MH370: 2 LOKASI CETUS DIMENSI BAHARU

MH370: 2 LOKASI CETUS DIMENSI BAHARU


MH370: 2 LOKASI CETUS DIMENSI BAHARU

Posted: 29 Apr 2014 04:00 PM PDT

MH370: 2 LOKASI CETUS DIMENSI BAHARU

Kuala Lumpur: Lokasi sebenar MH370 kini mencetuskan dimensi baru apabila ada pihak mendakwa mengesan pesawat itu di Teluk Benggala dan Teluk Siam, masing-masing terletak 5,000 kilometer dari kawasan pencarian sekarang di Lautan Hindi.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

RM500j pada Dana Pendidikan MARA

Posted: 29 Apr 2014 03:45 PM PDT

Putrajaya: Kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan RM500 juta kepada Dana Pendidikan MARA secara berperingkat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penubuhan dana bernilai RM1 bilion terbabit diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera hujung tahun lalu.

Baki RM500 juta untuk dana ini akan disediakan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pelaburan MARA Bhd diberi kepercayaan menguruskan dana pendidikan ini, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penjenamaan Semula Identiti Korporat Pelaburan MARA Berhad dan Pelancaran PMB Tijari Berhad di sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Pelaburan MARA Berhad, Datuk Sohaimi Shahadan: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA Berhad, Nazim Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Muhamad.

Pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, September tahun lalu, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Dana Pendidikan MARA bernilai RM1 bilion dalam bentuk dana sepadan satu nisbah satu bagi membiayai keperluan program latihan, pendidikan, keusahawanan, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi untuk mengupayakan modal insan Bumiputera.

Tiada ketinggalan
Muhyiddin berkata, kerajaan akan terus memastikan nasib semua golongan, termasuk Bumiputera terbela.

Kita dalam kerangka negara maju menjelang tahun 2020. Mana-mana kelompok yang ketinggalan sama ada dari segi pendapatan pekerjaan, pendidikan, keupayaan mental dan fizikal serta mereka yang tinggal di pedalaman, semuanya akan dirangkumkan ke dalam arus pembangunan dan pemodenan negara.

Jika matlamat ini tercapai, kesepaduan, permuafakatan, persefahaman dan sikap toleransi akan dapat terus dipupuk dan dipertingkatkan. Negara yang bersatu padu, maju dan makmur sudah pasti lebih kuat serta dipandang tinggi oleh dunia, katanya.

Mengulas lanjut mengenai dana pendidikan berkenaan, Nazim pada sidang medianya selepas majlis terbabit, berkata ada tiga peringkat dalam penyaluran dana berkenaan bagi tempoh selama tiga tahun.

Tahun ini, RM200 juta akan disalurkan, masing-masing dari kerajaan dan MARA, manakala tahun berikutnya masing-masing RM150 juta.

Menerusi dana ini, tumpuan diberikan terhadap program antaranya, inovasi dan pengkomersialan produk. Apa yang dilakukan menerusi dana ini adalah diluar aktiviti kebiasaan MARA, iaitu menaja dan memberi pinjaman kepada pelajar, katanya.

KDN perangi kumpulan militan

Posted: 29 Apr 2014 03:43 PM PDT

Kajang: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengisytiharkan perang terhadap kumpulan militan yang dikesan mahu menggulingkan kerajaan selain merancang aktiviti keganasan di luar negara.

Pengisytiharan ini dibuktikan dengan penahanan seorang lagi wanita berasal dari Kuala Lumpur, dipercayai ahli kumpulan militan yang baharu dikesan ini, awal pagi semalam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penahanan wanita itu menjadikan jumlah tangkapan yang dilakukan Bahagian Anti Pengganas Cawangan Khas Bukit Aman kini 10 orang.

Katanya, semua suspek yang ditahan dipercayai mempunyai rangkaian dengan kumpulan pengganas antarabangsa seperti al-Qaeda dan Jemaah Islamiah (JI) serta mendapat latihan ala ketenteraan bagi mempersiapkan diri mencetuskan keganasan.

Sertai misi jihad

Berdasarkan maklumat, kumpulan ini mempunyai rangkaian dalam dan luar negara selain menghantar ahlinya menyertai beberapa misi jihad di negara yang bergolak.

Fahaman mereka hampir sama dengan al-Qaeda dan JI serta turut berselindung atas nama misi kemanusiaan, katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Pemakaian Pangkat Berdasarkan Tempoh Perkhidmatan Berasaskan Kecemerlangan Koperal dan Sarjan Penjara, Pelancaran Unit Pengiring Bermotosikal dan jersi pasukan bola sepak Penjara FC di sini, semalam.

Semalam BH melaporkan, polis mematahkan cubaan kumpulan militan tempatan yang dipercayai dalam persediaan mencetuskan keganasan selepas menahan sembilan individu termasuk lelaki yang disyaki pemimpin kanan mereka.

Difahamkan, dalam serbuan di Kedah dan Selangor, kelmarin, polis turut merampas pakaian ala tentera, buku jihad, pisau rambo, pedang samurai dan bendera kumpulan pengganas antarabangsa daripada semua suspek.

Kesan baki kumpulan

Ahmad Zahid turut memberi jaminan polis akan terus mengesan saki baki kumpulan ini yang dipercayai terdiri daripada lebih 10 individu sekali gus melumpuhkan aktiviti keganasan yang dilakukan mereka.

Selepas siasatan terhadap kumpulan ini selesai, saya akan meminta Bukit Aman mendedahkan mengenai kegiatan keganasan mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Berdasarkan maklumat sedia ada, kumpulan ini dipercayai merekrut ahlinya menerusi laman sosial seperti Facebook, namun semuanya masih pada peringkat siasatan, katanya.

Syarat pelajar guna BB1M diperketat

Posted: 29 Apr 2014 03:41 PM PDT

Kuala Lumpur: Kelonggaran untuk mahasiswa menggunakan 20 peratus daripada nilai Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang tidak dapat dihabiskan untuk membeli barangan lain selain buku, dimansuhkan berkuat kuasa 1 Mei ini.

Ia susulan garis panduan BB1M yang diperkemas dan diperketatkan oleh Kementerian Pendidikan bagi memastikan pemberiannya mencapai matlamat. Garis panduan itu juga dapat memudahkan pekedai buku dan mahasiswa serta diguna dengan sebaik-baiknya selaras dengan objektif insentif terbabit.

Perketat peraturan

Dalam satu kenyataan semalam, kementerian berkenaan turut memaklumkan, BB1M kini hanya boleh digunakan untuk pembelian buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah.

Garis panduan yang diperkemaskan itu turut memperketatkan peraturan kepada pekedai buku. Mana-mana pekedai buku yang didapati bersalah menyalahgunakan BB1M akan disenarai hitam dan tidak dibenarkan menyertai program BB1M selama tiga tahun berturut-turut.

Ini adalah tambahan kepada peraturan sedia ada, iaitu tindakan undang-undang mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan ke atas pihak yang menyalahgunakan BB1M. Adalah diharapkan tidak akan berlaku kekeliruan antara pekedai buku dan mahasiswa dalam pindaan garis panduan BB1M ini, katanya.
Kementerian amat memandang serius sebarang penyalahgunaan BB1M dan menghargai aduan berkaitan perkara itu.
Ringan beban pelajar

Maklumat lanjut mengenai pindaan garis panduan terbabit boleh didapati melalui portal rasmi kementerian di www.moe.gov.my, manakala sebarang pertanyaan boleh
diajukan kepada Urus Setia BB1M melalui e-mel, bb1m@moe.gov.my.

Kerajaan memperkenalkan BB1M sejak 2012 yang setakat ini dimanfaatkan oleh lebih 3.9 juta mahasiswa prauniversiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) dengan peruntukan RM890 juta.

Tujuan utama kerajaan memperkenalkan insentif itu untuk meringankan beban perbelanjaan pembelian buku pengajian dan memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Bagi tahun 2014, peruntukan sejumlah RM325 juta telah diluluskan oleh kerajaan untuk menjayakan pemberian BB1M kepada 1.3 juta mahasiswa.

BERNAMA

Satelit Malaysia dilancar menjelang 2024

Posted: 29 Apr 2014 03:40 PM PDT

Banting: Malaysia mampu melancarkan satelit sendiri menjelang 2024 tanpa bantuan negara luar, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Katanya, beliau yakin dalam tempoh 10 tahun akan datang, Malaysia bakal mempunyai tenaga kerja berkemahiran dalam bidang sains angkasa untuk menjayakan sasaran yang ditetapkan.

Katanya, kerjasama antara Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui memorandum persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama dalam bidang penyelidikan sains dan teknologi angkasa yang ditandatangani semalam, dapat membantu menyumbang tenaga kerja dalam bidang berkenaan.

Pelajar UPM khususnya dalam bidang bahan dan struktur aeroangkasa, sains angkasa, pertanian angkasa, sains hayat, penderiaan jauh dan sistem maklumat geografi serta sistem satelit navigasi sejagat dan satelit komunikasi akan memperoleh manfaat daripada kerjasama ini.

Kemudahan bantu pelajar

Saya percaya kemudahan yang disediakan ANGKASA dapat membantu pelajar menimba ilmu dalam bidang berkenaan dengan lebih mendalam, sekali gus membantu kita melahirkan graduan berkemahiran, katanya pada majlis penganugerahan sijil ISO 9001:2008 dan menandatangani MoU antara ANGKASA dan UPM, di sini semalam.

Abu Bakar berkata, sememangnya perbelanjaan tinggi diperlukan untuk mengembangkan sektor sains angkasa, namun peruntukan yang dibelanjakan berbaloi untuk masa depan kerana teknologi berkenaan dapat membantu negara dalam pelbagai aspek.
Keupayaan terhad

Insiden kehilangan pesawat MH370 baru-baru ini menggemparkan dunia, membuka mata banyak pihak terhadap keperluan teknologi canggih yang selama ini dipelopori negara Barat. Sektor angkasa negara memerlukan pembiayaan dan dana yang agak besar untuk berkembang dan dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi.

Kerana keupayaan dan kepakaran tempatan ketika ini amat terhad dan terbatas, katanya sambil mengajak pemain industri supaya bersama-sama merancakkan industri tempatan khususnya dalam sektor strategik seperti sains angkasa.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Zulkifli Mohamed Hashim dan Ketua Pengarah ANGKASA, Dr Noordin Ahmad.

4 tokoh agama rangka modul

Posted: 29 Apr 2014 03:27 PM PDT

Ipoh: Perak menjadi negeri pertama melancarkan modul khusus untuk memberi kefahaman kepada umat Islam mengenai pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai langkah proaktif mengekang kegiatan merosakkan akidah.

Dikenali sebagai Modul Pemahaman Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Negeri Perak, ia dirangka oleh empat tokoh agama terkenal dan akan dijadikan garis panduan wajib kepada semua guru takmir, guru agama, pendakwah dan penceramah ketika menyampaikan ilmu Islam kepada penduduk di Perak.

Hadiri kursus

EXCO Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria, berkata semua pihak berkenaan perlu menghadiri kursus pemahaman dan teknik mengajar secara khusus berkaitan modul terbabit dalam tempoh terdekat.

Penggunaan modul ini ibarat sukatan pelajaran dalam pendidikan supaya orang ramai betul-betul dapat memahami akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta mengelakkan persepsi dan kekeliruan terutama apabila ada pihak cuba memasukkan unsur Syiah dan tarikat yang menyeleweng dalam pengajaran ilmu Islam, katanya.

Beliau berkata demikian pada selepas merasmikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013 dan perhimpunan bulanan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), di sini semalam.

Pada majlis itu, Mohd Nizar turut melancarkan Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) peringkat negeri dan modul pemahaman akidah berkenaan. Hadir sama, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin dan Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Muhammad Asri Abdullah.
Sementara itu, Mohd Yusop berkata, inisiatif kerajaan negeri itu bukan bermaksud pencemaran akidah terlalu berleluasa di Perak, sebaliknya ia digubal berdasarkan keadaan semasa di seluruh negara seperti ajaran sesat, tarikat menyeleweng dan Syiah.

Katanya, modul mengandungi tujuh bahagian itu akan dibukukan serta diedarkan kepada semua pendakwah dan masjid selain dihebahkan kepada orang ramai menerusi kuliah harian di masjid.

Kadang-kadang kita tahu pegangan penganut Syiah seperti amalan nikah mutaah dan taqiyah, tetapi apabila ditanya pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, kita sendiri tidak pasti.

Sebelum ini, mungkin aspek akidah hanya disebut secara umum termasuk ketika kuliah Maghrib di masjid. Kini kita mahu ia diberitahu secara khusus. Kita mungkin boleh berbeza daripada hukum feqah tapi aspek akidah tidak boleh diseleweng, katanya.