Tragedi MH370: Harapan jumpa kotak hitam cerah

Tragedi MH370: Harapan jumpa kotak hitam cerah


Tragedi MH370: Harapan jumpa kotak hitam cerah

Posted: 07 Apr 2014 03:14 PM PDT

Isyarat panjang yang dikesan di Lautan Hindi tengah malam Sabtu dan awal pagi Ahad lalu memberi sedikit kelegaan kerana ia konsisten dengan perakam data kotak hitam dan perakam kokpit dalam pesawat.

Ia adalah petunjuk paling kukuh dikesan di kawasan di mana MH370 dilaporkan berakhir, sekali gus diharap dapat menjawab misteri kehilangan pesawat itu sejak 31 hari lalu.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang menyelaras usaha mencari MH370 itu juga menyifatkan penemuan itu sebagai 'yang paling kukuh dan terbaik yang kita dapat dalam tempoh 31 hari'.

"Saya ingin melaporkan satu perkembangan amat menggalakkan yang berlaku dalam tempoh 24 jam lalu. Ocean Shield telah mengesan dua isyarat yang konsisten dengan kotak hitam.

"Dengan perkembangan terbaru ini, kita yakin berada berdekatan dengan di mana kita mahu berada. Kita ada suara audio seperti isyarat kotak hitam," kata Ketuanya, Angus Houston pada sidang media semalam.

Isyarat itu dikesan oleh kapal Ocean Shield yang membawa peralatan mengesan kotak hitam dan merakam dua isyarat panjang sejak tengah malam kelmarin.

TPL rakam dua isyarat
Kedua-dua isyarat dirakam menerusi Towed Pinger Locator (TPL - alat pengesan ping) dalam tempoh kurang 24 jam pada jarak kurang dua kilometer, di lokasi kira-kira 1,650 kilometer ke barat laut Perth.

Isyarat pertama dikesan berlarutan selama dua jam 20 minit sebelum hilang dan diterima semula beberapa jam kemudian apabila Ocean Shield berpatah balik ke kawasan sama. Isyarat kedua dirakam selama 13 minit.

Frekuensi yang direkodkan adalah 33.3 kHz dan berulang setiap saat serta konsisten dengan bateri kotak hitam yang semakin lemah. Frekuensi biasa kotak hitam ialah 37.5 kHz.

Houston berkata, lokasi isyarat itu dikesan mempunyai kedalaman 4.5 kilometer dan Ocean Shield diarahkan terus membuat rondaan untuk mendapat hubungan semula dengan isyarat itu.

"Jika dapat disahkan, kapal itu akan menanda kawasan berkenaan sebelum menghantar Bluefin-2 Autonomous Underwater Vehicle (AUV - kapal selam mini tanpa pemandu) untuk membuat pemetaan lokasi dan mencari objek yang ada kaitan dengan MH370 di dasar laut," katanya.

Perlukan beberapa hari

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pasukannya memerlukan beberapa hari atau minggu sebelum dapat mengesahkan isyarat itu daripada kotak hitam MH370.

Katanya, lokasi isyarat dikesan Ocean Shield dan kapal China, Haixun 01, Jumaat lalu berada dalam kawasan carian yang ditetapkan pasukan penyiasat di Kuala Lumpur walaupun perbezaan jarak kira-kira 600 kilometer.

"Bagaimanapun, kawasan harapan kita sekarang ialah pada kedudukan Ocean Shield, iaitu di bahagian utara kawasan carian," katanya.

Ditanya sama ada beliau optimis dengan perkembangan terbaru itu, bekas Panglima Angkatan Tentera Australia itu berkata:

"Saya lebih optimistik kali ini berbanding minggu lalu".

Sementara itu, Komander Pasukan Petugas Khas Misi Mencari MH370, Komodor Peter Leavy, berkata isyarat akustik dikesan ketika TPL diturunkan sehingga tiga kilometer di bawah permukaan air.

Ocean Shield kini bergerak dalam formasi empat segi dan sudah melakukan lima pusingan di kawasan sama. Lokasi tumpuannya 7.2 kilometer persegi dan setiap pusingan dijangka mengambil masa tujuh hingga lapan jam.

Tragedi MH370: ‘Saya lebih optimistik kali ini’

Posted: 07 Apr 2014 03:13 PM PDT

Tragedi MH370: ‘Saya lebih optimistik kali ini’Hishammuddin ketika sidang media di Hotel Royale Chulan yang turut disertai (dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia (MAS) Ahmad Jauhari Yahya, Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi dan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Rahim Bakri.

Kuala Lumpur: "Saya lebih optimistik kali ini dan meminta semua berdoa agar misi ini berjaya memberikan perkembangan positif.

Memang ia lebih meyakinkan tapi saya perlu berhati-hati dalam memberi kenyataan.

"Kita berada dalam keadaan yang sangat tertekan kebelakangan ini berikutan dengan penemuan pelbagai petunjuk, tetapi lazimnya petunjuk baharu lebih meyakinkan," kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Pandangan Menteri Pertahanan itu dianggap petanda positif, sekali gus melahirkan harapan baru untuk melihat misi itu mencapai kejayaan.

Cari kotak hitam

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan, berkata Malaysia akan mematuhi peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dalam menentukan hak siasatan ke atas kotak hitam jika ia berjaya ditemui kelak.

"Saya telah mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail pagi tadi (semalam) dan memutuskan untuk mengikut apa yang ditetapkan ICAO.
"Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan kemudian tetapi fokus utama kita ialah untuk mencari dan mendapatkan kotak hitam itu terlebih dahulu," katanya dalam sidang media semalam.

Sementara itu Hishammuddin tidak mampu menahan sebak ketika mendengar luahan ahli keluarga penumpang pesawat MH370 semalam.

Beliau yang hadir sebagai tetamu Buletin Utama kelihatan mengesat mata, apabila bapa Norli Akmar, Sarjan Hamid Ramlan, merayu agar operasi mencari diteruskan sehingga jawapan kepada misteri kehilangan pesawat MH370 terjawab.

Hishammuddin dalam reaksinya, memberi jaminan operasi akan diteruskan tanpa mengira halangan walaupun hanya Malaysia sahaja yang meneruskan usaha itu.

Banyak negara hulur bantuan

"Operasi mencari MH370 sangat istimewa kerana membabitkan banyak negara, malah ada negara yang kurang kelengkapan seperti New Zealand turut menghulur bantuan pesawat PC3 Orion kerana menghargai bantuan Malaysia ketika gempa bumi di Auckland.

"Setiap pagi apabila bangun dan lihat balik apa yang sudah kita dilakukan, saya mendapat semangat baru bagi melihat ke hadapan dan berharap semua anggota yang terbabit meneruskan usaha mencari," katanya.

Jambatan ketiga perkukuh persahabatan

Posted: 07 Apr 2014 03:12 PM PDT

Putrajaya: Malaysia dan Singapura bercadang membina Jambatan Persahabatan bagi mengukuh dan mengeratkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata cadangan pembinaan jambatan ketiga itu adalah inisiatif jangka panjang antara kedua-dua negara.

"Dalam pertemuan hari ini (semalam) dua inisiatif baharu dibincangkan termasuk cadangan pembinaan Jambatan Persahabatan ini, yang dilihat mampu menambahbaik perhubungan jalan raya antara Malaysia dan Singapura, memperbaiki persekitaran selain sebagai simbol negara berjiran.

Inisiatif jangka panjang

"Namun ia masih dalam peringkat cadangan dan belum ada apa-apa keputusan muktamad.

Ia antara inisiatif jangka panjang yang akan membantu memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara berjiran," katanya.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Lima kementerian dipanggil

Posted: 07 Apr 2014 03:01 PM PDT

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil lima kementerian dan beberapa agensi bagi memberi penjelasan berhubung pelbagai isu berbangkit dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri I.

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata ia membabitkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), manakala agensi kerajaan pula termasuk Jabatan Kerja Raya dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Kami juga minta penjelasan KWSP kerana Jabatan Audit mendapati prestasi pelaburan mereka meningkat setiap tahun dan PAC perlu lihat rancangan KWSP untuk mengurangkan risiko terutama membabitkan aktiviti pelaburan di luar negara," katanya.

Ketirisan bayaran

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PAC berhubung laporan berkenaan di Parlimen semalam, beliau berkata, antara isu perlu diberi penjelasan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani termasuk projek pembangunan Empangan Paya Peda di Besut, Terengganu.

Katanya, projek bernilai RM343.55 juta diberi kepada sebuah syarikat secara rundingan terus itu gagal disiapkan mengikut jadual tahun lalu, manakala isu membabitkan Kementerian Kesihatan pula berkaitan perolehan aset, penyimpanan rekod, pengurusan program dan peralatan perubatan yang menyebabkan berlaku ketirisan dari segi bayaran.

"Kementerian Kerja Raya pula perlu memberi penjelasan mengenai pembinaan Kompleks Mahkamah Kuantan yang baharu, pengurusan pangkalan marin dan pembinaan Politeknik Banting di Selangor.
"KDN akan diminta menjelaskan isu pembelian kasut dan pakaian seragam RELA bernilai RM17 juta yang didapati melanggar syarat perolehan," katanya.

Bagi Kementerian Pendidikan, ia diminta menjelaskan pencapaian fizikal dan prestasi kewangan bagi projek di bawah Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) di institusi pengajian tinggi awam yang membelanjakan peruntukan tinggi, namun tiada kertas kerja dikeluarkan.

"Mereka belanjakan RM300 juta dan mahu tambah peruntukan kepada lebih RM1 bilion.

Ini pembaziran dan contoh ketirisan, bukan rasuah kerana tiada yang pertikai tindakan mereka," katanya.

PTPTN perlu tingkat pengurusan pinjaman

Posted: 07 Apr 2014 02:56 PM PDT

Kuala Lumpur: Ketua Audit Negara mengesyorkan agar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mempertingkatkan pengurusan sistem pinjaman/pembiayaan pendidikannya yang secara keseluruhan kurang memuaskan.

Syor dibuat dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 itu berdasarkan pengauditan antara April dan Julai 2013 yang mendapati PTPTN gagal melaksanakan 'Education Loan Management System' (ELMAS) secara menyeluruh.

Menurut laporan dibentang di Dewan Rakyat semalam, bahagian penyenggaraan pinjaman seperti permohonan lanjutan tempoh pembayaran, penangguhan dan pengecualian bayaran balik dilaksana menerusi Sistem Pengurusan Kutipan Balik (e-UPKB) yang tidak berintegrasi dengan ELMAS dan 'Islamic Education Loan Management System' (ELMAS-i).

Selain itu, capaian logikal ELMAS dan ELMAS-i juga lemah kerana tidak mempunyai ciri keselamatan dengan Pengenalan Pengguna dan kata laluan yang dibangunkan oleh PTPTN terlalu ringkas.

Audit juga mendapati 'data cleansing' ELMAS dan ELMAS-i tidak dilaksana sepenuhnya sehingga wujud pertindihan rekod dalam jadual pinjaman.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

BPPB Hospital Angkatan Tentera tak patuh arahan

Posted: 07 Apr 2014 02:54 PM PDT

Kuala Lumpur: Perolehan 92 bekalan perubatan pakai buang (BPPB) di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di sini tidak mematuhi peraturan kewangan ditetapkan.

Laporan Ketua Audit Negara 2013 mendapati penghantaran BPPB melalui 92 nota hantaran telah dilakukan secara terus daripada pembekal kepada Jabatan Bedah tanpa membabitkan Stor Perubatan seperti mana ditetapkan.

"Penerimaan peralatan ini telah ditandatangani Pegawai Penyelia dan pegawai lain di Dewan Bedah. Semakan Audit mendapati tidak ada bukti pegawai itu diberi kuasa untuk menerima peralatan yang dibekalkan dan menandatangani dokumen penerimaan.

"Memandangkan proses perolehan yang tidak mengikut prosedur ditetapkan, Audit mendapati nota hantaran yang dikemukakan oleh pembekal tidak mempunyai nombor pesanan kerajaan.

"Mengikut penjelasan pegawai berkaitan di hospital itu, permohonan dibuat melalui panggilan telefon dengan alasan keperluan mendesak.

Ketiadaan nombor pesanan ini menyukarkan semakan terhadap pembayaran oleh Unit Belanjawan," menurut laporan itu.

Berikutan itu, Audit tidak dapat memastikan sama ada bekalan itu telah dibuat malah tidak dapat diketahui kos dan lokasi penyimpanan peralatan.
Ia juga mendapati Wad Burn and Nuclear Biological and Chemical dan Wad Female Multi Dental, Opthalmology belum beroperasi walaupun hospital itu mula menjalankan perkhidmatannya pada 2009.

"Wad yang tidak beroperasi ini menyebabkan peralatan seperti katil, tilam dan Central Monitoring System bagi memantau pesakit tidak digunakan," menurut laporan itu.

Audit turut mendapati kelengkapan yang ditempatkan di ruang jururawat telah rosak.

Laporan itu turut menyebut penerimaan peralatan perubatan di HAT Tuanku Mizan dan HAT Wilayah Kota Kinabalu tidak diuruskan dengan sempurna.

Semakan Audit mendapati tiada ruang disediakan dalam Borang Permoho - nan Perolehan untuk menunjukkan baki semasa stok dalam simpanan. BERNAMA