LAWATAN BERSEJARAH OBAMA

LAWATAN BERSEJARAH OBAMA


LAWATAN BERSEJARAH OBAMA

Posted: 26 Apr 2014 02:30 PM PDT

gambar sebelum  gambar berikut

Foto

Foto

YANG di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyampaikan titah ucapan pada Majlis Jamuan Negara meraikan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia di Istana Negara, malam tadi. Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (kiri). - Foto BERNAMA

Presiden AS gesa manfaat kepelbagaian etnik untuk maju

Kuala Lumpur: Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama berkata, Malaysia boleh mencari kekuatan daripada kepelbagaian etnik dan agama rakyatnya serta harapan yang terlakar dalam sejarah untuk mengukir masa depan yang lebih cerah bagi generasi akan datang.

Berucap pada majlis jamuan negara di Istana Negara, malam tadi sempena lawatan negara tiga hari beliau ke Malaysia, Obama berkata walaupun Amerika dan Malaysia adalah dua negara berbeza, namun rakyatnya berkongsi harapan dan hasrat yang sama.

Ikuti berita penuh dalam BHAhad hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Perkenal Cyberjaya peringkat global

Posted: 26 Apr 2014 02:08 PM PDT

Cyberjaya: Lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama ke Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) hari ini secara tidak langsung akan memperkenalkan Cyberjaya ke peringkat global.

Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd, Faris Yahaya, berkata lawatan berkenaan juga mampu menarik lebih ramai pelabur dari AS untuk meneroka peluang perniagaan di Malaysia.

Profil antarabangsa

"Malah lawatan beliau (Obama) ke sini juga akan memberi satu titik aras bahawa Cyberjaya mempunyai profil antarabangsa.

"Sehingga kini sudah ada 43 syarikat teknologi yang bertapak di Cyberjaya, 21 daripadanya milik syarikat AS, oleh itu kita berharap lawatan Obama akan menguatkan lagi kepercayaan pelabur AS terhadap Cyberjaya," katanya kepada pemberita pada Majlis Magic Run di sini, semalam.

Faris juga meluahkan rasa bangga apabila Cyberjaya dipilih sebagai salah satu daripada kawasan yang akan dilawati Obama sepanjang tiga hari lawatannya ke Malaysia.

Kawasan strategik riadah
Mengulas mengenai program berkenaan, Faris berkata, acara itu diadakan untuk memperkenalkan Cyberjaya kepada masyarakat yang sering kali menganggap kawasan berkenaan hanya menempatkan syarikat teknologi.

Katanya, selepas program berkenaan dianjurkan, rata-rata mereka baru mengetahui bahawa Cyberjaya juga mempunyai taman perumahan dan kawasan strategik untuk beriadah.

AS sedia bantu rungkai misteri pesawat MH370

Posted: 26 Apr 2014 02:06 PM PDT

Kuala Lumpur: Presiden Barack Obama menyatakan kesediaan Amerika Syarikat (AS) membantu Malaysia dalam merungkai misteri kehilangan pesawat MH370.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata jaminan itu diberi Presiden AS dalam pertemuan ringkas sejurus ketibaannya bagi lawatan rasmi ke negara ini, semalam.

"Beliau akui cabaran dan laluan berliku yang menanti (dalam mengesan pesawat MH370). Kita akan bekerjasama dan Amerika sedia membantu.

Beliau akui cabaran dan laluan berliku yang menanti (dalam mengesan pesawat MH370). Kita akan bekerjasama dan Amerika sedia membantu" Hishammuddin Hussein, Pemangku Menteri Pengangkutan


"Saya gembira mendengar perkara ini kerana perjalanannya memang panjang," katanya seperti dilaporkan AFP.

Pertemuan ringkas itu berlangsung ketika majlis sambutan negara di Dataran Parlimen.

Jadi keutamaan AS

Sebelum ini, dalam satu kenyataan Obama berkata, pihaknya meletakkan pencarian MH370 yang hilang sebagai keutamaan AS dengan Malaysia sudah berkongsi bukti dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
Malah, Obama berkata doanya adalah bersama waris penumpang yang sedang bersedih dan marah.

"Saya mahu mereka diberi jaminan bahawa kami menganggap situasi ini sebagai satu keutamaan," katanya dalam satu temu bual televisyen di Rumah Putih, baru-baru ini.

Sementara itu, Duta Khas Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis, berkata kedatangan Obama ke Malaysia adalah satu pengiktirafan kepada usaha dan kejayaan kerajaan membangunkan negara ini.

Katanya, lawatan itu juga dilihat sebagai satu penghormatan dari sebuah negara besar kepada Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

"Ini ialah penghormatan kepada rakyat Malaysia kerana dunia besar mengiktiraf kita, sebuah negara Islam. Akhirnya ada pengiktirafan dunia kepada usaha (membangunkan negara) yang dibuat oleh kerajaan sejak merdeka," katanya ketika ditemubual dalam rancangan Ruang Bicara terbitan BernamaTV, di sini, semalam.

"Kalaulah negara kita mundur, tak berjaya, berperang, ekonomi teruk, atau bermasalah, adakah Presiden AS mahu pergi?.

"Dia (Obama) datang ke Malaysia sudah tentu kerana kejayaan negara kita dari segi ekonomi, keamanan dan mempunyai sistem demokrasi yang baik," katanya sambil menegaskan kunjungan presiden itu tidak harus dipolitikkan, sebaliknya perlu dilihat dari aspek positif.

Jalan tidak ditutup: Polis

Posted: 26 Apr 2014 01:56 PM PDT

Kuala Lumpur: Polis tidak bercadang untuk membuat sebarang penutupan jalan sepanjang lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di Malaysia.

Bagaimanapun, pengguna jalan raya diminta memberikan kerjasama kepada Pasukan Trafik bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di lokasi yang menjadi tumpuan lawatan Presiden AS ke-44 itu.

Ketua Polis Trafik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Fuad Abdul Latiff, berkata pihaknya akan mengawal lalu lintas sepanjang lawatan Obama bagi melancarkan perjalanannya dari satu lokasi ke lokasi lain.

"Sekali sekala lalu lintas akan dihentikan sementara waktu bagi melancarkan perjalanan Obama, namun tidak lebih daripada apa yang diperlukan," katanya ketika dihubungi semalam.

Obama tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, semalam kira-kira jam 4 petang sebelum meneruskan lawatannya selama tiga hari di negara sebelum dijadualkan berangkat ke Filipina, Isnin ini.

Laksana hudud hak PAS: Hadi

Posted: 26 Apr 2014 01:47 PM PDT

Ketetapan pakatan pembangkang dibuat sebelum wujud PKR

Kota Bharu: Majlis Presiden Pakatan Pembangkang 2011 sebulat suara memutuskan pelaksanaan hudud adalah hak PAS sekali gus menafikan kenyataan pemimpin PKR yang mengaitkannya dengan penolakan hukum itu.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, berkata hak parti itu melaksanakan hudud perlu dihormati kerana ketetapan itu diambil sebelum PKR diwujudkan.

PAS sedia memberi penjelasan kepada semua pihak termasuk pemimpin Barisan Nasional (BN) dan PKR bagi mengelak timbul percanggahan" Hadi Awang, Presiden PAS


"Kenyataan kononnya Majlis Presiden memutuskan hudud tidak dilaksanakan adalah tidak benar kerana ia tidak dibincangkan sama sekali.

"Malah, pakatan pembangkang memperakui ia adalah hak PAS.

Sedia beri penjelasan

"PAS sedia memberi penjelasan kepada semua pihak termasuk pemimpin Barisan Nasional (BN) dan PKR bagi mengelak timbul percanggahan.
"Soal bila (penjelasan) akan dibuat tidak boleh ditanya satu pihak (PAS) saja kerana bertepuk tangan sebelah tidak akan berbunyi.

"Sebaliknya, ia memerlukan kesanggupan kedua-dua pihak," katanya kepada sidang media selepas menghadiri majlis mengumpul dana Wisma Ilmuwan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Bertentangan Azmin

Kenyataan Abdul Hadi itu jelas bertentangan dengan kenyataan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, yang menegaskan PKR tetap berpendirian pelaksanaan hukum hudud tidak pernah menjadi kesepakatan pembangkang.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, ketika mengulas kenyataan Hadi itu, menyatakan kesediaan mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu hudud.

Elak beza pendapat

Katanya, ia penting supaya perbezaan pendapat tidak berlaku, manakala jurang dan kefahaman berhubung pelaksanaan hudud dapat difahami sepenuhnya.

"Selepas berbincang, barulah kita boleh merancang apa tindakan seterusnya.

"Selagi tiada pertemuan itu, saya rasa tidak sesuai untuk kita teruskan rancangan sebelum ini," katanya.

Anjur Hari Belia di peringkat daerah, negeri

Posted: 26 Apr 2014 01:43 PM PDT

Seremban: Sambutan Hari Belia Negara yang dianjurkan sebelum ini dianggap tidak sampai ke peringkat akar umbi kerana hanya memberi tumpuan terhadap penganjuran acara di Putrajaya.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata kali ini pihaknya memberi penekanan kepada penganjuran sambutan Hari Belia di peringkat daerah dan negeri sebelum acara kemuncak diadakan di Putrajaya.

"Tahun ini, kita buat beberapa pembaharuan dengan matlamat 'mengakar-umbikan' sambutan Hari Belia. Kita mahu sambutan dimulakan di peringkat daerah dan negeri sebelum disambut di Putrajaya.

"Pendekatan ini perlu dilakukan kerana sambutan sebelum ini terlalu banyak bertumpu di Putrajaya. Kali ini kita pecahkan dan agihkan peruntukan kepada persatuan di peringkat akar umbi di seluruh negara," katanya selepas merasmikan Karnival Mesra Belia - Jom Ke Putrajaya di Kampung Labu Hilir di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Datuk Hasim Rusdi.

Khairy berkata, pendekatan itu lebih mesra kerana memberi peluang kepada persatuan belia peringkat akar umbi menganjurkan acara sambutan yang dapat mengumpulkan semua belia di kawasan terbabit.