SELAMATKAH SABAH?

SELAMATKAH SABAH?


SELAMATKAH SABAH?

Posted: 06 May 2014 03:37 PM PDT

SELAMATKAH SABAH?

Insiden terbaharu pencerobohan, penculikan cetus persoalan keselamatan

Lahad Datu: Insiden penculikan terbaharu Pulau Baik, di sini pagi semalam mencetuskan persoalan mengenai situasi sebenar, kawalan dan tahap keselamatan di perairan pantai timur Sabah selepas pencerobohan pengganas dari Selatan Filipina pada Februari tahun lalu.

Ini kerana lanun dan penjenayah bersenjata api dari selatan Filipina masih mampu menembusi kawalan untuk menceroboh di sebalik pelbagai langkah kenyataan pasukan keselamatan mengenai pelbagai usaha diambil, memastikan kedaulatan Sabah tidak tercalar.

Kejadian itu seolah-olah menunjukkan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di kawasan perairan pantai di Timur Sabah sepanjang 1,400 kilometer belum memadai menyekat pencerobohan.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Uzbekistan pelawa pelabur Malaysia

Posted: 06 May 2014 03:32 PM PDT

Uzbekistan pelawa pelabur MalaysiaMuhyiddin bersalaman dengan Mirziyoyez sebelum mesyuarat dua hala Malaysia-Uzbekistan di Tashkent, semalam. - Foto BERNAMA]

Perniagaan dua hala belum capai tahap penuh: Muhyiddin

Tashkent, Uzbekistan: Uzbekistan bersedia membuka laluan kepada kemasukan pelabur Malaysia, terutama untuk membantu membangunkan infrastruktur di negara ini.

Komitmen itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Sharkat Mirziyoyez, ketika mesyuarat dua hala Malaysia-Uzbekistan, susulan kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini kelmarin.

Malaysia mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang seperti teknologi maklumat, tekstil, perbankan dan kewangan, elektrik dan elektronik serta industri kesihatan yang boleh dimanfaatkan Uzbekistan" Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri


Muhyiddin berkata, kedua-dua pihak bersetuju potensi perniagaan Malaysia-Uzbekistan belum mencapai tahap penuh dan masih banyak perlu diperhalusi, terutama dari segi politik untuk memaksimumkan peluang.

Beliau berkata, Uzbekistan benar-benar mengharapkan kemasukan syarikat besar Malaysia untuk melabur dalam tender kerajaan dan antarabangsa, kerana ketika ini pemain utama industri di negara ini hanya Korea Selatan dan China.

Pelbagai bidang kepakaran

"Malaysia mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang seperti teknologi maklumat, tekstil, perbankan dan kewangan, elektrik dan elektronik, industri kesihatan, industri kecil dan sederhana, pembinaan, pemulihan air dan sumber kuasa, yang boleh dimanfaatkan Uzbekistan.
"Antara bidang yang boleh diterokai Malaysia termasuk pembangunan infrastruktur, pengangkutan, pendidikan, minyak dan gas serta logistik," katanya kepada media Malaysia, semalam.

Dagangan dua hala Malaysia-Uzbekistan tahun lalu adalah AS$71.46 juta (RM235.8 juta) dengan AS$69.83 juta (RM230.4 juta) membabitkan eksport dari Malaysia ke negara ini, manakala AS$1.63 juta (RM5.4) adalah import.

Sementara itu, Muhyiddin menegaskan, kejayaan Malaysia adalah cetusan kepada kestabilan politik dan ekonomi negara, hasil sikap pandangan jauh kepemimpinan kerajaan sejak 50 tahun lalu.

Malah, penumpuan terhadap bidang pendidikan sebagai usaha membangunkan sumber manusia negara, turut menjadi titik tolak memastikan kelangsungan perkembangan ekonomi dan kesejahteraan rakyat terjamin.

"Kita membangunkan sumber manusia dengan pelaburan besar dalam bidang pendidikan. Sepanjang 30 tahun lalu, kerajaan memperuntukkan lebih 30 peratus daripada bajet tahunan untuk tujuan pembangunan pendidikan dan sosial negara.

"Malaysia adalah sebuah negara Islam progresif dan dinamik yang memberi penumpuan tinggi terhadap pembangunan pendidikan... apa pun kita sedia berkongsi dengan rakan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), mengenai pengalaman unik negara dalam memastikan kelangsungan perkembangan ekonomi dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Pesta Pendidikan Malaysia 2014 di Dedeman Silk Road Hotel, di sini. Program yang dianjurkan kali ke-10 itu disertai 12 institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari Malaysia.

Tumpu pendidikan

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan, yakin bilangan pelajar asing melanjutkan pengajian ke Malaysia dari Asia Tengah, khususnya Uzbekistan akan meningkat.

Justeru, beliau menaruh harapan tinggi agar lebih banyak usaha sama berkaitan bidang pengajian tinggi ditandatangani antara Malaysia-Uzbekistan, selain soal pengiktirafan ijazah di institusi pengajian tinggi (IPT) dimuktamadkan kedua-dua negara.

1,748 usahawan daftar My Best Buy

Posted: 06 May 2014 03:29 PM PDT

Putrajaya: Program My Best Buy ilham Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Mac lalu kini mempunyai 1,748 usahawan berdaftar.

Pengarah Unit Agropreneur Muda dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) MOA, Mohd Arif Adenan, berkata 964 usahawan memulakan perniagaan yang kini mendapat pulangan bulanan ribuan ringgit.

"Melalui program ini, usahawan bukan saja dibantu dengan memberi kursus, malah menerima sedikit modal dalam pelbagai bentuk seperti barang keperluan asas bagi memulakan perniagaan.

Peluang 12 jualan

"Dalam sebulan kita beri peluang kira-kira 12 kali jualan kepada usahawan. Jika menjual di tapak acara besar, mereka boleh memperoleh pendapatan sehingga RM20,000.

"Kita berusaha membantu lebih ramai usahawan muda memulakan perniagaan kerana program dikhususkan kepada yang berumur 18 hingga 40 tahun," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran My Best Buy oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal di MOA, di sini semalam.

Arif berkata, program My Best Buy adalah salah satu inisiatif bagi membantu rakyat terutama di bandar dalam mengurangkan kos sara hidup berikutan kenaikan harga barangan sejak kebelakangan ini.
Barangan segar seperti sayur-sayuran dan ikan dijual pada harga antara lima hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran semasa.

Jual harga murah

"Barangan dapat dijual pada harga murah kerana tidak melalui orang tengah dan secara tidak langsung, menyokong saranan kementerian supaya memerangi orang tengah. Dengan cara ini, peniaga terpaksa akur dengan harga barangan kita yang jauh lebih murah dan terpaksa menurunkan harga mereka," katanya.

Bagi memastikan harga produk yang dijual di My Best Buy kekal, sukarelawan bergerak dilantik bagi memantau harga dan menghebahkan maklumat kepada pengguna menggunakan media elektronik.

MH370: Waris harapkan berita gembira

Posted: 06 May 2014 03:25 PM PDT

Bapa kecewa tindakan pihak tertentu sebar teori, andaian

Kuala Lumpur: Selepas 60 hari pesawat MH370 hilang, waris penumpang mengharapkan 'perkembangan baharu' dalam misi pencariannya susulan keputusan panel pakar antarabangsa akan menilai semula semua data digunakan mereka sejak 8 Mac lalu.

Selamat Omar, 60, berkata dua bulan adalah tempoh yang sangat lama bagi beliau yang sentiasa mengikuti perkembangan terbaharu mengenai pesawat dinaiki anaknya, Khairul Amri, 29.

Kami berharap sesuatu yang menggembirakan diumum esok (hari ini) hasil perbincangan Malaysia, Australia dan China, cuma kami kecewa apabila terlalu banyak teori dan andaian dibuat sehingga memberi harapan kepada waris" Selamat Omar, Waris penumpang MH370


Hargai usaha kerajaan

"Kita berterima kasih kepada semua pihak yang membantu terutama kerajaan yang masih meneruskan pencarian pesawat itu. Kami (waris) juga terharu dengan pelawaan membawa kami ke Perth (Australia) sekiranya ada penemuan berkaitan kehilangan itu.

"Kami berharap sesuatu yang menggembirakan diumum esok (hari ini) hasil perbincangan Malaysia, Australia dan China, cuma kami kecewa apabila banyak teori dan andaian dibuat sehingga memberi harapan kepada waris.

"Setiap perkembangan yang dimaklumkan memberi bayangan seolah-olah pesawat itu sangat hampir untuk ditemui," katanya kepada BH, semalam.
Kelmarin, mesyuarat tiga pihak membabitkan Malaysia, Australia dan China memutuskan panel pakar antarabangsa akan bertemu di Canberra, hari ini, bagi menilai semula semua data dan satelit digunakan untuk mencari MH370 sejak ia hilang pada 8 Mac lalu.

Dalam satu kenyataan selepas mesyuarat itu, mereka juga bersetuju waris penumpang dan anak kapal pesawat MH370 akan diterbangkan ke Perth sebaik sebarang serpihan berkaitan pesawat itu ditemui dan disahkan.

Kenyataan itu turut menyebut semua menteri yang menyertai mesyuarat berkenaan bersetuju MAS akan bertanggungjawab bagi urusan perjalanan mereka, termasuk
penerbangan, penginapan, pengangkutan dan urusan kemasukan ke Australia.

Mesyuarat tiga pihak dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss disertai Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Pengangkutan China, Yang Chuantang.

Kehidupan terjejas

Sementara itu, Selamat mengakui kehidupannya terjejas dengan kehilangan anaknya yang selama ini banyak membantunya dari segi perbelanjaan bulanan.

"Soal pembayaran pampasan itu perkara lain, saya sedikit terkilan apabila tidak ada lagi panggilan daripada MAS bertanyakan khabar," katanya yang kini tinggal bersama isteri dan anaknya berusia lapan tahun.

Selamat turut terkilan apabila terpaksa menanggung sendiri perbelanjaannya dari Bera, Pahang ke Hotel Royale Chulan di sini, termasuk penginapan di hotel bajet sebelum perjumpaan bersama Pengerusi Jawatankuasa Waris Penumpang yang juga Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin, pada 20 April lalu.

Cadangan badan khas kawal pakej umrah relevan: Azeez

Posted: 06 May 2014 03:20 PM PDT

Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) mencadangkan badan atau jawatankuasa khas bagi mengawal selia jemaah umrah diterajui Kementerian Pelancongan dalam mengekang isu penipuan umrah.

Ini kerana kementerian terbabit adalah pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen kepada agensi pelancongan yang mengendalikan pakej umrah di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 dengan peruntukan mencukupi bagi mengekang masalah itu.

Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim menyifatkan cadangan mewujudkan badan atau jawatankuasa khas itu, relevan berikutan kes penipuan umrah yang semakin kritikal.

Cadangan ini perlu diteliti kerana jemaah umrah mencecah lebih 200,000 setahun" Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi Tabung Haji


Bukan bidang kuasa Tabung Haji

Beliau menegaskan Tabung Haji tidak mempunyai kuasa bagi mengawal selia jemaah umrah seperti mana ia dipertanggungjawabkan mengawal selia 28,000 jemaah haji setiap tahun.

"Badan atau jawatankuasa khas itu elok diletakkan di bawah Kementerian Pelancongan. Cadangan ini perlu diteliti kerana jemaah umrah mencecah lebih 200,000 setahun," katanya kepada BH mengulas isu penipuan umrah yang semakin parah.

Berbeza dengan haji, jemaah umrah di negara ini tidak dikawal selia menyebabkan sebilangan pihak khususnya Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) yang menaungi 465 agensi pelancongan Bumiputera, mencadangkan supaya ia dikawal selia di bawah badan atau jawatankuasa khas bagi mengelakkan masalah lebih besar.
Penetapan kos minimum

Naib Presiden BUMITRA, Ayob Mat Aris dalam temubual eksklusif dengan BH sebelum ini turut mencadangkan penetapan kos minimum mengerjakan umrah sebagai rujukan orang ramai dan pengeluaran lesen khas umrah di bawah lesen perniagaan pengendalian pelancongan luar negara Kementerian Pelancongan.

BUMITRA juga meminta untuk menyertai badan atau jawatankuasa itu selain mensyaratkan pengeluaran lesen umrah khas tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk pemohon hendaklah menjadi ahli BUMITRA bagi memudahkan pemantauan.

Mengulas lanjut, Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling turut mencadangkan agensi pelancongan sah yang mengendalikan umrah disenaraikan melalui platform sedia ada bagi memudahkan orang ramai.

Katanya, pihak dipertanggungjawabkan kemudian boleh mewujudkan talian khas sebagai rujukan bagi mengelak tertipu.

Pak Cik Jamal tenat di ICU

Posted: 06 May 2014 03:10 PM PDT

Personaliti TV veteran disyaki kena jangkitan virus MERS-CoV

Kuala Lumpur: Personaliti televisyen veteran, Jamal Muhamad, 75, dilaporkan tenat dan tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya, semalam, selepas mengadu sesak nafas.

Jamal atau lebih mesra disapa Pak Cik Jamal melalui program Mini Parlimen yang popular pada era 1980-an, turut menjalani ujian khas mengesan virus Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV), berikutan beliau baru pulang daripada mengerjakan umrah pada 30 April lalu.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/