SUPP masih mendapat sokongan, kata Riot |
- SUPP masih mendapat sokongan, kata Riot
- Pelan penyatuan nasional hanya permainan pembangkang untuk kaburi kelemahan mereka
- Kempen Tandatangan Dasar Elektrik Yang Lebih Adil sasar 100,000 tandatangan
- Perkahwinan pasangan dari sempadan cetus pelbagai isu terutama status anak
- Perayaan pasti tidak meriah tanpa perpaduan
- Setiap perayaan diraikan sebagai landasan gagasan 1M’sia: Harden
SUPP masih mendapat sokongan, kata Riot Posted: 01 Feb 2014 08:16 AM PST by Agnes Tugong. Posted on February 2, 2014, Sunday KUCHING: Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Richard Riot Jaem percaya rakyat khasnya pengundi masih menyokong penuh parti meskipun berdepan dengan pelbagai masalah. Ini terbukti menerusi kehadiran di luar jangkaan rakyat berbilang kaum khasnya pengundi dan penyokong SUPP pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina SUPP di ibu pejabat parti itu Jumaat lepas. Jelas Riot, kehadiran tetamu pada majlis itu Jumaat lepas merupakan yang paling ramai pernah dicatatkan sepanjang 23 tahun beliau bersama SUPP sekali gus menunjukkan sokongan kuat mereka kepada parti. "Saya tidak pernah terlepas daripada menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina SUPP dan saya sangat gembira melihat begitu ramai tetamu hadir pada hari ini yang mana ia merupakan kehadiran paling ramai pernah dicatatkan sejak 23 tahun lepas. "Berdasarkan kehadiran yang dicatatkan ini saya yakin rakyat masih lagi menyokong parti kerana jika mereka tidak yakin dengan pucuk pimpinan sedia ada mereka tidak mungkin akan hadir bersama-sama kita hari ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina SUPP di ibu pejabat parti itu Jumaat lepas. Dalam perkembangan berkaitan, Riot menasihati ahli-ahli yang lain agar tidak menggunakan media sebagai platform untuk bertelingkah dan menyalahkan antara satu sama lain ketika berhadapan dengan krisis. "Sebagai timbalan presiden saya amat berharap agar tiada rakan-rakan parti yang menggunakan media untuk menyelesaikan masalah mereka. "Saya berharap dengan semangat Tahun Kuda, tiada siapa antara kita yang akan mengambil jalan pintas seperti ini lagi demi keutuhan parti serta membolehkan parti menawan kembali kerusi-kerusi yang hilang pada pilihan raya akan datang," katanya. Sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2014, Riot turut memberi ucapan selamat kepada semua rakan sama ada ahli SUPP atau tidak di seluruh negara terutama di konstituensi beliau. Tahun ini juga buat pertama kalinya akan diadakan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina bagi Parlimen Serian yang akan berlangsung di Dewan Masyarakat Serian pada 8 Februari ini mulai jam 11 pagi hingga 3 petang. To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names. |
Pelan penyatuan nasional hanya permainan pembangkang untuk kaburi kelemahan mereka Posted: 01 Feb 2014 08:16 AM PST KUCHING: Pelan penyatuan nasional di antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan Barisan Nasional (BN) hanyalah permainan parti pembangkang untuk mengaburi kelemahan mereka. Demikian kata pemimpin parti komponen BN Negeri yang menggelarkan dirinya sebagai Bon Fire dengan menyifatkan ia helah pemimpin pembangkang kerana sudah tahu, rakyat tidak mempedulikan mereka dan pembohongan mereka turut diketahui. "Lihat sahaja mereka mempersendakan politik negara yang bakal meruntuhkan demokrasi dan perpaduan negara baru-baru ini. "Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan akan bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada Pilihan Raya Kecil akan datang. "Kerusi DUN Kajang itu kosong selepas penyandangnya, Lee Chin Cheh meletak jawatan pada 27 Januari lepas bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding, itu seperti mensandiwarakan politik negara ini," kata Bon Fire. Ahli Bon Fire sebelum itu ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di kediaman keluarga Presiden Persekutuan Persatuan Komuniti Cina Kuching Datuk Sim Swee Yong pada hari pertama perayaan itu kelmarin. Menurut pihaknya, ia bukan trend yang baik serta menyifatkan tindakan PKR sesuka hati mencalonkan ADUN mereka yang asalnya bukan dari tempat di mana mereka berkhidmat sekarang adalah juga salah. Katanya menambah, misal kata di Sarawak mestilah diwakili oleh orang dari Sarawak yang memang merupakan anak