Perompak mati dipukul

Perompak mati dipukul


Perompak mati dipukul

Posted: 06 Feb 2014 09:20 AM PST

Kuala Lumpur: Seorang penjenayah yang merompak sebuah stesen minyak ditemui mati dibunuh di sebuah jalan masuk Kampung Delima, Jinjang di sini, malam tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam, suspek yang belum dikenal pasti dan bersenjatakan parang memasuki premis itu dan melarikan sejumlah wang tunai dan puluhan kotak rokok.

Orang awam yang menyedari kejadian itu dikatakan bertindak mengejar dan memukul suspek sehingga mati.

Suspek meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan teruk di muka dipercayai akibat dipukul dengan batu.

Foto

PEROMPAK stesen minyak ditemui mati di tepi jalan di Jinjang, malam tadi, dipercayai akibat dihentak dengan batu oleh orang ramai yang mengejar dan memukulnya.


Siasatan lanjut masih dijalankan di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/07

FAM beri kemenangan kepada JDT

Posted: 06 Feb 2014 12:05 AM PST

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebentar tadi membuat keputusan memberikan kemenangan 3-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan pusingan kedua Piala FA dengan T-Team yang tertangguh pada Sabtu lalu.

Keputusan itu dibuat selepas merujuk kepada Perkara 4.12.15 B Peraturan Pertandingan Liga Malaysia 2013-2016 bahawa T-Team tidak mempunyai alasan kukuh untuk menarik diri daripada perlawanan itu walaupun mendakwa atas faktor keselamatan memandangkan laporan pegawai perlawanan mengesahkan perlawanan masih boleh diteruskan.

Bagaimanapun selepas mengambil kira suasana yang berlaku pada perlawanan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Datuk Afandi Hamzah tidak mengenakan denda kepada T-Team sebaliknya hanya memberikan amaran keras.

Namun beliau berkata, siasatan insiden kekecohan di terowong pada rehat babak pertama perlawanan itu masih diteruskan dan tindakan bakal diambil jika mendapat maklumat lengkap dalam masa terdekat ini.

Foto

AFANDI (kiri) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM. FOTO Bernama


Kedua-dua wakil pasukan JDT dan T-Team serta pegawai perlawanan hadir memberikan keterangan bermula jam 10 pagi hingga 2.30 petang di Wisma FAM Kelana Jaya, di sini.


Dengan kemenangan itu JDT bakal bertemu Kedah pada suku akhir Piala FA pada 11 Februari di Larkin.

Pada perlawanan Piala FA Sabtu lalu di Larkin, T-Team enggan meneruskan perlawanan separuh masa kedua selepas mereka mendakwa seorang pemain dan pegawai dipukul di dalam terowong ketika menuju ke bilik persalinan.

Pada masa itu, JDT mendahului 2-1 sebelum perlawanan ditangguhkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Bapa didakwa bunuh anak

Posted: 05 Feb 2014 11:48 PM PST

KAJANG: Seorang bapa yang dilaporkan menyembelih anak perempuannya yang berusia 7 tahun, minggu lalu, didakwa di Hospital Kajang, di sini, sebentar tadi atas tuduhan membunuh dan dua tuduhan cubaan membunuh tiga anak perempuannya di rumahnya di Bandar Baru Bangi.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Norazman Mohammad, 43, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Jalil Salam daripada Mahkamah Majistret Kajang.

Dakwaan itu dibuat Timbalan Pendakwa Raya S Abirami mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan cubaan membunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.


Sebutan kes ditetapkan pada 25 Februari ini untuk kehadiran tertuduh ke mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06