3 ping beri harapan |
- 3 ping beri harapan
- ASEAN janji bantu misi
- Denyut seperti kotak hitam
- Persenda Mangsa MH370: Lelaki direman bantu siasatan
- Paintball marker wajar segera dikecuali Akta Senjata Api
- MAHB sudah penuhi kehendak AirAsia
Posted: 06 Apr 2014 05:12 PM PDT Kuala Lumpur: Pakar tempatan menyandarkan harapan, pengesanan isyarat dengan frekuensi 37.5 kilo Hertz (kHz) oleh kapal peronda China, Haixun 01, membawa kepada penemuan pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu. Isyarat 'ping' berfrekuensi tunggal 37.5 kHz hanya dihasilkan kotak hitam pesawat dan lazimnya boleh dikesan dalam jarak kira-kira tiga kilometer, sekiranya tenggelam di bawah permukaan air. |
Posted: 06 Apr 2014 04:46 PM PDT Kuala Lumpur: Lawatan Datuk Seri Hishammuddin Hussein ke Hawaii, ketika krisis kehilangan pesawat MH370 baru-baru ini, dilihat berjaya mencapai objektifnya, ibarat peribahasa Melayu 'sambil menyelam minum air.' Beliau bukan sahaja dapat mengucapkan terima kasih secara peribadi kepada Menteri Pertahanan ASEAN dan Amerika Syarikat (AS) di Honolulu, malah mengambil kesempatan memaklumkan mengenai perkembangan terkini pencarian pesawat. Keakraban antara Hishammuddin yang juga pemangku Menteri Pengangkutan dan menteri lain jelas kelihatan di Honolulu, dengan mereka saling berinteraksi dalam pelbagai perbincangan di Forum Pertahanan Amerika Syarikat-ASEAN pertama yang diusahakan oleh Setiausaha Pertahanan AS, Chuck Hagel. Hubungan baik Seorang pemerhati berkata, Malaysia dapat mengumpulkan banyak negara di rantau Asia Tenggara dan negara lebih jauh seperti Amerika Syarikat, Perancis, Australia, India dan China, dalam usaha mencari MH370 kerana Kuala Lumpur pada hakikatnya rakan kepada semua orang. "Dengan Malaysia, apa yang anda lihat adalah apa yang anda dapat," katanya mengenai pengendalian Malaysia dalam hubungannya dengan negara lain. Ketika di Honolulu, menteri pertahanan ASEAN menyokong Malaysia dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada akhir forum yang bermula dari 1 hingga 3 April. "Kami percaya Malaysia sudah melakukan yang terbaik dalam mengendalikan keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, melihat kepada skala operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang terbesar dan kompleks pernah kami lihat," kata mereka. Komited bantu Malaysia Menteri berkenaan menegaskan bahawa negara ASEAN kekal kukuh dan 10 anggota kumpulan negara Asia Tenggara benar-benar komited membantu Malaysia dalam menyelaraskan operasi bagi mengesan MH370. Hagel secara jelas menyokong komitmen AS memberi sokongan kepada operasi mencari dan menyediakan apa sahaja aset yang perlu. Kepentingan Setiausaha Pertahanan AS untuk tinggal di Hawaii walaupun berurusan dengan insiden tembakan beramai-ramai di Pangkalan Tentera AS di Fort Hood, Texas yang mengakibatkan empat terbunuh dan 16 cedera, jelas tidak mengenepikan Hishammuddin dan ASEAN. "Ia menggambarkan sejauh mana penekanan Setiausaha Hagel terhadap ASEAN," kata Hishammuddin merujuk kepada Pegawai Pertahanan Atasan AS itu. |
Posted: 06 Apr 2014 04:42 PM PDT Tiga isyarat denyutan elektronik yang dikesan dalam tempoh tiga hari sejak Jumaat lalu mencerahkan lagi harapan menemui MH370, sekali gus merungkai misteri kehilangannya sejak sebulan lalu. Jika dua denyutan elektronik yang dikesan oleh kapal China, Haixun 01 dan satu oleh kapal Ocean Shield, milik Australia di lokasi pencarian di Lautan Hindi adalah dari pesawat malang itu, pencarian terbesar dan paling sukar dalam sejarah penerbangan itu bakal berakhir tidak lama lagi. Ia dirakam selama beberapa saat, manakala yang kedua pada jam 3.47 petang kelmarin dan berlanjutan