Tak berhenti cari MH370 |
- Tak berhenti cari MH370
- Pak Lah tahu diintip NSA
- 2 wanita diculik 7 lelaki bersenjata
- Bergelimpangan disambar api
- Tribunal Rayuan GST ditubuh
- MH370: Waris dapat pampasan lebih RM1 juta
Posted: 03 Apr 2014 04:39 PM PDT Malaysia beri jaminan akan teruskan pencarian Perth: Malaysia semalam memberi jaminan bahawa ia tidak akan berhenti mencari MH370 selagi tidak tahu apa yang berlaku kepada pesawat itu. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Malaysia berhutang kepada dunia dan keluarga 239 penumpang dan kru MH370 yang mahukan jawapan supaya mereka dapat meneruskan kehidupan. "Saya tahu, selagi pesawat tidak ditemui, banyak keluarga tidak boleh mula berkabung. Saya tidak dapat bayangkan kesedihan yang sedang mereka lalui. Tetapi saya berjanji kepada mereka yang kami tidak akan berputus asa dan mengalah," katanya. Najib berkata, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott, turut memberi komitmen bahawa mereka juga tidak berhenti selagi Malaysia mahu meneruskannya. Satukan pelbagai negara "Perbezaan diketepikan pada saat 26 negara bersatu dengan satu matlamat. Tatkala berdepan tragedi ini, bagi negara yang warga mereka berada dalam pesawat dan anggota keluarga tersayang mereka hilang, kerjasama ini memberikan kekuatan kepada kita," katanya pada sidang media bersama Abbott dan wartawan Malaysia di sini, semalam. Najib juga menjelaskan, kerajaan tidak membuat kesilapan mengenai kedudukan terakhir MH370 kerana ia berdasarkan pendapat pakar pelbagai negara yang mengkaji dan menganalisis data satelit serta input pembuat kapal itu (Boeing). "Saya ingin katakan kita tidak pernah membuat perhitungan salah. Ini adalah teknologi dan analisis baharu. Ia memberi kita harapan baharu kerana lokasinya lebih spesifik (selatan Lautan Hindi). Ia mungkin berubah dari semasa ke semasa mengikut hasil siasatan," katanya. Australia pimpin misi Perdana Menteri turut mengumumkan Malaysia bersetuju melantik Australia sebagai negara yang akan memimpin dan menyelaras misi mencari MH370 di Lautan Hindi. "Australia menunjukkan kesanggupan luar biasa, termasuk menyediakan aset, kepakaran dan menyelaras misi di fasa ini yang membabitkan tujuh negara. "Saya mengucapkan terima kasih kepada Abbott atas persetujuan mengetuai operasi ini dan menerima undangan kami untuk turut serta sebagai wakil bertauliah dalam siasatannya. Pada waktu yang sukar ini, Australia terbukti sahabat yang amat bernilai. "Kami amat berterima kasih kepada mereka yang membawa bersama-sama pakar mereka untuk merungkai apa yang disebutkan Perdana Menteri Abbott sebagai satu daripada misteri paling luar biasa pada masa kini," katanya. Ditanya sama ada Malaysia tetap mengetuai operasi mencari dan siasatan kehilangan pesawat itu Najib berkata, di bawah undang-undang antarabangsa, Malaysia bertanggungjawab untuk mengetuai operasi dan siasatan, tetapi disebabkan misi mencari kini di Lautan Hindi, ia diwakilkan kepada Australia. Mengenai bateri yang menjana isyarat pada kotak hitam hanya boleh bertahan lima hari lagi, Perdana Menteri berkata: "Kita mungkin perlu menggunakan sonar, iaitu teknologi robotik seperti 'drone' tanpa pemandu untuk mencari di dasar laut." |
Posted: 03 Apr 2014 04:36 PM PDT Rembau: Tun Abdullah Ahmad Badawi semalam mengesahkan beliau tahu diawasi Agensi Keselamatan Negara (NSA) Amerika Syarikat (AS) ketika masih memegang jawatan Perdana Menteri. Malah, Perdana Menteri kelima itu juga berkata, beliau tahu seorang lagi rakyat Malaysia dipantau agensi yang sama berikutan kaitan individu berkenaan dengan satu projek membabitkan dua negara yang dicurigai AS. "Ada lagi seorang, dia jual barang (dihantar dari Kuala Lumpur) yang dianggap tidak tidak diterima (oleh AS)," katanya yang juga Penasihat Kehormat Yayasan Sofa, pada sidang media selepas melawat Sekolah Tinggi Islam As Sofa bersama isterinya, Tun Jeanne Abdullah, di sini semalam. Sabtu lalu, sebuah majalah mingguan Jerman, Der Spiegel mendedahkan satu dokumen rahsia bertarikh 2009, menunjukkan nama bekas Perdana Menteri berkenaan tersenarai dalam kalangan pemimpin dunia yang disasarkan NSA untuk pengawasan. Dokumen didedahkan Abdullah yang yakin pengawasan itu dibuat disebabkan AS mengawasi setiap perkembangan di Asia Barat, berkata beliau bagaimanapun langsung tidak bimbang dengan tindakan berkenaan. |
2 wanita diculik 7 lelaki bersenjata Posted: 03 Apr 2014 04:26 PM PDT Semporna: Dua wanita, masing-masing seorang pekerja resort dan pelancong warga China, diculik sekumpulan tujuh lelaki bersenjata api di Singamata Reef Resort, di perairan Semporna, malam kelmarin. Kumpulan lelaki terbabit menyerbu resort terapung yang terletak dua batu nautika dari pekan Semporna (3.7 kilometer) dan melarikan pekerja warga Filipina, Marcy Dayawan, 40 dan pelancong, Gao Hua Yuan, 29, pelajar sebuah universiti di Shanghai, kira-kira jam 10.30 malam. Ketika kejadian, seramai 61 pelancong dengan 59 daripadanya warga China menginap di resort berkenaan bersama 47 kakitangan pusat peranginan itu. Ia kejadian kedua culik bersenjata api di perairan Semporna membabitkan pelancong asing selepas insiden seorang lelaki Taiwan ditembak mati, manakala rakan senegaranya dilarikan di Pulau Pom-Pom, 15 November tahun lalu. Dalam kejadian malam kelmarin, kumpulan penculik menaiki sebuah bot laju dengan tiga daripada mereka yang bertopeng menyerbu resort itu sebelum berteriak dan mengarahkan pelancong serta petugas tidak bergerak, manakala empat lagi rakan mereka menunggu dalam bot. Beberapa pekerja resort berkata mereka melihat penculik masuk ke bilik pekerja dan melarikan Marcy, tetapi hanya mendengar suara wanita di hujung resort dipercayai Hua Yuan yang menjerit 'help! help! I don't want to go' (tolong, tolong, saya tak mahu pergi). Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/ |
Posted: 03 Apr 2014 04:22 PM PDT Kebakaran besar mencederakan 11 pelanggan yang makan di gerai Dataran Kesedar Petra, Persiaran Raya, di Gua Musang, kelmarin. Kenderaan berhampiran gerai makan terbakar dipercayai berpunca tumpahan petrol. Gua Musang: "Suasananya cukup menakutkan apabila melihat mangsa yang melecur, bertempiaran lari sambil menjerit kesakitan dan meminta tolong. "Ada mangsa yang terbakar keseluruhan badan sanggup terjun ke dalam longkang demi memadamkan api," kata Ruzita Awang, saksi kejadian kebakaran yang menyebabkan 11 pelanggan kedai makan melecur di Dataran Kesedar Petra, di sini, malam kelmarin. "Ketika itu saya lihat beberapa pengunjung bergelimpangan disambar api. Ada yang berlari menyelamatkan diri. Letupan pertama bermula di bahagian dapur membakar burger, sebelum disusuli beberapa letupan lain. "Keadaan semakin cemas apabila beberapa letupan merebak kepada kenderaan termasuk empat kereta meletup. Saya tergamam melihat kejadian itu tanpa sempat berbuat apa-apa kecuali membawa tiga anak perempuan lari menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. Pelanggan melecur teruk "Walaupun kebakaran ini kali pertama berlaku, namun kami dapati aliran minyak dari stesen yang terletak berdekatan itu sudah kerap berlaku tetapi tiada sebarang tindakan diambil selama ini," katanya. Suri rumah, Masiah Hasbullah, 53, pula sedih melihat keadaan anaknya, Nurul Isah Mohd Yusoff, 20, yang kini kritikal menggelupur kesakitan dan kulit pada kedua-dua tangannya mula menggelembung. Masiah berkata, dia mengetahui kejadian itu jam 10.30 malam kelmarin apabila dihubungi kakitangan Hospital Gua Musang memaklumkan kejadian menimpa Nurul Isah sebelum bergegas melihatnya. "Keadaan Nurul kini sangat menyedihkan, hampir keseluruhan badannya melecur teruk kerana pakaiannya melekat di tubuh," katanya ketika ditemui di wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, semalam. Tiba-tiba disambar api Masiah berkata, sebelum kejadian, anaknya yang juga pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) bersama tiga rakan baru tiba di gerai makan terbabit dan sempat memesan air batu campur sebelum mereka tiba-tiba disambar api. "Dalam kesakitan, Nurul beritahu saya, sebelum itu dia dan rakannya terhidu bau petrol dan melihat ada cecair mengalir tidak jauh dari tempat duduk mereka. "Belum sempat mereka berbuat apa-apa, api secara tiba-tiba menyambar mereka," katanya yang berasal dari FELDA Chiku 3, Gua Musang. Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, menasihati pemilik premis yang terbabit dalam mengendali bahan mudah terbakar di negeri ini, supaya sentiasa berhati-hati bagi mengelak kejadian yang boleh mengorbankan nyawa. "Saya sedih dengan kebakaran besar yang berlaku di Gua Musang, malam kelmarin, yang menyebabkan ramai pengguna cedera, selain beberapa kenderaan terbakar. "Saya merakamkan takziah kepada mangsa yang terbabit dan kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan melalui Tabung Serambi Makkah. Saya akan melawat mangsa nanti," katanya. |
Posted: 03 Apr 2014 04:18 PM PDT Kuala Lumpur: Tribunal Rayuan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan diwujudkan bagi memberi ruang kepada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Ketua Pengarah Kastam berhubung cukai berkenaan, membuat rayuan. Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, berkata tribunal itu akan mempunyai seorang pengerusi, seorang timbalan dan anggota lain, yang akan dilantik oleh Menteri Kewangan yang turut diberi kuasa menentukan saraan, terma serta syarat pelantikan anggota terbabit. Mudah urusan bayaran Membentangkan Rang Undang-Undang GST 2014 bagi bacaan kali kedua semalam, beliau berkata, Kumpulan Wang bagi Pembayaran Balik GST juga diwujudkan bagi memudahkan urusan bayaran balik GST dengan konsepnya sama seperti tabung ditubuhkan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk bayaran balik lebihan bayaran cukai pendapatan. "Ini menunjukkan kerajaan komited membuat bayaran balik GST dalam tempoh 14 hari bekerja jika borang cukai dihantar secara elektronik dan 28 hari bekerja jika dihantar secara manual. "GST bukan kos kepada perniagaan kerana apa-apa GST yang dibayar ke atas input, boleh dituntut semula sebagai kredit daripada kerajaan," katanya. Melalui perintah Beliau berkata, rang undang-undang itu juga memperuntukkan kuasa kepada Menteri Kewangan menentukan jenis barang dan perkhidmatan, yang boleh dikecualikan atau dikenakan GST pada kadar sifar melalui perintah disiarkan dalam warta dan dibentangkan di Dewan Rakyat. "GST cukai kepenggunaan yang dibayar apabila seseorang buat pembelian atau berbelanja. Peniaga yang layak juga perlu kenakan GST ke atas bekalan, namun dalam keadaan tertentu, Menteri Kewangan boleh berikan pelepasan kepada mana-mana orang daripada membayar atau mengenakan GST," katanya. |
MH370: Waris dapat pampasan lebih RM1 juta Posted: 03 Apr 2014 04:16 PM PDT Kuala Lumpur: Waris 227 penumpang dan 12 anak kapal MH370 yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi, berpeluang memperoleh pampasan sehingga RM1.3 juta (AS$400,000) setiap seorang. Bagaimanapun, jumlah itu boleh diperoleh jika mereka melantik firma perundangan penerbangan untuk mengendalikan tuntutan insurans, berbanding menyerahkannya kepada syarikat penerbangan terbabit. "Jumlah pampasan minimum yang sepatutnya diterima waris adalah AS$400,000. Bagaimanapun, jumlah mungkin berbeza mengikut beberapa kriteria latar belakang penumpang seperti status sosial, bilangan tanggungan dan taraf sosio ekonomi. "Semua mangsa, termasuk dua penumpang bayi berhak mendapat pampasan insurans, malah jumlahnya mungkin lebih banyak kerana faktor umur," katanya sambil menambah waris kru penerbangan juga boleh membuat tuntutan menerusi kaedah sama. Sehubungan itu, waris dinasihat tidak tergesa-gesa menandatangani sebarang dokumen perjanjian, terutama berhubung pelepasan liabiliti, walaupun ada pihak yang menawarkan sejumlah pampasan. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |