SIAPA BOCOR OPERASI?

SIAPA BOCOR OPERASI?


SIAPA BOCOR OPERASI?

Posted: 18 Apr 2014 01:30 PM PDT

SIAPA BOCOR OPERASI? Operasi Bersepadu 6P di dua pusat hiburan di Ipoh, semalam diketuai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, gagal membuat sebarang tangkapan. - Foto Muhaizan Yahya

  • Ops 6P Fasa 3 sering gagal kerana maklumat diketahui PATI
  • Pengusaha pusat hiburan, rumah urut dan spa dapat hidu serbuan
  • Pemilik premis guna khidmat tonto pantau kehadiran penguat kuasa

    Ipoh: Operasi menahan pendatang asing tanpa izin yang menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk kegiatan maksiat menerusi Ops 6P Fasa III sering gagal kerana maklumat serbuan bocor.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pengusaha pusat hiburan, rumah urut dan spa disyaki mempunyai rangkaian yang luas dan dapat menghidu operasi dilaksanakan pihak berkuasa.

    Katanya, Jabatan Imigresen dan pelbagai agensi penguat kuasa lain sukar untuk menjalankan operasi khususnya di premis itu memandangkan pendatang haram dapat melarikan diri sebelum operasi dijalankan.

    "Mereka ada jaringan, bukan disebabkan kebocoran (maklumat) dalam kalangan pegawai, tetapi saya fikir mereka terhidu bau operasi yang dijalankan.

    Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Hubungan KL-Turki ke peringkat baharu

Posted: 18 Apr 2014 01:23 PM PDT

Kedua-dua negara sedia mengorak langkah bersama secara strategik

Ankara: Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) di antara Malaysia dan Turki yang ditandatangani minggu ini membawa hubungan kedua-dua negara ke peringkat baharu.

Pada masa yang sama, selain bertujuan mempergiatkan perdagangan hingga membolehkan Malaysia menjadi pelabur kelima terbesar Turki, hubungan pada peringkat pemimpin juga ketara lebih mesra.

Jika wawasan kedua-dua perdana menteri itu dapat direalisasikan, hubungan KL-Ankara yang mencapai 50 tahun diyakini terus baik bagi tempoh lima dekad lagi.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Laporan wajar ada elemen patriotisme

Posted: 18 Apr 2014 01:09 PM PDT

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa wartawan di negara ini supaya memainkan peranan penting untuk mempertahankan kepentingan nasional dan negara kerana ia sebahagian daripada karakter media global.

Timbalan Perdana Menteri berkata, wartawan tidak boleh lagi berasa bersalah mempertahankan kepentingan nasional seperti diperlihatkan media asing yang mempertahankan kepentingan negara mereka.

Beliau memuji usaha wartawan tempatan dalam melaporkan tragedi kehilangan pesawat MH370 yang setiap mereka memainkan peranan masing-masing dan menjadi penyumbang kepada pembinaan negara bangsa.

Puji laporan tragedi MH370

"Apabila meneliti kembali pendekatan kewartawanan dalam melaporkan MH370, kita dapati apa yang dipanggil standard antarabangsa dalam kewartawanan adalah sesuatu yang abstrak, tidak seragam dan tidak konkrit. Sebenarnya, tiada satu panduan jelas mengenai standard itu.

"Jangan kita terikut-ikut dengan momokan, kononnya wujud keseragaman atau standard tertentu kewartawanan. Kononnya, set nilai antarabangsa perlu dipatuhi dan dilaksanakan oleh wartawan tempatan di mana-mana negara, termasuk di Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis Malam Kewartawanan Malaysia 2014 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2013.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Naib Presiden Kanan, Perancangan Strategik Korporat Kumpulan PETRONAS, Arif Mahmood dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, tuntutan itu sejajar peranan wartawan sebagai cerdik pandai yang tahu apa sebenarnya mereka ingin sampaikan kepada orang ramai.

"Terlalu ghairah menulis berita tanpa ada usaha untuk memastikan kesahihan fakta dan membiarkan maklumat itu sampai kepada pembaca adalah menyalahi etika dan boleh merosakkan profesion wartawan," katanya.

Perlu guna lebih banyak aset dalam air

Posted: 18 Apr 2014 01:01 PM PDT

Kuala Lumpur: Penggunaan lebih banyak aset dalam air diperlukan bagi menjayakan misi mencari pesawat MH370 di Lautan Hindi.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kemungkinan itu sedang dikaji Jawatankuasa Aset diketuai Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri.

Katanya, penggunaan lebih banyak Kenderaan Dalam Air (AUV) diyakini mampu membantu fasa kedua misi yang kini memasuki peringkat pencarian di dasar laut.

"Pengalaman dikongsi Penasihat Khas kepada Biro Penyiasatan Kemalangan Penerbangan Perancis, Jean Paul Troadec yang terbabit secara langsung dalam siasatan tragedi Air France pada 2009 banyak membantu menggerakkan misi mencari itu," katanya dalam laman Twitter, semalam.

Misi mencari MH370 memasuki fasa dasar laut sejak Isnin lalu, penggunaan AUV dikenali sebagai Bluefin-21 yang diturunkan dari kapal pertahanan Australia, Ocean Shield.

Tiada isyarat akustik

Aset itu mula digunakan elepas tiada isyarat akustik dikesan alat pengesan pinger sejak 8 April lalu.
Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, satu pertemuan akan diadakan dengan tiga jawatankuasa peringkat kementerian bagi membincangkan aspek yang perlu dipertingkatkan.

Katanya, Jawatankuasa Waris Penumpang diketuai Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin akan ke Beijing sebelum ke Perth, minggu depan, untuk berbincang dengan Ketua Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), Angus Houston.

Selain Jawatankuasa Aset dan Waris Penumpang, satu lagi jawatankuasa ialah Jawatankuasa Teknikal yang diketuai Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

Sementara itu di Perth, menurut Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), masih tiada bukti kukuh mengenai pesawat MH370 ditemui daripada empat misi menerusi Bluefin-21 sejak Isnin lalu.

AUV itu setakat ini telah mencari kawasan seluas kira-kira 110 kilometer persegi.

Ia dihantar untuk misi kelimanya, semalam.

Pilih kursus ada akreditasi MQA

Posted: 18 Apr 2014 12:58 PM PDT

Petaling Jaya: Mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dinasihati supaya memilih kursus yang mendapat akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Datuk Dr Syed Ahmad Hussein berkata, pemilihan kursus yang mempunyai akreditasi MQA penting bagi pengiktirafan ijazah atau diploma untuk membolehkan mereka mendapat pekerjaan dalam sektor awam mahupun swasta.

"Bagi MQA tugas kami yang utama memastikan bahawa program yang ditawarkan oleh IPT, sekurang-kurangnya memenuhi standard yang minimum dan ia tidak statik, saban tahun jaminan kualiti IPT terbabit akan bertambah baik melalui akreditasi MQA," katanya kepada Bernama.

Daripada jumlah itu 1,076 program berakreditasi sementara diluluskan manakala 731 permohonan diluluskan bagi program berakreditasi penuh" Syed Ahmad Hussein" Ketua Pegawai Eksekutif MQA


Jaminan kualiti

Syed Ahmad berkata, MQA adalah institusi tunggal di negara ini yang menetapkan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi dan menjadi pusat rujukan untuk kriteria atau standard kelayakan sesuatu bidang pengajian.

Katanya, pada 2013, MQA menerima 1,093 permohonan program akreditasi sementara dan 753 permohonan untuk akreditasi penuh.

"Daripada jumlah itu 1,076 program berakreditasi sementara diluluskan manakala 731 permohonan diluluskan bagi program berakreditasi penuh," katanya.
Katanya, mereka yang ditawarkan kursus tetapi kemudian mendapati kursus berkenaan tidak mempunyai akreditasi MQA, pelajar boleh membuat aduan kepada pihaknya untuk tindakan.

Syed Ahmad berkata MQA sentiasa menyambut baik sesiapa sahaja yang mahu berbincang dan bertanya mengenai status sesebuah program di universiti tempatan.

"Kita minta pelajar dan ibu bapa datang dan berbincang dengan kami dahulu. Tanyalah apa-apa sahaja, kami bersedia membantu," katanya.

Pelajar yang ingin mengetahui status akreditasi dan maklumat sesuatu program boleh melayari laman sesawang di http://www.mqa.gov.my/mqr/.

Pelatih PLKN gagal isytihar penyakit

Posted: 18 Apr 2014 12:55 PM PDT

Masalah kesihatan dikesan ketika pemeriksaan di kem latihan

Pekan: Kira-kira 1,000 pelatih daripada setiap kumpulan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) didapati tidak layak meneruskan latihan berikutan masalah kesihatan yang hanya diketahui selepas mereka mendaftar.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata keadaan itu menyebabkan pihaknya terpaksa menangguhkan latihan pelatih terbabit bagi mengelak sebarang masalah ketika tempoh latihan.

"Masih ada pelatih yang gagal mengisytiharkan penyakit kronik dan kita hanya mengetahui penyakit mereka sehingga proses pemeriksaan kesihatan dibuat di kem masing-masing.

Tangguh latihan

"Apabila ini berlaku kita terpaksa tangguhkan latihan kerana mereka tidak layak menyertai PLKN.

"Antara penyakit dikesan adalah asma, tekanan darah tinggi serta penyakit kulit yang tidak membolehkan mereka menyertai pelbagai latihan terutamanya aktiviti luar," katanya pada sidang media selepas melihat proses pemeriksaan kesihatan di Kem PLKN Semarak, Tanjung Gosong, dekat sini, semalam.
Abdul Hadi berkata, pihaknya menempatkan tujuh pegawai kesihatan iaitu lima dari Kementerian Kesihatan dan dua dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk melakukan pemeriksaan pelatih PLKN di semua 80 kem di seluruh negara.

Pasukan ini akan memeriksa keadaan kesihatan pelatih sebelum membenarkan mereka meneruskan latihan atau sebaliknya.

Abdul Hadi berkata, pihaknya sudah melaksanakan beberapa langkah pemantauan termasuk pemeriksaan aspek kebersihan yang meliputi beberapa kawasan dalam kem antaranya dapur, bilik air dan asrama oleh sebuah pasukan khas.

Pasukan khas

Pasukan khas berkenaan akan memeriksa tahap kebersihan dan memberi nasihat kepada pengusaha kem sekiranya ada kelemahan.

"Menerusi langkah itu kita dapat menangani kes keracunan makanan sekali gus melancarkan latihan supaya pelatih dapat menamatkan program berkenaan mengikut tempoh ditetapkan," katanya.

Sementara itu, berhubung penyebaran Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV) di Kampung Bintang Laut, Batu Pahat, Johor, Abdul Hadi berkata, pihaknya sedang memantau perkara itu dan akan mengambil sebarang tindakan selepas mendapat nasihat daripada klinik kesihatan berdekatan.