Posted: 09 Feb 2014 02:58 PM PST

Kuala Lumpur: Pendapatan perkapita bulanan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak layak memohon subsidi yuran pengasuhan Kanak-Kanak TASKA dinaikkan daripada RM700 kepada RM900 sebulan, bermula awal tahun ini.

Ini bermakna ibu bapa atau penjaga dengan pendapatan bulanan RM900 dan ke bawah layak memohon subsidi itu yang akan dibayar kepada pengusaha taman asuhan kanak-kanak (TASKA) berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Insentif bagi meringankan beban ibu bapa itu juga dinaikkan dan ditetapkan kepada RM250 sebulan berbanding mengikut skala gaji ibu bapa atau penjaga pada kadar berbeza, antara RM150 hingga RM250 sebelum ini.

Berikutan penetapan kadar itu, ibu bapa misalnya hanya perlu membayar RM50 bagi yuran pengasuhan RM300 sebulan dengan bayaran baki disalur terus kepada pengusaha TASKA berdaftar.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Advokasi JKM, Dr Zaitol Salleh, berkata ibu bapa atau penjaga yang layak juga boleh membuat permohonan subsidi menerusi dalam talian dengan melayari laman web jkm.gov.my, bermula Sabtu ini.

Katanya, pemberian insentif itu antara langkah jangka panjang kerajaan dalam memutihkan TASKA tidak berdaftar di seluruh negara bagi menangani isu kecuaian dan keselamatan di pusat asuhan kanak-kanak.

Pendapatan kurang RM300
"Subsidi ini diperkenalkan tahun lalu dan diperuntukkan kepada mereka dengan pendapatan bulanan kurang RM500 sebulan.

"Bagaimanapun, JKM mengkaji semula tahap kelayakan selepas ramai ibu bapa atau penjaga tidak layak memohonnya dan menaikkan tahap kelayakan sebanyak dua kali kepada RM700 dan RM900," katanya kepada BH, semalam.

Unit Khas BH dalam siri laporannya sejak 2 Februari lalu mendedahkan kebanyakan TASKA di negara ini bukan saja tidak berdaftar malah gagal mematuhi panduan penubuhan TADIKA dan TASKA selain tidak dilengkapi tangga kecemasan, pintu jeriji tidak berkunci, pintu pagar terbuka tanpa sebarang kawalan hingga mudah dibolosi orang luar.

Berikutan laporan itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menggerakkan operasi pemutihan TASKA tidak berdaftar dalam skala besar bagi memastikan isu TASKA tidak berdaftar yang menjurus kepada isu kecuaian, penderaan dan keselamatan ditangani.

Zaitol berkata, tahun lalu, seramai 1,909 penerima mendapat manfaat subsidi yuran pengasuhan itu, yang turut diumumkan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2014.

Mengulas mengenai permohonan subsidi yuran pengasuhan menerusi dalam talian, Zaitol berkata, pendaftaran permohonan itu akan berlangsung sehingga 31 Mei depan.

Perlu mohon insentif

"Ibu bapa atau penjaga yang lulus (menerima bantuan subsidi) akan dimaklumkan melalui SMS (khidmat pesanan ringkas) bagi meningkatkan ketelusan," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa atau penjaga perlu memohon insentif berkenaan dengan menghantar anak mereka ke TASKA berdaftar sebelum permohonan ditapis bagi memastikan kelayakan pemohon.

"Selepas lulus, JKM akan membayar TASKA terbabit RM250 sebulan bagi setiap kanak-kanak yang layak. Dengan kata lain, kita mahu ibu bapa hanya hantar anak mereka ke TASKA berdaftar yang selamat dan dipantau JKM," katanya.

Adenan KM baru Sarawak

Posted: 09 Feb 2014 02:55 PM PST

Petra Jaya: Nama Menteri Tugas Tugas Khas Sarawak, Tan Sri Adenan Satem disebut-sebut berada pada kedudukan teratas sebagai pengganti Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Abdul Taib dijangka menemui Yang di-Pertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Astana Negeri, di sini minggu ini bagi menyatakan secara rasmi hasratnya mahu bersara, seterusnya mengemukakan nama Adenan sebagai pengganti.

Difahamkan, perkara itu dimaklumkan Abdul Taib kepada Adenan ketika kedua-duanya mengerjakan umrah akhir bulan lalu, yang turut disertai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya dan Pengarah Yayasan Sarawak, Datuk Abu Bakar Marzuki.

Sumber memberitahu BH, pemilihan Adenan adalah bersandarkan kepada pengalaman luas beliau dalam kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), yang juga parti tunjang Barisan Nasional (BN) Sarawak.

"Ini turut didorong pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan, termasuk sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Abdul Taib mempunyai kepercayaan tinggi terhadap Adenan, malah turut melantiknya sebagai Penasihat Ketua Menteri dan Menteri Tugas Tugas Khas sekembalinya beliau ke Sarawak.

Difahamkan, pemilihan itu dimaklumkan Abdul Taib kepada Adenan ketika mengerjakan umrah akhir bulan lalu, yang turut disertai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya dan Pengarah Yayasan Sarawak, Datuk Abu Bakar Marzuki.

Sumber memberitahu BH, pemilihan Adenan bersandarkan pengalaman luas beliau dalam kepemimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), yang juga parti tunjang Barisan Nasional (BN) Sarawak.
"Ini turut didorong pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan, termasuk sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Abdul Taib mempunyai kepercayaan tinggi terhadap Adenan, malah melantiknya sebagai Penasihat Ketua Menteri dan Menteri Tugas-Tugas Khas sekembalinya beliau ke Sarawak.

Calon paling tepat

"Justeru, Adenan dilihat sebagai calon paling tepat bagi menggantikan beliau sebagai Ketua Menteri yang sememangnya cukup mencabar dalam memimpin negeri yang dihuni lebih 27 etnik dan suku kaum," katanya.

Menurut sumber lain, sebagai 'orang lama' dalam kancah politik, kepercayaan Abdul Taib tidak berbelah bahagi terhadap Adenan, malah Ketua Penerangan PBB itu sering bertindak sebagai orang kanannya sebelum ini.

"Adenan sering dihantar Abdul Taib sebagai 'orang tengah' atau perunding dalam menyelesaikan masalah dihadapi parti komponen BN Sarawak sebelum ini.
"Adenan cukup masak dengan perkembangan politik di Sarawak dan mahir dalam pentadbiran negeri, beliau calon paling sesuai," katanya.

Katanya, banyak pihak, termasuk komuniti perniagaan melihat Abdul Taib selaku Yang di-Pertua Negeri dan Adenan mengetuai kerajaan sebagai gandingan terbaik untuk terus memastikan kesinambungan pembangunan dan ekonomi negeri.

Berundur hujung bulan

Sementara itu, Abdul Taib sempat berseloroh kepada media yang ingin mendapatkan kepastian tarikh tepat persaraan beliau dari arena politik dan kerajaan negeri yang akan berlaku akhir bulan ini.

"Bagilah saya ambil gaji (penuh) Februari dulu," katanya selepas mempengerusikan pertemuan khas bersama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Sarawak, di Ibu pejabat PBB, di Jalan Bako, di sini, semalam.

Katanya, ada dua lagi peringkat perlu dilakukannya sebelum menyerahkan jawatan Ketua Menteri yang disandangnya sejak 33 tahun lalu, iaitu menemui Yang di-Pertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin bagi mengemukakan nama penggantinya.

"Ada dua lagi langkah perlu saya lakukan dan tiada apa-apa pengumuman (nama pengganti) akan dibuat esok (hari ini). Saya perlu bertemu Yang di-Pertua Negeri terlebih dulu bagi menyatakan hasrat mahu bersara, seterusnya mengemukakan nama pengganti (yang dipilih). Yang pasti, saya akan bersara hujung bulan ini," katanya.

Selain Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Jemut Masing, turut hadir Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Tan Sri William Mawan Ikom dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Tan Sri Peter Chin Fah Kui.

Klip video Teresa cemar budaya, gugat kestabilan

Posted: 09 Feb 2014 02:53 PM PST

Kota Bharu: Barisan Nasional (BN) Kelantan menyifatkan video Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, bukan saja mencemarkan budaya rakyat Malaysia, malah menggugat kestabilan negara.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata BN negeri amat dukacita dengan tindakan wakil rakyat terbabit kerana perbuatan itu tidak mencerminkan perpaduan serta keharmonian yang sudah wujud di negara ini.

"Ramai rakyat tidak bersetuju dengan tindakan Ahli Parlimen berkenaan mengeluarkan video terbabit dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang melampaui batasan keharmonian negara.

Bukan budaya Malaysia

"Perbuatan Terasa juga tidak melambangkan budaya rakyat Malaysia dan ia bukan saja memberi ketidakselesaan kepada bangsa Melayu saja, malah orang Cina sendiri tidak suka dengan tindakannya itu," katanya di sini, semalam.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, beliau amat menyokong tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini yang mengadakan demonstrasi bantahan secara aman terhadap Ahli Parlimen terbabit.
Sambut baik tindakan

"Saya menyambut baik tindakan beberapa NGO Kelantan mengadakan demonstrasi kelmarin dengan membakar patung Teresa selain membuat laporan polis terhadap tindakan yang boleh dianggap biadab itu," katanya.

Beliau berkata, perbuatan biadab Teresa seharusnya ditentang oleh semua rakyat Malaysia termasuk bangsa Cina sendiri, memandangkan ia boleh menjejaskan ketenteraman negara.

Kelmarin, tujuh laporan polis yang membantah tindakan Teresa mengeluarkan video yang dianggap mampu menjejaskan ketenteraman negara dibuat oleh NGO di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang.

Selain itu, Barisan Darulnaim Negeri Kelantan (BADAR), mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan bangunan UMNO negeri dengan membakar patung Teresa, yang dihadiri kira-kira 1,000 orang.

Desak ambil tindakan

Di Johor Bahru: Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan terhadap Teresa.

Presidennya, A Rahman Mahadi, berkata ini kerana pihaknya kecewa dengan kenyataan dan tindakan melampau yang dilakukan pemimpin DAP itu.

Katanya, tindakan biadab Teresa menunjukkan wakil rakyat pembangkang itu sebagai seorang pemimpin yang lemah daya berfikir, buta hati dan tidak pernah belajar mengenai latar belakang sejarah negara.

"Tindakan berkenaan (klip video) menggambarkan ketidakpedulian mereka terhadap Perlembagaan Persekutuan kerana sanggup berbuat apa saja demi kepentingan diri sendiri," katanya.

Krisis Khalid, Azmin makin memuncak

Posted: 09 Feb 2014 02:51 PM PST

Kajang: Krisis antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Mohammed Azmin Ali, semakin memuncak sehingga memaksa Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan.

Malah, Ketua Umum PKR itu berkata, proses berkenaan mungkin mengambil sedikit masa kerana banyak perkara perlu diambil kira kedua-dua belah pihak.

"Saya sudah menemui Tan Sri Abdul Khalid semalam (kelmarin), dan beliau menyatakan proses berkenaan (isu pemecatan 20 kakitangan PKNS Holdings Sdn Bhd) mengambil sedikit masa," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dong Zong, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan krisis antara Khalid dan Azmin kini semakin memuncak berikutan tindakan Timbalan Presiden PKR terbabit mengkritik kerajaan negeri memecat 20 kakitangan PKNS Holdings (PHSB), berkuat kuasa 3 Mac lalu.

Tak layan desakan

Kelmarin, Khalid dilapor berkata kerajaan Selangor tidak akan melayan desakan mana-mana pihak yang mahu kerajaan negeri menarik balik keputusan penamatan 22 kakitangan kontrak PHSB.

Khalid berkata, keputusan pemecatan kakitangan terbabit adalah berlandaskan prosedur selain mengikut perundangan sedia ada.
Sementara itu, pemimpin tertinggi PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid, menyelar tindakan kerajaan Selangor memberhentikan 22 kakitangan PHSB.

Pentingkan diri

Sambil menyifatkan tindakan Khalid itu sebagai mementingkan diri sendiri, beliau berkata, semua pekerja terbabit perlu diberi pampasan sewajarnya dan bukan setakat tawaran dua bulan gaji.

"Kita ada undang-undang, jika kita tidak mematuhi perjanjian maka kita akan jadi pengkhianat. Penamatan semua pekerja berkenaan tidak menunjukkan kerajaan di bawah pemerintahan Khalid sebagai kerajaan yang baik.

"Khalid perlu memahami undang-undang terutama Akta Perusahaan yang terletak dalam kelompok undang-undang negara. Dia tidak boleh mengikut citarasa sendiri sahaja," katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.

Tanggungjawab kerajaan negeri: JAS

Posted: 09 Feb 2014 02:47 PM PST

Georgetown: Tindakan pencegahan serta pembersihan air sungai dan laut tercemar di sepanjang perairan Pulau Pinang adalah tanggungjawab kerajaan negeri.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Halimah Hassan, yang mengakui perairan negeri ini berdepan ancaman bakteria Escherichia coli (E.coli) dan unsur Polycyclic Aromatic Hydrocarbons (PAHs), berkata kerajaan negeri bertanggungjawab bagi dasar penguatkuasaan alam sekitar di Pulau Pinang.

"JAS hanya menjalankan kerja mengambil sampel air di stesen tertentu negeri ini, untuk kajian sebelum laporan lengkap mengenainya diserahkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut.

Dakwa pihak terbabit

"JAS juga akan mendakwa pihak yang didapati terbabit mencemarkan alam sekitar seperti yang termaktub dalam undang-undang. Namun, dalam aspek pembersihan dan pencegahan, ia di bawah kerajaan negeri," katanya.

Beliau ditemui ketika mengiringi lawatan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel ke lokasi Sungai Batu Feringghi, yang tercemar di sini, semalam.

Ahad lalu, sebahagian perairan Batu Feringghi yang terkenal sebagai lokasi pelancongan dikesan bertukar hitam dipercayai akibat dicemari sisa kumbahan yang mengalir dari Sungai Batu Feringghi.
Ujian awal mendapati air sungai dan laut itu mengandungi bakteria E.coli yang boleh mengundang maut.

BH juga mendedahkan kajian penyelidik Jabatan Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) mendapati perairan negeri ini mengandungi bakteria bahaya itu.

Kaji hasil kajian

Mengulas lanjut, Halimah berkata, JAS juga menyedari jurnal berhubung pencemaran air serius di Pulau Pinang, hasil kajian Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan UTP.

Katanya, pihaknya sedang mengkaji hasil kajian yang dinyatakan dalam jurnal berkenaan dan akan menyerahkan laporan lengkap mengenainya kepada pihak berkuasa negeri untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Halimah berkata, JAS memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu bagi mengenal-pasti punca pencemaran terhadap Sungai Batu Feringghi dan kawasan laut berdekatan

Katanya, tindakan segera akan diambil dengan mendakwa pihak yang terbabit
di mahkamah mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Alam Sekeliling 1974 dan boleh didenda dengan tidak melebihi RM500,000 dan dipenjara tidak lebih lima tahun.

300 buku teks versi digital boleh diakses

Posted: 09 Feb 2014 02:44 PM PST

Kuala Lumpur: Semua 10,094 pelajar sekolah rendah dan menengah di negara ini sudah boleh mengakses lebih 300 buku teks versi digital secara percuma menggunakan sistem 1BestariNet.

Sumber berkata, ia boleh diakses secara dalam talian oleh pelajar, ibu bapa dan guru yang mempunyai kata laluan pada bila-bila masa.

Katanya, projek itu bagi membolehkan pengajaran, pembelajaran, kolaborasi dan pentadbiran dijalankan melalui Persekitaran Pembelajaran Maya (Frog VLE).

Sedia kemudahan internet

"Penggunaan pembelajaran melalui sistem ini di sekolah pula, bergantung kepada kebijaksanaan guru besar dalam memastikan pelajar berpeluang menggunakan sistem berkenaan kerana semua sekolah sudah dilengkapkan dengan internet berkelajuan tinggi 4G dan platform pembelajaran maya serta akses kepada Penyelesaian Pembelajaran Bersepadu.

"Kita tidak memberi setiap pelajar komputer atau peranti teknologi seperti iPad ataupun tablet, namun peralatan berkaitan termasuk Google Chrome Book diberi kepada sekolah untuk ditempatkan secara kekal," katanya yang dihubungi BH di sini, semalam.

Semalam, media melaporkan ibu bapa tidak akan menanggung beban kos tambahan berikutan pelaksanaan buku teks versi digital yang akan memudahkan pelajar mengakses pelajaran walaupun ketika bercuti di dalam atau luar negara.
Projek 1BestariNet yang dilaksanakan kementerian melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bagi meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran serta merapatkan jurang digital antara pelajar bandar dan luar bandar.

Mudahkan pembelajaran

Menerusinya, semua sekolah dihubungkan dalam satu pangkalan pembelajaran tunggal menggunakan internet berkelajuan tinggi 4G dan pengguna diberi akses daftar ke dalam program untuk aplikasi pembelajaran Maya Frog, Google Apps untuk pendidikan dan Frog Store.

Beliau berkata, pelaksanaan sistem itu membolehkan pembelajaran mudah alih atau m-pembelajaran dan pembelajaran di mana-mana atau
u-pembelajaran adalah dua trend untuk mengukuhkan inisiatif e-pembelajaran.

"Seperti yang diumumkan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berhubung pelajar boleh membawa peranti sendiri seperti iPad atau tablet ke sekolah untuk mengakses buku teks digital, ia juga hasil kemudahan atau infrastruktur disediakan.

"Bagaimanapun, sekiranya pelajar tidak membawa peranti mereka, alatan bantuan pelajaran sememangnya sudah disediakan untuk kegunaan waktu persekolahan dan boleh diakses menggunakan apa juga peranti untuk mengulangkaji atau belajar," katanya.