selama 90 saat. Ocean Shield yang membawa peralatan mengesan kotak hitam pula mengesan satu isyarat kira-kira 300 batu nautika dari Haixun 01, pada jam 10 pagi semalam. Lokasi kapal Haixun merakam dua isyarat itu terletak kira-kira 1,700 kilometer ke barat laut Perth dengan kedalaman kira-kira 4.5 kilometer. Kelmarin, pesawat yang menyertai operasi udara turut mengesan beberapa objek berwarna putih terapung kira-kira 90 kilometer dari tempat Haixun menerima isyaratnya. Harapan baharu Berikutan perkembangan terbaru itu, JACC mengarahkan kapal Ocean Shield dan HMS Echo (kedua-duanya memiliki keupayaan mengesan objek dalam air) ke lokasi Haixun bagi membantu mengesahkan sama ada isyarat itu daripada kotak hitam MH370, selain mengerahkan beberapa pesawat ke kawasan sama. Bagaimanapun, Ketuanya, Angus Houston, berkata semua empat petunjuk baharu itu tidak boleh disahkan kerana perlu dianalisis dan disiasat secara mendalam. Sementara itu, Komander Pasukan Petugas Khas Misi Mencari MH370, Komodor Peter Leavy, berkata HMS Echodijangka mengambil kira-kira 14 jam untuk sampai ke lokasi itu, manakala Ocean Shield lebih lama kerana sedang menyiasat isyarat rakamannya. "Ocean Shield mungkin mengambil sepanjang hari ini (semalam) untuk melakukan siasatan isyarat denyutan elektronik. Jika sah bukan milik kotak hitam MH370, barulah ia bertolak ke lokasi Haixun dan mungkin mengambil masa lebih 24 jam," katanya. Houston berkata, kapal turut dihantar ke lokasi beberapa objek berwarna putih dikesan untuk mengesahkan sama ada ia ada kaitan dengan MH370. Ditanya bateri kotak hitam, beliau berkata, walaupun lazimnya hanya tahan 30 hari, ada kala ia boleh hidup tambahan lapan hingga 10 hari lagi. Kebarangkalian tinggi Dalam pada itu, Houston mengumumkan pasukan penyiasat di Kuala Lumpur telah membuat perincian baru kawasan operasi, semalam. "Ia berdasarkan kedudukan satelit Inmarsat ketika merakam isyarat ping daripada MH370. Lokasi baru itu adalah di bahagian selatan kawasan pencarian sekarang (lokasi sama Haixun menerima dua isyarat). Mulai esok (hari ini) operasi akan lebih ditumpukan di kawasan baru itu. Berdasarkan pengiraan pasukan penyiasat, lokasi itu mempunyai kebarangkalian tinggi bagi MH370 berakhir," katanya. |
Persenda Mangsa MH370: Lelaki direman bantu siasatan Posted: 06 Apr 2014 04:40 PM PDT Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung penyebaran gambar yang dipercayai menghina isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, di Facebook, semalam. Lelaki berusia 28 tahun itu, ditahan di kediamannya di Seri Iskandar, Perak kira-kira jam 12.10 tengah malam oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak. Suspek yang menggunakan akaun Facebook 'Syed Saifullah' ditahan kerana memuat naik gambar Rosmah yang sudah disunting dan kononnya beliau terkorban dalam nahas pesawat, baru-baru ini. Suspek dipercayai memuat naik status 'Dari Ia kita datang dan dari Ia juga kita dikembalikan'. Ia turut disertakan dengan gambar palsu cebisan daging dan tulang dan disusun mengikut bentuk badan dan diletakkan wajah Rosmah. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa, berkata pihaknya dengan kerjasama polis Perak, berjaya menahan suspek hasil risikan dan maklumat awam. "Pemeriksaan di rumahnya turut merampas sebuah telefon bimbit, komputer riba dan pemacu pena yang dipercayai digunakan suspek ketika memuat naik gambar terbabit. "Orang ramai diminta tidak menyalahgunakan akaun di laman sosial dengan menyebar berita kurang sahih dan membuat spekulasi," katanya ketika dihubungi, semalam. Katanya, suspek kini ditahan reman sehingga Selasa ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia (Jenayah Siber) serta Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan fitnah dan khianat awam. |
Paintball marker wajar segera dikecuali Akta Senjata Api Posted: 06 Apr 2014 04:38 PM PDT Melaka Tengah: Kementerian Belia dan Sukan berharap langkah untuk mengecualikan 'paintball marker' daripada senarai mengikut Akta Senjata Api 1960 dapat disegerakan. Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata beliau ada memaklumkan cadangan itu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan menterinya, Datuk Seri Zahid Hamidi bersetuju dengan pengecualian itu. Elak insiden berulang "Disebabkan itu, berlaku insiden semalam (kelmarin) dan ia tidak sepatutnya berlaku kerana menteri sudah memberikan arahan supaya 'paintball marker' dikecualikan (daripada Akta Senjata Api)," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Kelompok Persidangan Tahunan Cawangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kota Melaka serta Meraikan Penerima Anugerah Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Hang Tuah, Jalan Hang Tuah, di sini semalam. Penganjur batal kejohanan Penganjuran kejohanan itu dikatakan menyalahi Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 apabila hampir keseluruhan peserta tidak mempunyai lesen senjata permainan 'paintball marker'. Penganjur kemudian terpaksa mengambil keputusan untuk membatalkan kejohanan berkenaan kerana pasukan yang bertanding di dalam divisyen satu, dua dan tiga menggunakan 'marker' yang tidak berlesen. Khairy berkata, proses pelaksanaan pengecualian itu dijangka mengambil masa kerana perlu melalui penasihat undang-undang KDN, namun keputusan pengecualian itu sudah dibuat Zahid dan dimaklumkan kepadanya. |
MAHB sudah penuhi kehendak AirAsia Posted: 06 Apr 2014 04:37 PM PDT Kuala Lumpur: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memenuhi hampir semua kehendak AirAsia Bhd untuk syarikat itu beroperasi dari terminal penerbangan tambang murah baharu, klia2. Pengurus Besar Kanan (Perkhidmatan Operasi) MAHB, Datuk Azmi Murad berkata, syarikat penerbangan tambang murah itu yang enggan berpindah ke klia2 dengan memberi pelbagai alasan, termasuk keselamatan, antara penerima manfaat terbesar apabila beroperasi di klia2. Sudah setuju pindah Berikutan operasi penerbangan di klia2 bermula pada 2 Mei dan terminal penerbangan tambang murah (LCCT) sedia ada ditutup pada 9 Mei, AirAsia tiada pilihan melainkan beroperasi dari lapangan terbang baharu itu. Azmi berkata, pemindahan ke klia2 sudah dipersetujui semua pihak, termasuk Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia, polis serta pihak berkuasa kesihatan. Ia termasuk fungsinya serta jaminan keselamatan. Azmi berkata, MAHB sudah melaksanakan Ketersediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang (ORAT), ujian bagi menguji aspek fungsi dan operasi sejak awal Februari lalu. Katanya, klia2 yang berharga RM4 bilion itu akan mengendalikan 45 juta penumpang setahun dan disahkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA), klia2 bukan lapangan terbang kos murah namun syarikat yang menggunakannya membabitkan penerbangan kos murah. klia2 lebih selamat Mengenai kebimbangan yang dibangkitkan oleh AirAsia dari segi keselamatan di klia2, katanya, klia2 lebih selamat berbanding LCCT kerana ia akan melaksanakan sistem pemprosesan penumpang seragam oleh SITA iaitu penyedia utama dunia bagi penyelesaian perniagaan IT bersepadu. Katanya, AirAsia tidak mahu menggunakan sistem SITA yang digunakan oleh operator lapangan terbang dan menjadi pilihan semua syarikat penerbangan, sebaliknya mahu menggunakan sistem pemeriksaan masuk secara manual. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |