2 aset Britain sertai operasi |
- 2 aset Britain sertai operasi
- MH370: 'Hidup saya bagai boneka'
- Gesa ROS percepat siasatan CEC DAP
- Syor DAP naik tarif air didik rakyat tak wajar
Posted: 02 Apr 2014 05:10 PM PDT Kuala Lumpur: Usaha mencari pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) semalam, diperhebatkan dengan penyertaan baru aset ketenteraan milik Tentera Laut Diraja Britain, HMS Tireless, yang mampu beroperasi dalam semua situasi di selatan Lautan Hindi. Kapal selam berkuasa nuklear Kelas Trafalgar dengan keupayaan menyelam lebih 600 meter itu, dilengkapi sistem sonar yang mampu mengesan isyarat dikeluarkan kotak hitam, jika berada di dasar lautan. Kecanggihan teknologi pada dua aset itu berikutan keupayaan masing-masing menilai persekitaran dasar lautan, diharap dapat membantu mengoptimumkan operasi mencari kotak hitam MH370. Ini kerana HMS Tireless dilengkapi Sonar 2076, iaitu sonar pelbagai guna termasuk jenis aktif dan pasif dengan lebih 13,000 hidrofon, yang mampu mengesan objek bergerak atau pegun dalam radius seluas 96 kilometer. Kotak hitam yang merekodkan data penerbangan dan komunikasi kokpit pesawat, boleh merungkai misteri kehilangan MH370, mengeluarkan isyarat ultrasonik menggunakan bateri yang bertahan selama 30 hari. Ini bererti tempoh hayat bateri kotak hitam terbabit hanya berbaki lima hari lagi. Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/ |
MH370: 'Hidup saya bagai boneka' Posted: 02 Apr 2014 05:02 PM PDT Jitra: "Sejak kejadian itu, saya hanya mampu jamah sedikit makanan, selera makan sudah hilang. Bila nak tidur waktu malam pula, air mata tak henti-henti mengalir kerana teringatkannya," kata Tan Giat Hua, 68. Ketika ditemui di rumahnya di Taman Rasa Sayang, di sini semalam, ibu kepada Jee Jing Hang, 41, seorang daripada penumpang pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, mengakui dirinya kini tidak ubah seperti boneka hidup. "Kini televisyen jadi teman setia kerana saya takkan terlepas menonton berita dengan harapan ada khabar gembira mengenai Jing Hang," katanya. Kesihatan merosot Giat Hua berkata, ahli keluarga termasuk kakaknya, Ah Ngo, 74, sedar keadaan kesihatannya merosot dan mereka sering berkunjung ke rumahnya bagi memberikan semangat. Mengakui kesihatannya semakin merosot, wanita itu berkata, beliau juga tidak akan sesekali menganggap anaknya sudah meninggal dunia kerana naluri keibuannya menyatakan Jing Hang masih hidup. Tak kisah tanggapan orang "Saya tak kisah apa tanggapan orang, yang penting kami sekeluarga takkan sesekali mengadakan upacara sembahyang kematian selagi tiada bukti kukuh Jing Hang sudah tiada. "Kami hanya buat upacara sembahyang beberapa kali seminggu, supaya Jing Hang pulang dengan selamat," katanya. Katanya, masyarakat Tionghua di kawasan itu menganjurkan upacara berkenaan dari semasa ke semasa di rumahnya bagi mendoakan keselamatan Jing Hang, selain memohon supaya pesawat itu dapat ditemui secepat mungkin. |
Gesa ROS percepat siasatan CEC DAP Posted: 02 Apr 2014 05:01 PM PDT Putrajaya: Pendaftar Pertubuhan (ROS) digesa segera melengkapkan siasatan yang sudah berlarutan hampir setahun berhubung dakwaan penipuan dan penyelewengan dalam pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP. Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi di Seremban, A David Dass, berkata ROS perlu segera membuat keputusan berikutan status parti itu di bawah Akta Pertubuhan 1966, masih tidak diketahui. Beliau berkata demikian kepada media selepas menyerahkan memorandum kepada ROS di sini, semalam. Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) yang juga bekas ahli DAP, Rahmad Ishak; bekas Ketua DAP Cawangan Bagan Luar, Butterworth, G Asoghan dan Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao turut hadir. Notis larang DAP buat keputusan Pada 17 April tahun lalu, ROS mengeluarkan notis arahan melarang DAP daripada membuat sebarang keputusan, susulan pemilihan CEC parti itu pada 15 Disember 2012, yang didakwa wujud penyelewengan apabila berlaku kesilapan pengiraan undi selain gagal memberi notis kepada 753 perwakilan sah dan layak mengundi. Sementara itu, Rahmad menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bertanggungjawab terhadap ROS supaya campur tangan mengambil tindakan drastik dan segera untuk menyelesaikan isu terbabit. Rahmad turut mendesak Karpal Singh meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Bukit Gelugor, bukan setakat jawatan pengerusi dan ahli CEC DAP selepas dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mac lalu atas kesalahan mengeluarkan kenyataan menghasut terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. "Karpal melepaskan sementara jawatannya sehingga keputusan rayuan kes beliau dibuat oleh Mahkamah Rayuan, kononnya atas dasar menzahirkan integriti, tapi ia dilihat seolah-olah memperlekehkan kuasa ROS. Jadi, kita mahu ROS putuskan secepat mungkin, nyatakan pendirian," katanya. |
Syor DAP naik tarif air didik rakyat tak wajar Posted: 02 Apr 2014 05:00 PM PDT Georgetown: Cadangan Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk menaikkan tarif air bagi menangani masalah penggunaan air di negeri itu yang terus mencatatkan kadar tertinggi di negara ini, disifatkan sebagai tidak wajar. Ini kerana, ia bukan sahaja membebankan rakyat, tetapi juga memberi kesan negatif kepada ekonomi negeri. "Kami sudah tertekan dengan levi hotel yang diumumkan oleh Ketua Menteri (Lim Guan Eng) tahun lalu, dan kami (mungkin) terpaksa berdepan dengan kenaikan tarif air. "Kenaikan ini pasti mempunyai kesan limpahan ke atas pelbagai perniagaan lain dan akhirnya pengguna paling terjejas," katanya. Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak, berkata tindakan itu adalah penganiayaan terhadap rakyat yang berdepan pelbagai tekanan akibat kenaikan kos sara hidup. Rakyat terjejas "Air adalah keperluan asas. Jika berlaku kenaikan, sudah pasti rakyat terutama golongan berpendapatan rendah iaitu bawah RM3,000 akan merasai kesannya," katanya. Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir, berkata tindakan itu kononnya bagi membendung sikap membazir air dalam kalangan rakyat negeri ini adalah alasan yang tidak boleh diterima. "Kerajaan negeri patut mencari kaedah lain untuk menambah pendapatan, bukan meletakkan tanggungjawab itu di bahu rakyat dengan menaikkan kadar tarif air. "Sebelum ini, Guan Eng mengutuk tindakan Kerajaan Pusat yang kononnya membebankan rakyat dalam isu kenaikan minyak, barangan keperluan dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), hakikatnya, beliau menggunakan pendekatan sama dalam pentadbirannya," katanya. Bendung pembaziran air Terdahulu, Guan Eng pada sidang medianya di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, memaklumkan mesyuarat EXCO kerajaan negeri semalam, memberi kebenaran kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) untuk menjalankan kajian mengenai kenaikan tarif air. Katanya, ia sebagai langkah terakhir bagi mengurangkan penggunaan air di Pulau Pinang yang mencatatkan kadar tertinggi di Malaysia. "Langkah pendidikan dan surcaj pemuliharaan air (WCS) yang dikenakan sebagai hukuman ke atas pengguna sebelum ini gagal membendung sikap pembaziran air di negeri ini. "Walaupun tidak rela, kami menerima permintaan PBAPP untuk mengkaji menaikkan tarif air sebagai langkah mengurangkan penggunaan air," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |