MENTERI MINTA MAAF

MENTERI MINTA MAAF


MENTERI MINTA MAAF

Posted: 08 May 2014 01:59 PM PDT

MENTERI MINTA MAAF

PM nafi Kabinet buat keputusan gugurkan ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan

Putrajaya: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun semalam memohon maaf atas kekeliruan yang timbul berikutan laporan mengenai pengguguran ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan yang tidak memberi nilai tambah.

Beliau dalam kenyataan berkata, perkara itu ada dibincangkan dalam Kabinet, namun tiada sebarang keputusan dibuat.

Katanya, laporan akhbar yang menyiarkan berita berkenaan tidak mencerminkan kenyataan sebenar yang dibuat olehnya kelmarin dan menimbulkan keresahan dalam masyarakat.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

'UMNO mampu lakukan adaptasi, transformasi'

Posted: 08 May 2014 01:56 PM PDT

Menjelang Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-68

Taiping: Datuk Seri Najib Razak berkata, UMNO yang menyambut ulang tahun ke-68 Ahad ini, bukan saja masih relevan tetapi terus unggul dan gagah.

Presiden UMNO itu berkata, parti itu sudah membuktikan mampu melakukan adaptasi dan transformasi mengikut persekitaran semasa sehingga ia sentiasa dinamik dan realistik dalam memenuhi aspirasi rakyat sepanjang zaman.

"Kalau analogi seorang manusia yang sudah mencapai usia 68 tahun, dia mungkin tidak segagah dan kurang bertenaga berbanding awal usianya, tetapi UMNO membuktikan sebaliknya kerana bukan saja relevan tetapi masih unggul dan gagah.

"Buktinya, bilangan kerusi (Parlimen) dimenangi UMNO saja bertambah kepada 88 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berbanding tiga parti DAP, PKR dan PAS berkongsi 89 kerusi," katanya ketika merasmikan Rumah UMNO Bahagian Taiping setinggi empat tingkat di Jalan Kota di sini, sempena lawatan dua harinya ke Perak, semalam.

Sedia buat pembaharuan

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga `bapa angkat' UMNO Bahagian, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis dan Ketua UMNO Bahagian Taiping, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie.
Justeru, katanya, pemimpin dan ahli parti perlu sentiasa sedia melakukan proses pembaharuan, penambahbaikan dan muhasabah diri bagi memastikan UMNO terus relevan.

Najib juga menekankan kepada pemimpin dan ahli mengenai kepentingan kesetiaan kepada parti diadun dengan kemahiran menggunakan laman sosial serta keupayaan intelektual sebagai keperluan utama dalam memastikan UMNO lebih gagah dan perkasa pada masa depan.

Beliau juga mahu Rumah UMNO Taiping menjadi hentian setempat serta tempat percambahan fikiran kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam menyusun strategi kemenangan PRU-14.

"Kejayaan kita bukan terletak pada bangunan tetapi pengisiannya. Bangunan boleh menjadi alat memudahkan (urusan) dan inspirasi tetapi sikap, budaya dan aspirasi kita yang lebih penting untuk mencapai kejayaan," katanya.

Tiada arahan minta umat Islam tangguh tunai umrah

Posted: 08 May 2014 01:38 PM PDT

Petaling Jaya: Kerajaan tidak akan meminta umat Islam di negara ini menangguhkan hasrat mengerjakan umrah, namun mahu mereka mengambil segala langkah yang perlu bagi mengelak dijangkiti Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata terpulang kepada umat Islam sama ada mahu mengikuti nasihat Kerajaan Arab Saudi supaya menangguhkan perjalanan ke Tanah Suci.

"Terpulang kepada rakyat kita sama ada mahu ikut nasihat itu. Tiada larangan ke atas jemaah atau perintah penangguhan ibadat berkenaan, tapi kita minta mereka bertindak bijak untuk kesihatan masing-masing," katanya pada sidang media, di sini semalam.

Tiada larangan ke atas jemaah atau perintah penangguhan ibadat berkenaan, tapi kita minta mereka bertindak bijak untuk kesihatan masing-masing" Dr Subramaniam, Menteri Kesihatan


Beliau sebelum itu hadir menyaksikan majlis penerimaan akreditasi oleh Pusat Perubatan Sunway, iaitu hospital pertama di Asia Tenggara yang menerima akreditasi penuh empat tahun daripada Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia berasaskan penilaian piawaian kesihatan terhadap kemudahan perubatan yang disediakannya.

Tiada terima permohonan

Agensi berita di Bahrain, Gulf Daily News, baru-baru ini melaporkan beberapa agensi pengurusan haji dan umrah di Arab Saudi sudah tidak menerima permohonan daripada jemaah berusia lebih 60 tahun dan kanak-kanak, susulan nasihat Kementerian Kesihatan. Setakat ini MERS-CoV meragut lebih 100 nyawa di Arab Saudi.

Penyebaran virus itu terutama di Makkah, Madinah dan Jeddah memaksa kebanyakan penyedia perkhidmatan untuk menolak jemaah lebih tua walaupun kerajaan belum mengeluarkan keputusan rasmi membabitkan perkara itu. Keputusan dibuat kira-kira dua bulan menjelang Ramadan yang bakal menyaksikan lebih ramai jemaah mengerjakan umrah.
Pemangku Kementerian Kesihatan Arab Saudi, Adel Fakeih minggu lalu, menasihatkan kanak-kanak dan jemaah berusia lebih 65 tahun, iaitu kumpulan umur yang berisiko untuk dijangkiti virus terbabit supaya menangguhkan ibadat umrah atau haji sehingga ancaman penyakit berkenaan reda.

PR1MA, PKNP bina rumah rakyat

Posted: 08 May 2014 01:33 PM PDT

Bagan Serai: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) semalam memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) bagi membangunkan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), terutama di zon perbandaran di Perak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyaksikan pertukaran MoU itu di antara PR1MA yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Mutalib Alias dan Ketua Eksekutif PKNP, Datuk Aminuddin Md Desa pada sesi Taklimat Status Pelaksanaan Aku Janji dan Projek Keutamaan Negeri Perak di Bukit Merah Laketown Resort, di sini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Pengerusi PR1MA, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Nayan.

Projek perumahan lulus

Abdul Mutalib berkata, PR1MA telah meluluskan lima projek pembangunan di Perak membabitkan pemaju negeri dan swasta di Slim River, Pengkalan Aor, Sungai Pari, Kampung Paloh dan Bandar Meru Raya. Sebanyak 3,220 unit rumah dibina di kawasan berhampiran infrastruktur dan kemudahan awam.

Katanya, PR1MA merancang membina padang rekreasi, surau dan dewan komuniti di kawasan berkenaan bagi menyediakan persekitaran hidup yang holistik dan komprehensif untuk rakyat.

Terdahulu, Najib diberi taklimat tertutup hampir sejam oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak mengenai projek pembangunan di negeri ini.
Pada taklimat itu, UPEN memohon supaya cadangan 41 projek bernilai RM4.5 bilion yang telah diberi aku janji oleh Kerajaan Persekutuan, dilaksanakan.

Ia termasuk zon bebas cukai Pulau Pangkor; pembinaan Hospital Seri Iskandar bernilai RM120 juta dan Institut Kemahiran MARA, Selama bernilai RM200 juta; naik taraf Lebuhraya Utara-Selatan di kawasan Gua Tempurung dan pembinaan hentian sebelah lebuh raya bagi pengguna menyaksikan pemandangan air terjun Lata Kinjang di Tapah.

Perdana Menteri dibawa menaiki bot menyusuri Tasik Bukit Merah untuk mengunjungi Pulau Orang Utan yang menjadi tumpuan pengunjung resort berkenaan. - BERNAMA

Bendung kenyataan berbaur perkauman

Posted: 08 May 2014 01:31 PM PDT

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bertindak tegas, tanpa berkompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman di negara ini.

Timbalan Pengerusi Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata langkah pencegahan lebih agresif perlu dirangka pihak berkuasa, bukan setakat memulakan siasatan selepas menerima laporan.

"Ini penting bagi memastikan keharmonian kaum yang menjadi dukungan Malaysia selama ini tidak tercalar dengan tindakan segelintir rakyat yang dilihat tidak bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan.

Rosakkan perpaduan kaum

"Apa yang kita risau, jika budaya seperti ini (kenyataan berbaur perkauman) tidak dibendung dengan tegas, ia dikhuatiri akan menjadi barah yang boleh merosakkan perpaduan kaum di negara ini," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) turut memuji tindakan proaktif polis menyiasat seorang individu menerusi Akta Hasutan selepas didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap kaum Cina, Selasa lalu.

Lam Thye berkata, siasatan perlu dilakukan terhadap mana-mana pihak tanpa mengira kaum, tanpa prejudis serta adil bagi memastikan ia menjadi pengajaran dan iktibar berguna buat semua rakyat.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abd Rahman disiasat mengikut Akta Hasutan 1948, kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Ambil kira sensitiviti semua pihak

Abdullah Zaik ketika berucap pada satu program di Bangi dikatakan menyifatkan kemasukan orang Cina ke Tanah Melayu bersama penjajah British suatu ketika dulu satu bentuk pencerobohan.

Lam Thye berkata, sungguhpun Malaysia menghormati kebebasan bersuara, namun setiap patah ucapan dikeluarkan perlu mengambil kira sensitiviti semua pihak, bukan dikeluarkan sesuka hati.

Waris sudah terima pampasan RM14.2j

Posted: 08 May 2014 01:27 PM PDT

Kuala Lumpur: Syarikat penanggung insurans hayat di negara ini, sudah membayar lebih RM14.2 juta dalam bentuk pampasan kepada waris penumpang dan anak kapal pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Vincent Kwo, berkata syarikat insurans hayat di Malaysia mengambil pendekatan proaktif dalam mempercepatkan bayaran pampasan kepada waris penumpang dan anak kapal yang ada insurans hayat.

"Pembayaran sudah dibuat kepada beberapa waris sejak beberapa minggu lalu tanpa melalui proses yang biasa dilakukan. Setakat ini, jumlah pampasan yang dibayar kepada waris RM14.2 juta daripada jumlah keseluruhan RM18.7 juta membabitkan 184 polisi dikeluarkan di Malaysia.

Pembayaran sudah dibuat kepada beberapa waris sejak beberapa minggu lalu tanpa melalui proses yang biasa dilakukan" Vincent Kwo, Presiden LIAM


"Baki tuntutan RM4.5 juta masih menunggu penyerahan dokumen rasmi oleh waris," katanya dalam kenyataan, semalam.

Kwo berkata, pihaknya yang memahami kesedihan anggota keluarga, mempercepatkan pembayaran pampasan dengan mempermudahkan waris membuat tuntutan.

Mansuh syarat

"Kami memansuhkan syarat mengemukakan sijil mati dan menjadikan perkara ini sebagai keutamaan dan berusaha sebaik mungkin membayar tuntutan dalam tempoh seminggu, selepas menerima semua dokumen lengkap berkaitan.
"Kami minta anggota keluarga berhubung dengan syarikat insurans berkaitan dan mengemukakan tuntutan.

"Jika tidak pasti sama ada anggota keluarga ada mengambil insurans hayat, waris boleh menghubungi hotline LIAM 03-26916628 yang mengendalikan pertanyaan berhubung prosedur tuntutan MH370," katanya.

Bagi pihak syarikat yang menjadi anggota LIAM, sekali lagi kami ingin menyatakan simpati dan sokongan susulan insiden yang menyelubungi MH370, anak kapal dan penumpang dalam pesawat.

"Kami juga ingin memberi pujian kepada Kerajaan Malaysia, pelbagai agensinya, MAS dan rakan antarabangsa atas usaha mereka dalam operasi mencari dan menyelamat," katanya.

Pesawat Boeing 777-200ER milik MAS yang dalam penerbangan ke Beijing bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada radar awam kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam.