Tindakan tegas bocor rahsia kerajaan: KSN

Tindakan tegas bocor rahsia kerajaan: KSN


Tindakan tegas bocor rahsia kerajaan: KSN

Posted: 13 Apr 2014 02:42 PM PDT

Putrajaya: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa memberi amaran, kakitangan awam yang membocorkan rahsia kerajaan akan dikenakan tindakan tegas, termasuk dipecat.

Beliau berkata, mereka bertanggungjawab menjaga rahsia kerajaan mengikut Surat Pekeliling Am dan Arahan Keselamatan Kerajaan.

Teliti jenis rahsia

"Ada tindakan yang boleh diambil terhadap mereka mengikut pekeliling berdasarkan keselamatan pejabat.

"Kita perlu tengok jenis rahsia yang dibocorkan dan bagaimana kebocoran itu berlaku," katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Ironman 70.3 Putrajaya di sini, semalam. Yang turut hadir, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat.

Ali berkata demikian ketika diminta mengulas dokumen tidak sah berhubung lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Emiriah Arab Bersaru (UAE) pada 8 April lalu, yang dipercayai dibocorkan pihak tertentu.

Sebelum itu, Ahli Parlimen DAP mempersoalkan lawatan Timbalan Perdana Menteri ke Dubai yang didakwa tidak memberi manfaat kepada rakyat berikutan tugas rasmi Muhyiddin hanya beberapa jam dan masa selebihnya digunakan untuk bermain golf.
Bukan jadual sebenar

Bagaimanapun, Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam satu kenyataan menegaskan, ia bukan jadual sebenar lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri ke Dubai, sebaliknya adalah draf awal yang masih dalam perbincangan dan tidak dimuktamadkan.

Sementara itu, Ali berkata, beliau berbangga dengan usaha PPj yang diterajui oleh Aseh dengan membawa pelbagai program menarik termasuk bertaraf antarabangsa ke Putrajaya.

Seramai 1,096 individu dan 56 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan Ironman 70.3 Putrajaya, semalam, yang membabitkan acara renang sejauh 1.9 kilometer (km), berbasikal (90 km) dan berlari (21.1 km).

Bincang hak jaga kotak hitam

Posted: 13 Apr 2014 02:39 PM PDT

Bincang hak jaga kotak hitam

uala Lumpur: Malaysia sedang berbincang dengan pihak berkuasa berkaitan dan pakar mengenai siapa sebenarnya yang berhak menjaga kotak hitam penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail kini berada di United Kingdom untuk membincangkan perkara itu, termasuk dengan agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

"Peguam Negara kini di UK (United Kingdom) berbincang dengan pihak berkuasa berkaitan seperti ICAO dan pakar yang terbabit, berdasarkan undang-undang tempatan dan antarabangsa, siapa sebenarnya yang mempunyai hak penjagaan ke atas kotak hitam itu," katanya selepas melawat tapak pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA), di sini semalam.

Boeing 777-200ER itu didaftarkan di Malaysia dan dimiliki MAS. Mengikut Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa, negara asal pesawat itu, Malaysia perlu melakukan siasatan dan mendapatkan serpihan pesawat.
Bagaimanapun, Malaysia sudah meminta Australia untuk mengetuai pencarian pesawat itu di selatan Lautan Hindi.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Penyokong Liverpool beri semangat

Posted: 13 Apr 2014 02:38 PM PDT

Kuala Lumpur: Sokongan moral, doa dan perhatian masyarakat dunia terhadap keluarga penumpang serta anak kapal MH370 masih utuh meskipun pencarian pesawat malang berkenaan, masuk hari ke-37 semalam.

Begitu juga dengan semangat anggota operasi mencari di selatan Lautan Hindi yang membabitkan 26 negara, kekal membara tatkala setiap penemuan petunjuk baharu gagal dikaitkan dengan pesawat berkenaan, sejak ia dilaporkan hilang 8 Mac lalu.

Kegigihan dan komitmen yang ditunjukkan pasukan mencari dalam operasi multinasional terbesar itu secara tidak langsung memberi harapan kepada setiap keluarga penumpang serta anak kapal untuk dipertemukan kembali dengan insan tersayang dalam pesawat berkenaan walau dalam apa keadaan sekali pun.

Kelmarin, kelab penyokong bola sepak Liverpool, menghadiahkan jersi kelab berkenaan kepada anak ketua pramugara MH370, Andrew Peter Nari, iaitu Maira Elizabeth, 18. Lebih manis, di belakang jersi merah terbabit turut disulam nama ayahnya yang juga penyokong kelab tersohor dunia itu.

"Ayah... kami akan simpan jersi ini untuk kamu. Jika ditentukan, akhirnya ayah pulang juga, kami nak ayah pakai jersi ini kerana kamu tidak berjalan sendirian.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Sultan Mizan turut berdoa

Posted: 13 Apr 2014 02:36 PM PDT

Kuala Terengganu: Kehilangan pesawat MH370 turut mendapat perhatian sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, apabila Sultan Mizan Zainal Abidin merakamkan doa dan penghargaan kepada usaha kerajaan menjalankan operasi mencari pesawat terbabit.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan perasmian pembukaan penggal kedua persidangan berkenaan di Wisma Darul Iman, di sini semalam. Turut hadir, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Harap spekulasi terungkai

Sultan Mizan antara lain berharap segala spekulasi mengenai kehilangan pesawat itu segera terungkai menerusi operasi mencari yang sedang berjalan, dan merakamkan penghargaan kepada segala usaha oleh kerajaan Pusat dengan bantuan pelbagai negara dalam menjayakan misi berkenaan.

"Beta berdoa ke hadrat Allah Yang Maha Esa dan Maha Mengetahui, dimakbulkan doa rakyat Malaysia (supaya) jayakan operasi mencari, sekali gus merungkai segala spekulasi. Beta berdoa supaya Allah meringankan beban keluarga mereka yang terbabit, semoga diberi kekuatan menghadapi dugaan Allah ini dengan penuh keredaan dan tabah," titah baginda.

Dalam perkembangan lain, Sultan Terengganu melahirkan rasa puas hati apabila pertumbuhan ekonomi negeri berkembang pada kedudukan berdaya tahan sepanjang tahun 2013 dengan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM20.2 bilion.

"Dengan pengekalan yang kukuh melalui asas ekonomi domestik, pelaburan swasta serta pasaran tenaga kerja yang stabil, dijangkakan pertumbuhan ekonomi negeri terus positif tahun ini. Kadar pengangguran pada tahun lalu sebanyak 3.3 peratus boleh dikurangkan lagi sehingga 2.5 peratus dalam tahun semasa.
"Kadar inflasi yang sederhana dan terkawal (sehingga) Disember tahun lalu juga membolehkan pertumbuhan ekonomi negeri berada dalam keadaan kukuh dan mapan.

"Keadaan ini akan lebih bermakna jika kemajuan pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan supaya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Beta," titah baginda.

Kenal pasti strategi

Sehubungan itu, Sultan Mizan berharap kerajaan negeri terus memberi penekanan dalam mengenal pasti strategi, kelemahan, peluang dan halangan, khususnya dari aspek urus tadbir ekonomi ke arah mencapai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

"Rakyat juga harus memainkan peranan positif memacu negeri ke tahap lebih gemilang sebagai negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020," titah baginda yang turut mengumumkan program baru dirancang kerajaan negeri, iaitu 'Jom Kite Nanam' bagi membantu rakyat terpilih mengusahakan aktiviti pertanian.

Menerusi program itu, peserta akan diberi input pertanian bagi mengeluarkan hasil tani, sekali gus membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah serta kebergantungan kepada bahan mentah dari luar.
Hasil berkenaan juga boleh dijual oleh peserta melalui koperasi di kawasan masing-masing, sekali gus menjadi sumber pendapatan tambahan mereka.

‘Blue Wave’ lawan ‘Red Bean’

Posted: 13 Apr 2014 02:34 PM PDT

Kuala Lumpur: Tentera siber dengan gelaran `Blue Wave Army' (BWA) akan ditubuhkan bagi menjawab fitnah yang disebarkan Red Bean Army (RBA) yang dikaitkan dengan pakatan pembangkang.

Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan Barisan Nasional (BN), Datuk Ahmad Maslan, berkata penubuhan BWA bagaimanapun masih di peringkat cadangan, namun ia dilihat sebagai saluran efektif untuk memberi penjelasan yang sahih kepada masyarakat berkaitan apa saja isu.

"Kewujudan tentera siber parti juga dapat memberikan penjelasan yang sahih kepada masyarakat dalam isu yang sering diputarbelitkan pembangkang seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Paling utama, kita tidak akan ikut cara mereka (RBA).

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

PKR berdolak-dalik isu hudud PAS

Posted: 13 Apr 2014 02:32 PM PDT

Kuala Lumpur: Kepemimpinan PKR gagal menyatakan pendirian dan terus berdolak-dalik berhubung keputusan kerajaan PAS Kelantan mahu membawa usul memohon Parlimen meluluskan rang undang-undang berkaitan hudud.

Ketika diminta menyatakan pendirian parti itu sama ada mahu bersama sekutunya atau tidak, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebaliknya meminta PAS merujuk kembali kepada pendirian yang dipersetujui Majlis Presiden pakatan pembangkang.

Pada sidang media di ibu pejabat PKR semalam, Ahli Parlimen Gombak itu menyatakan pendiriannya bahawa isu hudud tidak sepatutnya dibangkitkan semula memandangkan ia pernah dibincang dalam majlis berkenaan, yang turut diwakili Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau menjelaskan apa yang diputuskan pada majlis berkenaan wajar dijadikan rujukan untuk diterima semua rakan sekutu dalam pakatan berkenaan.

"Perkara ini (isu hudud) tidak berbangkit. Pernah sebelum ini dibincang Majlis Presiden (dan) dihadiri sendiri Datuk Seri Abdul Hadi.

"Panjang lebar (pandangan yang diberi), pendirian telah diambil pakatan (berhubung hudud) dalam majlis itu," katanya.

DAP konsisten tolak hudud
DAP pula konsisten sejak awal lagi menolak hudud dan agenda negara Islam dibawa PAS.

Ketua Publisiti DAP, Tony Pua dan Naib Presiden PKR, N Surendran sebelum ini turut memberi peringatan keras kepada PAS bahawa hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pembangkang dan cubaan membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen akan ditentang.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memaklumkan komitmen kerajaan negeri itu untuk tetap membentangkan rang undang-undang persendirian Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan atau hukum hudud biarpun menerima tentangan.

Di Kota Bharu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyifatkan kegagalan PAS menjelaskan secara terperinci mengenai rang undang-undang berkenaan kepada semua Ahli Parlimen boleh mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.

Beliau berkata, PAS perlu mempunyai satu pendekatan penerangan yang terperinci mengenai isu itu dengan membabitkan semua anggota Parlimen termasuk bukan Islam.

Perlu difahami semua pihak

"Dalam isu membentangkan usul itu (di Parlimen), harus pastikan sudah wujud satu kefahaman yang sama antara semua anggota Parlimen dan jangan berlaku reaksi berbeza kerana kalau silap, buruk padahnya nanti.

"Usul seperti ini harus difahami sepenuhnya oleh semua pihak (Ahli Parlimen Islam dan bukan Islam) supaya ia tidak menimbulkan pelbagai polemik yang boleh mencetuskan konflik di kalangan rakyat pelbagai kaum nanti," katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pendirian DAP yang tetap menolak hudud membuktikan PAS menipu diri sendiri bahawa parti itu sudah menerima perjuangan mereka ketika menyertai pakatan sebelum ini.