Kapal kesan isyarat ‘ping’

Kapal kesan isyarat ‘ping’


Kapal kesan isyarat ‘ping’

Posted: 05 Apr 2014 04:30 PM PDT

Kapal kesan isyarat ‘ping’

Perth: Kapal peronda China yang dalam misi mencari pesawat MH370 mengesan isyarat di selatan Lautan Hindi semalam, mungkin petunjuk isyarat dari kotak hitam sebuah pesawat, lapor agensi berita Xinhua.

Sebuah pengesan kotak hitam digunakan kapal Haixun 01 mengesan isyarat 'ping' di sekitar 25 darjah latitud selatan dan 101 darjah longitud timur, kata Xinhua. Bagaimanapun, masih belum disahkan sama ada ping berkenaan ada kaitan dengan MH370 yang hilang.

Xinhua juga melaporkan pesawat tentera udara China ternampak beberapa objek putih terapung di kawasan pencarian.

Pencarian paling intensif

Pencarian yang dilancarkan semalam adalah yang paling intensif di selatan Lautan Hindi, sebelum kotak hitam itu dipercayai akan 'hilang' isyarat akibat kehabisan bateri.

Sejumlah 10 pesawat tentera, tiga jet awam dan 11 kapal cuba meredah 217,000 kilometer persegi lautan sepi sejauh 1,700 kilometer di barat laut Perth berhampiran lokasi di mana penyiasat percaya pesawat itu berakhir bulan lalu.

"Jika kita tidak menemui apa-apa dalam masa enam minggu kami akan teruskan juga kerana ada banyak benda di dalam pesawat (tenggelam) yang akan terapung," kata ketua agensi Australia yang menyelaraskan operasi, Angus Houston kepada pemberita.
Alat pengesan

Berpuluh penerbangan dilakukan oleh pasukan petugas multinasional dan setakat ini belum mendapat sebarang kesan daripada pesawat malang terbabit.

Pihak berkuasa Australia berkata alat Pengesan Pinger Ditunda (Towed Pinger Locator) akan ditarik di belakang kapal tentera laut HMAS Ocean Shield, bersama dengan kapal kajian hidrografi British HMS Echo.

REUTERS

KL-Hanoi setuju wujud perkongsian strategik

Posted: 05 Apr 2014 04:26 PM PDT

Datuk Seri Najib Razak menyifatkan lawatan rasmi tiga hari beliau ke Vietnam berakhir semalam, sebagai berjaya apabila kedua-dua negara sepakat mewujudkan perkongsian strategik.

Pada sidang media bersama wartawan Malaysia sebelum berlepas pulang ke tanah air, Perdana Menteri berkata:

"Kita setuju supaya Menteri Luar kedua-dua negara mengadakan perbincangan dalam tempoh terdekat untuk memperincikan butiran rangka kerja perkongsian strategik berkenaan."

Katanya, perkongsian strategik itu dijangka ditandatangani ketika lawatan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung sama ada tahun ini atau awal tahun depan.

Sasar dagangan RM35.75b

Beliau berkata, ini penting untuk kedua-dua negara mencapai sasaran nilai dagangan bersama AS$11 bilion (RM35.75 bilion) menjelang 2015.

Serentak itu, beliau meminta pelabur Malaysia merebut peluang daripada dasar Vietnam yang menggalakkan pelaburan asing terutama dalam minyak dan gas, pelancongan dan hartanah.
"Saya dimaklumkan dalam dialog dengan kapten industri tadi (semalam) bahawa Vietnam dalam proses penswastaan 500 syarikat kerajaan secara berperingkat.
"Sudah tentu dalam proses ini ada peluang untuk syarikat Malaysia mengambil peluang dalam bidang atau jenis perniagaan yang diswastakan," katanya.

Dalam lawatan itu, Najib ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Turut serta Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu, katanya, syarikat Malaysia perlu mengetahui secara mendalam sistem yang diguna pakai di republik berkenaan.

Cari rakan niaga

Perdana Menteri juga meminta usahawan Malaysia mencari rakan perniagaan yang sesuai supaya dapat memperoleh kelulusan dengan lebih segera.

Katanya, satu daripada hambatan ialah peraturan di sini agak berbeza dan mereka perlu melalui kelulusan pelbagai peringkat yang menuntut kepada usaha lebih untuk mendapat kelulusan.

Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Vietnam juga bersetuju meluaskan kerjasama dalam bidang pertanian dengan memeterai perjanjian persefahaman (MoU).

Katanya, melalui kerjasama itu kerajaan berharap lebih ramai pelajar Vietnam ke Malaysia, meningkatkan pelancong dari Vietnam serta bersetuju mengkaji semula MoU mengenai tenaga kerja supaya menjamin kebajikan pekerja Vietnam di Malaysia.

"Malaysia juga meningkatkan kerjasama bidang pertahanan dan keselamatan antara agensi pertahanan terutama dalam perkongsian maklumat perisikan dan keselamatan," katanya.

Mengenai isu nelayan Vietnam yang ditahan pihak berkuasa Malaysia, Najib berkata, beliau mengambil maklum perkara dibangkitkan kepimpinan republik itu.

Sukarnya menjejaki MH370

Posted: 05 Apr 2014 04:23 PM PDT

Sebaik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi pada 24 Mac lalu, saya bersama wartawan New Straits Times dan Harian Metro diarah ke Perth di mana operasi mencari di lautan itu diselaras. Pada awal pagi 26 Mac, kami sudah berada di Perth dan tidak sampai enam jam kemudian kami berada di Pangkalan Tentera Udara Australia (RAAF) Pearce yang menjadi pusat penyelarasan antara operasi terbesar zaman moden ini.

Hampir semua media utama dunia berada di situ dengan khemah masing-masing, bersedia untuk perjuangan yang lama. Dalam masa 11 hari di sini, saya melihat satu operasi multinasional yang benar-benar melangkaui perbezaan dan ideologi politik, diselaras dengan begitu berkesan untuk mencari MH370 di kawasan yang pada mulanya hampir berjuta kilometer persegi kepada terkini 217,000 kilometer persegi.

'Objek' beri harapan baharu

Ada kalanya ia menjadi sedikit kalut, khususnya apabila berita mengenai satelit Perancis, Thailand, China dan Amerika Syarikat (AS) mengesan beratus objek di kawasan carian. Setiap kali mendapat khabar sebegitu, ia memberi harapan baharu, bukan saja kepada kami atau keluarga penumpang, juga kepada beribu anggota tentera yang menyertai operasi mencari setiap hari.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Hukuman serta-merta jika tiada lesen

Posted: 05 Apr 2014 04:20 PM PDT

Kuala Lumpur: Tiada lagi amaran atau maaf! Sebaliknya hukuman serta-merta akan dikenakan terhadap mana-mana syarikat atau individu yang didapati tidak memiliki lesen sah dan cuba menipu ketika menjalankan urus niaga dalam talian.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek, berkata ingatan itu sebagai menunjukkan pihaknya memandang serius peningkatan aduan daripada pengguna berkaitan salah laku dalam perniagaan terbabit.

Katanya, kes dilaporkan seperti direkod Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan e-aduan KPDNKK turut meningkat, sekali gus membuktikan masalah ini semakin berleluasa.

Semak dulu status syarikat

"Sebab itu kita gesa pengguna, jika mahu beli barangan secara online (dalam talian), periksa dan semak dulu status syarikat sama ada ia sudah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau tidak.

"Kalau tiada (daftar dengan SSM), kita nasihatkan jangan (berurus niaga) kerana mungkin anda akan berdepan risiko ditipu," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2014 di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik dan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad.
Mengulas lanjut, Hasan berkata, individu yang ditipu perlu segera membuat aduan dan mengemukakan bukti kepada KPDNKK menerusi e-aduan atau TTPM bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Mereka yang melakukan kesalahan itu boleh disiasat mengikut Seksyen 12 (1)(a) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

BH sebelum ini melaporkan kes penipuan urus niaga dalam talian meningkat. Tahun lalu, sebanyak 1,891 kes dilaporkan membabitkan kerugian RM6.2 juta, bertambah 140 kes berbanding 1,751 kes pada 2012 dengan kerugian RM17 juta.

KPDNKK menerusi e-aduan turut mencatatkan peningkatan kes pada tahun lalu iaitu 706 kes berbanding 212 kes pada 2012. Kebanyakan mangsa berusia antara 18 tahun hingga 25 tahun iaitu golongan belia, menetap di bandar, terlalu sibuk dan bekerjaya.

Hasan mengakui masih ada syarikat atau individu menjalankan operasi tanpa lesen dikeluarkan SSM termasuk perniagaan gores dan menang, biarpun sudah diberi peringatan.

‘Syak ada kaitan orang dalam’

Posted: 05 Apr 2014 04:18 PM PDT

Lahad Datu: Operasi besar-besaran bagi mengesan pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen sah di pulau peranginan di Zon Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSZONE) akan dilakukan bagi memburu individu yang berpotensi menjadi tali barut.

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Mohammad Mentek, berkata operasi itu akan dilakukan di pulau peranginan yang sudah dikenal pasti dalam masa terdekat ini.

"Tindakan ini diambil susulan kes penculikan di Singamata Reef Resort, pada Rabu lalu. Berdasarkan maklum balas dan risikan ESSCOM serta modus operandi penculik, kumpulan itu kelihatan mengetahui keadaan resort termasuk penghuninya.

"ESSCOM mengesyaki ada pembabitan orang dalam khususnya orang tempatan berasal dari Filipina, yang memberi maklumat awal kepada penculik berkenaan.

"Saya turut mengulangi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap majikan atau pengusaha resort di kawasan ESSZONE yang mengambil pekerja asing tanpa dokumen yang sah," katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kabinet sudah mengarahkan tahap siap siagaan anggota keselamatan, risikan termasuk keselamatan awam di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dipertingkatkan.

Pandang serius
Beliau berkata, jemaah menteri yang bermesyuarat kelmarin, memandang serius kes penculikan dua wanita rakyat asing di sebuah pusat peranginan di perairan Semporna, Sabah, malam Rabu lalu.

"Kita pandang berat isu penculikan ini yang berulang semula walaupun selepas ESSCOM ditubuhkan di kawasan berkenaan," katanya selepas melancarkan program PISH di Kolej Komuniti Ledang, di sini semalam.

Katanya, Kabinet sudah mengarahkan pengurusan ESSCOM memberi taklimat kepada jemaah menteri mengenai kes penculikan itu dalam mesyuarat seterusnya.

Sementara itu, di Kota Kinabalu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata tindakan tegas perlu diambil terhadap pengusaha resort yang gagal memastikan setiap pekerjanya memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, pengusaha resort juga perlu memeriksa dan memastikan setiap pekerjanya berdaftar dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Arahan untuk memeriksa setiap resort sudah dikeluarkan pada Jumaat (kelmarin) menerusi Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Sabah, selepas menerima laporan ada pengusaha resort yang masih mempunyai pekerja tanpa dokumen sah.

"Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana dalam mesyuarat bersama semua pengusaha resort di pulau pada awal tahun lalu, setiap pengusaha perlu tahu latar belakang pekerja terutama pekerja asing," katanya.

Kerajaan sedia pinjaman RM50 juta

Posted: 05 Apr 2014 04:14 PM PDT

Sandakan: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menyediakan RM50 juta pinjaman kepada bekas pelatih GiatMara sebagai modal memulakan perniagaan.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pinjaman disediakan khusus kepada bekas pelatih yang minat berniaga dalam bidang latihan berkaitan kemahiran yang diperoleh ketika belajar di GiatMara.

Katanya, dana itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan membantu belia supaya menceburkan diri dalam perniagaan seterusnya menjana pendapatan sendiri.

"Kerajaan bukan hanya memberi latihan dan bimbingan, malah memastikan mereka mendapat peluang menjana pendapatan hasil latihan yang disediakan," katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Latihan 1Malaysia, semalam.

Tidak perlu cagaran

Menurutnya, pinjaman dengan nilai maksimum RM10,000 seorang dan tidak memerlukan cagaran. Dana itu dijangka memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 5,000 bekas pelatih.

Sementara itu, Shafie menasihatkan golongan muda di luar bandar tidak berhijrah ke bandar supaya mereka dapat membangunkan kawasan setempat.
Katanya, kawasan luar bandar tidak akan membangun jika anak muda berhijrah ke tempat lain.

GiatMara Sabah memulakan operasi pada Januari tahun 1986, kini mempunyai lebih 70 pusat latihan di seluruh negeri itu.

Dalam perkembangan lain, Shafie berkata, kerajaan juga meluluskan projek bernilai lebih RM3 juta untuk membina bangunan latihan baharu di Sandakan dan pembinaannya akan dimulakan pada Julai ini.
BERNAMA