Kereta meletup

Kereta meletup


Kereta meletup

Posted: 22 May 2014 05:12 AM PDT

Puchong : seorang lelaki berusia lingkungan 40 an rentung setelah kereta yang dipandunya terbakar di Taman Kinrara,Puchong kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Puchong Jaya sebelum keretanya tiba-tiba meletup dan terbabas sehingga merempuh sebatang pokok.

Mangsa gagal menyelamatkan diri setelah terperangkap dalam kereta yang sedang terbakar itu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Yong Soo Koon berkata, pihaknya masih belum mengenalpasti identiti mangsa.

Foto

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memeriksa kereta yang terbakar.


Menurutnya, pihaknya juga masih belum menerima laporan polis dari keluarga mangsa.


"Kes terbabit tidak membabitkan unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/22

Bas 'sapu' enam pekerja

Posted: 22 May 2014 04:18 AM PDT

Gua Musang: Seorang maut, dua parah dan tiga lagi cedera selepas dirempuh sebuah bas ekspres yang terbabas di Kilometer 72 Jalan Gua Musang - Kuala Krai, dekat sini, kira-kira jam 12.15 tengah hari tadi.

Mangsa yang maut adalah kakitangan Road Care Sdn Bhd, Mohd Zakarman Bedol, 41, dari Kampung Bukit Ipoh, Jeli, manakala mereka yang parah dan cedera adalah kakitangan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM).

Difahamkan, ketika kejadian semua mangsa sedang menjalankan kerja mengorek tar di tepi jalan bagi tujuan pemeriksaan kualiti.

Saksi kejadian memberitahu melihat lima bas ekspres melalui laluan berkenaan untuk menghala ke Kuala Lumpur, sebelum bas kedua terbabas dan merempuh semua mangsa, serta sebuah van dan Toyota Hilux milik syarikat yang diletakkan di tepi jalan.

Foto

FOTO Ihsan Pembaca


Semua mangsa termasuk maut dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan, manakala pemandu bas dan 10 penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/22

Cedera dalam kabus

Posted: 22 May 2014 03:18 AM PDT

Kuala Lumpur: Seramai 21 rakyat Malaysia terdiri daripada 13 pelajar berusia 10 sehingga 12 tahun bersama 5 guru dan 3 sukarelawan terselamat dalam kemalangan bas di Gidgegannup, Australia Barat yang berlaku jam 8.30 malam tadi (waktu tempatan).

Sukarelawan, Mohd Fikri Mohd Bakri, 51, berkata, kejadian berlaku ketika rombongan pelajar itu dalam perjalanan balik menghadiri Seminar Alam Sekitar dari Bayswater menuju kem penginapan mereka di Lake Leschenaultia.

"Kami singgah membeli makanan di Mirrabooka sebelum terbabit dengan kemalangan kira-kira 30 minit selepas memulakan perjalanan semula," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurutnya, punca kemalangan berkemungkinan akibat kabus tebal yang menghadkan jarak penglihatan pemandu bas dan permukaan jalan basah.

Foto

FOTO Ben Hennessy, 9 News Perth.


"Ketika itu hujan renyai dan bas dalam kelajuan 30 kilometer sejam sebelum bas terbabas dan tersangkut di benteng setinggi 4 kaki. Semua terselamat dan bas tidak terbalik atau jatuh gaung," katanya.


Katanya, semua pelajar menjalani pemeriksaan di Hospital Diraja, Hospital Princess Margaret dan Hospital Swan District di Perth sebelum semua dibenarkan pulang tengah hari tadi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/22

Gurauan bertukar tragedi

Posted: 21 May 2014 11:52 PM PDT

Bentong: Gara-gara bergurau dengan dengan mengangkat rakan ke atas tembok, dua pelajar Sekolah Menengah Agama Pelangai cedera parah selepas terjatuh dari tingkat satu bangunan asrama sekolah berkenaan,kira-kira jam 6.40 petang semalam.

Sebelum kejadian, kedua-dua pelajar terbabit, Muhamad Izzudin Mohd Saadan serta Hamirul Haqimi Hanafi masing-masing berusia 13 tahun bergurau dengan seorang daripada mereka diangkat ke atas tembok berkenaan.

Ketua Polis Daerah Superintendan Mohamed Mansor Mohd Nor berkata, tindakan mereka membawa padah apabila Muhamad Izzudin tiba-tiba tergelincir namun sempat menarik tangan Hamirul Haqimi sebelum kedua-duanya terjatuh.

"Gurauan mereka bertukar tragedi malah hampir membawa maut apabila kedua-duanya terjatuh dari tingkat satu hingga parah di kepala dan anggota badan.

Foto

MANGSA dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh.


"Warden asrama yang dimaklumkan mengenai kejadian terbabit segera membawa mereka ke Klinik Kesihatan Pelangai sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk rawatan lanjut,"katanya, ketika dihubungi di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/22

Padah lompat pagar sekolah

Posted: 21 May 2014 09:31 PM PDT

Rantau Panjang: Tindakan nekad seorang pelajar berusia 17 tahun melompat pagar sekolahnya di sini, ketika sesi pembelajaran masih berlangsung mengundang padah apabila lengannya tersangkut pada jeriji pagar itu.

Kejadian berlaku jam 12 tengah hari semalam dan pelajar tingkatan lima itu difahamkan mahu pulang lebih awal dengan melompat keluar daripada salah satu pagar sekolahnya yang berkunci.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Zaimi Samad berkata, pihaknya menggunakan 'Hydraulic Cutter' untuk memotong besi yang mencucuk lengan pelajar lelaki terbabit.

"Kita mengambil masa selama lima minit untuk mengeluarkan besi berkenaan sebelum pelajar itu dihantar ke klinik kesihatan terdekat untuk menerima rawatan.

Foto

FOTO Ihsan Bomba dan Penyelamat.


"Difahamkan pelajar ini sedang melompat keluar tetapi lengan kirinya tersangkut dan tercucuk pada pagar itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/22

'Syurga saya bawah jejambat'

Posted: 21 May 2014 11:42 AM PDT

Kuala Lumpur: "Setiap malam saya tidur di atas sofa lusuh ini. Saya tiada pilihan kerana ini saja tempat saya berteduh," kata Jamaluddin Abdullah Ratnam, 66, yang tinggal gelandangan di bawah jejambat bersebelahan landasan komuter Pantai Dalam di sini, sejak 10 tahun lalu.

Biarpun hidup dalam keadaan tidak terurus dan diganggu bunyi bising gerabak komuter namun lelaki warga emas terbabit tetap menghuni kawasan itu yang dianggap 'syurga' bagi berteduh dari panas dan hujan.

Menurutnya, dia kini hidup sebatang kara kerana tidak pernah berkahwin malah adik-beradiknya juga tidak pernah ditemui sejak berhijrah ke Kuala Lumpur puluhan tahun lalu.

"Sebelum ini saya ada rumah di perkampungan setinggan di kawasan berhampiran namun semua rumah itu dirobohkan. Malah semua barang di dalam rumah tidak sempat diselamatkan.

Foto

JAMALUDDIN berehat di sofa lusuh di bawah jejambat bersebelahan landasan komuter.


"Keadaan itulah yang memaksa saya tinggal di bawah jejambat ini. Saya bukannya sengaja tinggal di sini tetapi saya tidak ada pilihan," jelas lelaki berasal dari Alor Gajah, Melaka ini.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/22