Wanita gesa kos ambil amah dikurangkan

Wanita gesa kos ambil amah dikurangkan


Wanita gesa kos ambil amah dikurangkan

Posted: 29 Apr 2014 03:10 PM PDT

Kuala Lumpur: Kerajaan diminta menurunkan kos pengambilan pembantu rumah asing selain menubuhkan pusat sehenti untuk memudahkan pelbagai urusan berkaitan pembantu rumah.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata kos yang dikenakan untuk seorang pembantu rumah asing sebanyak RM8,000 adalah tinggi sehingga membebankan rakyat.

Gesa kurang kos

"Kos itu perlu dikurangkan kepada jumlah maksimum RM5,000 saja supaya ia tidak membebankan majikan dan agensi pembantu rumah asing.

"Wanita juga menggesa semua agensi supaya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembantu rumah yang melarikan diri daripada majikan atau yang bermasalah, dalam tempoh kontrak selama dua tahun dengan menggantikannya pembantu rumah baharu tanpa sebarang kos," katanya.

Shahrizat berkata, Wanita menyuarakan rasa bimbang berikutan isu pembantu rumah warga asing melarikan diri berdasarkan aduan yang diterima.

Katanya proses pengambilan pembantu rumah turut dilihat tidak banyak membantu majikan kerana terdapat pelbagai kerenah birokrasi yang menyulitkan.
Bagi mengatasinya, Wanita mencadangkan pusat sehenti ditubuhkan bagi memainkan peranan merekod data pembantu rumah dan majikan bagi memantau perjalanan pembantu terbabit dengan kerjasama imigresen selain menjadi pusat aduan kepada majikan yang berdepan masalah pembantu rumah asing.

MBJB, MPSJ terbaik

Posted: 29 Apr 2014 03:09 PM PDT

Melaka Tenga: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) diiktiraf sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) terbaik di negara ini, apabila masing-masing menerima penarafan Lima Bintang.

Dua PBT itu meraih kedudukan tertinggi menerusi sistem penarafan bintang yang dijalankan sepanjang tahun lalu terhadap 100 PBT di seluruh negara termasuk Perbadanan Labuan dan 24 PBT di Sabah.

Sebanyak 35 PBT mendapat taraf empat bintang termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Manjung, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Daerah Pekan, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan Majlis Daerah Kuala Langat.

Majlis Bandaraya Shah Alam pula diumum memperoleh lima bintang melalui sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan PBT 2013 kerana memartabatkan bahasa kebangsaan di tempat awam.

Jumlah meningkat

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata sistem bintang yang diperkenalkan bagi mengukur tahap kecekapan semua PBT dalam melaksanakan tugas masing-masing, didapati berjaya meningkatkan mutu perkhidmatan.

Beliau berkata, sebanyak 30 PBT di Semenanjung memperoleh bintang yang lebih tinggi, berbanding penggredan pada 2010/2011.
"Bagaimanapun, ada enam PBT didapati turun pencapaian masing-masing, di samping 62 yang mengekalkan kedudukan sama dengan 2010/2011.

"Buat kali pertama sejak program ini dilancarkan, ada yang memperoleh lima bintang iaitu MPSJ dan MBJB," katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan PBT di Hotel Equatorial di sini, malam kelmarin.

Abdul Rahman berkata, antara faktor menyumbang kepada peningkatan prestasi kedua-dua PBT berkenaan adalah komitmen tinggi daripada pengurusan atasan dan kerajaan negeri.

"Ia juga membuktikan kerjasama baik antara kerajaan negeri, PBT dan komuniti dalam usaha meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

‘Jangan beri kera makan elak ancaman’

Posted: 29 Apr 2014 03:06 PM PDT

Chukai: Orang ramai di kawasan terdedah ancaman kera liar, dinasihatkan tidak memberi makan atau membiarkan sumber makanan haiwan liar itu bersepah sekitar rumah.

Pengarah PERHILITAN Terengganu, Yusoff Shariff, berkata orang ramai juga dinasihatkan tidak melakukan provokasi terhadap haiwan terbabit kerana perbuatan itu boleh mencetuskan kemarahan dan serangan haiwan berkenaan.

"Saya minta orang ramai tidak melakukan provokasi terhadap haiwan seperti kera, beruk, beruang dan lain-lain haiwan liar sama ada menggunakan perkataan atau bahasa isyarat.

"Walaupun kera tidaklah ganas tetapi jangan beri makan atau membiarkan makanan di persekitaran rumah kerana ia mengundang haiwan itu naik ke rumah," katanya.

Beliau mengulas kejadian sekumpulan kera menyerang bayi berusia tiga bulan di Kampung Gelugor, Kertih, tengah hari kelmarin, menyebabkan mangsa terpaksa menerima 14 jahitan di dahi akibat digigit.