Program Sarana dapat sambutan positif: TPM

Program Sarana dapat sambutan positif: TPM


Program Sarana dapat sambutan positif: TPM

Posted: 19 Apr 2014 04:43 PM PDT

Program Sarana dapat sambutan positif: TPM Muhyiddin menyampaikan Anugerah PIBG Cemerlang Terbaik Keseluruhan kepada Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, Kuala Lumpur yang diwakili oleh Yang Dipertua PIBG, Amiruddin Sahudi (dua dari kiri) di Serdang, semalam. - Foto Sairien Nafis

Pembabitan ibu bapa dalam, luar sekolah satukan pihak berkepentingan

Serdang: Program Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah yang dilancarkan Kementerian Pendidikan tahun lalu mendapat sambutan positif daripada semua pihak, khususnya ibu bapa dan guru serta komuniti setempat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, program bertujuan meningkatkan pembabitan ibu bapa dalam pembelajaran anak di dalam dan luar sekolah berjaya menyatukan setiap pihak berkepentingan bagi memberi tumpuan kepada modal insan penentu masa depan negara.

"Saya dapat melihat perkembangan positif di bawah program Sarana ini apabila ada ibu bapa yang prihatin dan datang melawat bilik darjah dan juga asrama, meninjau secara dekat perkembangan anak mereka dan melihat keperluan yang masih kurang di sekolah.

Ambil berat masalah disiplin

"Ibu bapa yang prihatin turut terbabit mengambil berat masalah disiplin di sekolah dan membantu meringankan beban tugas guru.

"Ada juga ibu bapa menggunakan kepakaran istimewa mereka termasuk kemahiran dalam bahasa Inggeris, perubatan dan kejuruteraan membantu pihak sekolah meningkat kecemerlangan pelajar," katanya pada majlis Anugerah Cemerlang Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Peringkat Kebangsaan 2012/2013 di sini, semalam.
Pada majlis itu, Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, Kuala Lumpur diumumkan penerima Anugerah PIBG Cemerlang Terbaik Keseluruhan dan membawa pulang cek bernilai RM50,000, plak dan sijil penyertaan. Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Amir Sahudi menerima anugerah berkenaan daripada Muhyiddin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, melalui Sarana Sekolah, peranan PIBG diupayakan untuk menggerakkan ibu bapa melalui Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) yang ditubuhkan bagi merapatkan hubungan antara ibu bapa, murid dan sekolah.

Beliau berkata, sehingga kini, 62.3 peratus KSIB ditubuhkan di sekolah menengah, manakala 60.3 peratus di sekolah rendah seluruh negara.

"Sarana ini diperluaskan bagi memastikan interaksi ibu bapa dengan anak berada pada tahap maksimum, sekali gus memberi peluang ibu bapa menyumbang idea, tenaga, kepakaran dan kewangan kepada sekolah.

Bantu proses pembelajaran

"Hubungan sinergi yang padu dan jaringan komunikasi yang baik antara pentadbir sekolah dengan PIBG mampu melonjakkan keberhasilan yang memberi manfaat bersama," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata peranan komuniti dan sektor swasta dalam pendidikan juga tidak kurang penting seperti usaha menambah baik keperluan asas pendidikan, membantu orientasi semula proses pembelajaran dan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kecemerlangan anak dalam pendidikan.

Sementara itu, di ibu negara, Muhyiddin menyarankan semua Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) meningkatkan produktiviti dan kapasiti dengan menggunakan sumber terhad sama ada dari segi kewangan dan sumber manusia.

Katanya, dalam menghadapi cabaran, elemen kreativiti dan inovasi diperlukan supaya kecemerlangan jentera perkhidmatan awam dapat diperkukuh.

"Perkhidmatan awam hari ini berdepan cabaran yang cukup besar, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu dan permintaan pasaran yang dinamik," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Jubli Perak Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik di sini, malam tadi.

Hadir sama, isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan isteri, Puan Sri Rohani Abdullah serta Presiden Alumni PTD, Tan Sri Sallehuddin Mohamed.

48 jam paling kritikal

Posted: 19 Apr 2014 04:40 PM PDT

Kuala Lumpur: Tempoh 48 jam adalah masa kritikal bagi pasukan penyelamat yang terbabit dalam misi mencari pesawat MH370 di Perth ketika ini.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata semalam dan hari ini penting untuk mereka meneliti kawasan pencarian yang dikecilkan dan menjelang Isnin ini akan menjadi lebih jelas apa yang perlu dilakukan jika tidak mendapat petunjuk positif.

"Lokasi pencarian kawasan yang dikecilkan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) hari ini dan esok penting untuk menentukan fasa berikutnya. Seperti kata Perdana Menteri Australia, Tony Abbott awal minggu ini, apa saja hasil pencarian beberapa hari akan datang, adalah perlu untuk semua 26 negara yang terbabit berkumpul semula dan mempertimbangkan fasa operasi berikutnya.

Terus berdoa

"Kedua-dua Perdana Menteri (Abbott dan Datuk Seri Najib Razak) berbincang mengenai operasi pencarian dan saya bercakap dengan ketua JACC, Angus Houston.
Apa saja keputusan dan pengumuman yang dibuat diharapkan akan berpihak kepada saya," katanya sambil merayu masyarakat di seluruh dunia berdoa supaya pasukan mencari di Australia menemui sesuatu yang positif dalam tempoh itu.
Hishammuddin berkata demikian pada sidang media misi mencari MH370 yang masuk hari ke-43 atau sudah enam minggu operasi pencarian oleh 26 negara. Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi; Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin; Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.

Hishammuddin berkata, misi ketujuh Kenderaan Dalam Air (AUV) Bluefin 21 diteruskan pagi semalam. Bagaimanapun, ia gagal menemui sebarang kaitan dengan MH370.

"Saya bercakap dengan Houston dan beliau menjelaskan imej yang dirakam daripada Bluefin 21 dan saya dapat mengesahkan alat itu merakam imej yang jelas dasar laut ketika menjalankan misi pencarian bawah laut.

"Houston juga memaklumkan bahawa bentuk muka bumi lantai lautan beralun dan Bluefin 21 memfokuskan kawasan pencarian berdasarkan isyarat ping yang dikesan," katanya.

Misi AUV selesai minggu depan

Beliau juga menolak laporan yang mengatakan AUV itu hanya selesai menjalankan pencarian antara enam minggu hingga dua bulan untuk mengimbas keseluruhan kawasan lantai lautan yang ditentukan, sebaliknya ia akan selesai minggu depan.

Hishammuddin menegaskan, walaupun Bluefin 21 tidak menemui hasil yang positif, operasi pencarian masih diteruskan. Misi itu mempertimbangkan untuk meluaskan skop pencarian dan menggunakan aset lain yang relevan.

Katanya, sejak beberapa hari lalu pihaknya menerusi Jawatankuasa Aset diketuai Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri sudah berbincang dan mengenal pasti syarikat swasta yang berkeupayaan membantu Malaysia dalam misi itu, termasuk Deftech dan Boustead supaya mengenal pasti rakan kongsi antarabangsa mereka, antaranya SAAB dan DCNS (syarikat pertahanan Perancis) dalam soal pengerahan aset.

Wanita maut disimbah asid ketika pesan makanan

Posted: 19 Apr 2014 04:29 PM PDT

Wanita maut disimbah asid ketika pesan makananAnggota forensik menyiasat lokasi wanita kena simbah asid di Penampang, semalam. - Foto Mohd Adam Arinin

Penampang: Seorang wanita maut akibat melecur di beberapa anggota badan selepas disimbah cecair dipercayai cuka getah oleh seorang lelaki ketika memesan makanan di sebuah restoran di pekan Towering, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, Memey Kandusan, 19, bersama dua rakannya berdiri di hadapan tempat memasak sebelum didatangi seorang lelaki bertopi yang tiba-tiba menyimbah sejenis cecair ke arahnya.

Suspek dikatakan menaiki sebuah kereta jenis PERODUA Viva yang berhenti berhampiran restoran sebelum meluru ke arah mangsa dan bergegas meninggalkan lokasi sejurus menyimbah cecair itu.

Mangsa kemudian rebah dan menggelupur sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) untuk mendapatkan rawatan tetapi disahkan meninggal dunia jam 11.20 pagi akibat melecur teruk di dada, bahu, mulut dan kedua-dua mata.

Singgah di restoran

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh, berkata siasatan mendapati mangsa bersama dua rakan perempuan singgah di restoran berkenaan untuk memesan makanan sebaik pulang kerja.
Katanya, ketika menunggu pesanan mereka siap, tiba-tiba seorang lelaki yang memakai topi datang dan menyimbah sejenis cecair dipercayai asid cuka getah ke arah mangsa.

"Mangsa yang parah kemudian dikejarkan ke HQE1 oleh rakannya, tetapi disahkan meninggal dunia tujuh jam kemudian. Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian," katanya di sini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke bilik mayat HQE1 untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sepasukan Unit Forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah turut dihantar ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

2 parah bas ekspres terbabas di LPT

Posted: 19 Apr 2014 04:27 PM PDT

gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Bas ekspres dari Kuantan ke Kuala Lumpur terbabit nahas awal pagi semalam. - Foto Luqman Hakim Zubir

Foto

Foto

Foto

Temerloh: Pemandu bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan dan menyebabkan dua penumpang parah di sini, awal pagi semalam, dikatakan mengantuk, sekali gus gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan terbalik.

Ia berdasarkan siasatan awal polis mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 ke atas kemalangan di Kilometer (KM) 118 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), kira-kira enam KM dari Plaza Tol Temerloh, jam 1.15 pagi.

Dua yang cedera ialah Mohd Izzudin Yusoff, 28, dan Ishamudin Musa, 39, yang kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH), di sini, bersama empat penumpang lain yang cedera termasuk seorang bayi berusia 11 bulan, Muhd Haziq Aizat Nazmi.

Turut cedera ialah bapa Muhd Haziq, Aizat Nazmi Azhar, 27; Ali Maidin, 46, dan Nurhaizan Hassan, 41. Keadaan semua mangsa dilaporkan tidak membimbangkan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Aziz Salleh, berkata ketika kejadian, bas ekspres dinaiki 28 penumpang termasuk pemandu berusia 47 tahun itu dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata, bas itu dipercayai hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelah kanan sebelum terbalik ke dalam longkang sebelah kiri jalan.

Tidak dipandu laju

Katanya, bas berkenaan tidak dipandu laju dan pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa pemandu bas itu memandu dalam keadaan mengantuk.

"Kawasan kejadian juga bukan kawasan kemalangan. Ia dipercayai berlaku atas faktor kecuaian manusia.

"Kita masih menyiasat lebih terperinci kemalangan ini mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan dan ujian alkohol serta dadah akan dijalankan kemudian," katanya di sini, semalam.

Ishamudin yang patah tulang rusuk kiri berkata, dia menaiki bas ekspres itu kerana mahu ke Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang, untuk ke Solo, Indonesia, jam 7 pagi.

Bas terhuyung-hayang

"Ketika tidur, saya tiba-tiba terkejut selepas bas terhuyung-hayang sebelum terbabas. Saya terus selamatkan diri bersama dua penumpang di hadapan. Bas ini bertolak lewat dari Terminal Kuantan Sentral.

"Saya juga terdengar pemandu bas memberitahu rakannya dia tidak sihat," katanya yang juga Pengurus Sumber Manusia sebuah syarikat swasta dan sedang dirawat di HOSHAH.

Ia kejadian kedua membabitkan bas ekspres di Pahang dalam tempoh satu minggu dengan kemalangan di Kilometer 11, Jalan Bentong-Raub, dekat Bilut, Bentong, pada 12 April lalu, mengorbankan tiga nyawa.

'Tanpa bos, saya juga akan mati'

Posted: 19 Apr 2014 04:23 PM PDT

'Tanpa bos, saya juga akan mati'ORANG ramai memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Karpal Singh di Pulau Pinang. - Foto Muhammad Mikail Ong

Ipoh: Karpal Singh dan pembantu peribadinya, C Micheal, 39, yang terbunuh dalam kemalangan ngeri awal pagi Khamis lalu, ada membayangkan bahawa mereka berdua lebih rela mati bersama daripada membiarkan salah seorang daripadanya saja yang mati, sehari sebelum kejadian itu berlaku.

Anak keempat Karpal, Sangeet Kaur Deo, 34, berkata luahan itu dinyatakan masing-masing ketika mereka berbual bersama kakitangan lain di pejabat bapanya di Damansara Utama, Rabu lalu.

Hubungan rapat

"Ketika itu, bapa saya mengatakan dia akan mati kalau Micheal tiada di sisinya dan mendiang pula dengan nada sayu menyatakan 'tanpa bos, saya juga akan mati'.

"Perkara itu dinyatakan kakitangan bapa kepada saya kemudiannya ketika tiba di situ tetapi saya tidak menyangka apa-apa bila mendengarnya kerana hubungan mereka amat rapat, di mana ada bapa saya, di situ ada dia (Micheal).

"Rupa-rupanya ia menandakan mereka akan pergi (mati) bersama," katanya sebak
ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.
Sangeet bersama dua adik beradiknya, Ram Karpal dan Man Karpal, berada di situ bagi menuntut mayat Micheal untuk dihantar pulang ke kampung halamannya di selatan India.

Dalam kemalangan di Kilometer 306.1, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Gua Tempurung, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor dan Micheal, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kiri muka, apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard yang dinaiki lima orang, merempuh belakang lori yang membawa simen, besi, jubin di lorong kiri laluan dua lorong itu.

Penghormatan terakhir

Anak Karpal, Ram Karpal, 38, cedera ringan di kaki dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kampar, manakala pemandu MPV, seorang warga India, C Selvam, 27, tidak cedera.

Sementara itu, satu upacara keagamaan dilakukan ahli Gereja Katolik Our Lady of Lourdes di sini terhadap mendiang selain penghormatan terakhir oleh kenalannya, sebelum sebuah van membawa mayat itu bergerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11.15 pagi sebelum dibawa menaiki pesawat MH180 Penerbangan Malaysia (MAS) malam tadi.

Sangeet berkata, Micheal yang bekerja sebagai pembantu peribadi kepada Karpal sejak lapan tahun lalu, mempunyai seorang isteri dan dua anak, masing-masing seorang lelaki dan perempuan, yang akan menyambut ketibaan mayat mendiang dijangka tiba di India awal pagi ini.

Sistem beraja bukan hiasan

Posted: 19 Apr 2014 04:22 PM PDT

Sistem beraja bukan hiasanRaja Dr Nazrin Shah menganugerahkan Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Ali pada Istiadat Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke-86 Sultan Perak di Istana Iskandariah, di Kuala Kangsar, semalam.

Kuala Kangsar: Takhta dan pemerintahan berpaksi Raja di negara ini bukan sekadar ornamen hiasan, sebaliknya institusi utama yang termaktub secara perundangan dalam Perlembagaan Persekutuan, titah Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Malah, baginda secara kiasan menegaskan institusi Raja juga bukan 'cermin lama untuk melihat wajah yang sudah tua', sebaliknya mempunyai peranan dan amanah berat yang perlu dilaksanakan sejajar kedudukan institusi itu.

"Sepuluh peratus iaitu 19 dari 183 Perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah perkara berkaitan Raja, bermakna Malaysia yang mengamalkan sistem kerajaan berkonsepkan Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen telah memperuntukkan secara perundangan peranan dan tanggungjawab tertentu kepada Raja Pemerintah.

Hadapi cabaran

"Oleh itu, takhta perlu bertenaga agar berupaya memenuhi tuntutan. Takhta juga perlu bersifat dinamik untuk bersedia menghadapi cabaran," titah baginda pada Istiadat Mengadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah Ke-86 yang juga ayahanda baginda di Istana Iskandariah, di sini, semalam.

Baginda menyampaikan darjah kepada 38 penerima didahului Pengerusi Affin Holdings Berhad yang juga Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Perak, Jen (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin, yang menerima Darjah Seri Paduka Sultan Azlan Shah (SPSA) yang membawa gelaran Datuk Seri Diraja, diikuti Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa yang dianugerah Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), Datuk Abdul Jalil Hamid menerima Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

Turut berangkat, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Di Hilir, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Jaga kedaulatan

Raja Nazrin bertitah, Raja bersemayam di takhta kerajaan yang memerintah dan bukan mentadbir serta Raja pemerintah adalah payung kedaulatan negara yang wajib memberi naungan saksama kepada setiap warga, tanpa mengira kaum dan agama.

"Takhta pemerintahan berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan, payung penyatuan dan instrumen kesatuan dalam kepelbagaian.

"Semestinya takhta pada setiap ketika tidak bersifat partisan, malah wajib mencuar tinggi di atas segala polemik politik kepartian demi memastikan peranan takhta diterima baik ketika takhta diperlukan berperanan sebagai penimbang tara untuk mendamaikan sebarang persengketaan di dalam negara," titahnya.