CEUPACS sanggah PEMANDU

CEUPACS sanggah PEMANDU


CEUPACS sanggah PEMANDU

Posted: 07 May 2014 03:03 PM PDT

CEUPACS sanggah PEMANDUAzih berucap pada Mesyuarat Agung Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia (KEPTAN) Cawangan Kluang, semalam.

CUEPACS sanggah laporan PEMANDU prestasi penjawat awam menurun

Kluang: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sanggah laporan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) yang menyifatkan prestasi penjawat awam semakin menurun, sebagai tidak tepat dan berat sebelah.

Presiden CUEPACS, Azih Muda, berkata penilaian yang dibentangkan PEMANDU dalam taklimat bersama kepemimpinan negara baru-baru ini, menunjukkan PEMANDU gagal memahami realiti sebenar perkhidmatan awam negara.

Bagaimana mereka (PEMANDU) mengukur produktiviti penjawat awam, termasuk guru dan doktor yang tidak pernah selesai tugas mereka, mahupun anggota penguat kuasa yang amat berdedikasi hingga mempertaruhkan nyawa serta keluarga" Azih Muda, Presiden CUEPACS


Katanya, PEMANDU perlu memperbetulkan penilaian berat sebelah itu berikutan kayu ukur yang digunakan bukan saja tidak relevan, malah tidak mengambil kira kecemerlangan ditunjukkan pelbagai agensi serta penjawat awam yang meraih pelbagai kejayaan membanggakan.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Ruang kaum dalam borang rasmi digugur

Posted: 07 May 2014 02:58 PM PDT

Putrajaya: Kabinet semalam memutuskan menggugurkan ruangan 'kaum' dalam borang rasmi kerajaan jika ia tidak memberi nilai tambah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun.

Katanya, pendekatan itu bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan kerajaan, selain dapat memupuk budaya keterangkuman dalam kalangan pelbagai kaum yang berbeza di negara ini.

"Umpamanya, borang kerajaan berkaitan kebajikan tidak memerlukan ruangan 'kaum' kerana setiap keputusan yang dibuat selepas itu adalah berdasarkan kepada keperluan, bukannya berasaskan kaum. Justeru, maklumat mengenai kaum tidak diperlukan.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

PM ucap tahniah pelantikan Dr Jemilah

Posted: 07 May 2014 02:53 PM PDT

PM ucap tahniah pelantikan Dr Jemilah

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mengucapkan tahniah di atas pelantikan Tan Sri Dr Jemilah Mahmood mengetuai Sekretariat Persidangan Kemanusiaan Dunia (WHS) yang bakal berlangsung di Istanbul, Turki, pada 2016.

Menerusi kenyataannya di Facebook, Perdana Menteri berkata, pelantikan Jemilah adalah bukti kepada kualiti kepemimpinan luar biasa bagi kerja-kerja kemanusiaan dilakukannya yang membantu melonjakkan nama negara di persada antarabangsa.

"Beliau tidak tahu erti penat dalam tugas perubatan dan kemanusiaan untuk negaranya dan dunia, membuktikan peranan besar wanita dan membantu meletakkan nama Malaysia di peta dunia.

Beliau tidak tahu erti penat dalam tugas perubatan dan kemanusiaan untuk negaranya dan dunia seterusnya membuktikan peranan besar wanita dan membantu meletakkan nama Malaysia di peta dunia" Najib Razak, Perdana Menteri


"Tahniah, anda (Jemilah) membuat negara kita berbangga," katanya.
Dalam kenyataan Sekretariat WHS yang beroperasi di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) New York kelmarin, Dr Jemilah, 54, dilantik ke jawatan Pengarah dan bertanggungjawab merealisasikan persidangan yang dicadangkan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon itu.

Dr Jemilah ialah Pengerusi Lembaga Amanah Teach For Malaysia, bekas Presiden MERCY Malaysia, bekas felo kanan Khazanah Nasional Berhad, felo penyelidik pelawat kanan di Institut Dasar Global King's College London.

Seru rakyat cintakan negara
Sementara itu, sebelum meninggalkan negara untuk memulakan tugas baharunya hari ini, Dr Jemilah dalam Facebooknya meminta rakyat Malaysia untuk terus mencintai negara.

Beliau mengingatkan rakyat memberikan kritikan membina dan tidak sesekali merendahkan martabat orang lain.

"Disebabkan saya akan meninggalkan anda semua malam ini (semalam), saya berharap dan berdoa supaya anda terus menyayangi negara dan sesama insan lain. Berpegang teguh sesama anda dan berikan kritikan yang membina.

"Saya sentiasa berpegang kepada pesanan rakan saya di Teach For Malaysia yang mengatakan 'masalah bersifat sejagat, penyelesaian boleh dikongsi'.

"Anda perlu bersyukur dilahirkan dalam suasana aman dan kasih sayang. Saya pernah melihat dan bekerja dengan mereka yang kehilangan segala-galanya dan mengajar saya bahawa kita boleh belajar mengenai daya tahan dan ketekunan di mana saja," katanya.

"Belajarlah mengenai belas kasihan di seluruh kawasan berhampiran termasuk di Jalan Chow Kit, perkampungan di Pantai Timur, pelarian dan yang kurang bernasib baik serta miskin," katanya.

Katanya, tidak kira apa jua kepercayaan, kita mempunyai warna darah yang sama, ketawa, menangis, rasa sayang dan putus asa dan kita semuanya sama di sisi Allah.

"Saya akan pulang kepada Malaysia yang lebih kuat dan anda semua berada dekat di hati saya, tidak kira di mana saya berada," katanya.

MAS tutup pusat sokongan

Posted: 07 May 2014 02:47 PM PDT

MAS tutup pusat sokonganGambar fail menunjukkan sebahagian ahli keluarga penumpang menunggu berita mengenai perkembangan terkini kehilangan pesawat MH370 di sebuah hotel di Beijing. - Foto AFP

Kuala Lumpur: Semua pusat sokongan keluarga yang ditubuhkan oleh Penerbangan Malaysia (MAS) sejak kehilangan pesawat MH370 dua bulan lalu, ditutup semalam.
Penutupan turut membabitkan sebuah pusat di Hotel Lido, Beijing yang menjadi penempatan keluarga penumpang dari China sejak 8 Mac lalu. Sepanjang tempoh itu, keluarga terbabit menghadiri sesi taklimat dan penerangan pihak berkuasa, termasuk Kerajaan Malaysia berhubung perkembangan terkini kehilangan MH370. Maklum melalui telefon

Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, semua perkembangan terkini mengenai pesawat MH370 akan dimaklumkan kepada keluarga dan waris menerusi panggilan telefon, pesanan atau mesyuarat khas.

Serentak dengan penutupan itu katanya, hanya dua pusat sokongan keluarga akan dibuka oleh MAS, masing-masing di Beijing dan Kuala Lumpur.

"Maklumat lanjut mengenai pusat ini akan disampaikan secara terus kepada semua ahli keluarga terbabit," katanya.
Berhubung guna Wechat

Dalam perkembangan berkaitan, akhbar The Wall Street Journal berkata, sokongan padu kepada keluarga penumpang masih diteruskan menggunakan khidmat platform sosial seperti WeChat.

Kumpulan yang disertai hampir 500 orang itu tidak hanya membabitkan keluarga bahkan individu lain seperti wakil media, pegawai polis dan kakitangan kerajaan.

Antara topik yang dibincangkan dalam Wechat kumpulan itu, termasuk usaha mendapatkan kebenaran penempatan sementara di Beijing.

Seorang waris, Jimmy Wang, berkata kumpulan itu diwujudkan pada hari pesawat MH370 hilang bagi membolehkan semua ahli keluarga berkongsi maklumat dan saling berhubungan.

Moderator kumpulan itu bagaimanapun berhasrat membubarkannya kerana disertai pihak luar yang tiada kaitan dengan pesawat MH370.

"Satu kumpulan baru dengan kuota tiga wakil dari setiap keluarga akan dibentuk selepas ini," katanya.

Wang seorang graduan dari Sweden turut meninggalkan Hotel Lido, semalam, bersama keluarga penumpang lain.

TPM mahu ESSCOM ambil langkah drastik elak ditempelak

Posted: 07 May 2014 02:40 PM PDT

Tashkent (Uzbekistan): Tan Sri Muhyiddin Yassin kecewa dengan insiden terbaharu penculikan pengurus sebuah syarikat ladang ternakan ikan warga China dekat Pulau Baik, Silam di sini, kelmarin.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri mahu langkah drastik diambil dengan kadar segera untuk menutup setiap kelemahan yang wujud.

"Memang saya agak kecewa kerana kita sudah sebut beberapa isu sebelum ini termasuk menubuhkan ESSCOM (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) dan ESSZONE (Zon Selamat Timur Sabah), namun ia masih belum berupaya mengekang kejadian sebegitu.

Kita sudah keluarkan arahan supaya dipertingkat aset di kawasan itu (ESSCOM) termasuk penggunaan radar sebagai kaedah pemantauan untuk melihat pergerakan" Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri


"Kita sudah keluarkan arahan supaya dipertingkatkan aset di kawasan itu (ESSCOM) termasuk penggunaan radar sebagai kaedah pemantauan untuk melihat pergerakan.

"Justeru, saya harap ESSCOM dapat segera ambil tindakan supaya tiada pihak yang menempelak dan kerajaan mahu tindakan itu segera diambil," katanya kepada media Malaysia selepas mempengerusikan rundingan meja bulat disertai kapten industri Malaysia-Uzbekistan di sini, semalam.

Selain itu, Muhyiddin mengakui kedudukan perairan yang panjang membabitkan jarak lebih 1,400 kilometer, termasuk berdekatan dengan Filipina yang dikelilingi pulau sedikit sebanyak menimbulkan kesulitan, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk bersikap lepas tangan.

Perkukuh kawalan
"Kita sudah bincang dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan meminta supaya diperkukuhkan kawalan sempadan yang dianggap antara terpanjang itu.

"Saya dengar pihak kerajaan Sabah juga mengeluarkan beberapa arahan susulan insiden penculikan terbaharu ini dan saya harap ia segera dilaksanakan," katanya.

Di Kuala Lumpur, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata satu kajian terperinci perlu dilakukan bagi meneliti langkah keselamatan yang diambil bagi menangani kes penculikan di ESSCOM.

Katanya, keberkesanan langkah keselamatan yang sudah diambil pihak berkuasa ketika ini, perlu dikaji semula selepas berlaku satu lagi kes penculikan.

TEKUN tetap bantu peniaga bermasalah

Posted: 07 May 2014 02:27 PM PDT

TEKUN tetap bantu peniaga bermasalah Ismail Sabri bersama Abdul Rahim (kiri) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Arif Ab Rahman menunjukkan piala dan sijil yang diterima sempena Persidangan Tahunan ADFIAP ke-37. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Hanya 19 peratus peminjam gagal dalam perniagaan

Putrajaya: Hanya 19 peratus peminjam Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) gagal dalam perniagaan sejak dana itu diwujudkan pada tahun 1998.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata peratusan peminjam yang gagal tidak tinggi kerana kebanyakan mereka dibantu pegawai TEKUN Nasional bagi memulihkannya.

"Sejak diwujudkan sehingga 30 April lalu, TEKUN Nasional sudah menyalurkan pinjaman RM3.08 bilion kepada 287,309 peniaga. Peratusan yang tidak berjaya dalam perniagaan tidak besar iaitu sekitar 19 peratus saja atau kurang 20 peratus.

"Ini kerana peniaga atau usahawan yang menghadapi masalah akan segera dibantu pegawai TEKUN Nasional bagi memulihkan perniagaan. Kita akan beri peluang kedua kepada mereka dan bantu selagi termampu termasuk menjadualkan semula pembayaran mengikut kemampuan peminjam," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas majlis pengiktirafan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TEKUN Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan yang menerima Anugerah CEO Cemerlang 2014 daripada Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Asia dan Pasifik (ADFIAP).

ADFIAP ke-37
Abdul Rahim menerima anugerah berkenaan sempena Persidangan Tahunan ADFIAP ke-37 pada 23 hingga 25 April lalu di Moscow, Russia.

Ismail Sabri berkata, pegawai TEKUN Nasional bukan semata-mata bertugas mengutip hutang peminjam, sebaliknya turut memantau perkembangan perniagaan diusahakan mereka dan membantu jika perlu.

"Pegawai akan tanya bagaimana (perjalanan) perniagaan, bukan kutip hutang semata-mata, malah peniaga juga boleh mengadu jika menghadapi sebarang masalah. Terpulang kepada peniaga untuk manfaatkan sebaiknya peluang kedua yang diberikan.

"Peminjam yang menentukan kecekapan perniagaan selain ilmu keusahawanan yang dipelajari turut menjadi penentu kejayaan," katanya sambil turut melahirkan rasa bangga dengan kejayaan dicapai Rahim yang juga mampu melonjakkan kemampuan TEKUN Nasional dalam memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan.