Pendaratan cemas pesawat MH192: PM puji kepekaan menara kawalan

Pendaratan cemas pesawat MH192: PM puji kepekaan menara kawalan


Pendaratan cemas pesawat MH192: PM puji kepekaan menara kawalan

Posted: 21 Apr 2014 04:29 PM PDT

gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Hishammuddin bersalam dengan Kapten Nor Adam Azmi yang berjaya melakukan pendaratan cemas pesawat MAS MH192 di KLIA, Sepang, awal pagi semalam. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Foto

PESAWAT Penerbangan Malaysia (MAS) MH192 ke Bangalore, India yang berpatah balik selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA ), di Sepang, jam 1.56 pagi. - Foto Sairien Nafis

Foto

BERATUR... Penumpang pesawat MH192 ke Bangalore yang tergendala mula menaiki bas untuk kembali ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada jam 1.30 tengahari di Hotel Everly, Putrajaya, semalam. - Foto BERNAMA

Foto

PEMANGKU Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendengar sesuatu daripada juruterbang MAS, Nor Adam Azmi Abdul Razak (kanan) yang membuat pendaratan ke KLIA, Sepang dengan selamat.

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak memuji kepekaan Menara Kawalan Kuala Lumpur kerana menyedari serpihan tayar di landasan, sejurus Penerbangan Malaysia (MAS) MH192, berlepas jam 10.09 malam, kelmarin.

Perdana Menteri menyifatkan tindakan tuntas petugas menara kawalan yang memaklumkannya kepada Pusat Kawalan Operasi Penerbangan Malaysia (OCC) sebagai sifat terpuji.

"Saya gembira pesawat MH192 selamat berpatah balik ke KLIA. Kerjasama bagus kepada semua terbabit.

"Tahniah kepada Kapten Nor Adam Azmi Abdul Razak (juruterbang MH192) dan pembantunya, Prakash Kumar kerana berjaya mengawal keadaan dan mendarat cemas, meskipun berdepan situasi genting," katanya menerusi kenyataan dalam Facebook miliknya, semalam.

Pesawat MH192 yang dalam penerbangan ke Bangalore, India terpaksa berpatah balik dan mendarat cemas di KLIA, jam 1.56 pagi, semalam kerana kerosakan tuil gear kanan selepas satu tayarnya meletup.

Pesawat jenis Boeing 737-800 yang membawa 166 penumpang, termasuk tujuh anak kapal sepatutnya mendarat di Bangalore jam 11.35 malam, pada hari sama.

Pamer sifat profesional

Sementara itu, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menyifatkan kru, terutama juruterbang dan pembantunya sebagai profesional dan cekap.

Perkara itu dinyatakan selepas mendapat maklum balas positif penumpang ketika beliau menemui mereka di KLIA, awal pagi semalam.

"Semua mereka walaupun keletihan, mampu melahirkan rasa kagum serta merakamkan ucapan terima kasih dengan tindakan juruterbang Kapten Nor Adam dan Prakash atas kecekapan mendaratkan pesawat dengan selamat.

Arah sedia laporan penuh

"Itu satu petanda profesionalisme kita, cara kita bekerjasama dalam apa juga keadaan walaupun dalam situasi genting dan sukar. Ini bukan andaian saya semata-mata, sebaliknya luahan yang saya dengar sendiri daripada penumpang," katanya.

Hishammuddin juga telah mengarahkan MAS menyediakan laporan penuh kepada Jemaah Menteri dan Kementerian Pengangkutan selewat-lewatnya esok.

Pendaratan cemas pesawat MH192: Kagum tindakan semua kru

Posted: 21 Apr 2014 04:25 PM PDT

Pendaratan cemas pesawat MH192: Kagum tindakan semua kruSebahagian penumpang melakukan pendaftaran masuk untuk berlepas ke Bangalore, India setelah pesawat MH192 berpatah balik ke KLIA berikutan mengalami kerosakan gear pendaratan. - Foto BERNAMA

Sepang: Walaupun ada yang panik, sebahagian besar penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH192, kagum dengan langkah keselamatan yang diambil oleh semua kru pesawat.

Ini kerana juruterbang dan kru kabin memainkan peranan penting memastikan 159 penumpang mengetepikan rasa cemas dan takut, selain mengikuti arahan keselamatan bagi memudahkan pesawat mendarat selamat.

Seorang penumpang warga India, Pritesh Jain, 32, mengakui sepanjang hayatnya tidak pernah rasa takut sedemikian apabila pesawat itu mengalami kerosakan teknikal.

"Saya dibayangi maut, rasa begitu hampir dengan kematian. Pada saat itu saya hanya ingatkan isteri dan anak di Bangalore," katanya.

Pritesh, 32, yang ke Malaysia atas urusan kerja, berkata pesawat itu bergegar ketika masih di landasan, sebelum beliau terdengar bunyi letupan sejurus pesawat mula mahu terbang.

Masalah teknikal
"Kira-kira 15 minit kemudian, juruterbang memaklumkan ada sedikit masalah teknikal dan pesawat terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur.

"Sekitar 30 minit selepas itu, pesawat cuba melakukan pendaratan, namun gagal kerana juruterbang memaklumkan roda pendaratan tidak berfungsi," katanya.

Pekerja kakitangan perkhidmatan itu berkata, juruterbang memaklumkan akan melakukan cubaan pendaratan kali kedua dan jika gagal, pendaratan cemas terpaksa dilakukan. Cubaan kedua dilakukan kira-kira tiga jam selepas pesawat berlepas.

"Kami fikirkan ia akan berjaya, namun tidak kerana roda pendaratan tidak berfungsi dan pesawat terpaksa terbang semula. Ketika itu, kami sangat cemas dan saya hanya bayangkan kematian saja," katanya.

Minta berdoa

Bagaimanapun, katanya, juruterbang memaklumkan akan melakukan pendaratan cemas dan meminta semua penumpang tidak panik kerana beliau akan melakukan yang terbaik.

"Juruterbang berkata, 'berdoa kerana apa saja boleh berlaku. Jentera bomba dan staf perubatan sudah bersedia, jadi jangan panik". Ketika dimaklumkan bahawa roda pendaratan sudah berfungsi, kami semua amat lega walaupun pesawat bergegar kuat ketika pendaratan," katanya.

Bagi pasangan suami isteri Ramanan Ganesan, 42, dan Kavita Ravendran, 41, yang dalam perjalanan pulang ke India, selepas seminggu melancong ke Malaysia, kejadian itu tidak mematahkan sebarang perancangan untuk kembali bercuti semula ke negara ini menaiki pesawat MAS.

"Dengan apa yang baru berlaku ke atas saya, isteri dan anak berusia 14 tahun, serta ditambah insiden kehilangan pesawat MH370, saya tidak menyalahkan MAS dalam semua situasi ini," katanya.

Kerajaan komited laksana pembangunan seimbang

Posted: 21 Apr 2014 04:21 PM PDT

Kerajaan komited laksana pembangunan seimbangNajib diberi penerangan mengenai replika perumahan baru 1Razak Mansion pada majlis pelancaran projek pembangunan semula Kawasan Perumahan Awam Razak Mansion, di Salak Selatan dekat Kuala Lumpur, semalam. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Kuala Lumpur: Pembangunan semula Projek Perumahan Awam 1Razak Mansion, di sini adalah bukti manifestasi dan iltizam Kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam melaksanakan konsep pembangunan seimbang bukan sahaja di luar bandar, malah di bandar dan kota raya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata projek itu adalah usaha kerajaan murni untuk memastikan penghuni dapat menikmati mutu hidup lebih baik dan selesa.

"Seperti mana kita tahu, kawasan perumahan ini boleh dikatakan dekat di hati saya kerana Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein (Perdana Menteri kedua Malaysia yang juga bapa Najib) pernah menjejakkan kaki ke sini dan seterusnya merasmikan Kawasan Perumahan Awam Razak Mansion 47 tahun lalu, pada 26 April 1967.

"Masa berlalu, 47 tahun sudah berlalu, maka sudah tiba masanya kawasan perumahan ini yang kini berada dalam keadaan yang agak usang... memerlukan pembangunan semula selaras dengan prinsip 'urban renewal' (pembaharuan bandar) atau 'urban redevelopment' (pembangunan semula bandar)," katanya pada majlis pecah tanah projek pembangunan semula dan penyerahan surat pengesahan tawaran unit rumah 1Razak Mansion di sini, semalam.

Persekitaran lebih moden

Turut hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta 658 bakal pemilik rumah seluas 800 kaki persegi (74 meter persegi) bernilai RM250,000 seunit.
Pembangunan semula itu akan mewujudkan suasana persekitaran lebih moden dan selesa, membabitkan sebanyak 658 unit rumah, 23 kedai, 110 lot pasar dan pelbagai kemudahan seperti pejabat kecil, dewan, surau, TADIKA, pejabat persatuan penduduk, pondok polis dan bilik pengurusan mayat.

RM4b Dana Mudahcara

Dalam perkembangan sama, Najib berkata, kerajaan akan memperuntukkan RM4 bilion untuk Dana Mudahcara sebagai inisiatif menggalakkan pelaksanaan projek swasta berimpak tinggi dan strategik yang membolehkan pemaju projek perumahan seperti PR1MA, Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia dan perumahan di kawasan baharu dibuka, layak memohon geran sebanyak 10 peratus daripada kos projek.

Katanya, sebanyak RM1 bilion daripada dana terbabit dikhususkan sebagai Dana Mudahcara Perumahan di bawah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) yang menetapkan penerima geran itu, mesti mematuhi terma dan syarat serta harga jualan rumah yang ditetapkan.

"Kerajaan juga akan melaksanakan program membaik pulih dan meningkatkan keselesaan serta mengindahkan rumah kos rendah milik Kerajaan.

"Manakala sejumlah RM100 juta disediakan kepada Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia di bawah seliaan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut memperuntukkan RM82 juta bagi memulihkan lagi sebanyak 20 projek rumah terbengkalai membabitkan 8,197 buah rumah," katanya.

Azab ditusuk besi 4 jam

Posted: 21 Apr 2014 04:20 PM PDT

Azab ditusuk besi 4 jamAnggota Bomba dan Penyelamat mengiringi Huguan ke hospital. - Foto Mohd Adam Arinin

Huguan tahan sakit tanpa mengalir air mata sebelum pipi dibedah

Kota Kinabalu: Pipinya tertusuk sebatang besi penutup parit sepanjang satu meter, namun Huguan Isaac, 10, tabah menahan kesakitan tanpa mengalir setitik air mata sebelum diberi bantuan empat jam kemudian, semalam.

Murid Tahun Empat Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sacred Heart itu, hanya duduk tanpa bergerak dengan sebatang besi menembusi pipinya selepas salah seorang rakannya dikatakan terpijak hujung batang besi berkenaan menyebabkan ia melantun ke atasnya.

Huguan bersama rakannya ketika itu dikatakan bermain di luar sekolah selepas tamat persekolahan sesi pagi, kira-kira jam 12.40 tengah hari.

Mangsa dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) selepas batang besi itu tidak dapat dikeluarkan oleh orang ramai serta anggota Bomba dan Penyelamat.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun, berkata kejadian disedari oleh orang awam di kawasan terbabit sebelum menghubungi bomba yang kemudian mengiringi mangsa ke hospital selepas besi berkenaan tidak dapat dikeluarkan.

Jalani pembedahan
Katanya, mangsa yang dipindahkan ke Hospital Kanak-Kanak Kota Kinabalu di Likas, menjalani pembedahan mengeluarkan besi berkenaan jam 3.55 petang dan berakhir jam 4.30 petang.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendy K Ramin, berkata pihaknya menerima panggilan jam 12.51 tengah hari sebelum menghantar sepasukan anggota ke lokasi, namun tidak melakukan sebarang operasi dan hanya mengiringi kenderaan orang awam yang membawa mangsa ke hospital.

Seorang pengawal keselamatan sekolah berkenaan berkata, ketika kejadian beliau mengawal lalu lintas di luar kawasan sekolah sebelum ibu kepada seorang murid memaklumkan berhubung kejadian itu.

"Tanpa berlengah, saya ke tempat kejadian dan mendapati seorang murid sedang terduduk dengan sebatang besi menembusi pipinya. Mangsa kelihatan lemah dan cuba mengeluarkan batang besi berkenaan, namun saya menenangkannya supaya tidak banyak bergerak," katanya yang enggan dikenali.

Katanya, pada mulanya batang besi itu masih bersambung pada penutup parit yang sudah berkarat dan hampir reput, sebelum mematahkan dengan menggerakkan batang besi berkenaan.

Tragedi MH370: Ribut petir halang pencarian

Posted: 21 Apr 2014 04:11 PM PDT

Tragedi MH370: Ribut petir halang pencarianDron laut dalam (AUV) Bluefin-21, mengakhiri misi lapan harinya semalam. - Foto Reuters

Perth: Keadaan cuaca terutama di utara kawasan pencarian pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di Lautan Hindi merosot semalam, ekoran gangguan Taufan Tropika Jack.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang memantau operasi pencarian, berkata ramalan cuaca menunjukkan hujan dengan ribut petir sekali sekala sedang bergerak ke utara berserta angin timur tenggara.

JACC berkata, usaha pencarian diteruskan memasuki hari ke-45 semalam dengan penyertaan 10 pesawat tentera dan 11 kapal.

"Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) merancang pencarian secara visual di kawasan kira-kira 49,491 kilometer persegi, yang titik tengahnya terletak kira-kira 1,741 kilometer di barat laut Perth," katanya.

Sementara itu dron laut dalam (AUV) Bluefin-21, mengakhiri misi lapan harinya semalam, selepas membuat pemetaan dasar laut kira-kira dua pertiga daripada kawasan pencarian tanpa menemui sebarang tanda pesawat yang hilang di situ.

Sabtu lalu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pencarian segera di kawasan yang sedang dipantau Bluefin-21 dijangka selesai minggu depan.

Beliau berkata, kini tiba masanya pihak yang terbabit dalam pencarian itu, mempertimbang dan membincangkan pula penggunaan kapal selam.
Perdana Menteri Australia, Tony Abbott, sebelum ini turut berkata operasi mencari akan dikaji semula, sekiranya tidak ada perkembangan baharu 'dalam beberapa hari lagi'.

Bluefin-21 memulakan tugas sejak 8 April lalu, dalam usaha mencari serpihan MH370, ekoran tiada lagi isyarat disahkan dikesan oleh penjejak kesan ping yang dikeluarkan kotak hitam, Towed Pinger Locator (TPL).

Bluefin-21 menggunakan bunyi akustik untuk mencipta peta 3D di dasar laut, yang akan memakan masa minimum 24 jam untuk menghabiskan setiap misi, termasuk empat jam memuatkan data yang dikumpul. - BERNAMA

EXCO nafi spekulasi ganti Ahmad

Posted: 21 Apr 2014 04:09 PM PDT

EXCO nafi spekulasi ganti AhmadRozi (kiri) menyerahkan watikah pelantikan kepada ketua kontingen dan juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Mohd Mahdi Musa pada Majlis Perjumpaan Bapa Angkat dan Jabatan Angkat SUKMA 2014 di Kuala Terengganu, semalam. - Foto Aswadi Alias

Kuala Terengganu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Rozi Mamat menafikan dakwaan kononnya beliau bakal menggantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri tampil menafikan spekulasi 'Rozi Mamat ganti Ahmad Said MB Terengganu?' yang tersebar di beberapa laman sosial sejak kelmarin dan menyifatkannya sebagai khabar angin.

"Ini sebenarnya spekulasi politik yang tidak pernah berhenti dari dahulu hingga sekarang yang berlaku di Terengganu.

"Saya harap mereka yang menaburkan cerita palsu ini supaya menghentikannya kerana ia tidak sepatutnya berlaku dan ia boleh mengeruhkan keadaan.

"Sebagai orang Islam, jika kita tidak mampu menjadi garam di lautan, jangan jadi langau yang boleh memburukkan keadaan," katanya yang ditemui selepas Majlis Perjumpaan Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Sukan Malaysia (SUKMA) 2014 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas laporan laman sosial yang mendakwa memetik sumber yang boleh dipercayai, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bakal membuat penukaran Menteri Besar Terengganu tidak lama lagi.

Isu kroni, singkir lawan
Kenyataan itu berkata, Ahmad dijanjikan dengan satu jawatan baharu, tetapi belum dipastikan.

Artikel itu turut mengaitkan pertukaran itu berpunca daripada laporan 'geng Idris Jusoh' yang menyebut Ahmad membentuk kroni dan menyingkir lawannya secara halus di semua peringkat serta ADUN Kijal itu juga dikatakan tidak menghormati perjanjian perdamaian antara dua puak yang diusahakan oleh UMNO Pusat sebelum ini.

Sumber itu berkata, Ahmad dikatakan secara terang-terang mencabar beberapa arahan pimpinan atasan UMNO, malah kadang kala dikatakan seolah memperli pula dalam tindakannya.

Sementara itu, Ahmad tidak dapat dihubungi untuk mengulas kenyataan itu.

Setiausaha Akhbarnya, Rosli Zakaria yang dihubungi berkata, beliau dimaklumkan bahawa Ahmad enggan mengulas spekulasi itu.