Penipuan umrah menjadi-jadi |
- Penipuan umrah menjadi-jadi
- Kubah atas tandas diturunkan
- Ahli arkeologi marin dakwa temui MH370
- 10,000 sertai KL Pagi Bebas Kenderaan
- Presiden GERAKAN calon terbaik BN
- Karya Melayu tak sukar diadaptasi
Posted: 04 May 2014 04:33 PM PDT Penipuan umrah semakin serius dengan kes difailkan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) meningkat hampir 100 peratus daripada 381 kes pada 2012 kepada 761 kes, tahun lalu. Kumpulan itu menggunakan modus operandi bergerak dari surau ke masjid selain menggunakan individu berpengaruh untuk menipu umat Islam. Wartawan BH, SYED AZWAN SYED ALI membongkar isu penipuan pakej umrah bagi mencari punca dan jalan penyelesaiannya secara tuntas. Kuala Lumpur: Penipuan pakej umrah semakin meningkat apabila ramai mangsa ditipu individu atau syarikat pelancongan menawarkan pakej serendah RM1,400, selain menggunakan taktik licik dan bergerak dari surau ke masjid untuk memerangkap mangsa. Malah, statistik juga menunjukkan peningkatan hampir 100 peratus kes tuntutan penipuan umrah yang difailkan pada tahun lalu, iaitu 761 kes berbanding 381 kes pada 2012, masing-masing membabitkan kerugian RM4.37 juta dan RM2.71 juta. Ia amat membimbangkan berbanding hanya 37 kes yang difailkan pada 2009. Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/ |
Posted: 04 May 2014 04:33 PM PDT Kota Tinggi: Reka bentuk tandas sebuah resort di Desaru di sini, yang dilengkapi kubah menyerupai masjid, menimbulkan persoalan hingga mencetuskan perdebatan, dalam laman sosial sejak kelmarin. Susulan pelbagai komen dan rasa tidak puas hati orang ramai yang disuarakan menerusi blog dan laman sosial, pengurusan resort itu bertindak menurunkan tiga kubah itu, pagi semalam. Kekalkan binaan Pengurusan resort ketika ditemui, menafikan sengaja mencemarkan imej Islam, sebaliknya bangunan itu hanya dikekalkan dan dibaik pulih daripada pemilik asal resort berkenaan sebelum ini. Dakwanya, bangunan itu dibina sejak 1998 berdasarkan konsep seni bina Maghribi oleh pemiliknya, yang dipercayai berasal dari Singapura. Difahamkan pengurusan resort mengarahkan kubah itu diturunkan jam 8 pagi semalam, selepas dimaklumkan kakitangannya mengenai isu itu hangat dalam laman sosial. Pihak polis dan Jabatan Agama Johor (JAJ) turut meninjau keadaan bangunan terbabit. Malah pengurusan resort turut menafikan berniat mempersenda atau mencemarkan imej Islam, selain selama ini tidak pernah menerima rungutan berhubung reka bentuk bangunan berkenaan. Tindakan biadab Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Noh Gadot, menyifatkan isu binaan tandas yang menyerupai masjid yang menjadi tempat paling suci bagi umat Islam sebagai sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan biadab. "Mereka (pemilik atau pengurusan) resort itu sepatutnya sudah faham dan peka mengenai sensitiviti umat Islam kerana tinggal di negara dan negeri Islam. "Mereka juga sepatutnya mengetahui dan faham, Islam bukan sekadar agama rasmi tetapi juga termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan juga Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895," katanya. Noh berkata, beliau juga kesal kerana reka bentuk kubah itu dikatakan sudah lama dibina dan digunakan sejak beberapa tahun lalu. Tegasnya, umat Islam yang menyedari perbuatan itu sepatutnya sudah lama melaporkan keadaan itu supaya tindakan sewajarnya diambil segera. Mengulas alasan pihak tertentu yang menyamakan binaan kubur di Taj Mahal turut menyerupai masjid, Noh menegaskan, kubur dan tandas adalah dua binaan yang berbeza. Katanya, Taj Mahal dibina atas dasar kasih sayang dan cinta seorang suami kepada isterinya, manakala tandas pula tempat yang kotor. Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/ |
Ahli arkeologi marin dakwa temui MH370 Posted: 04 May 2014 04:33 PM PDT Kuala Lumpur: Seorang ahli arkeologi marin British, Tim Akers mendakwa menemui bangkai pesawat MH370 kira-kira 3,000 batu nautika dari kawasan pencarian sekarang di Lautan Hindi, lapor MailOnline semalam. Beliau mendakwa mengenal pasti sebahagian daripada ekor pesawat itu di luar pantai Vietnam, kira-kira 1,000 batu nautika dari lokasi pesawat berkenaan berlepas. Sehubungan itu, Akers, 56, dari North Yorkshire yakin beliau mungkin sudah menemui pesawat membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal yang hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lalu. Sokong laporan bekas juruterbang AS Penemuan itu sekali gus menyokong laporan bekas juru terbang Amerika Syarikat, Michael Hoebel dari New York, yang turut mendakwa bangkai pesawat itu berada di luar pantai Thailand. Akers yang dirujuk sebagai penyelidik bebas bersama Muzium Maritim Nasional, berkata beliau kini sedang mengenal pasti bahagian pesawat itu, yang mana sebelum ini pihak berkuasa Vietnam menerima laporan daripada pekerja pelantar minyak yang melihat pesawat terbakar. Akers, pernah membuat kajian di perairan Australia di Perth selama bertahun-tahun bagi mencari tinggalan kapal Perang Dunia Kedua, HMAS Sydney. Pencarian lokasi kapal HMAS Sydney karam itu dilakukan di perairan sama pesawat Boeing 777-200ER milik Penerbangan Malaysia (MAS) dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi, di luar pantai Australia Barat. |
10,000 sertai KL Pagi Bebas Kenderaan Posted: 04 May 2014 04:31 PM PDT Najib melepaskan peserta berbasikal pada program KL Pagi Bebas Kenderaan di KLCC, semalam. Najib berbasikal ketika hadir KL Pagi Bebas Kenderaan di KLCC di sini, semalam. Suffian Muda (kiri) dan Fadzil Muda bersama basikal elektrik (Yike Bike) ketika menyertai program KL Pagi Bebas Kenderaan, semalam. Aksi kanak-kanak yang menyertai program KL Pagi Bebas Kenderaan, semalam. Peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang kelainan upaya (OKU) dilepaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mulai jam 7 pagi dari pintu gerbang Bukit Bintang-KLCC. Dapat sambutan PBT Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, berkata program Pagi Bebas Kenderaan kini mendapat sambutan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di seluruh negara yang turut menjadikan ia sebagai aktiviti hujung minggu di tempat mereka seperti Johor Bahru, Shah Alam, Kuantan dan Pulau Pinang. "DBKL berharap aktiviti ini diperluaskan ke seluruh negara. Kita bersedia menganjurkan aktiviti ini kepada dua kali sebulan bagi menyahut harapan Perdana Menteri sendiri untuk menjadikan bandar raya ini bebas karbon. Ahmad Phesal turut menyampaikan sumbangan 80 basikal lasak kepada Persatuan Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) DBKL serta NGO, yang masing-masing menerima lima basikal pada penghujung program semalam. Sumbangan itu dibuat bagi menggalakkan penduduk sekitar bandar raya khususnya penghuni PPR dan PA mengamalkan aktiviti riadah yang menyihatkan. Pelbagai acara lain turut dianjurkan pada program semalam termasuk pemeriksaan kesihatan, aktiviti kebudayaan, kesenian, sukan dan riadah selain cabutan bertuah. Kebanyakan peserta yang ditemui ternyata gembira kerana berpeluang bertemu dan berbasikal bersama Perdana Menteri yang turut mengambil bahagian pada acara semalam. Peserta, Suzanna Mohd Isa, 38, berbangga kerana dapat beramah mesra dengan pemimpin nombor satu negara itu, yang turut membantu memakaikan topi keledar anaknya, Hafiz Syamil, 5. "Saya tidak menyangka dapat bertemu dan bergambar dengan Perdana Menteri. Memang cukup bangga mempunyai pemimpin yang mesra rakyat," katanya yang hadir menyertai acara itu bersama suami dan tiga anak mereka yang membawa basikal masing-masing. |
Presiden GERAKAN calon terbaik BN Posted: 04 May 2014 04:23 PM PDT Ipoh: Penasihat GERAKAN, Datuk Chang Ko Youn yakin presiden parti itu, Datuk Mah Siew Keong, adalah calon terbaik Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan. Ko Youn yang juga bekas Timbalan Presiden GERAKAN, berkata Siew Keong adalah anak jati Teluk Intan yang amat dikenali selain mempunyai personaliti dan latar belakang keluarga yang baik serta rekod perkhidmatan cemerlang sepanjang dua penggal menjadi Ahli Parlimen kawasan itu. "Malah, beliau masih memberikan perkhidmatan kepada penduduk kawasan berkenaan walaupun tidak lagi menjadi Ahli Parlimen sejak 2008. "Saya menyokong beliau sebagai calon BN... saya akan bercakap dan memujuk bagi meyakinkannya bahawa ini (bertanding dalam PRK Teluk Intan) adalah langkah yang betul. "Kami (Jawatankuasa Kerja Pusat GERAKAN) harus memanggilnya untuk kembali (bertanding)," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke Pameran Makanan Rumah Orang Tua Simee di sini, semalam. Beliau menjadi Ahli Parlimen Teluk Intan dari 1999 hingga 2008 sebelum tewas kepada calon DAP pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan 2013. PRK Teluk Intan perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng akibat barah pada 1 Mei lalu. Berkorban demi parti Ko Youn berkata, beliau berharap Siew Keong sanggup 'berkorban' demi kepentingan parti, BN dan kawasan Parlimen berkenaan kerana pengundi di situ serta parti memerlukan perkhidmatan serta kepemimpinannya. Malah, beliau berpendapat dalam usia 52 tahun, Siew Keong dianggap masih muda dan mempunyai tempoh masa panjang untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada parti dan rakyat. Parti GERAKAN pertama kali memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan atas tiket BN pada 1974 dan mengekalkannya sehingga 1997 apabila penyandangnya, Ong Tin Kim, meninggal dunia. |
Karya Melayu tak sukar diadaptasi Posted: 04 May 2014 04:19 PM PDT Kuala Lumpur: Karya sastera Melayu, sama ada tradisional atau moden, tidak sukar untuk diadaptasi ke dalam bentuk lain termasuk filem dan teater, dengan mengambil kira aspek popular. Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaaffar, berkata naskhah Lord of the Rings, karya JRR Tolkein, pernah dianggap sebagai karya yang sukar untuk difahami sehingga usaha mengangkatnya kepada filem, tidak mendapat sambutan pada 1970-an. "Hal sama berlaku pada karya Milan Kundera, yang dianggap naskhah kompleks tetapi diadaptasi dengan baik dalam bentuk filem," katanya pada sesi Sofa Putih Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2014, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam. Hadir sama, Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron; Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kota Buku (PKB), Sayed Munawar Sayed Mustar dan aktivis teater, Khalid Salleh. Johan berkata, karya sastera tanah air termasuk tradisional, tidak kurang hebatnya daripada aspek watak dan latar seperti konsep orang bunian dalam Hikayat Malim Deman. Berupaya difilemkan "Begitu juga karya sastera moden seperti Langit Petang, berupaya untuk difilemkan dengan baik, jika kita mengambil pendekatan yang sama. "Sepatutnya perbezaan antara karya sastera dan popular, tidak perlu dijadikan halangan, dalam usaha adaptasi kerana masing-masing memiliki pengikut tersendiri," katanya. Beliau berkata, keterbukaan media terhadap karya popular, tidak patut dianggap menjejaskan karya sastera, sebaliknya media perlu toleran kerana setiap generasi pengkarya perlu diberi ruang misalnya pengkarya indie atau penulis novel popular. Sementara itu, Mohd Khair berkata, sesi Sofa Putih yang menjadi 'tanda dagang' kepada ITBM pada setiap PBAKL, akan diadakan pada setiap bulan, berdasarkan sambutan ramai termasuk pengarang dan peminat sastera. "Sejak dianjurkan lima tahun lalu, sesi Sofa Putih mengalami proses evolusi sehingga penganjurannya tahun ini ditunggu-tunggu penulis dan pembaca buku. Kepentingan sastera "Topik yang bakal dibincangkan pada sesi Sofa Putih itu merangkumi isu dan kepentingan sastera, seni serta budaya, sekali gus merentasi genre kesusasteraan dan kesenian," katanya. Dalam perkembangan lain, Mohd Khair berkata, dua judul terbitannya yang paling mendapat sambutan ialah Kontrak Sosial: Perlembagaan Persekutuan 1957 Pengikat Jati Diri Bangsa Malaysia Merdeka karya Mohd Rizal Yaakop dan Shamrahayu A Aziz serta novel D.U.B.L.I.N (Wan Nor Azriq) menunjukkan buku umum yang dianggap 'berat' dan sastera mampu dijual. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |