Dasar Automotif Negara diberi nafas baharu: PM

Dasar Automotif Negara diberi nafas baharu: PM


Dasar Automotif Negara diberi nafas baharu: PM

Posted: 15 May 2014 04:48 PM PDT

Dasar Automotif Negara diberi nafas baharu: PMNajib menyampaikan Anugerah Pencapaian Khas Usahawan Cemerlang Automotif 2014 kepada Mohd Norsah Abdullah dari JNJ Automobile (Rengit) Sdn Bhd pada majlis pelancaran Auto Forum 2014 PUNB di Putrajaya, semalam. Turut serta, Mohd Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Dzulkifli Fadzilah (kiri). - Foto BERNAMA

Putrajaya: Dasar Automotif Negara (NAP) 2014 yang dikaji semula awal tahun ini akan diberi nafas baru dengan suntikan beberapa perincian untuk memastikan ia menjadi dasar yang lebih pragmatik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kini NAP 2014 adalah berteraskan kepada beberapa peringkat seperti pelaburan, teknologi dan kejuruteraan selain perluasan pasaran.

Dari sudut strategi pula, NAP 2014 akan melihat industri automotif secara menyeluruh, termasuk rantaian pembekal komponen dan alat ganti, pembangunan modal insan, keselamatan serta alam sekitar.

Automotif adalah antara industri penting negara kerana ia menyumbang 3.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan nilai eksport RM5.3 bilion dan menyediakan pekerjaan kepada 550,000 orang pada tahun lalu.

Masa depan cerah

Industri dijangka berkembang 10 peratus menjelang tahun 2020. Justeru, kerajaan akan berusaha memastikan langkah sewajarnya, termasuk pada peringkat pengeluaran mahupun perkhidmatan kerana ia mempunyai masa depan yang cerah serta menjanjikan pulangan lumayan, katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran Auto Forum 2014 Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), di sini semalam. Yang hadir sama, Pengerusi PUNB, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Najib berkata, setakat April 2014, PUNB mewujudkan lebih 590 perniagaan automotif membabitkan 671 usahawan Bumiputera dengan nilai projek yang diluluskan RM157 juta.

Bagi pelan masa hadapan pula, PUNB memperuntukkan RM75 juta bagi tempoh 2014-2019 untuk terus menyokong usahawan Bumiputera dalam industri automotif, terutama dalam aspek pembangunan teknologi, modal insan dan rantaian bekalan.

Sokongan kerajaan kepada usahawan Bumiputera akan dipergiat menerusi kerjasama PUNB dengan pelbagai pihak seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Institut Automotif Malaysia dan agensi kerajaan lain bagi terus memacu perjalanan keusahawanan Bumiputera, katanya.

Rebut peluang perniagaan

Perdana Menteri turut menggesa usahawan automotif Bumiputera merebut peluang perniagaan dalam pasaran lepas jualan yang mempunyai nilai dagangan mencecah jutaan ringgit setiap tahun.

Ini satu peluang perniagaan yang tidak boleh disia-siakan kerana jumlah kenderaan yang didaftarkan meningkat saban tahun, malah pada suku pertama tahun ini sahaja 160,000 unit kenderaan didaftarkan, katanya.

Sementara itu, Ali berkata untuk tahun ini, PUNB menyasarkan untuk membangunkan 95 lagi syarikat dan perniagaan automotif membabitkan RM22 juta.

Jadikan pengajaran: PM

Posted: 15 May 2014 04:47 PM PDT

Putrajaya: Kemelut politik Terengganu perlu menjadi pengajaran dan kesempatan memperkukuhkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) negeri itu supaya bersatu dan lebih mantap, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri yang bersyukur kerana kemelut itu dapat dileraikan dalam masa singkat, berkata ia menunjukkan semangat kepentingan parti mengatasi segala-galanya.

Beliau yang buat pertama kali mengulas kemelut berkenaan, menjelaskan perkara itu berpunca daripada komunikasi tidak jelas antara beliau dan bekas Menteri Besar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said, yang akhirnya berjaya diselesaikan dengan baik.

Alhamdulillah, kemelut politik di Terengganu dapat kita selesaikan, saya ucap terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Said, Ghazali Taib (ADUN Ajil) dan Roslee Daud (ADUN Bukit Besi) atas semangat yang mereka tunjukkan, yakni semangat kepentingan parti mengatasi segala-gala pada akhirnya.

Sedikit salah faham

Perkara ini berlaku kerana ada sedikit salah faham tentang keadaan tertentu... saya harap apa yang telah dilalui sebagai pengajaran dan kesempatan untuk memperkukuhkan barisan kita, barisan kepimpinan di Terengganu supaya lebih bersatu, lebih mantap.

Ini penting untuk terus berjuang memastikan sokongan rakyat kepada BN terus meningkat, katanya semalam.
Mengulas mengenai komunikasi tidak jelas itu, Najib berkata...

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

PAS nafi pujuk Ahmad Said

Posted: 15 May 2014 04:47 PM PDT

Kuala Terengganu: PAS Terengganu menafikan dakwaan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bahawa parti itu berminat mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Besar jika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berpaling tadah.

Sambil menyifatkan Ahmad sebagai liabiliti dan pemimpin bermasalah, Pesuruh jayanya, Satiful Bahri Mamat, berkata kenyataan Ahmad adalah tidak bertanggungjawab kerana pimpinan PAS, termasuk di peringkat pusat tidak pernah menghubungi atau menemui pemimpin itu.

PAS Terengganu tidak pernah tawarkan apa-apa kepada bekas Menteri Besar, kalau kata PAS tawar bermakna saya individu bertanggungjawab, tetapi perkara itu tidak pernah berlaku.

(Tetapi) saya tidak tahulah kalau ada ahli PAS lain yang tawarkan apa-apa kepada beliau, tetapi mereka tidak mewakili parti, katanya sambil menyifatkan PAS sudah meramalkan berlaku pusingan U seperti dilakukan Ahmad dan dua lagi ADUN.

Ahmad pada sidang media di kediamannya di Kijal kelmarin berkata, beliau ada didatangi wakil PAS yang mengajaknya bergabung dengan parti itu dan diberikan tawaran kekal sebagai menteri besar sekiranya bersetuju.

Ya, (wakil PAS) ada datang (nak) kekalkan saya (sebagai menteri besar). Sebab itu saya tak nak dan kekalkan tiga (ADUN) walaupun ada lebih daripada itu (yang hendak keluar parti). Kalau empat atau lima, PAS boleh isytihar tubuh kerajaan (baru), katanya.

Dalam pada itu, Satiful Bahri berkata, PAS akan memberikan kerjasama kepada Ahmad Razif dalam melaksanakan projek pembangunan untuk kepentingan rakyat.
PAS juga katanya tidak menolak kemungkinan untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman di Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan krisis kepemimpinan UMNO di negeri itu.

Khalid dahului di Selangor

Posted: 15 May 2014 04:46 PM PDT

Kuala Lumpur: Kedudukan sebagai Pengerusi PKR Selangor tidak memberi kelebihan kepada penyandang jawatan Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali, apabila ketinggalan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada pemilihan parti di negeri berkenaan.

Azmin yang mendahului pemilihan secara keseluruhan di seluruh negara hanya menerima 2,385 undi di Selangor, berbanding Abdul Khalid sebanyak 3,262 undi. Seorang lagi calon, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, menerima 324 undi.

Jumlah undi itu yang dikumpul setakat ini bagaimanapun hanya membabitkan sembilan daripada 22 cabang di Selangor.

Proses pemilihan bagi baki 11 cabang iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Kuala Selangor, Selayang, Subang, Shah Alam, Kapar, Klang, Kota Raja, Hulu Langat dan Kuala Langat, dijadual diadakan semula dalam tempoh terdekat.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi bagi peringkat kebangsaan, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak mendahului dua lagi pencabarnya selepas memperoleh 16,181 undi.

Anak Karpal tentang hudud

Posted: 15 May 2014 04:46 PM PDT

Georgetown: Meskipun PAS menyokong pencalonan calon DAP, Ramkarpal Singh Deo pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, namun beliau tetap berpegang kepada pendirian menentang hukum hudud.

Ramkarpal berkata, pendirian politik beliau adalah membawa agenda mendiang ayahnya, Karpal Singh yang keras menolak pelaksanaan hukum hudud dan konsep negara Islam.

Pendirian (hukum hudud) saya adalah jelas dan sama seperti apa yang sering diperjuangkan DAP dan saya sama sekali tidak akan berganjak dengan pendirian berkenaan.

Tiada apa yang akan berubah dan kita konsisten dengan pendirian terbabit, katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, abangnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo.

Pada 12 Mei lalu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyuarakan sokongan terhadap DAP untuk meletakkan calon pada PRK Parlimen Bukit Gelugor walaupun seorang lagi calon, ahli PAS, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar bertanding bagi memperjuangkan cita-cita hudud PAS.

Lebih 82,000 pengundi dijangka mengundi berikutan kematian Karpal dalam kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Gua Tempurung, 17 April lalu.
Nafi sebar poster

Mengulas lanjut, Ramkarpal berkata, beliau tidak ada kaitan dengan penyebaran poster di internet yang mendakwa beliau menyokong pelaksanaan hudud di Pulau Pinang menjelang 2020.

Saya tiada kaitan dengan poster itu dan macam saya katakan tadi bahawa pendirian saya adalah sama dengan DAP dan berharap penyebaran poster itu boleh dihentikan, katanya.

Katanya, beliau dimaklumkan abangnya, Jagdeep Singh Deo bahawa penggunaan logo kerajaan negeri pada poster itu juga tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa negeri dan satu laporan akan dibuat supaya tindakan susulan dapat diambil.

BN ada peluang rampas kerusi Teluk Intan

Posted: 15 May 2014 04:46 PM PDT

Teluk Intan: Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang untuk merampas kembali kerusi Parlimen Teluk Intan berikutan aliran sokongan semasa yang ditunjukkan pada beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata bagaimanapun jentera BN perlu bekerja dengan lebih keras, gigih dan penuh disiplin bagi memastikan ia boleh dilakukan.

Katanya, bacaan itu dibuat berpandukan kepada peningkatan sokongan ditunjukkan kepada BN dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut diikuti Sungai Limau dan terbaharu di Kajang.

Jika dilihat selepas PRU-13 (Pilihan Raya Umum Ke-13) lalu, ada peningkatan sokongan terhadap BN terutama di kawasan yang diandaikan sebagai kubu kuat pembangkang.

Sokongan dilihat kembali kepada BN dan ini sedikit sebanyak memberikan semangat kepada jentera yang sebelum ini bertungkus lumus berkempen.

Tidak mustahil dan kita tidak tahu mungkin dengan usaha yang lebih gigih dan teratur Parlimen Teluk Intan akan kembali ke pangkuan BN kerana prestasi pembangkang yang sudah diberi peluang tetapi tidak mengambil tahu masalah pengundi, katanya.