tempatan serta parti-parti yang berasal dari Sarawak untuk menjadi peneraju kepada kepimpinan negeri ini. Walaupun perkara itu kini berlaku di Selangor, pihak Bon Fire gusar ia akan diulangi dan terjadi di Sarawak. Tegasnya, tindakan parti politik itu seolah-olah menjadikan politik sebagai mainan dan sandiwara daripada menjadi parti politik sebenar untuk rakyatnya di sini. Rakyat katanya, akan memilih orang Kajang walaupun sekarang Kajang sudah menjadi milik PKR tetapi jangan pula Anwar memperbodohkan keadaan ini dengan menyuruh ADUN mereka meletak jawatan dan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan menggunakan wang rakyat. Ia kos yang banyak semata-mata untuk menyelesaikan kes dalam parti politik itu tanpa mempedulikan wang rakyat yang digunakan mereka untuk mengendalikan PRK itu nanti, tegasnya. To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names. |
Kempen Tandatangan Dasar Elektrik Yang Lebih Adil sasar 100,000 tandatangan Posted: 01 Feb 2014 08:15 AM PST KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak menyasar untuk mendapatkan tandatangan 100,000 rakyat negeri ini menerusi Kempen Tandatangan Dasar Elektrik Yang Lebih Adil. Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata, kempen yang berlangsung selama tiga bulan itu diadakan untuk menyeru kerajaan menurunkan tarif elektrik sebanyak 30 peratus. Menurutnya, ini kerana pengurangan kos tarif elektrik merupakan satu cara untuk mengurangkan kos sara hidup masyarakat yang semakin meningkat sekarang. "Jadi salah satu cara untuk mengurangkan kos sara hidup masyarakat adalah dengan mengurangkan tarif elektrik. "Saya rasa ini (mengurangkan tarif elektrik) merupakan cara mudah dan secara langsung," katanya ketika ditemui semasa Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di kediamannya kelmarin. Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching berkata, pada masa ini setiap lapisan masyarakat sama ada pengguna biasa, pengilang atau ahli perniagaan amat memerlukan elektrik. "Ia (elektrik) merupakan sebahagian daripada kehidupan masyarakat. "Saya berpendapat pihak yang bertanggungjawab patut mengurangkan tarif elektrik dengan segera," ujarnya. Dalam perkembangan sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa itu juga berharap Syarikat SESCo Berhad (SESCo) dapat mengurangkan gangguan elektrik di seluruh negeri yang kerap berlaku sejak dua tahun kebelakangan ini. "Saya berharap SESCo dapat memastikan kerja penyelenggaraan dilaksanakan secara kerap dan mempertingkatkan rangkaian transmisi serta edaran, bukannya menumpukan sumber untuk membina empangan hidro," jelasnya. To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names. |
Perkahwinan pasangan dari sempadan cetus pelbagai isu terutama status anak Posted: 01 Feb 2014 08:15 AM PST KUCHING: Perkahwinan melibatkan pasangan dari sempadan negara seperti di Sabah, Sarawak dan negeri lain seperti Kedah, Kelantan dan Perlis telah mencetuskan pelbagai isu terutama yang melibatkan status anak pasangan itu. Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, isu membabitkan kanak-kanak akan timbul apabila mereka dewasa di mana mereka menghadapi pelbagai kerenah walaupun dilahirkan di Malaysia. "Kementerian pula terpaksa mengikut garis panduan sebelum memberikan mana-mana individu kewarganegaraan Malaysia kerana mereka perlu mengenal pasti kesahihan permohonan itu di setiap butiran kecil," katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sijil kewarganegaraan kepada Hilda Chan dan bantuan daripada Sarawak Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI) kepada pesakit kronik di Pusat Khidmat Parlimen Santubong di sini pada Khamis lepas. Tambah Ahli Parlimen Santubong itu, ada antara permohonan mengambil masa 14 tahun dan kementerian selain itu perlu meneliti beribu permohonan setiap hari. "Sebahagian daripada perkahwinan tidak didaftarkan secara sah di Malaysia dan ini membawa kepada masalah seperti kanak-kanak tidak berstatus. "Itu sebabnya mengapa orang ramai perlu memahami bahawa prosedur ini tidak mudah," katanya. Sementara itu, Hilda Chan, 50, ketika ditemui berkata penyerahan sijil warganegara Malaysia kepadanya pada ambang sambutan Tahun Baharu Cina itu merupakan hadiah terbaik sempena tahun baharu. "Saya telah memohon sejak 1976 dan saya gembira ia akhirnya dapat selesai," katanya. Chan yang bekerja di sebuah syarikat swasta di sini dilahirkan di Brunei tetapi tinggal di Kuching beberapa bulan selepas dia dilahirkan. Dia menghadapi pelbagai isu seperti permohonan permit kerja sebelum mendapat status penduduk tetapnya. Isteri Wan Junaidi, Datin Feona Junaidi yang berada di majlis turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Siti Jasmina Bohri, yang anaknya Norienatasy Mohamad Faizal menderita penyakit jantung, Lai Tsung Shin juga mengalami sakit jantung, Roziyana Abdullah yang anaknya, Hariz Othman yang meninggal dunia akibat kanser otak dan Ba'ah Ramli yang mengalami kanser paru-paru. Feona turut menyampaikan RM2,000 kepada Abdul Hamid Hassan yang menderita akibat diabetes. To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names. |
Perayaan pasti tidak meriah tanpa perpaduan Posted: 01 Feb 2014 08:14 AM PST by Siti Aisyah Ramli. Posted on February 2, 2014, Sunday KUCHING: Perpaduan di kalangan rakyat amat penting kerana tanpa perpaduan sesuatu sambutan perayaan termasuk Tahun Baharu Cina tidak dapat diraikan dengan penuh kemeriahan dan kegembiraan. Menurut Pengarah Urusan Kumpulan KKB Engineering Sdn Bhd Datuk Kho Kak Beng, perpaduan kaum menjadi teras utama dalam memastikan keamanan negara sentiasa berkekalan. "Seperti yang dapat kita lihat pada hari ini, tetamu yang hadir ke sini tidak mengira bangsa, agama mahupun warna kulit. "Dari situ saya dapat simpulkan, Malaysia dan Sarawak khususnya mempunyai semangat perpaduan yang tinggi dari pelbagai kaum yang ada di sini. "Walaupun hari ini merupakan sambutan perayaan masyarakat Cina, pelbagai masyarakat lain turut memeriahkannya dengan melawat rumah sahabat handai mahupun saudara-mara yang meraikannya," katanya. Selain itu katanya, amalan mengunjung rumah terbuka ketika sambutan perayaan seumpama itu turut membuka peluang kepada orang ramai untuk membina hubungan perniagaan. "Tahun ini disifatkan sebagai Tahun Kuda, tahun untuk kita bekerja keras selain berlari pantas seperti kuda dalam mengejar cita-cita mahupun berjaya dalam perniagaan. "Selain mendapat kekayaan, kita juga tinggal dalam perpaduan dan keamanan di samping rakan-rakan mahupun keluarga," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di kediamannya di Three Hills Park di sini, kelmarin. Rumah terbuka Kho turut dihadiri Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing, Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan isteri serta Menteri Muda Pelaburan dan Promosi Julaihi Narawi dan isteri. Terdahulu, Taib mengunjungi rumah terbuka bekas Ketua Peguam Negeri Datuk JC Fong di Jalan Bampfylde, di sini. To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names. |
Setiap perayaan diraikan sebagai landasan gagasan 1M’sia: Harden Posted: 01 Feb 2014 08:14 AM PST SRI AMAN: Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Perumahan Datuk Francis Harden Hollis mahu setiap perayaan diraikan sebagai landasan menjayakan gagasan 1Malaysia. Menurut beliau, adalah wajar setiap perayaan dijadikan sebagai perayaan bersama. "Adalah menjadi budaya masyarakat kita pada setiap perayaan, kita melakukan kunjung-mengunjungi tanpa mengira kaum dan agama bagi melambangkan kita bersama dalam 1Malaysia," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina pemimpin masyarakat Cina di sini kelmarin. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, budaya kunjung-mengunjungi adalah budaya unik yang harus diteruskan untuk menjamin perpaduan kaum. "Rakyat harus berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana mempunyai dasar yang amat baik dan bersikap adil dalam dasar dan rancangan pembangunannya. "Penyertaan jabatan dan agensi-agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan menyumbangkan tenaga dan kemahiran dalam mengelolakan aktiviti perpaduan untuk mengekalkan perpaduan di negara ini amatlah dihargai," katanya. Turut hadir Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, Residen Bahagian Sri Aman Jonathan Lugoh, Pegawai Khas Ahli Parlimen Sri Aman Edmund Pirang, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) Kaunselor Sawing Sumar, Penghulu Michael John Sanggop, isteri Francis Datin Simba Nallang serta pemimpin-pemimpin masyarakat. To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names. |
You are subscribed to email updates from BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |