Mimpi mandi jenazah bapa

Mimpi mandi jenazah bapa


Mimpi mandi jenazah bapa

Posted: 02 Feb 2014 01:58 PM PST

Mimpi mandi jenazah bapa

Seremban: Mimpi seorang remaja memandikan jenazah bapanya yang hilang sejak Ogos lalu terjawab Khamis lalu apabila lelaki berkenaan disahkan mati dibunuh di Temiang, di sini.

Namun, gambaran mimpi Muhammad Shukrie Saifullah Ravi, 17, memandikan jenazah ayahnya dalam keadaan sempurna berbeza, kerana hanya tulang rangka serta tengkorak ditemui dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gadong di sini, Jumaat lalu.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Agama Nilai itu berkata, bapanya, Saifullah Ravi Abdullah, 45, yang bekerja sebagai kerani sebuah syarikat perladangan, hilang ketika bekerja di ladang getah di Temiang, 5 Ogos lalu.

"Kami membuat laporan polis apabila dia tidak pulang dan tidak dapat dihubungi sehingga malam. Malah, ahli keluarga, rakan sekerja dan majikannya turut membantu mencarinya di kawasan ladang itu, namun tidak menemui sebarang petunjuk.

"Bagaimanapun, 30 Oktober lalu, kami dimaklumkan ada tulang rangka ditemui tertanam di kawasan itu dan diminta membuat pengecaman barang dan menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA). Keputusan ujian itu yang diperoleh Khamis lalu, mengesahkan tulang itu milik bapa," katanya di rumahnya di Taman Gadong Jaya di sini, semalam.

Muhammad Shukrie berkata, walaupun mengecam beberapa barangan milik bapanya yang ditemui berhampiran tulang rangka itu...

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Penantian isteri berakhir

Posted: 02 Feb 2014 01:55 PM PST

Saratok: "Puas saya larang suami memancing di Tanjung Kuali tapi tak diendahkan. Saya reda dengan takdir tetapi terkilan kerana dia tak sempat melihat anak sulung kami dilahirkan."

Selepas tiga hari dilaporkan hilang ketika memancing bersama enam rakan di Tanjung Kuali, Kabong dekat sini, Nurul Aizan Derahman, 24, ditemui lemas petang semalam, sekali gus mengakhiri penantian isterinya, Nazrah Amir, 23.

Nazrah yang hamil lima bulan, bersyukur kerana jasad suaminya ditemui walaupun bukan dalam keadaan yang diharapkan.

"Dia menghantar saya ke rumah ibu mentua di Kampung Empelam sebelum keluar memancing.

"Pelik juga sebab dia jarang hantar saya ke rumah ibunya. Biasanya saya tinggal di rumah saja," katanya ketika ditemui, semalam.

Mayat Nurul Aizan ditemui satu kilometer (km) dari lokasi kejadian oleh pasukan penyelamat kira-kira jam 5.50 petang, semalam.

Dalam kejadian 4.15 petang itu, mangsa dilaporkan hilang, manakala enam rakannya terselamat selepas bot pancung dinaiki terbalik dan karam.
Nurul Aizan dikatakan cuba berenang ke tebing sungai sebelum dihanyutkan arus deras, manakala rakannya sempat berpaut pada perahu berkenaan sebelum diselamatkan penduduk kampung.

Mayat terakhir mangsa perahu karam ditemui

Di Sarikei, mayat mangsa terakhir kejadian perahu karam Khamis lalu di Sungai Rajang di sini, ditemui malam kelmarin.

Anthony Abel, 18, ditemui kira-kira jam 9.20 malam, iaitu 10 jam selepas mayat rakannya, Freedy Samuel Ali, 14, ditemui di lokasi sama.

Mayat Anthony ditemui di Muara Payang berhampiran Rumah Panjang Buda, Tanah Putih di sini, oleh penduduk kampung yang meneruskan pencarian selepas gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan berikutan cuaca gelap.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Suha Kana, berkata operasi SAR dihentikan susulan penemuan itu.

"Operasi SAR dihentikan lewat petang semalam (kelmarin) berikutan keadaan gelap dan agak berisiko tetapi sekumpulan penduduk mengambil inisiatif meneruskan usaha mengesan mangsa sebelum menemui mayatnya," katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam kejadian Khamis lalu, mangsa bersama dua rakan mereka dalam perjalanan memancing di muara sungai berkenaan sebelum perahu dinaiki terbalik dipukul gelombang lalu karam kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Dua rakan mereka, Edison Jang Ali, 13, dan Leornado David, 14, sempat berenang ke tebing sungai sebelum diselamatkan penduduk kampung.

Penduduk kampung, Albert Vin, 45, berkata penemuan mayat mangsa pertama menguatkan semangat mereka meneruskan pencarian hingga mangsa terakhir ditemui kira-kira tiga kilometer (km) dari lokasi perahu berkenaan dilaporkan karam.

"Kami meronda hampir tiga jam sebelum menemui mayat mangsa berhampiran muara," katanya.

Penari tarian singa maut terjatuh lori

Posted: 02 Feb 2014 01:54 PM PST

Tawau: Seorang remaja lelaki yang dipercayai terjatuh dari lori ketika dalam perjalanan untuk mengadakan persembahan tarian singa Jumaat lalu, meninggal dunia di Hospital Besar Tawau, kelmarin.

Lee Jin Lin, 16, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jambatan Putih di sini, cedera parah di kepala dan meninggal dunia jam 3 petang.

Dalam kejadian jam 4 petang pada 31 Januari lalu, Jin Lin menyertai persembahan tarian singa dari rumah ke rumah sempena Tahun Baharu Cina sebelum dikatakan terjatuh dari lori ketika menuju ke Taman Da Hua dari Taman Semarak, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Awang Besar Dullah, berkata siasatan awal mendapati lori dinaiki mangsa dikatakan melalui kawasan berbukit dan jalan yang tidak rata.

"Keadaan itu menyebabkan mangsa yang duduk di atas meja di belakang lori terjatuh. Dia dihantar ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia semalam (kelmarin)," katanya di sini, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kes berasingan, Awang Besar berkata, sebanyak 1,645 kenderaan dan 16 motosikal diperiksa dalam operasi Ops Lejang, Ops Cantas dan Ops Kesan yang dijalankan serentak di bulatan Masjid al-Khautsar, semalam.

‘Ang pau anak turut hangus’

Posted: 02 Feb 2014 01:52 PM PST

‘Ang pau anak turut hangus’Keadaan enam unit kedai yang terbakar dalam kejadian di Sungai Pelek jam 2 pagi semalam. - Foto ihsan Jabatan Bomba Cyberjaya

Sepang: "Tiada apa yang tinggal, malah ang pau yang anak dapat pun hangus. Ini adalah sambutan Tahun Baharu Cina paling menyedihkan dan tidak mahu saya kenang."

Tham Peng Wah, 62, sayu bersuara selepas tinggal sehelai sepinggang apabila kedai menjual peralatan dan kelengkapan ibadat miliknya bersama suami musnah dalam kebakaran kira-kira jam 2 pagi, semalam.

Dalam kejadian membabitkan enam unit kedai di Sungai Pelek di sini, Peng Wah kerugian kira-kira RM30,000 selepas peralatan dan kelengkapan di kedainya hangus.

Nyenyak tidur

Ibu dua anak berusia 10 dan 13 tahun itu, tidak dapat menahan kepiluan ketika menceritakan detik cemas dilalui keluarganya semalam.

"Kami sedang nyenyak tidur sebelum suami terjaga kerana terhidu bau seperti kayu terbakar.

"Ketika dia mengejutkan saya dan anak, api sudah semakin marak dan saya hanya terfikir mahu menyelamatkan nyawa mereka.
"Suami saya menghidap kencing manis dan hanya melihat dengan sebelah mata. Mujurlah ramai yang membantu dan kami anak beranak selamat," katanya yang hanya sempat menyelamatkan dokumen penting termasuk kad pengenalan.

Beliau yang tinggal di situ sejak lebih 12 tahun lalu tidak menyangka Tahun Baharu Cina kali ini menjadi sambutan paling menyedihkan.

Tumpang rumah rakan

Peng Wah berkata, mereka sekeluarga menumpang di rumah rakan sementara menunggu mendapat tempat tinggal baru.

"Stok kelengkapan kedai yang baru saja diambil untuk Tahun Baharu Cina hangus terbakar manakala pakaian sekolah anak tiada yang tinggal.

"Mujur ada yang sudi memberi kami wang untuk membeli pakaian sekolah anak," katanya.

Sementara itu, Penguasa Kanan Bomba II, Ketua Zon Selangor Selatan, Azmi Sadon, ketika dihubungi berkata, panggilan kecemasan kejadian diterima pada jam 2.10 pagi.

Ketika jentera pertama tiba di lokasi pada jam 2.19 pagi, katanya, api sudah marak dengan hampir 90 peratus kebakaran merebak tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Antara premis terbabit termasuk kedai membaiki motosikal, kedai runcit dan kedai membaiki alat pendingin hawa serta peti sejuk.

"Kebakaran dikawal sepenuhnya pada jam 2.43 pagi manakala punca dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya.

Beli selendang permintaan terakhir

Posted: 02 Feb 2014 01:51 PM PST

Tumpat: Seorang kanak-kanak maut dihempap dinding konkrit sisa kebakaran rumah neneknya di Kampung Geting, di sini ketika keluarganya merancang mengadakan majlis kesyukuran masuk ke rumah baru dan Maulidur Rasul.

Muhammad Amirul Haikal Mohd Nor, 6, ditimpa dinding setinggi dua meter itu pada jam 7 malam Jumaat lalu, menyebabkannya mengalami pendarahan serius di bahagian otak.

Kanak-kanak itu dikatakan sedang bermain bersama beberapa sepupunya di kawasan sisa kebakaran bekas rumah Halimah@Fatimah Salleh, 68, yang terletak bertentangan rumahnya sebelum tragedi berkenaan.

Ibu saudara mangsa, Fadzilah Mahmad Wi, 35, berkata dia yang berada di rumah baru bersama beberapa ahli keluarga, sempat melihat mangsa bermain sebelum mendengar bunyi objek berat jatuh dan kemudian melihat mangsa terbaring berlumuran darah, terhimpit di bawah dinding konkrit.

Mimpi basuh kaki

Katanya, mereka sekeluarga berkumpul di rumah mangsa dan sepatutnya mengadakan jamuan kelmarin sempena masuk ke rumah baru itu serentak sambutan Maulidur Rasul.

"Kami semua tergamam sebelum bapa mangsa meluru ke arah Amirul dan terus membawanya ke hospital, namun dia meninggal dunia dalam perjalanan," katanya.
Ibu mangsa, Suhaini Ibrahim, 28, pula berkata Amirul anak sulung daripada dua beradik dan murid prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Geting.

"Arwah pernah memberitahu dia mimpi dan membasuh kaki tiga malam berturut-turut sebelum kejadian, tapi dia takut nak memberitahu apa mimpi itu sehingga kami pun pelik. Pagi sebelum kejadian, saya membawanya ke pasar dan dia sempat meminta saya membelikannya sehelai selendang," katanya.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.