TASKA abai peraturan undang padah

TASKA abai peraturan undang padah


TASKA abai peraturan undang padah

Posted: 03 Feb 2014 03:16 PM PST

TASKA abai peraturan undang padah

Kuala Lumpur: Kira-kira 90 peratus daripada 3,123 TASKA berdaftar gagal mematuhi garis panduan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang boleh membahayakan kanak-kanak.

Antara yang paling ketara ialah gagal memenuhi nisbah bilangan kanak-kanak dengan saiz premis, nisbah seorang pengasuh bagi setiap tiga bayi dan memasak menggunakan api serta dapur gas.

Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Wong Poai Hong, berkata jumlah itu berdasarkan pemerhatian persatuan yang mendapati sembilan daripada 10 TASKA gagal mematuhi Garis Panduan Penubuhan TASKA dan TADIKA.

"Itu belum dikira TASKA tidak berdaftar yang pastinya melanggar peraturan. Namun, pemilik TASKA sukar mematuhi semua garis panduan kerana kebanyakannya mengenakan bayaran yang rendah," katanya kepada BH.

Poai Hong berkata, kebanyakan TASKA mengenakan bayaran RM300 untuk seorang kanak-kanak tetapi ia terlalu rendah bagi menampung kos menyediakan perkhidmatan dan kemudahan terbaik.

Gaji minimum RM900

Berikutan penetapan gaji minimum RM900, pengusaha TASKA juga berdepan masalah untuk menguruskan pusat berkenaan dengan bayaran serendah itu.
Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Kuat kuasa peraturan lindungi hak pengguna

Posted: 03 Feb 2014 03:16 PM PST

Bangi: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kementerian dan agensi kerajaan lebih proaktif menguatkuasakan peraturan dan undang-undang bagi melindungi kepentingan pengguna.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu memainkan peranan penting memastikan undang-undang yang melindungi pengguna dikuatkuasakan sepenuhnya.

Ramai peniaga ingkar

Beliau juga kurang berpuas hati dengan sikap ramai peniaga yang masih ingkar arahan dan peraturan supaya melabel dan meletakkan tanda harga, yang menurutnya membebankan pengguna untuk memilih barang pada harga berpatutan.

"Undang-undang sudah diwujudkan, tetapi tidak dilaksanakan sepenuhnya. Saya fikir selaras dengan gerakan kita untuk memantau harga dan menentukan pelanggan tidak ditipu, maka undang-undang ini mesti dikuatkuasakan sepenuhnya.

"Bagaimanapun, mungkin nak bagi masa kerana persatuan dan dewan (perniagaan) menyatakan mereka perlukan masa. Selepas itu, undang-undang yang ada akan dikuatkuasakan (sepenuhnya)," katanya.

Muhyiddin juga mencadangkan KPDNKK melancarkan semula kempen pelabelan dan penandaan harga, selain memberi tempoh dua bulan kepada peniaga berbuat demikian.
"Dulu, mungkin kita ada tindakan, tetapi tidak begitu menyeluruh, tetapi kali ini selepas kita bagi tempoh, mereka tak boleh cari alasan," katanya.
BERNAMA

133 kedai percetakan disiasat

Posted: 03 Feb 2014 03:15 PM PST

Nibong Tebal: Polis mendapatkan kerjasama 133 kedai percetakan di Pulau Pinang bagi mengesan dalang memasang kain rentang berbaur provokasi di di negeri ini, baru-baru ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata siasatan masih dijalankan dan meminta semua pihak bertenang serta menyerahkannya untuk diselesaikan polis.

"Setakat ini, kami sudah menerima 36 laporan dan mengambil 23 keterangan. Polis kini menyiasat 133 kedai percetakan di negeri ini yang mungkin mencetak kain rentang itu untuk memudahkan polis mendapat petunjuk baru merungkai kes ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid sempena Op Selamat IV, di Sungai Bakap, di sini semalam.

Bangkitkan kemarahan

Beberapa kain rentang tertera ungkapan Allah is Great dan Jesus is the son of Allah dikesan digantung di Butterworth dan Georgetown, dipercayai cuba membangkitkan kemarahan umat Islam berhubung isu kalimah Allah, pada 26 Januari lalu.

