Kaji PBS secara menyeluruh |
- Kaji PBS secara menyeluruh
- Sistem penarafan TASKA Jun
- 4 beradik tak hadir sekolah
- Mangsa jerat cinta siber rugi RM69.3 juta
- Letak pegawai SPRM di kementerian usaha baik: PM
- Permohonan Anwar ditolak
Posted: 11 Feb 2014 01:22 PM PST Putrajaya: Kerajaan memutuskan untuk mengkaji semula secara menyeluruh Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dilaksanakan pada 2012 berikutan pelbagai aduan daripada guru. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bagi membolehkan Kementerian Pendidikan mengenal pasti rumusan melaksanakan PBS secara lebih berkesan. Kita akan teliti perkara ini dan adakan mesyuarat selepas ini. Kalau fikir perlu dan sesuai, kita tangguhkan seketika sehingga sistem ini dilihat kemas serta boleh beroperasi secara lancar, kita akan putuskan (kemudian). Sejak memperkenalkan PBS, kita terima pelbagai pandangan daripada guru yang meminta kerajaan teliti semasak-masaknya kaedah terbabit, katanya pada sidang media semalam. Terdahulu, beliau yang juga Menteri Pendidikan, mengadakan perjumpaan lebih sejam dengan pengetua dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 8(1) bagi mendengar sendiri masalah mereka berkaitan pelaksanaan PBS. PBS dilaksana berdasarkan empat komponen iaitu Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi). Muhyiddin berkata, sesi itu bagi membolehkan beliau mengetahui lebih dekat pandangan guru, selain cabaran yang mereka hadapi dari segi pelaksanaan di samping kesan pelaksanaan terhadap pelajar serta penerimaan ibu bapa terhadap PBS. Rumusannya, kalau PBS hendak dilaksanakan, kita mesti pastikan segala yang diperlukan, sama ada dari segi sistem infrastruktur, latihan dan perkara lain benar-benar difahami dan dapat beroperasi secara cekap. Itulah sebabnya saya memutuskan kita tangguh sementara aspek memasukkan maklumat berkaitan pelajar kerana sistem pelayan (server), selain rangkaian perhubungan dan penggunaan alat merekodkan prestasi serta pencapaian pelajar tak dapat dilaksana dengan baik. Justeru, ada keperluan untuk kita meneliti lebih lanjut. Saya minta pengalaman SMK Presint 8 (1) dijadikan bahan kajian dan minta kerjasama pengetua, selain guru untuk meneliti serta membentang lebih lanjut apa yang mereka alami selama ini untuk diperhalusi oleh kementerian, katanya. |
Posted: 11 Feb 2014 01:21 PM PST Kuala Lumpur: Sistem penarafan bintang Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) akan dilaksanakan pada Jun ini. Sistem Peningkatan Kualiti itu akan menilai 3,123 TASKA berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memberi taraf sehingga lima bintang sebagai panduan kepada ibu bapa memilih TASKA terbaik. Apabila ada sistem seumpama ini, pengusaha akan lebih bertanggungjawab menaik taraf perkhidmatan mereka kerana tentunya ibu bapa mahu TASKA terbaik. Penetapan kadar yuran juga lebih mudah kerana jika TASKA itu bertaraf lima bintang, mereka layak letak yuran lima bintang. Sistem ini akan dilaksanakan bermula Jun ini, katanya ketika ditemui BH selepas mempengerusikan perjumpaan khas dengan pengusaha TASKA di Putrajaya, semalam. Tepati 281 kriteria Sistem itu mewajibkan semua pengusaha TASKA berdaftar mengisi borang khas yang mempunyai 281 kriteria sebelum disahkan penarafan bintang hasil lawatan oleh pegawai JKM. Noorul Ainur berkata, pihaknya bersedia mengadakan sesi dialog di antara pengusaha TASKA dan ibu bapa yang akan dilaksanakan secara berperingkat di semua negeri dalam masa terdekat. Kita sudah dengar apa komen dan kehendak pengusaha TASKA tetapi perlu juga tahu apa masalah ibu bapa. Sesi dialog ini akan kita mulakan di Putrajaya sebelum diteruskan di semua negeri, katanya. Dalam pertemuan itu, beliau turut menyentuh mengenai pembongkaran BH berkenaan isu keselamatan di TASKA termasuk penculikan bayi oleh wartawan. |
Posted: 11 Feb 2014 01:17 PM PST Kota Bharu: Empat anak pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal tidak hadir ke sekolah masing-masing, semalam. Mereka dipercayai masih bersedih sejurus mengetahui ibu bapanya dihadapkan ke Mahkamah Daerah Solna, Sweden selepas hampir sebulan ditahan reman. Kenang nasib ibu bapa Difahamkan, selain masih bersedih mengenangkan nasib kedua ibu bapa mereka, peguam dari Kuala Lumpur dikatakan hadir di kediaman ibu saudara mereka mengambil keterangan empat beradik itu, susulan pendakwaan yang dilakukan terhadap pasangan berkenaan, kelmarin. Keterangan empat beradik itu dikatakan penting bagi membantu ibu bapa mereka di sana sebelum perbicaraan pertama berlangsung pada 18 Februari ini. Adik Shalwati, Shaleena ketika dihubungi BH semalam hanya memaklumkan empat anak saudaranya tidak hadir ke sekolah kerana mempunyai sedikit urusan dan meminta ruang supaya media tidak mengganggu mereka buat sementara waktu. Guru Besar SK Padang Kala, Ab Aziz Salleh, yang mengesahkan Adam dan Arif tidak hadir ke sekolah hanya dimaklumkan kerana mempunyai urusan tertentu oleh bapa saudara mereka. Ditanya mengenai perkembangan dua beradik di sekolah itu, Ab Aziz berkata, Adam menunjukkan prestasi yang menggalakkan dalam kelas dan prestasi pelajaran cemerlang. Kami tidak menyangka beliau dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan aktif menjawab soalan dalam kelas. Malah, Arif juga dilihat selesa berkawan dengan rakan sekelasnya. Tunjuk prestasi cemerlang Melihat kepada prestasi yang ditunjukkan dua murid itu, kita percaya mereka dapat menguasai bahasa dengan cepat, katanya. Sementara itu, guru di SMK Padang Kala yang enggan dikenali berkata, Aisyah dan Ammar tidak hadir ke sekolah tanpa dimaklumkan sebarang alasan kepada pihak sekolah. |
Mangsa jerat cinta siber rugi RM69.3 juta Posted: 11 Feb 2014 01:15 PM PST Kuala Lumpur: Seramai 1,909 rakyat Malaysia, kebanyakannya wanita telah menjadi mangsa penipuan sindiket cinta siber sejak dua tahun lalu mengakibatkan kerugian lebih RM69.3 juta. Sindiket itu kebanyakannya dianggotai lelaki kulit hitam dari Nigeria, tetapi mendakwa lelaki kulit putih dari United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Itali serta menyasarkan mangsa mereka menerusi perbualan online atau laman sosial. Pegawai Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Asisten Superintendan Mohd Syafik Jinuin Abdullah, berkata ada juga yang menjadi mangsa kerana sikap tamak sendiri kerana mahu mencari keuntungan daripada kekasih siber baru mereka. Katanya, sindiket menjerat kekasih mereka dengan memujuk rayu, menagih kasih, berjanji untuk kahwin, menghantar bungkusan kononnya hadiah mahal, selain berjanji membayar balik wang mereka. Selain beroperasi dari luar negara, anggota sindiket itu juga disyaki sudah bertapak di sini, termasuk yang memasuki negara ini sebagai pelajar atau mendakwa bekerja dengan syarikat minyak. Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini |
Letak pegawai SPRM di kementerian usaha baik: PM Posted: 11 Feb 2014 01:14 PM PST Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan tindakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meletakkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kementerian itu untuk menangani rasuah sebagai satu usaha yang baik. Usaha yang baik perangi rasuah, kata Perdana Menteri menerusi Twitternya ketika merujuk kepada pautan Facebook menteri berkenaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Pihak kementerian tidak akan melindungi mana-mana pihak termasuk kakitangan kementerian yang terlibat dengan gejala rasuah dan jika ada, kes itu akan diuruskan SPRM, katanya. Semalam, Ismail Sabri dilaporkan berkata, pihaknya akan meletakkan pegawai SPRM dalam kementerian itu tanpa mendedahkan identiti mereka sebagai usaha mengekang penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam kalangan kakitangan. Katanya, walaupun kadar kes penyelewengan dan rasuah di peringkat kementerian berkenaan rendah, namun penempatan pegawai SPRM adalah sebagai langkah awal bagi menunjukkan kementerian benar-benar serius membendung gejala tidak bermoral itu. |
Posted: 11 Feb 2014 01:11 PM PST Putrajaya: Mahkamah Persekutuan di sini semalam sekali lagi menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pihak pendakwaan dalam rayuan kes liwat membabitkannya. Panel lima hakim dipengerusikan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara memutuskan tiada kes prima facie terhadap Shafee, manakala kandungan akuan berkanun bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim, yang digunakan Anwar bagi menyokong permohonannya, tidak boleh diterima sebagai bukti kukuh. Turut bersidang ialah Hakim Tan Sri Richard Malanjun; Tan Sri Suriyadi Halim; Datin Zaleha Zahari dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha. Anwar diwakili peguam, Tommy Thomas, manakala Shafee bertindak bagi pihak pendakwaan. Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |