Perkongsian komprehensif

Perkongsian komprehensif


Perkongsian komprehensif

Posted: 27 Apr 2014 03:22 PM PDT

Perkongsian komprehensif

Lebih banyak kerjasama dalam fasa baharu hubungan Malaysia, AS

Putrajaya: Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) sepakat untuk meningkatkan hubungan dua hala yang sedia ada kepada perkongsian komprehensif, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Langkah itu, katanya, menandakan fasa baharu dalam hubungan kedua-dua negara dan akan menyaksikan lebih banyak kerjasama dari segi ekonomi, keselamatan, pendidikan, sains, teknologi dan bidang lain.

"Kami juga memutuskan untuk meningkatkan lagi peranan Dialog Pegawai-Pegawai Kanan sebagai forum utama bagi perbincangan peringkat tinggi.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

PNB sedia khidmat pelabur seawal usia enam bulan

Posted: 27 Apr 2014 03:15 PM PDT

Kota Bharu: Model Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengandungi lima elemen penting termasuk syarat menjual balik unit saham dengan serta-merta tanpa dikenakan had.

Pengerusinya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata elemen kedua mengenai dasar yang membolehkan segenap lapisan masyarakat melabur, kerana ia bukan saja boleh disertai golongan berpendapatan tinggi dan sederhana, sebaliknya rakyat miskin juga boleh menyertainya.

Katanya, elemen ketiga pula berkaitan kemudahan urus niaga unit amanah saham PNB menerusi 28 pejabat cawangan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan lebih 1,600 rangkaian ejen di seluruh negara.

Elemen terakhir adalah PNB menyediakan perkhidmatan pelaburan sepanjang hayat dan menjadi satu institusi di dunia yang memberi perkhidmatan kepada pelabur mulai daripada usia enam bulan hingga ke akhir hayat," Ahmad Sarji, Abdul Hamid Pengerusi PNB


"Elemen keempat mengenai dasar dan strategi PNB mewujudkan pengumpulan harta yang menjamin pendapatan tinggi.

"Elemen terakhir adalah PNB menyediakan perkhidmatan pelaburan sepanjang hayat dan menjadi satu institusi di dunia yang memberi perkhidmatan kepada pelabur mulai daripada usia enam bulan hingga ke akhir hayat.

"PNB juga menyediakan perkhidmatan perwarisan harta pusaka berkaitan unit amanah saham melalui Hibah Amanah (pelabur beragama Islam) dan Perisytiharan Amanah (pelabur bukan Islam)," katanya.

Pelaburan lebih 2 bilion unit
Beliau berkata, dengan memperkenalkan perkhidmatan pengurusan harta pusaka, harta milik pelabur yang meninggal dunia terus berkembang kepada waris mereka atau orang yang dikehendaki.

"Sehingga 24 April ini, pendaftaran hibah amanah mencatatkan 3,957 peserta dengan jumlah pelaburan 1.44 bilion unit, manakala pengisytiharan amanah seramai 2,067 peserta dengan jumlah pelaburan 562 juta unit.

"Secara keseluruhan, seramai 6,024 peserta sudah mendaftar dalam kedua-dua perkhidmatan ini dengan membabitkan pelaburan berjumlah lebih 2 bilion unit. Saya percaya model PNB ini membawa manfaat bagi kepentingan umum," katanya pada Majlis Penutupan MSAM 2014.

Beliau turut berterima kasih kepada 215,000 rakyat Kelantan yang mengunjungi MSAM 2014 serta jabatan lain yang terbabit secara langsung sepanjang seminggu penganjuran MSAM.

TLDM kecewa pihak persoal fungsi Scorpene

Posted: 27 Apr 2014 03:12 PM PDT

TLDM kecewa pihak persoal fungsi ScorpeneSebahagian wakil media mendengar taklimat ketika melawat kapal selam KD Tunku Abdul Rahman di Pangkalan TLDM Lumut, semalam. - Foto BERNAMA

Lumut: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melahirkan rasa kecewa apabila masih ada segelintir pihak melempar tohmahan berkaitan fungsi kapal selam Scorpene milik negara.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, berkata pasukan kapal selam negara sudah melaksanakan tanggungjawabnya sebaik mungkin.