Sehari selepas kejadian, dua individu yang menunggang sebuah motosikal membaling bom api ke arah sebuah gereja di Lebuh Farquhar, Georgetown, bagaimanapun hanya menyebabkan kebakaran kecil.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata, polis masih menjalankan siasatan terhadap dua individu berkenaan, tetapi sukar mengecam wajah mereka yang memakai topi keledar kerana hanya berpandukan CCTV di luar gereja saja.

Khalid sokong Anwar bantu tadbir Selangor

Posted: 03 Feb 2014 03:12 PM PST

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad senada dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kegagalan kerajaan Selangor menangani beberapa isu nasional termasuk rampasan Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Khalid berkata, beliau yakin kemasukan Anwar dapat membantu memperkemaskan pentadbiran kerajaan negeri itu di bawah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, penting untuk Anwar terbabit dalam pentadbiran kerajaan negeri kerana pengalaman yang dimilikinya sebelum ini sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

"Ada beberapa isu mungkin tidak ditanganinya dengan berkesan secara sepenuhnya dan kemasukan Anwar dapat membantu Menteri Besar dalam pentadbiran negeri itu.

"Saya yakin adanya Anwar dapat beberapa masalah yang dihadapi kini akan dapat diselesaikan selain memperbetulkan kekurangan serta memantapkan lagi kerajaan Selangor.

Tambah baik pentadbiran

"Ini bukan bermakna pentadbiran kerajaan negeri yang ada hari ini tidak bagus, tetapi kita mahu menambah baik lagi," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Akhbar semalam melaporkan Anwar mendakwa Menteri Besar Selangor kurang upaya untuk menyelesaikan beberapa isu bertaraf nasional menyebabkan beliau terpaksa menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membantu pentadbiran Selangor.

Anwar mendakwa, parti sekutu PKR dalam pakatan pembangkang sememangnya sudah lama membuat perancangan bagi mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepadanya bertanding.

Sementara itu, Khalid yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, kemasukan Anwar sekadar untuk membantu pentadbiran kerajaan negeri dan tidak sesekali merancang menukar Menteri Besar Selangor.

Pelarian hargai sumbangan NGO Malaysia

Posted: 03 Feb 2014 03:10 PM PST

Cuaca sejuk melampau sehingga 1 darjah Celsius melanda Damsyik, namun pelarian Palestin tetap bersabar beratur menunggu giliran mendapatkan bantuan.

Yang tua datang berpimpin tangan, ibu muda yang baru lepas berpantang sanggup meredah kesejukan sambil menggendong bayi, semata-mata tidak mahu tercicir daripada menerima sumbangan selimut yang disalurkan Aman Palestin.

Misi bantuan kemanusiaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia itu masuk hari keempat kelmarin, diteruskan dengan mengagihkan selimut kepada 250 keluarga pelarian Palestin yang menghuni beberapa kem di sini. Setiap keluarga menerima dua selimut untuk keperluan musim sejuk yang sedang melanda.

Penyerahan sumbangan disempurnakan di Kompleks Sukan Al-Faiha' yang pernah menjadi sasaran kumpulan penentang kerajaan, tahun lalu. Selain menjadi tumpuan tentera pemerintah, lokasi itu juga pusat segala bantuan kemanusiaan daripada NGO antarabangsa disimpan sebelum diagihkan ke kem pelarian.

Seorang ibu muda yang datang sambil mendukung bayi kelihatan tenang menunggu giliran ketika ditemubual. Nour Yassin, 23, ke kompleks itu bersama nenek, ibu, kakak, adik dan bapa saudara selepas mendapat tahu mengenai pengagihan bantuan berkenaan menerusi risalah yang diedarkan di kem.

Sambil memeluk bayinya, Muhammad, 1, ibu muda ini memaklumkan, dia sebelum ini menghuni Kem Yarmuk, namun bersama seluruh ahli keluarga lari meninggalkan penempatan itu selepas ia dibom tentera ketika pertempuran pada 15 Mac 2011 dan kini tinggal di kem pelarian yang lain.

Musnah dalam sekelip mata
"Segala harta benda dan kediaman musnah dalam sekelip mata. Lebih menyayat hati, suami saya juga maut dalam serangan itu. Kalau boleh, memang kami mahu pulang ke Kem Yarmuk kerana di situ kami dilahirkan dan membesar. Namun, buat masa ini keadaan di sana sangat teruk.

"Saudara mara saya masih terkepung di situ dan kami tak tahu nasib mereka. Sebelum keluar dari kem itu, kami kelaparan beberapa hari kerana tiada bekalan makanan," katanya sambil berdoa semua pelarian di Kem Yarmuk selamat dan mendapat bantuan makanan.

Bagi Raghat Almasri, 17, ini kali pertama dalam hidupnya dia menghadapi situasi peperangan yang dahsyat sehingga mengubah kehidupannya sekeluarga.

"Saya dilahirkan di Syria, hidup aman damai di sini. Walaupun menetap di Kem Yarmuk, kami hidup seperti orang lain juga kerana disediakan kemudahan asas yang cukup sehinggalah tercetus perang sehingga memaksa kami meninggalkan kediaman.

"Kami pilih keluar dari kem itu kerana keadaan kian teruk sampai makanan pun tak cukup, kami hampir kebuluran. Sejurus keluar, kawasan itu dikepung dan ramai saudara mara terperangkap," katanya sambil menambah, ketika pertempuran itu, dia hanya terfikir maut kerana serangan udara bertalu-talu berterusan sepanjang malam.

"Selama ini, saya hanya dengar cerita perang daripada nenek yang melarikan diri dari Palestin ke Syria, kini saya pula mengalaminya dan ini sangat tragik," kata Raghat yang menjadi generasi kedua pelarian Palestin di Syria.

Walaupun ibunya dilahirkan di Syria, mereka tetap dipanggil pelarian Palestin kerana tidak diberikan status penduduk tetap, sebaliknya dipanggil Palestin Syria. Dianggarkan ada sejuta pelarian Palestin di Syria dan hampir 600,000 orang menetap di kem sekitar Damsyik, paling ramai di Kem Yarmuk dengan kira-kira 30,000 orang.

Bercanggah slogan bersih dan hijau

Posted: 03 Feb 2014 03:08 PM PST

Kuala Lumpur: Pencemaran di Pantai Batu Ferringhi yang menyebabkan sebahagian air laut di situ hitam disifatkan bercanggah dengan slogan kerajaan negeri iaitu bersih dan hijau.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang kesal dengan kejadian itu mahu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyiasat segera puncanya dan memaklumkan hasilnya kepada orang ramai.

Presiden CAP dan SAM, S M Mohamed Idris, berkata pihaknya percaya jika tiada tindakan tegas dilakukan kerajaan negeri dan jabatan terbabit bagi mengatasi pencemaran terbabit, kesan lebih buruk akan berlaku.

Atasi pencemaran

"SAM dan CAP menggesa kerajaan Pulau Pinang dan pihak berkuasa berkenaan supaya mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran sungai dan laut di Batu Ferringhi.

"Dalam tinjauan SAM dan CAP hari ini (semalam), kami mendapati pencemaran di kawasan itu amat serius dan perlu ditangani secara berkesan dan segera supaya kesannya tidak merebak dan menjejaskan kesihatan orang ramai.

"Air Sungai Batu Ferringhi bukan saja berwarna hitam tapi juga berbau busuk. Air yang tercemar itu datang dari satu lokasi yang terletak lebih kurang 300 meter dari laut," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Akhbar ini semalam, melaporkan sebahagian air laut di pantai yang menjadi pusat tarikan pelancong itu bertukar hitam, dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan.

Hukuman berat

Menggesa hukuman berat dikenakan kepada pihak yang melakukan pencemaran itu, Mohamed Idris berkata, pencemaran itu boleh mengancam hidupan laut dan menjejaskan kesihatan pengunjung yang mandi-manda di situ.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Halimah Hassan, ketika dihubungi berkata pihaknya sedang menyiasat punca pencemaran.

"Jika ada mana-mana pihak tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, JAS akan ambil tindakan," katanya.