Pesta liar inap desa

Pesta liar inap desa


Pesta liar inap desa

Posted: 20 Apr 2014 03:42 PM PDT

gambar sebelum  gambar berikut

Foto

Foto

Remaja yang ditahan dalam pesta liar di sebuah rumah banglo yang dijadikan inap desa di Jalan Masjid Negeri, di sini awal pagi semalam. - Foto Hadzlihady Hassan

Georgetown: Enam puluh daripada 88 individu yang ditahan dalam satu pesta dadah dan arak di sebuah banglo yang disewa di Jalan Masjid Negeri, di sini semalam, direman empat hari untuk siasatan.

Mereka antara kumpulan 50 lelaki dan 38 wanita berusia 16 hingga 35 tahun termasuk 15 pelajar yang memenuhi kediaman inap desa itu, kononnya menghadiri sambutan hari jadi seorang ahli perniagaan sebelum majlis bertukar menjadi pesta liar apabila kebanyakan pengunjung mengambil syabu, ganja dan minuman keras.


60 positif dadah

Semua yang ditahan dalam operasi kira-kira jam 2.45 pagi itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut sebelum hasil ujian awal air kencing mendapati 60 daripada mereka, membabitkan 35 lelaki dan 25 wanita, positif dadah dan direman untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Malaysia model, peneraju sistem kewangan Islam

Posted: 20 Apr 2014 03:36 PM PDT

 Malaysia model, peneraju sistem kewangan IslamPERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia di Dewan Utama Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Kota Bharu, semalam. Turut hadir (dari kiri) Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman. - Foto Fathil Asri

Kota Bharu: Malaysia kini menjadi model, peneraju dan pelopor utama dalam agenda memartabatkan sistem kewangan berasaskan syariah di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata malah negara mendapat pengiktirafan terbaharu daripada Bank Dunia yang bercadang membuka cawangan pejabatnya di Malaysia dengan meletakkan satu objektif utama menimba pengalaman dan pengajaran dari Malaysia dalam membangunkan sistem kewangan Islam.

"Sehingga hari ini, Malaysia masih kekal sebagai peneraju global dalam pasaran sukuk antarabangsa dengan nilai penerbitan sukuk melebihi RM267.02 juta pada 2013 iaitu 68.8 peratus daripada jumlah penerbitan sukuk di peringkat antarabangsa.

Pertumbuhan hebat

"Malah aset perbankan Islam juga menunjukkan pertumbuhan hebat sehingga mencapai 16.5 peratus dengan penguasaan pasaran 25.7 peratus daripada jumlah keseluruhan aset sistem perbankan pada 2013.

"Jumlah urus niaga berasaskan mata wang asing yang diurus niaga di Bank Islam Antarabangsa juga meningkat kepada RM18.1 bilion pada 2013 berbanding RM14.6 bilion pada 2012. Angka ini memberi indikasi penting bahawa urus niaga kewangan Islam berpandukan syariah kini semakin mendapat tempat dalam masyarakat, bukan saja negara bahkan peringkat antarabangsa," katanya.
Beliau berucap ketika merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2014 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini, semalam.

Prinsip Maqasid al-Syariah

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Najib berkata, teras agenda pembangunan negara adalah berpandu kepada prinsip Maqasid al-Syariah atau Matlamat Syarak yang juga sebahagian tuntutan Islam.

Perdana Menteri berkata, pelaburan dan perancangan kewangan adalah dimensi penting dalam agenda transformasi dan pembangunan ekonomi negara.

Beliau berkata, satu daripada tuntutan Islam terutama dalam merealisasi falsafah dan prinsip Maqasid al-Syariah selain pemerkasaan dan pemeliharaan agama, akal dan keturunan adalah aspek pemeliharaan dan pengurusan harta.

Najib berkata, memahami hakikat inilah kerajaan mempelopori inisiatif pemerkasaan muamalah Islam dengan membangunkan sistem perbankan dan kewangan berasaskan prinsip syariah dengan bebas daripada unsur yang diharamkan seperti riba, gharar (ketidakpastian) dan maisir (judi).

Misi Bluefin-21 meliputi 50 peratus kawasan

Posted: 20 Apr 2014 03:32 PM PDT

 Misi Bluefin-21 meliputi 50 peratus kawasanGambar yang diedarkan Jabatan Pertahanan Australia menunjukkan Evan Tanner dan Chris Minor memeriksa dron laut dalam, Bluefin-21 di atas kapal Ocean Shield sebelum meneruskan pencarian kotak hitam pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi. - Foto AFP

Perth: Dron laut dalam (AUV) Bluefin-21 telah melakukan pencarian di sebanyak 50 peratus kawasan yang difokuskan bagi mengesan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), berkata kawasan pencarian yang diberi fokus itu adalah satu bulatan dengan radius 10 kilometer (km) di sekeliling tempat isyarat kedua dikesan alat pengesan ping pada 8 April.

Tiada sebarang petunjuk

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang petunjuk berkaitan pesawat itu berjaya dikesan, kata JACC dalam kenyataan, di sini semalam.

Agensi yang menyelia operasi mencari itu berkata Bluefin-21 memulakan misi kelapannya sejurus selesai misi ketujuh pada waktu pagi. Sabtu lalu agensi itu berkata AUV berkenaan melakukan pencarian di kawasan seluas kira-kira 133km melalui misi keenamnya.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika menafikan laporan media bahawa pencarian dalam air akan mengambil masa enam minggu hingga dua bulan untuk diselesaikan, berkata kawasan mencari yang menjadi tumpuan Bluefin-21 ketika ini akan dapat diliputi sepenuhnya minggu depan.
Beliau berkata, kini adalah masa yang tepat bagi pihak yang terbabit dalam operasi mencari pesawat itu menimbang dan berbincang mengenai penggunaan kapal selam.

Bluefin-21 mula digunakan Isnin lalu bagi mengesan serpihan pesawat berkenaan selepas tiada lagi isyarat dikesan alat pengesan ping sejak 8 April.

AUV menggunakan alat akustik untuk menghasilkan peta tiga dimensi dasar laut dan mengambil masa sekurang-kurangnya 24 jam untuk menyelesaikan setiap misinya, termasuk empat jam memuat turun data yang dikumpul.

Mencari secara visual

Kenyataan itu berkata usaha mencari secara visual pada Ahad membabitkan 11 kapal terbang tentera dan 12 kapal.

"Cuaca diramalkan hujan di sana-sini, ribut petir di sesetengah tempat dan tiupan angin arah tenggara," kata agensi itu.

MH370 bersama 239 kru dan penumpang hilang daripada radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 tengah malam. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

BERNAMA

Keluarga tak setuju perisytiharan kematian

Posted: 20 Apr 2014 03:26 PM PDT

Shah Alam: Keluarga penumpang MH370, Suhaili Mustafa tidak bersetuju dengan cadangan mengumumkan bahawa tiada penumpang pesawat yang selamat.

Abang kepada Suhaili, Mohamad Nizam Mustafa, 42, berkata tidak masuk akal untuk pihak berkuasa mengeluarkan sijil kematian, sedangkan tiada sebarang bukti kukuh menunjukkan semua krew serta penumpang MH370 meninggal dunia.

"Sehingga kini, keluarga masih menaruh harapan tinggi untuk Suhaili pulang selamat, berikutan tiada bukti menyatakan mangsa ditemui mati.

"Kami masih keliru dengan status mangsa nahas MH370 dan tidak bersedia mengisytiharkan kematian Suhaili... keluarga masih berharap kepulangannya. Perkara ini tidak boleh dilakukan kerana pencarian pesawat masih belum berakhir," katanya.

Keluarga tak terima tawaran

Nizam berkata, mereka sekeluarga membuat keputusan untuk tidak akan menerima tawaran Jawatankuasa Waris Penumpang MH370 bagi mengeluarkan sijil kematian Suhaili.
"Malah, kami sekeluarga juga tidak melakukan sebarang tuntutan berhubung tawaran pembiayaan perlindungan insurans, mahupun tawaran lain yang diberikan kepada Suhaili selagi tiada sebarang bukti kukuh berhubung perkara ini," katanya.

Status penumpang, kru diumum masa terdekat

Posted: 20 Apr 2014 03:24 PM PDT

Status penumpang, kru diumum masa terdekatAhli keluarga penumpang dan kru MH370 berkumpul untuk mendengar taklimat terkini berhubung tragedi pesawat berkenaan di Kuala Lumpur, semalam.

Kuala Lumpur: Pengumuman status penumpang dan anak kapal MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu akan ditentukan dalam masa terdekat sejurus memperoleh pengesahan daripada pakar berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Waris Penumpang MH370, Datuk Hamzah Zainuddin, berkata ketetapan akan diputuskan selepas memperhalusi pelbagai aspek.

Beliau juga berkata, kehidupan waris yang tinggal perlu diteruskan walaupun pada hakikatnya sukar menerima kehilangan orang tersayang secara tragik.

"Saya sangat faham rasa tertekan dan sedih yang ditanggung waris penumpang dan anak kapal. Secara peribadi saya berjanji, jawatankuasa akan melakukan apa saja yang perlu dalam membantu mereka meneruskan kehidupan," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Pelbagai pendekatan

Hamzah yang juga Timbalan Menteri Luar berkata, pelbagai pendekatan diambil bagi memastikan Jawatankuasa Waris Penumpang sentiasa membantu menyalurkan perkembangan terkini kepada semua keluarga terbabit termasuk kerjasama rapat dengan agensi berkaitan.

Langkah itu termasuk melantik Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai wakil khas Malaysia untuk sebarang sesi perbincangan bersama Kerajaan China.
"Perbincangan rapi bersama kerajaan China adalah antara usaha kita bagi memastikan hubungan bilateral dua negara tidak terjejas akibat tragedi berkenaan," katanya.

Ditanya mengenai kedudukan keluarga dari China yang masih enggan menerima penjelasan kerajaan berhubung insiden itu, Hamzah berkata ia sudah dijangka berikutan keadaan kejadian yang sukar dicerna secara logik.

"Sudah 44 hari kita cuba mencari kepastian lokasi pesawat yang hilang itu dan ia menjadi pertanyaan semua orang sama ada waris penumpang dan anak kapal, kerajaan atau penduduk dunia.

Maklumat disahkan pakar

"Sebab itu kalau mereka tidak percaya apa yang kita maklumkan, kita semua kena faham sebab memang susah. Maklumat yang kita beri ialah yang kita terima selepas disahkan oleh pakar," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, urusan pemergian dan bilangan waris ke lokasi kejadian dihadkan kepada jumlah tertentu untuk memastikan proses berjalan lancar.

"Kita sudah terima semua maklumat berkaitan waris penumpang tapi ada sedikit masalah untuk mendapatkan wakil mereka. Kita tak mahu terlalu ramai, memadai satu atau dua orang saja tapi seperti biasa bila ada kejadian seperti ini, yang tak patut juga ada di sana," katanya.

Sokong syor anak kapal jalani ujian psikologi

Posted: 20 Apr 2014 03:24 PM PDT

Kuala Lumpur: Pengerusi Institusi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye menyokong cadangan supaya semua anak kapal pesawat awam menjalani ujian psikologi sebagai sebahagian daripada ujian perubatan tahunan.

Beliau berkata, cadangan oleh Persatuan Juruterbang Malaysia (MPO) itu seiring dengan kepentingan sektor berkenaan dan kesan kepada penumpang secara keseluruhan.

"Jika sebelum ini, hanya ujian perubatan tahunan sahaja membabitkan anak kapal tetapi wajar mempertimbangkan supaya ujian psikologi dan mental dilakukan kepada anak kapal berikutan keperluan semasa.

"Sebagai Pengerusi NIOSH, saya menyokong penuh cadangan untuk ujian psikologi yang jika perlu dilakukan setiap tahun," katanya kepada BH, semalam.

Lam Thye mengulas cadangan Presiden MPO, Kapten Ab Manan Mansor kelmarin supaya semua anak kapal menjalani ujian psikologi sebagai sebahagian daripada ujian perubatan tahunan.

Ab Manan mencadangkan ujian psikologi perlu dijalankan serentak dengan ujian perubatan tahunan.

Patut diperluas
Dalam pada itu, Lam Thye berkata, ujian psikologi juga patut diperluaskan kepada pemandu pengangkutan awam lain seperti bas dan feri yang bertanggungjawab membawa penumpang yang ramai.

"Ujian psikologi ini boleh dilakukan oleh syarikat bas dan feri memandangkan ia membabitkan keselamatan penumpang, selain mampu mengemas kini rekod perubatan pemandu pengangkutan awam," katanya.