DIVIDEN KWSP 2013: 6.35% TERTINGGI DALAM 10 TAHUN

DIVIDEN KWSP 2013: 6.35% TERTINGGI DALAM 10 TAHUN


DIVIDEN KWSP 2013: 6.35% TERTINGGI DALAM 10 TAHUN

Posted: 16 Feb 2014 02:35 PM PST

DIVIDEN KWSP 2013: 6.35% TERTINGGI DALAM 10 TAHUN

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam mengisytiharkan kadar dividen 6.35 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013, tertinggi sejak 10 tahun lalu.

Pada tahun lalu, KWSP mengisytiharkan dividen sebanyak 6.15 peratus.

Pengerusi Lembaga KWSP, Tan Sri Samsudin Osman, berkata pihaknya membuat bayaran RM31.20 bilion kepada ahlinya, peningkatan 13.66 peratus berbanding RM27.45 bilion pada 2012.

Katanya, penyata akaun KWSP yang dikredit dividen 2013 boleh disemak mulai sekarang secara atas talian melalui i-Akaun di laman web myEPF www.kwsp.gov.my

"Ahli juga boleh mendapatkan penyata akaun mereka dari Kios KWSP atau cawangan KWSP yang berdekatan mulai Isnin (hari ini)," katanya.

Katanya, maklumat dividen 2013 boleh diperoleh menerusi laman Facebook KWSP, di pejabat KWSP, Twitter KWSPBuzz dan YouTube.

Samsudin berkata, kadar dividen itu diisytiharkan hasil daripada pendapatan pelaburan kasar yang mencatat rekod tertinggi RM35 bilion, meningkat 12.81 peratus daripada RM31.012 bilion yang dicatat pada 2012.
"Pembayaran dividen 2013 diperoleh selepas ditolak peruntukan rugi terjejas bersih ke atas aset kewangan, perbelanjaan pelaburan dan operasi, caj berkanun serta dividen untuk pengeluaran," katanya dalam kenyataan semalam.

Samsudin berkata, ekuiti muncul sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan kasar KWSP pada 2013, menjana RM19.52 bilion pendapatan, peningkatan ketara 40.39 peratus berbanding RM13.90 bilion yang dicatat pada 2012.

"Portfolio ekuiti KWSP menjana pulangan nyata dua angka, mengatasi prestasi dana lain yang sama," katanya.

Pelbagaikan portfolio

Beliau berkata, prestasi kukuh dalam portfolio ekuiti disokong oleh indeks domestik dan global yang mencapai paras tertinggi, berikutan keyakinan pelabur terhadap kestabilan dan kekuatan asas ekonomi pasaran domestik selepas berakhirnya pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Katanya, dengan jumlah ahli KWSP meningkat kepada lebih 13 juta, sebanyak RM4.91 bilion diperlukan untuk membayar setiap satu peratus kadar dividen bagi 2013.

"Ia adalah 10.06 peratus lebih tinggi berbanding RM4.46 bilion yang dibayar untuk setiap satu peratus kadar dividen pada 2012. Jumlah yang diperlukan untuk membayar satu peratus kadar dividen akan terus meningkat antara lapan dan sembilan peratus setahun.

"Di sebalik kelembapan ekonomi global dan ketidaktentuan kewangan, KWSP tetap teguh dan pencapaiannya adalah bukti usaha dan inisiatif berterusan pengurusan KWSP untuk mengekalkan kestabilan kewangan dalam jangka panjang," katanya.

Samsudin berkata, dengan strategi pelaburan berhemah dan mantap, prestasi KWSP adalah konsisten dan stabil, terutama untuk lima tahun yang lalu.

"Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, KWSP mempelbagaikan portfolio dengan memperluaskan skop aset pelaburan bagi menguruskan risiko pasaran dan menjana pulangan yang konsisten," katanya.

ANCAMAN KAD SIM: Saman firma telekomunikasi RM1.09 juta

Posted: 16 Feb 2014 02:33 PM PST

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan saman RM1,090,000 sepanjang Januari lalu kepada syarikat telekomunikasi kerana melanggar syarat lesen, khususnya memastikan kesahihan maklumat pengguna.

Banteras pendaftaran palsu

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan dan Pemantauan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin, berkata bagi tempoh sama, 22 kompaun dikeluarkan pihaknya dalam usaha membanteras pendaftaran palsu kad SIM prabayar.

Katanya, pelanggaran syarat berkenaan dilihat semakin meningkat kerana sepanjang tahun lalu, hanya 26 kompaun berjumlah RM1,010,000 dikeluarkan bagi kesalahan sama.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

1.1 juta remaja belum tukar My18

Posted: 16 Feb 2014 02:01 PM PST

Bagan Datoh: Seramai 1.1 juta rakyat berusia 18 tahun dan ke atas belum memohon untuk menukar MyKad baru kepada My18.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penukaran kad pengenalan My12 iaitu MyKad pertama yang diperoleh ketika berusia 12 tahun kepada My18, perlu kerana perubahan wajah atau rupa paras seseorang apabila mencapai usia itu.

"Saya mengingatkan bahawa penukaran kad gantian ini penting. Apabila berusia 18 tahun, kad pengenalan wajib diperbaharui," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Cetakan Teragih MyKad dan Serahan My12/My18 kepada beberapa penduduk di Parlimen Bagan Datoh di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Bagan Datoh di sini, semalam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Seri S K Devamany; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohamad Khalid Shariff dan Ketua Pengarah JPN, Datuk Jariah Mohd Said.

Wajib dilakukan

Pembaharuan kad pengenalan pada usia 18 tahun wajib dilakukan berdasarkan Peraturan 18, Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan MyKad yang baharu lebih berkualiti serta mempunyai ciri keselamatan lebih baik.
Individu yang gagal memperbaharui MyKad selepas umur genap 18 tahun boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau didenda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Ahmad Zahid berkata, seramai 64,122 orang yang mencapai usia 12 dan ke atas pula didapati belum memohon MyKad.

Sehubungan itu, beliau menasihati ibu bapa atau penjaga supaya segera memohon MyKad sebelum usia kanak-kanak itu mencecah 17 tahun bagi mengelak dikenakan penalti lebih tinggi dan kesulitan lain.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga tahun lalu, 41 cawangan JPN sudah memiliki pencetak MyKad untuk melakukan percetakan teragih atau 'cetakan ekspres' yang membolehkan dokumen pengenalan diri itu dicetak dalam
tempoh dua jam, sekali gus membolehkan pemohon mendapatkan MyKad dalam tempoh 24 jam.

Ia membabitkan 32 lokasi di Semenanjung dan sembilan lokasi di Sabah dan Sarawak.

Silibus kursus pandu, ujian JPJ akan dirombak

Posted: 16 Feb 2014 01:58 PM PST

Bagan Datoh: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan merombak silibus kursus dan ujian memandusupaya lebih mudah difahami orang ramai.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad, berkata tindakan itu dilakukan selepas maklum balas orang ramai mendapati Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) terutama ujian bertulis ketika ini sukar difahami.

Pindaan terhadap KPP

"Berikutan itu, kita akan buat pindaan terhadap KPP agar lebih mudah difahami dan tidak lagi berbelit-belit seperti sebelum ini," katanya selepas perasmian penutup Program 1Komuniti 1JPJ Parlimen Bagan Datoh di sini semalam.

Majlis perasmian program itu disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ismail berkata, pindaan terhadap KPP itu juga selaras pelancaran Program MyLesen untuk memudahkan mereka yang berusia 16 tahun ke atas mendapatkan lesen motosikal B2 dengan mudah dan murah mulai April ini.

Beliau juga berkata, jabatan itu akan mewujudkan Kadet JPJ di sekolah menengah seluruh negara dengan projek percubaan dilancarkan pada April ini.

48 majikan pekerja haram ditahan

Posted: 16 Feb 2014 01:54 PM PST

Butterworth: Seramai 48 majikan serta 4,660 pendatang tanpa izin ditahan sepanjang Operasi Bersepadu 6P bermula 21 Januari lalu.

Selain itu, 4,660 pendatang tanpa izin ditahan kerana pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, susulan pemeriksaan terhadap 18,775 pekerja asing.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat, berkata pihaknya memberi amaran kepada majikan supaya mematuhi peraturan dan prosedur ditetapkan jika mahu menggaji pekerja asing.

Tindakan tegas buat majikan

"Tindakan tegas akan dikenakan terhadap majikan selepas siasatan mendapati mereka menggaji pekerja asing tanpa mengikut saluran ditetapkan.

"Perkara ini tidak boleh diambil ringan kerana akan merugikan mereka sebab kami akan meningkatkan pemeriksaan mengesan majikan yang melakukan kesalahan," katanya.

Beliau ditemui selepas mengetuai pemeriksaan Operasi Bersepadu 6P di Taman Pelangi di sini, malam kelmarin.
Turut hadir, Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen, Zahari Abdul Aziz dan Pengarah Imigresen negeri, Hasbullah Abdul Rashid.

Aloyah berkata, susulan tangkapan pendatang yang dibuat itu, setakat ini, 3,988 sudah diusir ke negara asal.

Sementara itu, hasil operasi di Taman Pelangi bermula jam 11.30 malam kelmarin, jabatan itu menahan 45 warga asing atas pelbagai kesalahan membabitkan 26 warga Indonesia, Myanmar (10), Bangladesh (tiga), Nepal (tiga), India (dua) dan Vietnam (satu).

Antara kesalahan dikesan ialah penggunaan dokumen pekerjaan palsu, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

Lelaki lemas bersama RM3,000

Posted: 16 Feb 2014 01:52 PM PST

Kota Bharu: Seorang lelaki lemas bersama wang tunai lebih RM3,000 selepas terjatuh ke dalam Sungai Seterpa, ketika keluar memancing bersama rakannya, di Binjai, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa, Mohd Hanif Mohd Zain, 20, dari Kampung Belukar, Bukit Marak, di sini, dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Seterpa, berhampiran kolam tempat mereka memancing sebelum lemas.

Mangsa ke kolam itu bersama beberapa rakannya dan dikatakan hendak membuang air kecil di tepi semak berhampiran. Rakan mangsa dikatakan mendengar jeritan minta tolong, namun gagal untuk menyelamat kerana keadaan di situ amat gelap.

Bapa mangsa, Mohd Zain Kassin, 60, berkata sebelum kejadian, beliau meminta anaknya mengeluarkan wang tunai sebanyak RM2,000 dari sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Beri wang RM1,000

"Sebelum arwah ke tempat memancing, isteri saya, Hameedah Kasor, 52, ada memberikan wang sebanyak RM1,000, bagi menampung jumlah kos yang akan digunakan untuk membuat pagar kedai runcit yang akan dibuka tidak lama lagi.

"Arwah hanya ke kolam memancing itu selepas mengeluarkan wang dan saya terkejut apabila menerima berita malang itu kira-kira jam 11 pagi semalam. Saya sedih apabila melihat jasad arwah anak bersama wang tunai itu," katanya di sini, semalam.