincangan "Revisiting the Malayan Communist Party" anjuran Parti Sosialis Malaysia (PSM) di sini, semalam. Kenyataannya itu disiarkan sebuah portal berita.

Bagaimanapun, pandangan itu mendapat bantahan Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Dr D Michael Jeyakumar yang turut menghadiri program berkenaan.

Desak ambil tindakan
Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap peguam berkenaan mengikut Akta Hasutan kerana kenyataannya boleh menggugat keamanan negara.

"Bagi saya, individu terbabit tidak faham budaya dan sensitiviti masyarakat negara ini. Orang Melayu Islam menolak fahaman PKM, jadi saya minta pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas," katanya.

Tiga wakil mahasiswa dibenar sertai bahas

Posted: 01 Dec 2013 01:17 PM PST

Kuala Lumpur: Buat julung kalinya, tiga wakil mahasiswa akan diberi peluang berucap membahaskan usul pada Perhimpunan Agung UMNO, tahun ini.

Dua wakil akan membahaskan usul berkenaan pada perhimpunan sayap pemuda dan puteri, manakala seorang lagi pada perhimpunan agung.

Pengerusi Biro Institut Pengajian Tinggi (IPT) UMNO, Datuk Razali Ibrahim, berkata perkara itu sudah mendapat persetujuan Setiausaha Agung parti dan Ahli Majlis Tertinggi (MT).

Semua usul ini nanti dikaji, kemudian (tiga) wakil (mahasiswa) itu akan membahaskannya pada mesyuarat berkenaan" Razali Ibrahim, Pengerusi Biro IPT UMNO


Katanya, satu jawatankuasa kecil akan dibentuk pada peringkat biro itu bagi memilih wakil mahasiswa, selain mengkaji usul sesuai dibawa ke perhimpunan agung dan persidangan sayap.

"Hari ini (semalam), kita menerima 36 usul daripada mahasiswa menerusi Persidangan Mahasiswa Nasional (PEMANAS 2013). Ia membabitkan usul ekonomi, politik, pendidikan dan agama.

Kaji usul

"Semua usul ini nanti dikaji, kemudian (tiga) wakil (mahasiswa) yang dipertanggungjawabkan itu akan membahaskannya pada mesyuarat berkenaan (perhimpunan agung, puteri dan pemuda)," katanya di sini, semalam.
Sebelum ini, hanya seorang wakil mahasiswa diberi peluang membahaskan usul ketika perhimpunan agung iaitu wakil kelab UMNO luar negara.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Mas Ermieyati Samsudin, berkata wakil mahasiswa bertindak sebagai 'suara pelajar' dengan mengutarakan hasrat dan keinginan golongan terbabit, sekali gus akan dibawa kepada perhatian kerajaan.

Katanya, mahasiswa terbabit terdiri daripada setiap wakil institut pengajian tinggi awam yang dipilih oleh jawatankuasa pendidikan parti.

"Tahun ini, kita bawa satu kelainan bagi mendapatkan usul yang mantap dan mapan, bukan saja yang dihujahkan oleh wakil setiap negeri, malah daripada kalangan mahasiswa juga. Bagaimanapun, jumlah sebenar wakil masih belum dapat diputuskan.

"Kita mahu perhimpunan kali ini menjadi medium tepat untuk setiap lapisan perwakilan menyampaikan hasrat yang mereka inginkan dalam UMNO tanpa mengetepikan golongan pelajar," katanya kepada BH.

UiTM Universiti Diraja dibentang

Posted: 01 Dec 2013 01:16 PM PST

Kuala Lumpur: Pengisytiharan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai Universiti Diraja antara perkara dicadang dibentang dan dibahas pada Perhimpunan Agung UMNO 2013.

Cadangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu mahukan UiTM dinaungi Majlis Raja-Raja bagi memastikan peranan universiti itu tidak lagi dipertikai mana-mana parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Timbalan Presiden GPMS, Ezaruddin Abd Rahman, berkata apabila UiTM diletakkan di bawah satu bidang kuasa yang kukuh, usaha memperkasa Bumiputera dalam bidang pendidikan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Perkara ini perlu diberi perhatian kerana UMNO sebagai parti tonggak orang Melayu perlu memenuhi amanat untuk meningkatkan tahap pendidikan bangsa Melayu," katanya.

GPMS antara NGO, golongan profesional dan pihak berkepentingan Melayu yang turut mengambil bahagian dalam memberi input berhubung usul yang akan dibahas anggota perwakilan pada perhimpunan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai hari ini hingga Sabtu.

Ezaruddin berkata, GPMS turut mencadangkan supaya peranan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dikembalikan dalam soal memberi bantuan kewangan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), seperti sebelum wujudnya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).

Kaji bebanan tugas guru
Selain itu, GPMS mahu kajian bebanan tugas guru dibuat kerana wujud dakwaan ramai guru tidak dapat memberi fokus untuk mengajar kerana dibelenggu tugas pentadbiran.

Mengulas tindakan UMNO yang julung kali membuka pintu kepada pihak luar untuk membincangkan usul perhimpunan agung parti itu, beliau berkata sikap inklusif itu membuktikan UMNO serius mendengar suara hati rakyat pada peringkat akar umbi.

Sementara itu, Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) mengusulkan supaya pelajar sekolah kebangsaan mendapat peluang untuk memilih antara aliran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Cambridge O-Levels, seperti yang ditawarkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengerusi PAGE, Datin Noor Azimah Abdul Rahim, berkata isu itu perlu dibentang dan dibahas di atas pentas UMNO bagi memastikan bangsa Melayu mencapai kesamarataan dalam pergerakan sosial serta mampu mendepani cabaran global.

BN pastikan dasar negara adil: PM

Posted: 01 Dec 2013 01:12 PM PST

Melaka Tengah: Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan memastikan semua dasar negara adalah adil dan saksama dengan pengagihan kekayaan serta peluang dalam semua lapangan bersifat inklusif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan mahu setiap masyarakat tanpa mengira sama ada majoriti atau minoriti, dan di wilayah mana sekali pun dapat berasakan masa depan mereka terjamin dan lebih cerah hari ini berbanding semalam.

"Sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi BN, sudah tentu tanggungjawab saya mestilah mendengar pandangan, pendapat, cadangan dan syor yang datang daripada semua parti komponen serta rakyat Malaysia.

"Kalau ada apa-apa kekurangan dan kelemahan, kita perlu melakukan penambahbaikan dan inilah sifat yang saya amalkan," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-67 di sini, semalam.

Perbaiki kaum India

Najib berkata, kesungguhan BN terbukti apabila sebaik saja Pilihan Raya Umum 2008, ia terus melaksanakan proses memperbaiki kedudukan kaum India selepas mendapati mereka memerlukan perhatian serius kerajaan.

Katanya, usaha lebih empat setengah tahun itu berhasil apabila keputusan pilihan raya baru-baru ini menunjukkan sokongan mereka kepada BN semakin pulih.
"Namun begitu, saya belum berpuas hati. Selaku Perdana Menteri, saya lihat masih ada ruang yang boleh dibaiki. Sokongan masyarakat India meningkat tapi belum ke tahap di mana kita boleh berasakan sokongan itu bersikap lebih baik untuk BN.

"Sebab itu, saya anggap ia masih dalam proses pembaikan. Ini tanggungjawab yang perlu dipikul dan digalas oleh saya sebagai Pengerusi BN, rakan-rakan dalam kerajaan BN, lebih-lebih lagi kepemimpinan MIC yang baru dipilih," katanya.

Najib turut mengingatkan masyarakat India mengenai usaha yang sudah dilakukan kerajaan BN dalam membela kaum itu adalah lebih baik berbanding pembangkang.

"Walaupun kita ada rasa tidak puas hati sana sini, tapi pencapaian untuk membela kaum India adalah jauh lebih baik daripada pembangkang.

"Cabar pembangkang jangan cakap saja. Tunjukkan pada mereka, buktikan bahawa BN lebih banyak sumbangan kepada masyarakat India," katanya.

Najib juga berharap kepemimpinan baru MIC diterajui Datuk Seri G Palanivel mampu memacu parti itu ke tahap yang lebih baik.