Kuching, Kota Samarahan dilanda banjir |
- Kuching, Kota Samarahan dilanda banjir
- Suami isteri terselamat daripada rentung
- Lelaki menyelinap masuk dalam stesen minyak dirakam CCTV
- 21 kaki judi siber berjaya dicekup
- Lelaki ditemui mati di dalam rumah sewanya
- Kereta dilaporkan hilang ditemui
Kuching, Kota Samarahan dilanda banjir Posted: 21 Feb 2014 05:25 PM PST KUCHING: Hujan lebat yang turun tanpa henti dari jam 11.00 malam kelmarin hingga 5.00 pagi semalam mengakibatkan beberapa kampung dan jalan di sekitar bandar raya ini dan Kota Samarahan dilanda banjir kilat. Antara kawasan yang terjejas teruk ialah Jalan Laksamana Cheng Ho, Kampung Tabuan Dayak di Kuching dan Kampung Tambirat, Kampung Tanjung Bundong Fasa Tiga dan Kampung Sindang Baru di Kota Samarahan. Menurut Saibah Bohari, 52, dari Kampung Sindang Baru di Kota Samarahan, rumahnya dimasuki air sejak jam 2.00 pagi semalam setinggi tiga kaki. "Setiap kali hujan lebat turun tanpa henti lebih dua jam pasti rumah saya dilanda banjir tetapi semalam paling teruk kerana hujan turun sejak jam 11 malam hingga 5 pagi. "Banyak barangan rosak kerana ditenggelami air yang naik lebih tiga kaki sebelum mula surut sekitar jam 6 pagi," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam. Saibah memberitahu, banjir kilat yang melanda di kampungnya itu sudah lebih lima kali sejak awal Januari lalu. Manakala seorang lagi mangsa banjir kilat, Simah Jawi, 64, dari Kampung Tabuan Dayak di sini hanya mampu melihat barangan rumahnya ditenggelami air yang naik lebih tiga kaki. "Inilah banjir kilat kali kedua dan merupakan paling teruk yang melanda kampung ini kerana sebelum ini rumah saya tidak pernah dilanda banjir kilat sehingga masuk ke dalam rumah. "Kerusi, meja, baju dan perkakas dapur semua ditenggelami air dan beberapa barangan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh rosak untuk kali kedua," katanya. Simah yang tinggal bersama lima anaknya memberitahu bahawa rumahnya mula dinaiki air sekitar jam 2 pagi sebelum air mula surat sekitar jam 7 pagi. Pada masa sama, dia memberitahu bahawa sejak keadaan Sungai Tabuan menjadi kecil akibat aktiviti pembinaan, banjir kilat sering melanda kampung itu. "Hari ini (semalam) merupakan antara banjir kilat yang paling teruk yang pernah saya alami," tegasnya. Sementara itu, menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tan Min Chai, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada penduduk dari dua kampung iaitu Kampung Tabuan Dayak, Kuching dan Kampung Tambirat, Asajaya di Kota Samarahan. "Kami menerima panggilan sekitar jam 3.21 pagi daripada penduduk Kampung Tabuan Dayak dan panggilan sekitar jam 3.26 pagi daripada penduduk Kampung Tambirat. "Bagi Kampung Tabuan Dayak seramai 10 anggota dari Balai Bomba Tabuan dikerahkan untuk memantau keadaan banjir kilat di situ dan di Kampung Tambirat pula tiga anggota dari Balai Bomba Kota Samarahan dikerahkan. "Kesemua anggota yang ditempatkan di dua kampung itu melakukan pemantauan sehingga jam 4 pagi dan setakat ini tiada pemindahan dilakukan," katanya ketika dihubungi semalam. Malah, beliau memberitahu bahawa tiada kemalangan jiwa dilaporkan sepanjang insiden banjir kilat di kedua-dua kampung yang terjejas. "Kami sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir kilat yang melanda negeri ini," ujarnya. |
Suami isteri terselamat daripada rentung Posted: 21 Feb 2014 05:20 PM PST by Jeremy Lanson. Posted on February 22, 2014, Saturday Sempat selamatkan diri sebaik merasakan keadaan di dalam rumah tiba-tiba jadi panas KUCHING: Sepasang suami isteri berjaya menyelamatkan diri sebaik merasakan keadaan di dalam rumah mereka tiba-tiba menjadi panas sebelum api semakin marak memusnahkan sederet rumah kedai dalam satu kebakaran malam kelmarin. Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mat memberitahu bahawa dia dan isterinya sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah sewanya itu di Kampung Bratan, Batu 16, Jalan Puncak Borneo, dekat sini ketika insiden tersebut berlaku sekitar jam 9 malam. Menurutnya, dia sebelum itu ada terhidu bau asap namun tidak mengendahkannya sebelum keadaan di dalam rumahnya tiba-tiba menjadi panas dan kendengaran bunyi mencurigakan dari sebuah bengkel motosikal bersebelahan dengan rumah sewanya itu. "Mulanya saya ada hidu bau asap, tetapi saya ingatkan jiran saya sedang membakar sampah dan saya tidak mempedulikannya sehingga semakin lama saya rasa semakin panas dan ada bunyi seperti kayu sedang terbakar dari bilik sebelah. "Saya kemudian terus periksa ke bahagian dapur dan terkejut apabila melihat asap sudah mula masuk dari celah-celah dinding dan api juga sudah mula kelihatan menyebabkan saya dan isteri segera menyelamatkan diri,"katanya. Tambahnya lagi, semasa berlari keluar dari dalam rumah, dia hanya sempat menyelamatkan dua telefon bimbit dan kunci kereta. "Mujur saya sempat mengambil kunci kereta dan berjaya mengalihkan kereta saya dari hadapan rumah. "Tetapi sebuah lagi kereta milik bapa saudara saya tidak sempat diselamatkan menyebabkan ia turut musnah kerana api merebak dengan cepat,"katanya. Menurut jurucakap bomba, sebuah kedai makan, bengkel motosikal dan kedai runcit terbakar sepenuhnya dalam kebakaran tersebut. "Kebakaran melibatkan sederet rumah kedai 11 pintu di mana lapan daripadanya terbakar sepenuhnya dan tiga lagi berjaya diselamatkan," katanya. Seramai lapan anggota dari Balai Bomba Siburan bergegas ke tempat kejadian dengan diketuai Pegawai Bomba Mat Undek. "Kami menerima laporan berhubung kejadian pada jam 9.19 dan jentera sampai ke tempat kejadian beberapa minit selepas itu, di mana operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.48 pagi," kata jurucakap bomba berkenaan. Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan. "Siasatan awal mendapati api bermula dari bahagian tengah deretan kedai, di mana menurut maklumat awam dipercayai dari bengkel motosikal berkenaan sebelum ia merebak dengan cepat memusnahkan deretan kedai. "Bagaimanapun, siasatan terperinci masih dijalankan oleh Unit Forensik Kebakaran dan punca serta anggaran kerugian belum dapat dipastikan," katanya. |
Lelaki menyelinap masuk dalam stesen minyak dirakam CCTV Posted: 21 Feb 2014 05:19 PM PST SIBU: Seorang lelaki yang menyelinap masuk ke dalam sebuah stesen minyak di Jalan Brooke Drive, di sini berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV). Dalam rakam itu, lelaki itu memasuki premis stesen minyak tersebut enam minit sebelum semua pekerja meninggalkan stesen minyak itu jam 10 malam. Ketika berada di dalam stesen, lelaki itu mengambil logam besi untuk memecah cermin kaca yang menyebabkan alat penggera berbunyi. Dia hanya mengambil sebuah radio sebelum beredar dari situ dengan mengayuh basikal. Satu laporan polis dibuat oleh penyelia stesen minyak tersebut pada jam 11.30 pagi semalam. Dalam kes berasingan, seorang lelaki berjaya ditangkap kerana memecah masuk rumah milik seorang kaunselor di Lorong 18B, Jalan Merdeka di sini malam Khamis lalu. Jiran yang terdengar bunyi bising di rumah terbabit menghubungi kaunselor tersebut yang kemudiannya memaklumkan kepada polis. Polis yang mengesan seorang lelaki memanjat keluar pagar rumah tersebut bertindak mengejarnya. Pencuri berumur 45 tahun itu akhirnya berjaya ditahan berdekatan sebuah tapak pembinaan di situ. Turut dijumpai sebuah komputer riba dipercayai dibuang pencuri itu ke dalam semak manakala pemukar skru dan perkakasan lain bersama selipar milik suspek juga ditemui tertinggal di dalam rumah itu. |
21 kaki judi siber berjaya dicekup Posted: 21 Feb 2014 05:18 PM PST SIBU: Seramai 21 kaki judi siber berjaya dicekup dalam satu serbuan di sebuah premis rumah kedai di Jalan Delta, di sini malam Khamis lalu. Operasi yang diketuai oleh Inspektor Heng Kok How dari Unit D7 turut merampas 34 set komputer di dalam premis judi yang terletak di tingkat atas pada jam 9.30 malam itu. Mereka yang ditahan berumur 19 hingga 30-an termasuk dua kakitangan awam dan empat wanita. Tiga wanita yang bersaudara berkata, mereka baharu sahaja duduk di kerusi selepas membayar wang apabila pihak berkuasa muncul di depan mereka manakala seorang wanita hanya menjadi penonton. Seorang remaja lelaki berkata, dia hanya menghabiskan masa di situ bermain permainan komputer tetapi tidak pernah memenanginya. Seorang lelaki pertengahan umur yang baharu sahaja bersantai di sebuah kedai kopi di tingkat bawah kurang bernasib baik apabila dia turut ditahan beberapa minit selepas memasuki premis haram itu. Mereka yang ditahan dijangka akan disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules. |
Lelaki ditemui mati di dalam rumah sewanya Posted: 21 Feb 2014 05:18 PM PST KUCHING: Seorang lelaki ditemui mati di dalam rumah sewanya di Jalan Datuk Ajibah Abol, di sini petang Khamis lepas. Mangsa ialah Hadjeli Hamzah yang berusia 59 tahun dikatakan tinggal bersendirian dan ditemui dalam keadaan terbaring di atas lantai oleh anak perempuannya sekitar jam 5.15 petang. Menurut sumber, siasatan awal polis di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan difahamkan keadaan mayat mangsa hampir reput. "Maklumat daripada anak mangsa memberitahu bahawa mangsa sebelum ini telah menjalani pembedahan jantung dan tinggal berseorangan di rumah sewa tersebut. "Kali terakhir mangsa dilihat menurut jirannya ialah pada Sabtu (15 Februari) lepas," kata sumber. Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad semasa dihubungi mengesahkan kematian mangsa sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat. "Mayat mangsa telah dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat," katanya. We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules. |
Kereta dilaporkan hilang ditemui Posted: 21 Feb 2014 05:15 PM PST SIBU: Sebuah kereta yang dilaporkan hilang bulan lalu berjaya ditemui semula oleh polis awal pagi semalam. Pasukan peronda yang menjalankan rutin mereka sekitar jam 3.30 pagi itu terserempak dengan sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Ding Lik Kong di sini. Polis yang memberhentikan kereta tersebut mendapati dua lelaki berada di dalam kereta merupakan pencuri tegar yang dipercayai terlibat dalam satu kes pecah rumah sebelum ini. Menurut polis, kereta tersebut dipercayai pernah digunakan untuk melakukan jenayah pecah rumah di Jalan Oya bulan lalu. Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut manakala kereta tersebut turut dirampas. Polis yang memeriksa kereta tersebut menjumpai sebuah pintu kereta termasuk taji ayam sabung yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah. Polis percaya pintu kereta tersebut dicuri oleh dua suspek terbabit dari sebuah bengkel. We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules. |
You are subscribed to email updates from BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |