Kena RM100,000 fitnah FELDA

Kena RM100,000 fitnah FELDA


Kena RM100,000 fitnah FELDA

Posted: 30 Apr 2014 05:13 PM PDT

Kena RM100,000 fitnah FELDADatuk Mustafa Ali

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Pengarang Harakah serta tiga pihak lain diarah membayar ganti rugi RM100,000 kepada FELDA kerana memfitnah agensi itu menjual minyak sawit mentah kepada Israel. FELDA berjaya tunjuk bukti

Arahan ganti rugi itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi, Lee Heng Cheong, selepas mendapati FELDA berjaya membuktikan ia tidak menjual minyak sawit mentah kepada Israel seperti didakwa semua defendan.

Heng Cheong mendapati dua artikel yang disiarkan lidah rasmi PAS, Harakah mengenai isu itu mampu menimbulkan fitnah terhadap agensi berkenaan.

Katanya, artikel itu didapati memfitnah FELDA dan semua defendan gagal membuktikan pembelaan keistimewaan bersyarat serta komen yang adil.

Selain Mustafa dan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, tiga defendan lain ialah pengarangnya, Taufek Yahya; penulis artikel Mohd Arif Atan dan pencetak, Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd.
Heng Cheong turut memerintahkan semua defendan membayar kos berjumlah RM30,000 kepada plaintif.

Beliau bagaimanapun menolak saman FELDA terhadap Presiden Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman selepas memutuskan Mazlan berjaya membuktikan pembelaan keistimewaan bersyarat dan komen yang adil berdasarkan isu kepentingan awam.

Heng Cheong sehubungan itu memerintahkan FELDA membayar kos RM30,000 kepada Mazlan.

Komen berbaur fitnah

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 7 Januari tahun lalu, FELDA mendakwa Mazlan (defendan pertama) memuat naik dalam laman Facebooknya pada 19 November 2012, gambar invois dan keterangan gambar yang berbaur fitnah, selain membuat kenyataan sama pada perhimpunan di hadapan pejabat FELDA empat hari kemudian.

FELDA mendakwa kenyataan itu diterbitkan semula oleh defendan kedua hingga keenam (Mustafa, Ahmad Lutfi, Taufek, Mohd Arif dan Angkatan Edaran Ent) dalam beberapa artikel Harakah antara 26 dan 29 November 2012.

Ia menegaskan kenyataan itu menjejaskan reputasi FELDA dan mendakwa defendan berbuat demikian dengan niat mencapai agenda peribadi untuk memusnahkan kepercayaan orang ramai terhadapnya.

Turut disaman FELDA ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berhubung artikel bertajuk 2,000 Himpun Bantah Felda Jual Minyak ke Israel dan BN Jangan Tipu Rakyat bertarikh 27 November 2012, yang disiarkan dalam Suara Keadilan.

Selesai saman cara baik

Bagaimanapun, pada 21 April lalu kes saman fitnah terhadap Saifuddin diselesaikan secara baik. Saifuddin bersetuju untuk menerima dan mengakui bahawa Felda IFFCO Oil Product Sdn Bhd membuat penghantaran ke Palestin dan bukan Israel dan tidak pernah menjual minyak sawit mentah kepada Israel atau mana-mana syarikat milik Israel.

Dalam penghakiman ringkasnya semalam, Heng Cheong berkata, FELDA berjaya membuktikan ia tidak menjual minyak sawit mentah kepada Israel.

Katanya, FELDA adalah satu entiti berasingan daripada FELDA Iffco Oil Product Sdn Bhd (FIOP) dan FELDA Global Ventures Downstream Sdn Bhd (FGVD) dan mahkamah mendapati FIOP tidak menjual minyak sawit mentah kepada Bunge Singapore Agribusiness Pte Ltd yang didakwa syarikat Israel.

FELDA diwakili peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun, manakala semua defendan diwakili peguam, Azhana Mohd Khairuddin.

Eksklusif: Sindiket kaut untung RM17.9 juta

Posted: 30 Apr 2014 05:05 PM PDT

Eksklusif: Sindiket kaut untung RM17.9 juta

Kuala Lumpur: Sindiket jenayah siber antarabangsa berpangkalan di Hong Kong dan Taiwan menipu 560 rakyat Malaysia dan mengaut keuntungan RM17.9 juta dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Dalam tempoh sama tahun lalu, sindiket dikenali ATM Ekspres ini menipu 323 mangsa menggunakan keldai akaun tempatan membabitkan kerugian RM6.7 juta.

Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Syarat ketat akad nikah guna Skype

Posted: 30 Apr 2014 05:04 PM PDT

Syarat ketat akad nikah guna Skype

Kuala Lumpur: Proses akad nikah menerusi aplikasi bual video atas talian termasuk Skype dibenarkan, namun ia perlu memenuhi syarat di mana pengantin lelaki mesti bersama wali pengantin perempuan dan jurunikah.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata perkahwinan itu juga sebaiknya dibuat hanya atas tuntutan kecemasan, darurat atau wujud halangan tertentu yang tidak dapat dielakkan, bukan disengajakan.

Dapatkan naskhah BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

Catuan air dihentikan mulai hari ini

Posted: 30 Apr 2014 05:02 PM PDT

Kuala Lumpur: Catuan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang menjejaskan keselesaan kira-kira tujuh juta pengguna selama hampir dua bulan, dihentikan mulai hari ini.

Pengumuman dibuat Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ismail Kassim di Kangar semalam, susulan permohonan Kerajaan Selangor supaya pengagihan air berjadual peringkat satu, tiga dan empat sebelum ini ditarik semula.

"SPAN juga menerima permohonan untuk tarik balik semua peringkat pengagihan air berjadual daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) selaku operator agihan," katanya pada sidang media, semalam.

Katanya, keputusan juga susulan pertambahan paras simpanan air di Empangan Sungai Selangor kepada 40.23 peratus Selasa lalu berbanding 36.39 peratus pada 29 Mac berikutan hujan yang semakin kerap, sekali gus meningkatkan paras sungai untuk membekalkan air ke lima loji rawatan utama di negeri itu.

Di Shah Alam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata berdasarkan kapasiti empangan ketika ini, kerajaan negeri hanya memberi jaminan bekalan air boleh disalurkan seperti biasa untuk tempoh antara lima hingga enam bulan dari sekarang.

Pantau perkembangan
"Kita akan pantau perkembangan setiap hari untuk memastikan paras empangan terus meningkat dan jika keadaan memerlukan, kita kaji semula keputusan menamatkan jadual pelan catuan air," katanya.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri juga berusaha menambah bekalan air termasuk membekalkan 10 pam air untuk mengepam sumber itu dari kolam dan hilir sungai ke Sungai Selangor selain menyediakan RM10 juta untuk membeli pam dan membina infrastruktur bagi kerja mengepam air sungai yang berlebihan ke kolam takungan.

"Ini juga sebagai persediaan menghadapi musim kering yang panjang, bermula akhir Mei hingga September depan," katanya sambil menambah, bagi tempoh jangka panjang pula, kerajaan akan meningkatkan simpanan air mentah dari sumber air hujan, sungai, lombong, kolam tadahan dan air bawah tanah yang boleh bertahan sehingga 2050.

Pelaksanaan pengagihan air berjadual peringkat satu di Selangor dan Kuala Lumpur bermula 27 Februari lalu susulan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi disebabkan paras ammonia air mentah, melebihi had dibenarkan.

SPAN lulus agihan

Susulan itu, SPAN juga meluluskan pengagihan air berjadual dua, tiga dan empat, masing-masing bermula 2 Mac, 10 Mac dan 4 April lalu.
Ia susulan keputusan Kerajaan Selangor mengurangkan pelepasan dari Empangan Sungai Selangor dan Empangan Klang Gates.

Sementara itu, EXCO Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata kerja penstrukturan semula air dan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 sedang berjalan serentak dan semuanya dalam proses draf akhir perjanjian.

Beliau turut menyalahkan syarikat konsesi air yang didakwa gagal melaksanakan amanah diberikan bagi memastikan krisis air yang sudah dijangka sejak 2010 dapat ditangani lebih awal selain faktor kemarau luar biasa yang turut menyumbang kepada krisis air ini.

Latih mental, daya saing peguam muda

Posted: 30 Apr 2014 04:59 PM PDT

Latih mental, daya saing peguam muda Khairy pada Majlis Pelancaran Program Peguam Perintis Muda di JW Marriot Hotel, semalam sambil disaksikan Khairul Anwar (kiri). - Foto Saifullizan Tamadi

Kuala Lumpur: Seramai 30 peserta dipilih menyertai program Peguam Perintis Muda yang menawarkan pembiayaan RM200,000 setiap seorang.

Program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) dengan kerjasama Biro Profesional Muda UMNO, AlRajhi Bank serta Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, semalam.

Program latihan 3 bulan

Dalam ucapannya, Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO, berkata program latihan selama tiga bulan itu julung kali diadakan di negara ini serta sebagai titik permulaan memperkasakan bidang profesional dalam kalangan orang muda.

"Ini adalah usaha untuk mendekatkan golongan profesional dengan masyarakat awam. Ia juga mampu membentuk nilai kemasyarakatan yang lebih tinggi kerana orang ramai ada tanggapan bahawa golongan profesional sukar didekati dan ada jurang yang membezakan gaya hidup mereka dengan kelompok lain," katanya.

Turut hadir Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat; Pengerusi Biro Profesional Muda UMNO, Shahril Hamdan dan Ketua Pegawai Eksekutif AlRajhi, Datuk Azrulnizam Abd Aziz. Pada majlis itu, Khairy turut menyaksikan sesi tanda tangan memorandum persefahaman (MoU) di antara SukaGuam, AlRajhi serta Biro Profesional Muda UMNO.
Program berkenaan akan melatih peserta serta memberi peluang mereka bekerja dengan tokoh profesional dalam bidang perundangan, korporat, perbankan serta pemasaran sebagai langkah persediaan untuk membina ketahanan mental dan mempunyai daya saing yang tinggi sebelum menubuhkan firma guaman sendiri.

2,604 teksi guna Exora menjelang akhir 2014

Posted: 30 Apr 2014 04:59 PM PDT

Kuala Lumpur: Sebanyak 2,604 teksi bandar dan eksekutif akan menggunakan PROTON Exora di bawah skim Teksi 1Malaysia (TEKS1M) menjelang akhir 2014, antara inisiatif dalam program transformasi pengangkutan awam bermula hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata 39,531 teksi bajet dan 3,111 teksi eksekutif beroperasi di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang akan melalui proses itu apabila kenderaan digunakan mereka sekarang mencecah usia 10 tahun.

"Sekarang, sebanyak 2,604 teksi bandar dan eksekutif sedang menghampiri had umur 10 tahun, manakala hampir 50 peratus lagi dalam tempoh lima tahun akan datang. Peralihan semua teksi sedia ada kepada TEKS1M adalah untuk menyediakan khidmat pengangkutan darat lebih baik dan setaraf dengan London, New York, Tokyo dan Dubai," katanya.

Bercakap pada sidang media sempena program migrasi teksi bandar kepada TEKS1M, di sini semalam, Syed Hamid berkata, satu model operasi teksi yang seragam dan efisyen dapat dilaksanakan dengan pengenalan dasar baharu bagi memperkasakan perkhidmatan pengangkutan itu di negara ini.