PAS TANGGUH HUDUD

PAS TANGGUH HUDUD


PAS TANGGUH HUDUD

Posted: 11 May 2014 04:22 PM PDT

Penangguhan diputus dalam mesyuarat selama dua jam di Ibu Pejabat PAS Pusat semalam dikatakan strategi parti jaga hati rakan politik pembangkang

Kuala Lumpur: PAS membuat pusingan 'U' apabila mengambil keputusan menangguhkan rancangan mereka untuk membentangkan undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan pada Sidang Parlimen Jun hadapan.

Tindakan itu berikutan keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat semalam, bersetuju memberi restu cadangan penubuhan Jawatankuasa Teknikal antara Kerajaan Persekutuan dan Kelantan bagi meneliti hukum berkaitan hudud.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, dalam kenyataan tiga perenggan selepas mesyuarat dua jam di Ibu Pejabat PAS Pusat itu, berkata berikutan persetujuan itu, undang-undang berkaitan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan dapat dibincangkan secara serius dan meluas oleh pakar.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

PM terima keputusan MCA tak tanding

Posted: 11 May 2014 04:22 PM PDT

Datuk Seri Najib Razak menerima baik keputusan MCA tidak bertanding di Bukit Gelugor kerana parti itu kini dalam proses pengukuhan.

Beliau berkata, MCA perlu meneruskan proses itu supaya dapat menjadi parti yang lebih disegani dan kekuatannya akan semakin bertambah.

"Kita terima hasrat MCA tak bertanding di Bukit Gelugor. Saya harap MCA terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh dirinya sebagai parti yang lebih disegani dalam Barisan Nasional (BN)," katanya di sini, semalam.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media sebelum berlepas pulang menaiki pesawat khas selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-24, di sini.
Tak beri menang percuma.

Ditanya jika ada calon lain, beliau yang juga Pengerusi BN menjelaskan BN akan tengok siapa yang bakal bertanding.

"Kita tidak akan beri kemenangan percuma, kita akan tengok siapa yang bertanding nanti," katanya sambil menambah BN akan membuat keputusan mengenainya kemudian.
Kelmarin, Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan mengumumkan keputusan parti itu untuk tidak bertanding di Bukit Gelugor bagi menumpukan perhatian kepada pelaksanaan hukum hudud yang dibangkitkan PAS baru-baru ini.

Najib bagaimanapun mengesahkan BN akan bertanding di Teluk Intan, Perak.

Bertumbuk, lempar kerusi

Posted: 11 May 2014 04:21 PM PDT

Bertumbuk, lempar kerusiPenyokong calon bertanding bertengkar sesama sendiri selepas pemilihan Jawatankuasa PKR Cabang Sabak Bernam dibatalkan atas alasan wujud unsur penipuan, semalam. - Foto Rosdan Wahid

Pemilihan 11 cabang PKR Selangor kecoh, ditangguh

Kuala Lumpur: Pemilihan PKR 2014 di Selangor semalam bukan saja kecoh, malah mencetuskan beberapa `drama' sehingga menimbulkan suasana huru hara dan pergaduhan yang membawa penangguhan pemilihan di 11 daripada 22 cabang.

Cabang yang terpaksa menangguhkan pemilihan ialah Subang, Hulu Langat, Sabak Bernam, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor, Kota Raja, Selayang, Shah Alam, Kapar dan Sungai Besar, manakala di cabang Gombak, status pemilihan tergantung selepas wujud bantahan sehingga menyebabkan peti undi terpaksa dibawa ke pusat.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk calon berada terlalu lama dalam dewan pemilihan, nama calon tidak tersenarai dalam kertas undi, nama pengundi tidak tersenarai selain proses pengundian yang didakwa tidak telus.

Ikuti berita penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/

1,000 hadir rai sambutan

Posted: 11 May 2014 02:02 PM PDT

1,000 hadir rai sambutanNajib menunaikan solat Maghrib berjemaah ketika majlis sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-68, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam. - Foto Khairul Azry Bidin

Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-68: Majlis tahlil, bacaan Yasin antara acara di PWTC

Kuala Lumpur: Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-68 malam tadi, disemarakkan dengan semangat mempertahankan parti siasah itu, demi masa depan Malaysia yang cemerlang.

Semangat berkobar-kobar jelas kelihatan apabila 1,000 ahli UMNO hadir pada majlis tahlil dan bacaan Yasin yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Kebanyakan ahli lelaki, lengkap berpakaian baju Melayu dan bersongkok tiba awal, manakala wanita berpakaian serba merah dan merah jambu, mewakili warna rasmi sayap masing-masing.

Selepas selesai solat Isyak, semua hadirin yang berkumpul lebih awal di Dewan Merdeka, menyambut ketibaan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yasin, memasuki dewan dengan tepukan gemuruh.

Dua individu terima anugerah

Semua hadirin kemudian menyanyikan lagu Negaraku dan lagu rasmi UMNO, Bersatu, Bersetia, Berkhidmat, sambil bendera parti dinaikkan di tengah pentas.
Pada majlis itu, Presiden UMNO turut menyampaikan Anugerah Tokoh Melayu Terbilang kepada dua individu yang mempunyai jasa besar kepada tanah air iaitu Tan Sri Hassan Azhari, 86 dan Tan Sri Dr Salma Ismail, 96.

Hassan adalah orang pertama yang melaungkan azan ketika menyambut upacara kemerdekaan negara di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957 dan pada perasmian Masjid Negara pada 1967, disusuli Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam; Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang dan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Brunei.

Beliau juga adalah bapa kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Bagi Dr Salma pula, beliau adalah wanita Melayu pertama yang memperoleh kelayakan Doktor dari Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura pada 1947.

Polis nasihat elak kesesakan hari penamaan

Posted: 11 May 2014 01:53 PM PDT

Georgetown: Polis meminta orang ramai merancang perjalanan dan mengelak memasuki pusat bandar sepanjang tempoh penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Faridalathrash Wahid, berkata pengguna jalan raya harus mengelak memasuki kawasan berhampiran Dewan Sri Pinang, di sini, yang menjadi tempat penamaan calon PRK Bukit Gelugor.

"Orang ramai yang tiada urusan perlu mengelak memasuki pusat bandar sekali gus membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh penamaan calon," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Orang ramai yang tiada urusan perlu mengelak memasuki pusat bandar sekali gus membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh penamaan calon" Faridalathrash Wahid, Ketua Polis Daerah Timur Laut


PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya, Karpal Singh dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di Gua Tempurung, dekat Kampar, Perak pada 17 April lalu.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada hari ini, manakala hari pengundian pula pada 25 Mei ini.

Setakat ini, tiga bakal calon sudah mengumumkan hasrat untuk bertanding manakala DAP akan meletakkan anak mendiang Karpal, Ramkarpal Singh Deo sebagai calon mereka.

Selain itu, parti politik gabungan 44 badan bukan kerajaan (NGO), Penang Front Party (PFP) juga berhasrat untuk meletakkan calon.
Mengulas lanjut, Faridalathrash berkata, polis akan menutup Jalan Tun Syed Sheh Barakbah bagi tujuan memudahkan penyokong calon yang bertanding untuk berarak, manakala Lebuh Light akan dijadikan laluan sehala.

BN ikrar rampas Teluk Intan

Posted: 11 May 2014 01:51 PM PDT

BN ikrar rampas Teluk IntanKhairul Azwan (lima dari kiri) bersama Pemuda BN melaungkan kesediaan mengembalikan kerusi Parlimen Teluk Intan ke pangkuan BN pada Mesyuarat Jentera Penyelarasan Gerak Kerja Jentera Pemuda BN di Teluk Intan, semalam. - Foto Ravale Savarinathan

Teluk Intan: Pemuda Barisan Nasional (BN) mengenal pasti kira-kira 20,000 pengundi muda yang boleh didekati dan dipujuk untuk mengembalikan semula kerusi Parlimen Teluk Intan kepada BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 31 Mei ini.

Naib Ketua Pemuda BN, Khairul Azwan Harun, berkata pergerakan itu akan bertemu dengan pengundi terutama yang berusia di bawah 40 tahun untuk menerangkan berhubung isu semasa agar mereka mengetahui kebenaran setiap perkara yang sering dibangkitkan pembangkang terutama dalam media sosial.

"Kita mengenai pasti terdapat kira-kira 11,000 pengundi muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong manakala 9,000 pengundi dari DUN Pasir Berdamar.

Saingan sengit

"Pergerakan ini menjangkakan saingan amat sengit pada PRK kali ini, justeru lebih 2,000 Pemuda BN akan digerakkan untuk mendekati semua golongan dengan tumpuan kepada pengundi muda bagi meyakinkan mereka mengenai kemampuan BN untuk membawa pembangunan dan keselesaan hidup kepada rakyat di negara ini," katanya selepas melancarkan Gerak Kerja Pemuda UMNO Bahagian Teluk Intan dan Mesyuarat Jentera Penyelarasan Gerak Kerja Jentera Pemuda BN Parlimen Teluk Intan di sini, semalam.

Kerusi Parlimen Teluk Intan kosong berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng dari DAP akibat barah 1 Mei lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 19 Mei manakala hari pengundian pada 31 Mei ini.
Peluang rampas kerusi

Khairul Azwan yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO berkata, pihaknya menjangka peluang untuk merampas kerusi itu daripada DAP amat baik berikutan sokongan dan maklum balas awal yang diterima sehingga kini.

Katanya, pihaknya akan menggerakkan jentera pilihan raya untuk turun padang ke perkampungan dan taman perumahan bagi menerangkan serta memperjelas isu yang dibawa oleh pembangkang.