Bateri sudah habis

Bateri sudah habis


Bateri sudah habis

Posted: 13 Apr 2014 03:18 PM PDT

Perth: Semua isyarat bawah permukaan laut yang dikesan dalam pencarian pesawat MH370 minggu lalu telah hilang sepenuhnya menandakan kotak hitam cari telah kehabisan bateri.

Bagaimanapun, gerakan mencari sebarang bukti sama ada serpihan pesawat mahupun isyarat membabitkan operasi dalam laut, atas permukaan dan di udara diteruskan di selatan Lautan Hindi hari ini.

Gerakan mencari bakal memasuki fasa ketiga iaitu penggunaan jentera selam Bluefin 21 apabila pihak berkuasa yakin tiada lagi isyarat dikesan oleh alat pengesan ping (towed ping Locator/TPL) yang ditunda oleh kapal Ocean Shield Australia.

Penggunaan robot bawah permukaan laut itu lebih menumpukan kepada usaha mencari bangkai pesawat dan pergerakannya lebih perlahan berbanding penggunaan TPL.

Foto

ANGGOTA Tentera Udara Diraja New Zealand diberi taklimat sebelum usaha mencari, Jumaat lalu. FOTO AP

Foto

PESAWAT Tentera Laut Diraja Australia AP3C Orion terbang berhampiran kapal Tentera Laut Diraja Britain HMS Echo di kawasan pencarian. FOTO EPA

Foto

SEORANG anggota Tentera Laut Diraja Australia mengendalikan konsol pengendali sensor pada helikopter S-70B-2 Seahawk ketika usaha mencari 8 April lalu. FOTO AFP


"Kita sudah memasuki hari ke-37 dalam tragedi ini. Bateri kotak hitam sepatutnya hanya mampu bertahan 30 hari. Kita harap ia boleh sampai 40 hari.


"Bagaimanapun, sudah empat hingga lima hari berlalu sejak ping terakhir dikesan. Apa yang diharapkan hanya satu atau dua ping lagi supaya mereka dapat mengesan puncanya dan mengecilkan kawasan pencarian," kata pakar penerbangan Geoffrey Thomas.

Usaha mendapatkan data penerbangan dan rakaman perbualan dalam kokpit adalah kunci utama siasatan tragedi MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing ketika hilang awal pagi 8 Mac lalu.

Gerakan mencari disertai pelbagai negara ditumpukan ke bahagian selatan Lautan Hindi di bahagian barat daya Australia berdasarkan analisis data manakala siasatan pihak berkuasa Malaysia dibantu pelbagai pasukan penyiasat mengambil kira tiga motif utama iaitu rampasan pesawat, sabotaj atau masalah psikologi di kalangan penumpang atau kru penerbangan.

Dua isyarat dikesan Ocean Shield seminggu lalu didapati konsisten dengan isyarat kotak hitam manakala dua lagi ping yang diterima dari kawasan pencarian berkenaan Selasa lalu.

Perdana Menteri Australia Tony Abbott melahirkan keyakinan bahawa siri ping yang dikesan Ocean Shield adalah berasal dari kotak hitam MH370, namun beliau turut menyatakan usaha itu bakal memakan masa dan tidak menentu hasilnya.

Pasukan pencari memerlukan lokasi yang lebih khusus sebelum mengerahkan Bluefin 21 sedangkan zon pencarian sekarang membabitkan kawasan dasar laut seluas 1,300 kilometer persegi.

Jentera selam itu bergerak enam kali lebih perlahan berbanding TPL manakala zon pencarian bawah laut itu memerlukan masa antara enam minggu hingga dua bulan untuk dicarta.

Isyarat ping yang dikesan setakat ini datang dari kedalaman 4,500 meter iaitu tahap paling dalam yang boleh dicapai kapal selam manakala pencarian serpihan di permukaan laut setakat ini membabitkan kawasan seluas 57,506 kilometer persegi kira-kira 2,200 kilometers di barat daya Perth membabitkan 12 pesawat dan 14 kapal. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/13

HATI INGIN KAHWIN

Posted: 13 Apr 2014 03:05 PM PDT

"Saya langsung tak sangka niat menjadikannya peneman hidup baru selepas kematian isteri lapan bulan lalu, dibalas begini.

"Sudahnya saya pula meminta perlindungan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kerana diburu along yang meminta saya menjelaskan pinjaman dengan segera selain bimbang keselamatan anak," kata Nasir, 45, (bukan nama sebenar) yang terpedaya dengan cinta seorang gadis dari utara tanah air.

Duda tiga anak yang bekerja sebagai penjaga stor itu yang kini berhutang dengan along RM51,000 akibat simpati dengan gadis berusia 24 tahun itu kononnya memberi alasan ibu uzur dan adik menghidap leukimia.

"Kerana sayang, saya beri duit hingga terpaksa pinjam daripada along.

Sepatutnya kami berkahwin Februari lalu tapi kini dia menjauhkan diri selepas wang saya dikikis," katanya.

Nasir yang mempunyai anak berusia 8 hingga 17 tahun berkata, semuanya bermula apabila dia menegur gadis itu di Facebook sebulan selepas kematian isteri.

"Selepas sehari berkenalan, dia mahu meminjam RM200 kerana ingin membeli ubat untuk ibu dan adiknya yang sakit.

Dia berjanji membayar semula.

"Tanpa banyak soal, saya memasukkan wang ke dalam akaun milik adiknya dan selang dua hari, dia meminta lagi.

Foto


Kerana simpati, saya mengeluarkan wang simpanan untuk membantunya," katanya ketika membuat aduan kepada Pegawai Unit Tindakan Khas PPIM Yati Sharuddin di sini, semalam.


Selepas itu, menurut Nasir, gadis terbabit terus meminta wang RM500 hingga RM1,000 berulang kali menyebabkan dia mula meminjam daripada along dengan alasan perlukan kos tambahan membeli ubat.

Dia sentiasa ditemani anak sulung ke kafe siber setiap malam untuk bersembang dengan gadis yang menambat hatinya itu, namun tidak memaklumkan dirinya dilamun cinta kerana bimbang anak tidak menerimanya.

"Sampailah satu hari anak sulung bertanya kenapa saya sering ke kafe siber dan berbual dengan seseorang menerusi telefon.

Saya memberitahu sedang serius berkawan dengan perempuan dikenali melalui Facebook dan anak menerima dengan baik," katanya.

Selepas tujuh bulan berkenalan, kata Nasir, dia tidak sedar sudah meminjam RM30,000 dan kini along menuntut RM51,000.

"Saya tidak mampu bayar dan selepas diugut, saya tidak ada tempat lain untuk mengadu.

"Along pernah mengugut anak saya.

Setiap hari selepas balik dari sekolah, mereka mengunci pintu rumah kerana bimbang didatangi along.

Saya tidak tahan lagi, lalu bawa mereka ke PPIM untuk meminta bantuan dan perlindungan," katanya.

Nasir berkata, dia pernah menunggu di stesen bas Larkin, Johor kerana kekasihnya itu tidak muncul biarpun berjanji mahu datang bertemunya.

"Di situ saya mula rasa tertipu.

Apatah lagi, setiap hari saya dan anak seolah-olah menjadi buruan.

Saya desak dia supaya bayar semula semua wang saya, tapi dia langsung tidak hiraukan," katanya yang turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, Johor, Rabu lalu.

Sementara itu, Yati berkata, pihaknya membantu Nasir dan berbincang dengan along bagi menjadualkan semula pembayaran mengikut kadar yang sesuai.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

Juara makin hampir

Posted: 13 Apr 2014 03:04 PM PDT

LONDON: Liverpool mengukuhkan cengkaman di puncak Liga Perdana apabila mempamerkan persembahan bertenaga untuk menewaskan pencabar kejuaraan, Manchester City di Anfield dengan kemenangan 3-2, malam ini.

Kemenangan ini membolehkan Liverpool yang berbaki empat perlawanan kekal di puncak Liga Perdana dengan mengumpul 77 mata selepas mengharungi 34 perlawanan manakala City di kedudukan ketiga dengan 70 mata namun baru beraksi 32 perlawanan.

Cemerlang seawal minit keenam, anak buah Brendan Rodgers sudah mendahului hasil rembatan Raheem Sterling menumpaskan penjaga gol Joe Hart sebelum Liverpool menambah jaringan menerusi tandukan Martin Skrtel untuk mendahului 2-0 hasil bola sepakan penjuru kapten pasukan Steven Gerrard pada minit ke-26.

Kehadiran James Milner yang menggantikan Jesus Navas pada minit ke-50 menghidupkan jentera serangan City apabila hantaran pemain England itu membolehkan David Silva menewaskan Simon Mignolet di gawang Liverpool untuk merapatkan kedudukan tujuh minit kemudian.

Foto

MARTIN Skrtel (kanan) menjaringkan gol kedua Liverpool. FOTO AP

Foto

DAVID Silva meraikan gol keduanya untuk Manchester City. FOTO AP

Foto

PENONTON bertafakur selama seminit bagi memperingati tragedi Hillsborough sebelum mulanya perlawanan. Tragedi berdarah itu meragut 96 nyawa penyokong Liverpool ketika aksi separuh akhir menentang Nottingham Forest di Stadium Hillsborough di selatan bandar Sheffield, 25 tahun lalu. FOTO AP


Kemudian, jaringan penyamaan diperoleh City pada minit ke-63 apabila rembatan Silva dalam kotak penalti terkena pertahanan Liverpool, Glen Johnson dan menerjah ke gol sendiri.


Liverpool mencipta kemenangan pada minit ke-78 apabila rembatan kencang Philippe Coutinho di luar kotak penalti akibat kesilapan kapten City Vincent Kompany, berjaya menghasilkan gol ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/13

Sindiket syabu Nigeria tumpas

Posted: 13 Apr 2014 03:04 PM PDT

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu yang dipercayai didalangi warga Afrika di sekitar Lembah Klang, semalam.

Dalam serbuan Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman itu, sejumlah 11 kilogram dadah disyaki syabu dirampas dalam siri operasi di Petaling Jaya, Damansara, Cyberjaya dan Gombak Selangor.

Menurut sumber, dalam serbuan itu polis menahan lima warga Nigeria ditahan berusia 20 hingga 30 tahun.

Sumber berkata, kesemua suspek dipercayai menggunakan pas pelajar untuk masuk ke negara ini.

Foto

SYABU atau methamphetamine turut dikenali sebagai `ice'.


Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitternya mengucapkan tahniah di atas kejayaan pasukan STING.


"Syabas STING @PDRMsia tumpas sindiket dadah syabu. Tangkap lima rakyat Nigeria di Cyberjaya, Petaling Jaya, Damansara dan Gombak. Rampas 11 kilogram syabu," tweetnya lewat malam ini.

STING sebelum ini telah berjaya merampas 2,422 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai RM118.27 juta dalam tempoh lima bulan penubuhannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14

Padah cabul

Posted: 13 Apr 2014 03:04 PM PDT

BALIK PULAU: Seorang lelaki cedera di muka kerana terjatuh dari tingkat tiga ketika dia melarikan diri selepas perbuatannya memecah masuk sebuah rumah flet dan mencabul seorang penghuni yang ketika itu sedang tidur disedari dalam satu kejadian di Jalan Mayang Pasir, Bandar Bayan Baru, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, suspek yang berusia 28 tahun dikatakan masuk ke rumah terbabit sebelum dia cuba mencabul mangsa yang ketika itu sedang tidur di ruang tamu.

Menurut sumber, mangsa yang berusia lingkungan 20-an hanya menyedari kejadian itu selepas berasa tubunya diraba suspek sebelum dia menjerit.

"Jeritan mangsa membuatkan suspek terkejut dan dia cuba melarikan diri apabila melihat beberapa penghuni di kawasan itu tiba di rumah berkenaan.

Foto

SUSPEK yang terjatuh dari tingkat tiga.


"Suspek cuba melarikan diri melalui pintu dapur namun dia tidak bernasib baik apabila terjatuh dari tingkat tiga rumah berkenaan menyebabkannya tersembam di simen dan mengalami kecederaan teruk di muka," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan setakat ini suspek sudah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/13

Balun kepala ayah

Posted: 13 Apr 2014 01:07 PM PDT

Seorang anak tergamak menghentak kepala bapanya menggunakan batang cangkul hingga berdarah dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Bukit Tembakau, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, bapa malang itu, Mat Sab Bachik, 72, dihentak empat kali di belakang kepala hingga berdarah oleh anaknya berusia 34 tahun dipercayai khayal akibat menghidu gam.

Bapa malang itu bagaimanapun diselamatkan orang ramai yang kebetulan mengadakan gotong-royong untuk persiapan kenduri di situ sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan.

Menceritakan kejadian, Mat Sab berkata, sebelum kejadian dia menampar dan memarahi anaknya kerana masuk ke dalam rumah tanpa membuka kasut.

"Tidak lama kemudian, dia tiba-tiba mengamuk dan menendang pintu rumah dengan kuat sehingga rosak.

Bagi mengelak dia terus bertindak demikian, saya mencapai batang cangkul dan cuba mengejar bagi menakutkannya.

"Bagaimanapun anak dapat merampas batang cangkul itu sebelum menghentak kepala saya empat kali sehingga berdarah dan pitam," katanya, semalam.

Mat Sab berkata, isterinya Kintan Abdul Samad, 57, segera meminta bantuan daripada jiran berhampiran rumahnya yang sibuk menguruskan persiapan kenduri.

Menurutnya, itu kali pertama anaknya mencederakan orang kerana sebelum ini tidak pernah sampai ke tahap itu.

"Dia memang kuat menghidu gam dan sudah melakukannya sejak 10 tahun lalu, sudah empat laporan polis dibuat mengenai kegiatannya ini, tetapi polis tidak dapat menahannya kerana ia (hidu gam) tidak tertakluk dengan undang-undang atau akta jenayah," katanya.

Menurutnya, dia bernasib baik apabila ujian imbasan yang dilakukan pihak hospital mendapati dia tidak mengalami kecederaan dalaman dan dibenarkan pulang ke rumah selepas mendapatkan rawatan.

Bertindak atas laporan yang dibuat mangsa, sepasukan polis memberkas suspek di lokasi kejadian bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Mohd Nur Hishamuddin Hashim mengesahkan kejadian dan berkata, suspek direman selama empat hari bermula Jumaat lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Foto

Foto

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/14