COKLAT KELUAR SALURAN SAMA DIUJI

COKLAT KELUAR SALURAN SAMA DIUJI


COKLAT KELUAR SALURAN SAMA DIUJI

Posted: 26 May 2014 02:39 PM PDT

COKLAT KELUAR SALURAN SAMA DIUJI

Putrajaya: Semua coklat jenama Cadbury yang melalui saluran pemprosesan sama dengan dua produk dikesan mengandungi DNA babi (porcine), diarah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya menjalani ujian kesahihan kandungan kendalian Jabatan Kimia.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, berkata tindakan terbabit diambil kerana khuatir DNA babi itu turut berada dalam semua produk berkenaan berikutan melalui saluran pemprosesan yang sama.

"Jabatan Kimia akan mengeluarkan keputusan muktamad mengenai ujian terbabit dalam masa tujuh hari bekerja sebelum diserahkan kepada JAKIM sebagai pengesahan rasmi, sama ada semua produk terbabit mengandungi DNA babi atau tidak.

"Analisis Jabatan Kimia perlu kerana JAKIM dan jabatan agama Islam setiap negeri hanya mengiktiraf makmal milik jabatan terbabit untuk proses pensijilan halal seperti ditetapkan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia," katanya.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat khas bersama wakil Kementerian Kesihatan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Kimia dan Jabatan Standard berkaitan penemuan DNA Porcine dalam dua produk coklat susu jenama Cadbury keluaran Cadbury Confectionary (M) Sdn Bhd.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

AJAL 3 HARI SEBELUM NIKAH

Posted: 26 May 2014 02:36 PM PDT

AJAL 3 HARI SEBELUM NIKAH

Bagan Serai: "Dia begitu teruja menanti kenduri kahwin kami Ahad ini dengan semua barang hantaran sudah disiapkan."

Demikian kata Norfaizah Mohd Rejab, 22, tunang kepada Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah, 25, yang terbunuh ketika bertugas selepas motosikalnya dirempuh penjenayah di Jalan Bagan Serai-Alor Pongsu, jam 1.15 petang semalam.

Lebih menyedihkan, kejadian berlaku hanya selepas kira-kira dua jam mangsa menghubungi Norfaizah dan selepas dua hari arwah menyambut hari jadinya.

Semalam adalah hari terakhir Mohd Azuan, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, bekerja sebelum bercuti panjang untuk berkahwin.

"Saya hampir pitam mendengar berita kematiannya kerana lebih kurang jam 11 pagi (semalam), dia mengirimkan SMS meminta saya makan ubat jika berasa kurang sihat.

"Saya tidak menyangka perkenalan sejak kira-kira empat tahun lalu berakhir dengan cara begini," katanya.

Norfaizah bagaimanapun reda dengan pemergian arwah dan berharap pengorbanannya ketika berkhidmat kepada masyarakat mendapat ganjaran sewajarnya.
"Sekarang semuanya ibarat 'nasi sudah menjadi bubur' dengan majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung di Alor Setar, Kedah, hujung minggu ini, bertukar menjadi kenduri arwah," katanya ketika ditemui semalam.

Mohd Azuan dan dua rakan masing-masing menaiki motosikal Kawasaki Ninja Unit Ronda Bermotosikal (URB) mengejar sebuah kereta Toyota Wish dinaiki tiga penjenayah yang dipercayai terbabit dalam rompakan van rokok di Jalan Bagan Serai-Alor Pongsu, dekat situ.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan, berkata motosikal mangsa dipercayai dirempuh sebuah kereta Honda Civic dinaiki rakan penjenayah itu.

Mangsa yang cedera parah di kepala, dada dan beberapa bahagian badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya tidak cedera.

Katanya, berdasarkan jarak pelanggaran dan kedudukan motosikal ditemui, polis percaya kejadian itu disengajakan dan dirancang.

"Polis masih mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga berlaku kematian.

"Saya juga terkilan tidak sempat bertemu arwah atas kesibukan kerja, sedangkan dia beberapa kali menyatakan hasrat bertemu saya bagi menyerahkan kad jemputan perkahwinan," katanya.

Beliau berkata, jenazah mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat malam tadi sebelum di hantar ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 27, Kulaijaya, Johor untuk dikebumikan.

Cadbury hanya tarik dua produk ada DNA babi

Posted: 26 May 2014 02:32 PM PDT

Kuala Lumpur: Cadbury Confectionery (M) Sdn Bhd setakat ini hanya menarik balik dua produk coklat susu Cadbury Dairy Milk selepas ia dikesan mengandungi DNA babi.

Dalam kenyataan malam tadi, Cadbury Confectionery memberi jaminan akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa lain bagi menyelesaikan isu itu.

Katanya, JAKIM sudah menghantar sampel produk terbabit bersama produk lain yang dikeluarkan melalui saluran pemprosesan sama di kilang milik syarikat itu bagi dilakukan ujian makmal seterusnya.

Pelanggan diutamakan

"Kami memahami betapa status halal adalah kritikal kepada kita di Malaysia. Syarikat sedar isu ini menjadi tekanan kepada semua pihak namun memberi jaminan bahawa tiada yang lebih penting daripada keyakinan pelanggan ke atas produk kami.

"Ketika ini kami sedang aktif menarik balik dua kumpulan produk Cadbury Dairy Milk iaitu Hazelnut 175 gram bertarikh luput pada 13 November 2014 dan Roast Almond 175 gram bertarikh luput 15 Januari 2015," katanya.

Kelmarin, akhbar melaporkan, JAKIM menggantung sijil halal dua produk keluaran Cadbury Dairy Milk, berkuat kuasa serta-merta selepas Kementerian Kesihatan mengesan DNA babi dalam produk coklat susu kacang hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dengan nombor kelompok 200813M01H I2 dan coklat susu buah buah badam panggang (Cadbury Dairy Milk Roast Almond) dengan nombor kelompok 221013N01R I1.
Beliau berkata, setakat ini tiada produk keluaran Cadbury terjejas dengan ujian yang dilakukan JAKIM.

Kementerian Kesihatan lawat kilang minggu ini

Posted: 26 May 2014 02:25 PM PDT

Putrajaya: Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan kewujudan DNA babi (porcine) dalam dua produk coklat susu jenama Cadbury, berlaku akibat pencemaran dalam rantaian proses pembuatannya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata pihaknya akan melawat kilang pembuatan coklat terbabit minggu ini dalam siasatan lanjut bagi menentukan kesahihan perkara itu.

"Sama ada disengajakan atau sebaliknya, kita tidak dapat tentukan ketika ini, kerana siasatan lanjut perlu sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

"Siasatan dijalankan mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985," katanya pada sidang media, di sini semalam.

Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan analisis sampel terhadap dua produk Cadbury iaitu coklat susu dengan kacang hazel dan coklat susu dengan buah badam, masing-masing mempunyai nombor kelompok serta tarikh luput 200813M01H I2 (13 November 2014) dan 221013N01R I1 (15 Januari 2015) mengandungi DNA babi.

Susulan pengesahan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menggantung serta-merta sijil pengesahan halal terhadap dua produk terbabit.

Tingkat pemantauan
Dr Subramaniam berkata, Kementerian Kesihatan akan meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan terhadap coklat jenama lain dalam pasaran bagi memastikan ia benar-benar bebas daripada sebarang pencemaran unsur babi atau penggunaan label tidak sah.

Beliau berkata, pemeriksaan itu meliputi semua produk bagi memastikan ia memenuhi piawaian makanan serta pelabelan mengikut Akta Makanan 1983.

"Pihak industri dan pengimport perlu bertanggungjawab memastikan semua produk keluaran dan yang diimport mematuhi akta serta peraturan berkenaan.

Mereka berhak meletakkan sebarang kandungan dalam makanan tetapi perlu diisytiharkan pada label.

"Prosedur operasi standard (SOP) yang kita lakukan termasuk memeriksa sama ada bahan yang diletakkan dalam sesuatu produk makanan adalah bahan makanan yang sengaja ditambah atau pencemaran.

"Jika ditambah (bahan) dan tidak dijelaskan dalam label, ia adalah satu kesalahan besar dan boleh diambil tindakan termasuk hukuman penjara sehingga tiga tahun," katanya.