Peperiksaan bertulis SPA dalam talian

Peperiksaan bertulis SPA dalam talian


Peperiksaan bertulis SPA dalam talian

Posted: 26 May 2014 04:43 PM PDT

Putrajaya: Mulai hari ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan melaksanakan sistem peperiksaan bertulis secara atas talian bagi memilih calon berkelayakan mengisi jawatan kosong dalam sektor awam.

Penambahbaikan dan inovasi terbaharu itu membolehkan orang ramai menduduki peperiksaan bertulis untuk memasuki skim perkhidmatan awam di mana saja mereka berada, termasuk di luar negara.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

MAS semak semula dasar daftar masuk bagasi esok

Posted: 26 May 2014 04:43 PM PDT

Kuala Lumpur: Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) menyemak semula dasar daftar masuk bagasi, berkuat kuasa mulai esok.

Susulan semakan itu, penumpang dibenarkan mendaftar masuk maksimum dua bagasi percuma, masing-masing seberat 30 kilogram (Ekonomi), 40 kilogram (Bisnes) dan 50 kilogram (Kelas Satu).

Syarikat penerbangan itu juga menyemak semula beberapa kadar baharu untuk bayaran bagasi berlebihan muatan mengikut kadar blok setiap 5 kilogram.

Untuk penerbangan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, kadar baharu ialah RM45, antara Semenanjung dan Sabah atau Sarawak (RM55), ASEAN (RM70), Asia Selatan/China (RM100), Asia Utara/Australia, New Zealand dan Timur Tengah (RM115) dan Eropah RM170.

Semua tiket

"Semakan semula itu terpakai untuk semua tiket, tanpa mengira tarikh dikeluarkan untuk perjalanan dari 28 Mei, 2014 dan seterusnya," kata MAS dalam satu kenyataan.

Ia berkata, peruntukan bagasi bayi yang kini 10 kilogram satu dan pengangkutan air Zamzam dari Tanah Suci, tidak berubah.
Bagi penumpang yang mengerjakan umrah dan haji, peruntukan khas 10 kilogram setiap botol 10 liter air Zamzam dibenarkan dari Jeddah-Kuala Lumpur dan destinasi seterusnya.

Peruntukan itu adalah tambahan kepada Elaun Bagasi Percuma dua bagasi setiap satu seberat 50 kilogram untuk Kelas Satu, dua beg setiap satu 40 kilogram untuk Kelas Bisnes dan dua beg setiap satu 30 kilogram bagi Kelas Ekonomi.

Bagi ahli Enrich dan oneworld penerbangan itu layak memperoleh berat muatan tambahan berdasarkan status keahlian mereka. BERNAMA

Tragedi MH370: ‘Teknologi komunikasi ganti kotak hitam’

Posted: 26 May 2014 04:43 PM PDT

Kuala Lumpur: Kemajuan teknologi komunikasi boleh dimanfaatkan sebagai penyelesaian dalam misi mencari pesawat hilang, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada maklumat kotak hitam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar) berkata, sudah tiba masanya sistem kotak hitam yang mempunyai kemampuan terhad digantikan kepada teknologi komunikasi seperti telefon bimbit dan jalur lebar yang memberi maklumat lebih pantas.

"Kini, kita boleh mengesan telefon bimbit yang hilang dengan mudah. Bagaimanapun, apabila sesebuah pesawat hilang, kita mencari kotak hitam bagi mendapatkan data, namun apabila ditemui kotak hitam hanya mempunyai perbualan dua jam terakhir di dalam kokpit.

Terus guna satelit

"Itu zaman perakam pita, iaitu teknologi tahun 60-an. Zaman sekarang teknologi membolehkan segala data telefon bimbit atau jalur lebar dihantar terus menggunakan satelit.

Jadi mengapa perkara ini tidak dimanfaatkan dalam sektor penerbangan?," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Dialog Pakar Berkaitan Pemantauan Masa Nyata Penerbangan, Termasuk Kotak Hitam, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Biro Standard Telekomunikasi Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Malcolm Johnson; Pengarah Biro Navigasi Udara Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Nancy Graham; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman.
Dialog yang dijalankan secara tertutup membabitkan lebih 50 pakar terkemuka dalam bidang penerbangan, komunikasi dan perundangan itu adalah susulan daripada Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia di Dubai, awal April lalu.

Ahmad Shabery berkata, sesi dialog itu diharap mampu mencari jalan supaya data daripada telefon bimbit dibangunkan menjadi teknologi mengesan pesawat dalam sesuatu tragedi.

"Kita mungkin akan temui pelbagai kaedah bagaimana mahu memanfaatkan data komunikasi ini dan jika dipersetujui penggunaannya oleh negara lain, Malaysia akan menjadi penyumbang dan membuka lebaran baharu sejarah p enerbangan berkaitan pencarian pesawat," katanya.

Beliau berkata, kemajuan telekomunikasi data itu diharapkan dapat mengelak berulangnya peristiwa sama yang menimpa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu dalam perjalanan ke Beijing, China.

Lapor berita tepat, adil: PM

Posted: 26 May 2014 04:41 PM PDT

Lapor berita tepat, adil: PMNajib menyampaikan anugerah kepada Wan Noor Hayati pada Majlis Malam Anugerah NPC 2014 di ibu negara, malam tadi.

Kuala Lumpur: Ahli politik mempunyai tanggungjawab untuk tidak menjadikan diri masing-masing sebagai tajuk berita murahan menerusi kata-kata provokatif, kata Datuk Seri Najib Razak.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengingatkan pengamal media supaya terus berperanan melaporkan berita yang tepat serta adil.

Katanya, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dengan semangat keadilan dan kebenaran, kerana rakyat negara ini sering cenderung terhadap sesuatu perkara sehingga bertindak balas secara tergesa-gesa.

Elak timbul kemarahan

"Laporan bertanggungjawab boleh bertindak sebagai penyerap kejutan dan dalam sistem demokrasi negara yang semakin meluas, kita sebagai rakyat, wartawan atau ahli politik mesti bekerja bersama-sama mengelakkan kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan dan meredakan ketegangan tanpa mengira spektrum sosial atau politik kita berada," katanya.

Beliau berucap pada majlis Anugerah Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia (NPC) di sini, malam tadi. Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Presiden NPC, Mokhtar Hussin dan Pengerusi NPC, Datuk Ahiruddin Attan.

Pada majlis itu, wakil Media Prima Berhad merangkul empat anugerah iaitu Wartawan Terbaik Proton kategori Bahasa Melayu yang dimenangi wartawan BH, Wan Noor Hayati Wan Alias; Tharanya Arumugan dari New Straits Times (Wartawan Muda Celcom); Amin Hayat Abd Rahim dari TV9 (Wartawan Penyiaran TNB) serta Roy Anthony Goh dari New Straits Times (Wartawan Terbaik NPC-Sabah).
Pada majlis itu, tokoh perfileman, Tan Sri Datuk Dr L Krishnan, menerima Anugerah Tokoh 1Malaysia NPC-Tan Sri SM Nasimuddin, manakala Allahyarham Zainon Ahmad menerima anugerah Lagenda Media NPC-AmBank dan Tan Yoke Swee (Anugerah Pencapaian Seumur Hidup NPC-TM).

Perdana Menteri berkata, sejak menerajui kerajaan beliau memberi komitmen penuh dengan membenarkan internet sebagai medium perbahasan dan perbincangan terbuka, namun menegaskan ada perbezaan antara kritikan yang membina dan fitnah.

Katanya, sesuatu fitnah sama ada dibuat seseorang atau dipanjangkan secara terbitan semula, boleh berdepan tindakan undang-undang sama.

Tohmahan melampaui batas Beliau menjelaskan, tohmahan oleh sebuah portal berita baru-baru ini adalah melampaui batas sehingga bahagian perundangan di Pejabat Perdana Menteri berpendapat notis perundangan perlu dikeluarkan.

"Saya mahu jelaskan tindakan yang dibuat ini bukan agenda, juga bukan sebahagian tindakan keras atau cubaan menutup suara kritikal.

"Undang-undang tidak mengenal siapa dan sebarang ganti rugi mestilah setimpal dengan kesan fitnah. Ia adalah tindakan terhadap tuduhan tertentu yang lebih kepada fitnah berbanding komen adil.

"Di Malaysia, bukan luar biasa kepada pemimpin kerajaan dan pembangkang mengambil tindakan terhadap mana-mana organisasi yang mereka percaya melanggar undang-undang.

Dalam demokrasi, tindakan undang-undang terhadap fitnah menerusi media adalah langkah wajar," katanya.