"Ini adalah masa terbaik untuk KD Tunku Abdul Rahman membuktikan kemampuannya, bagaimanapun ia tidak dapat mengikuti operasi mencari dan menyelamat di Lautan Hindi disebabkan beberapa faktor yang sudah dijelaskan.

"Saya berharap segelintir rakyat yang banyak menulis berhubung ketidakupayaan kapal selam ini supaya berfikir sejenak dan menulis dengan fakta dan realiti sebenar dan tidak ikut sedap hati.

"TLDM juga punyai maruah dan siapa yang tidak kecewa apabila dituduh dengan tohmahan yang tidak benar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Perbarisan Diraja dan Penganugerahan Panji-Panji Sempena Ulang Tahun ke-80 TLDM di sini semalam.

Istiadat itu disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selaku Kapten Yang Dipertua TLDM.

TLDM menampilkan kapal selam KD Tunku Abdul Rahman dan kapal penyelamat, submarine escape and rescue (SMER) iaitu MV Mega Bakti untuk dipertontonkan kepada rakyat terutama pengunjung sempena hari terbuka armada.
Lindungi kedaulatan negara

Pada majlis itu, pengamal media turut diberi peluang menaiki dan mendengar taklimat berkaitan fungsi KD Tunku Abdul Rahman. TLDM memperoleh dua kapal selam Scorpene buatan Perancis berharga RM3.4 bilion bagi mempertingkat kemampuannya melindungi kedaulatan perairan negara.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pembabitan aset TLDM dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 Penerbangan Malaysia akan diteruskan.

Elak sikap kepartian bincang isu

Posted: 27 Apr 2014 03:09 PM PDT

Kuantan: Perbincangan mengenai pelaksanaan hukum hudud tidak harus berpaksikan aspek kepartian atau politik semata-mata, sebaliknya membabitkan semua pihak terbabit secara langsung dalam melaksanakannya.

Sehubungan itu, Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman mencadangkan supaya Pejabat Peguam Negara mengambil inisiatif melaksanakan muzakarah khas bagi membincangkan isu membabitkan pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Katanya, Pejabat Peguam Negara boleh menjemput pelbagai pihaknya seperti mufti-mufti, pensyarah dan agensi-agensi yang bakal melaksanakannya, seperti jabatan agama untuk membincangkan perkara itu supaya ia lebih jelas dan meliputi semua aspek.

Kena tanya juga pandangan daripada majlis agama setiap negeri yang diketuai sultan masing-masing atau Yang di-Pertuan Agong bagi negeri tidak beraja," Abdul Rahman Othman, Mufti Pahang


"Hudud adalah hukum Allah yang kita amat alu-alukan pelaksanaannya dan sudah tentu semua pihak terbabit dengannya bersedia untuk membantu supaya ia direalisasikan, mungkin boleh juga panggil PAS kerana mereka hendak ia dilaksanakan di Kelantan.

Pandangan majlis agama

"Selain itu kena tanya juga pandangan daripada majlis agama setiap negeri yang diketuai sultan masing-masing atau Yang di-Pertuan Agong bagi negeri tidak beraja, ia harus dilaksanakan sebelum sebarang undang-undang dipinda atau dibentuk sebelum hukum hudud diperkenalkan," katanya, semalam.

Kerajaan PAS Kelantan melalui Ahli Parlimen parti itu dilaporkan akan membawa usul rang undang-undang persendirian untuk melaksanakan hudud di Dewan Rakyat, bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember depan.
Niat PAS itu mendapat sokongan daripada kebanyakan Ahli Parlimen UMNO, bagaimanapun rakan sekutu parti berkenaan, PKR dan DAP dalam pakatan pembangkang pula memberi reaksi berbeza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini dipetik sebagai berkata Kerajaan Pusat tidak pernah menolak hudud sebagai hukum ditetapkan Allah, namun mengakui banyak kekangan dan keutamaan perlu diselesaikan dan diperhalusi sebelum ia dapat dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, segala persediaan ke arah pelaksanaan hukum hudud harus dibuat secara rapi dan teliti supaya ramai pihak tidak keliru apabila dilaksanakan nanti.

"Sebab itu kena ada perbincangan khas dan kalau boleh bentuk jawatankuasa teknikal khas bagi membincangkan hukum hudud maknanya, semua harus dijelaskan supaya semua orang faham," katanya.

DAP cabar PAS kemuka bukti

Posted: 27 Apr 2014 03:01 PM PDT

Kuala Lumpur: DAP mencabar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengemukakan bukti bahawa mereka bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, berkata persetujuan dalam perkara itu tidak pernah diberikan, sama ada sebelum atau selepas pembentukan pakatan pembangkang pada 2008.

Terkejut tindakan Hadi

Sambil melahirkan rasa terkejut dengan dakwaan itu, beliau berkata, Hadi perlu mengemukakan bukti bagi menyokong kenyataan bahawa Majlis Presiden Pakatan Rakyat bersetuju dengan tindakan parti terbabit.

"Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh, juga tidak pernah bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang hudud kerana tidak mengikut Perlembagaan," katanya menerusi Facebooknya, semalam.

Provokasi calon punca pemilihan Cabang Kemaman dihenti 2 jam

Posted: 27 Apr 2014 03:00 PM PDT

Pemilihan PKR

Kuala Terengganu: Provokasi oleh calon bertanding menjadi punca proses pemilihan PKR Cabang Kemaman kelmarin, dihentikan kira-kira dua jam sebelum tempoh pengundian tamat jam 5 petang.

Kekecohan dikatakan berlaku apabila calon bertanding dan penyokong mula menghidu kekalahan sepanjang proses pengundian di Pejabat PKR Kemaman di Jalan Jakar, Chukai berlangsung, lalu mula membuat provokasi termasuk mengoyakkan kertas undi.

Calon Timbalan Ketua Cabang Kemaman, Lee Sheng Lim, berkata kekecohan bermula pada jam 11.30 pagi lagi apabila penyokong penyandang Ketua Cabang, Rafizi Ramli melihat pencabarnya, Mohd Ramlee Hamzah mendapat sokongan kuat daripada pengundi.

Beliau berkata, bermula daripada itu, Rafizi dan penyokongnya memulakan provokasi lisan dengan mendakwa jawatankuasa pemilihan tidak melakukan tugas dengan betul, selain mengeluarkan kata-kata kesat hingga berlaku pertikaman lidah antara dua pihak.

"Rafizi kemudian naik ke tempat pengundian dan marah-marah mengatakan kami tidak pandai bekerja. Selepas itu beliau turun semula ke bawah, sebelum beberapa penyokongnya naik dan mengoyakkan kertas undi.

Cetus suasana panik
"Kejadian itu mengejutkan dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan pengundi. Kami tidak mampu berbuat apa-apa selain meminta mereka bertenang. Namun keadaan menjadi semakin kecoh hingga akhirnya proses pemilihan terpaksa dihentikan jam 2.45 petang," katanya kepada BH.

Pada pemilihan kelmarin, Rafizi yang juga penyandang sejak 2010 ditentang Mohd Ramlee selaku ahli biasa, manakala Sheng Lim, bekas naib ketua cabang Kemaman bertanding jawatan itu buat kali pertama.

"Kejadian ini amat memalukan kerana ia dimulakan oleh pemimpin PKR sendiri. Kalau pemimpin sendiri menunjukkan contoh tidak baik begini, bagaimana parti ini mampu menjadi parti yang baik untuk rakyat.

"Disebabkan masalah ini, pemilihan terpaksa ditangguhkan pada 10 Mei nanti. Kami amat berharap supaya Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) tidak melakukan pengundian semula bagi mereka yang sudah mengundi, sebaliknya hanya menyambung kembali proses pemilihan kepada ahli yang belum menunaikan tanggungjawab mereka," katanya.

Sumber dalaman PKR yang enggan namanya disiarkan berkata, Mohd Ramlee menjadi saingan hebat Rafizi yang dilihat sebagai calon tidak disenangi rakyat dan didakwa hanya pandai berkata-kata, tetapi tidak pernah turun padang dan cakna masalah rakyat.