24 JAM LAGI

24 JAM LAGI


24 JAM LAGI

Posted: 04 Apr 2014 02:06 PM PDT

24 JAM LAGI

Jangka hayat bateri kotak hitam MH370 dijangka berakhir esok

Kuala Lumpur: Misi pencarian kotak hitam pesawat MH370 memasuki fasa cabaran baru apabila jangka hayat bateri peranti pengesan bawah air (ULB) yang mengeluarkan isyarat untuk dikesan hanya bertahan sehari lagi.

Pencarian membabitkan pasukan mencari dari pelbagai negara di kawasan seluas 217,000 kilometer persegi di barat laut Perth, Australia, sehingga semalam belum berjaya menemukan apa-apa bukti yang boleh dikaitkan dengan MH370.

Justeru, 24 jam yang akan datang adalah tempoh amat kritikal bagi pasukan mencari yang kini memasuki kaedah baru iaitu menggunakan pencarian bawah air.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

KL-Hanoi sasar nilai dagangan RM35.75b

Posted: 04 Apr 2014 02:00 PM PDT

KL-Hanoi sasar nilai dagangan RM35.75bNajib dan Rosmah disambut oleh Tan Dung dan isteri, Tran Thanh Kiem di Istana Presiden di Hanoi, semalam. - Foto BERNAMA

Malaysia dan Vietnam yang mencatatkan peningkatan perdagangan dua hala sebanyak 67 peratus bagi tempoh tiga tahun lalu sepakat menyasarkan jumlah perdagangan mencapai AS$11 bilion (RM35.75 bilion) pada 2015.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata tumpuan utama adalah dalam sektor baharu terutama pendidikan, tenaga kerja dan pelancongan serta kerjasama dalam bidang perbankan dan kewangan.

Beliau berkata, sasaran perdagangan itu mampu dicapai kerana tahun lalu merekodkan AS$9 bilion (RM29.25 bilion) hasil pengukuhan kerjasama perdagangan kedua-dua negara.

"Dalam mesyuarat sebentar tadi (semalam), kami menetapkan sasaran untuk meningkatkan jumlah perdagangan mencapai AS$11 bilion pada 2015," katanya pada sidang media bersama rakan sejawatnya Nguyen Tan Dung selepas mesyuarat dua hala di pejabat Perdana Menteri Vietnam di Istana Presiden, di sini, semalam.

Vietnam adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia ke-13, dan negara pengimport ke-10 terbesar, sebaliknya Malaysia adalah rakan dagangan ketujuh terbesar Vietnam dan sumber import kelapan.

Eksport utama Malaysia adalah barangan elektrik dan elektronik, produk berasaskan kimia, minyak kelapa sawit dan produk petroleum.

Selepas mesyuarat dua hala itu, Perdana Menteri merasmikan Taman Rekreasi Yenso sebahagian daripada pembangunan Gamuda City yang dimajukan Gamuda Bhd. Turut hadir Pengarah Utusan Kumpulan Gamuda, Datuk Lin Yun Ling.
Najib kemudian mengadakan kunjungan hormat berasingan ke atas Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong dan Presiden Vietnam, Truong Tan Sang.

Sepakat tolak fitnah media asing

Posted: 04 Apr 2014 01:57 PM PDT

Kuala Lumpur: Rakyat perlu bersatu menolak spekulasi buruk yang sengaja digembar-gemburkan media asing bagi memperlekehkan usaha Malaysia menangani tragedi MH370.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad menyelar sikap menuding jari media asing yang meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada kerajaan.

"Kita menggelarkan permainan ini sebagai blame-game. Ada media asing menuding jari memperbesarkan cara pengendalian insiden itu seolah-olah mereka sahaja yang betul.

"Malah, tanpa rasa bersalah mereka menyenaraikan tujuh sebab utama kegagalan misi, walhal ia terlalu remeh berbanding komitmen pasukan mengendalikan misi pencarian," katanya pada persidangan akhbar di Wisma BERNAMA, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Biro Integriti dan Ketelusan, Tan Sri Zaman Khan; Biro Wanita, Faridah Jabbar; dan Media dan Komunikasi, Zainor Sulaiman.

Dr Hasan berkata, media asing tidak pernah menghulurkan simpati, sebaliknya berterusan menekan dan menghentam Malaysia dengan memanipulasikan laporan serta sumber berita yang sama sekali menyimpang daripada kebenaran.

"Mereka mendabik dada memberitahu dunia betapa hebatnya mereka. Disebabkan mereka dalam kalangan media berpengaruh, ada beberapa pihak dalam negara termasuk pembangkang dan golongan cauvinis menjadi duri dalam daging. Mereka membuat kenyataan biadap, sekali gus mencemari usaha murni dan kegigihan lapisan pasukan mencari," katanya.
Sementara itu, Zaman Khan tidak menganggap cara media asing seperti CNN dan Fox News melaporkan bahan berita secara berjenaka wajar diterima.

"Saya tak boleh terima laporan mereka yang mengatakan 61 peratus penduduk negara ini adalah orang Islam, termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang.

"Secara tersirat, mereka seolah-olah ingin mengatakan insiden ini sengaja dirancang. Ini sebenarnya helah dan niat jahat mereka dalam memburuk-burukkan negara," katanya.

MOSTI biayai penyelidikan alat kesan petir

Posted: 04 Apr 2014 01:55 PM PDT

Ayer Keroh: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan menjalankan kajian mengenai peralatan lebih canggih yang dapat mengesan petir lebih awal.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata pihaknya meminta institusi pendidikan membantu menghantar kertas kerja penyelidikan bagi mencipta peralatan itu, seterusnya dibiayai oleh kementerian.

Elak kejadian berulang

"Jika ia berjaya, MOSTI tiada halangan membiayai dan mengkomersialkan produk ini untuk dipasang di sekolah," katanya ketika diminta mengulas saranan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron supaya semua sekolah berasrama dipasang sistem amaran keselamatan bagi mengelakkan kejadian dipanah petir berulang.

Kelmarin, pelajar Tingkatan Satu Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ayer Paabas, Alor Gajah, Johan Jasmin, 13, meninggal dunia selepas dipanah petir ketika berjalan di padang sekolah itu, pada jam 6 petang pada Selasa lalu.
Pelajar berasal dari Shah Alam itu disahkan meninggal dunia di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

'Johor ubah semula cuti berita karut'

Posted: 04 Apr 2014 01:52 PM PDT

'Johor ubah semula cuti berita karut'Mohamed Khaled (dua dari kiri) menyampaikan replika cek RM3 juta kepada wakil penerima sumbangan TEKUN (kanan) sambil diperhati Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Hashim Abdullah (dua dari kanan) di Batu Pahat, semalam. - Foto Mustapha Ismail

MB minta jangan percaya khabar angin disebar media sosial

Batu Pahat: Kerajaan Johor menafikan ura-ura akan menukar semula cuti hujung minggu Jumaat, Sabtu kepada Sabtu, Ahad seperti disebarkan di laman sosial sejak kira-kira dua minggu lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, ketika menafikan khabar angin berkenaan berkata, perkara itu tidak pernah berbangkit sama sekali.

Karut. Adakah anda (wartawan) pernah dengar ia keluar daripada mulut saya? Jangan dengar khabar angin menerusi media sosial." Datuk Seri Mohamed Khaled Nordi, Menteri Besar Johor


"Karut. Adakah anda (wartawan) pernah dengar ia keluar daripada mulut saya? Jangan dengar khabar angin menerusi media sosial," katanya pada sidang media selepas melancarkan Road to MAHA 2014 Peringkat Negeri Johor, di Dataran Penggaram, di sini, semalam.

Hangat diperkatakan

Beliau berkata demikian ketika ditanya ura-ura perubahan cuti mingguan negeri yang semakin hangat dibincangkan serta disebarkan menerusi laman media sosial.

Khabar angin yang hangat diperkatakan orang ramai termasuk kakitangan awam negeri Johor itu kononnya mendakwa kerajaan negeri sedang mengkaji untuk menukarkan kembali cuti hujung minggu itu kepada Sabtu dan Ahad.
Selain itu, ada pihak mendakwa kerajaan negeri dijangka akan menukar kembali cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad sebagaimana yang diamalkan sebelum ini bermula awal bulan depan atau paling lewat pada 1 Januari tahun hadapan.

Pengisytiharan perubahan cuti hujung minggu bermula 1 Januari lalu dibuat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada Istiadat Ulang Tahun Keputeraan baginda Ke-55 November lalu.

Forensik sedia laporan kebakaran

Posted: 04 Apr 2014 01:48 PM PDT

Gua Musang: Bahagian Kejuruteraan Forensik, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia, akan menyiapkan laporan lengkap berhubung kejadian kebakaran di Dataran Kesedar Putra, dekat sini sehingga menyebabkan 11 orang melecur dalam kejadian malam Khamis lalu.

Timbalan Pengarah bahagian itu, Shaharuddin Mohd Ali, berkata siasatan membabitkan pengumpulan maklumat daripada pelbagai pihak termasuk pengurusan stesen minyak terbabit dan Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat.

Beliau berkata, siasatan mungkin akan mengambil masa bagi menyiapkan laporan berkenaan dan sehingga ini pihaknya masih belum mendapat sebarang petunjuk mengenai punca kejadian.

"Dalam kes ini, kita menjalankan siasatan lebih terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian kerana ramai mangsa terbabit. Hasil siasatan nanti akan diumumkan dalam tempoh terdekat," katanya ketika ditemui selepas menjalankan siasatan di stesen minyak terbabit, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan, Aziz Hasan dan beberapa kakitangan pengurusan stesen minyak terbabit.

Dalam kejadian jam 10.10 malam itu, seramai 11 orang melecur termasuk dua daripadanya parah akibat terbakar keseluruhan badan ketika sedang makan di sebuah kedai yang disambar api berikutan tumpahan minyak petrol dari stesen minyak berhampiran.