Seri Paduka bangga kejayaan negara

Seri Paduka bangga kejayaan negara


Seri Paduka bangga kejayaan negara

Posted: 01 Feb 2014 10:45 AM PST

Seri Paduka bangga kejayaan negaraSeri Paduka menyampaikan Darjah Kebesaran SMW kepada Fateh Iskandar (kiri) di Istana Negara, semalam. - Foto BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, bertitah agar rakyat memberi sokongan penuh kepada kerajaan dalam usaha memastikan pembangunan negara dapat diteruskan.

Seri Paduka bertitah, usaha pembangunan negara yang dilakukan kerajaan ketika ini seharusnya dipuji kerana ia berjaya melonjakkan Malaysia ke kedudukan ke-12 negara paling berdaya saing bagi menjalankan perniagaan.

"Beta bangga dengan kejayaan yang dicapai kerajaan. Beta yakin usaha transformasi yang dilakukan ketika ini memastikan Malaysia mencapai negara maju menjelang tahun 2020," titah baginda pada majlis penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat di Istana Negara, Jalan Duta di sini, sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan semalam.

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah Hamidun turut berkenan hadir ke majlis itu. Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Tuanku Abdul Halim bertitah, status sebagai negara ke-12 paling berdaya saing dalam menjalankan perniagaan perlu ditingkatkan kerana ia kekuatan yang akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi tumpuan terutama oleh pelabur asing.

Pembangunan pesat

Seri Paduka turut mengingatkan rakyat mengenai betapa pentingnya perpaduan kaum yang wujud ketika ini dikekalkan, kerana ia benteng dan tunjang utama dalam menghadapi cabaran mendatang selain terus memacu Malaysia ke arah kemajuan.
"Ketepikan perbezaan politik dan sikap perkauman dalam diri. Utamakanlah kepada perpaduan kaum yang menjadi asas sejak negara merdeka 56 tahun lepas," titah baginda.

Mengenai Kuala Lumpur, Yang di-Pertuan Agong melahirkan harapan agar ibu negara Malaysia dapat membangun dengan lebih pesat lagi dan seterusnya menjadi bandar raya paling berdaya saing menjelang 2020.

Baginda yakin segala usaha dan projek yang dilakukan kerajaan di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar seperti MyRapid Transit (MRT), River of Life dan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang menjadikan ia sebagai bandar raya yang selesa untuk kesejahteraan penduduk.

BERNAMA

Ali Hamsa dahului penerima pingat

Posted: 01 Feb 2014 10:44 AM PST

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, semalam berkenan mengurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan di Istana Negara, di sini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa mendahului senarai penerima apabila dikurniakan Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Nong Chik terima SUMW

Turut menerima SUMW ialah bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Sementara itu, 17 orang dianugerah Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri antaranya Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee; Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ibrahim Muhamad; Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Che Mohd Hashim Abdullah; Ketua Polis Kuala Lumpur, Senior Deputi Komisioner Polis Datuk Seri Mohmad Salleh dan Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Glomac Berhad yang juga Timbalan Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Seri Fateh Iskandar Tan Sri Mohamed Mansor.

Selain itu, 59 individu dianugerah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk. Seramai 39 individu lagi dianugerah Johan Mahkota Wilayah (JMW), 55 dianugerah pingat Kesatria Mahkota Wilayah(KMW), 59 orang menerima pingat Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 89 menerima pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

BERNAMA

PM puas hati 4 beradik berjaya pulang

Posted: 01 Feb 2014 10:40 AM PST

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berpuas hati apabila keputusannya yang mahukan empat anak pasangan rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden dibawa pulang ke tanah air segera, membuahkan kejayaan.

Beliau berkata, keputusan menghantar Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin tanpa publisiti adalah langkah terbaik dan selepas perbincangan, kerajaan Sweden memberi pertimbangan khas bagi membolehkan anak pasangan terbabit dibawa pulang.

"Tujuan utama tindakan saya ialah mahu mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak terbabit supaya mereka tidak diganggu perasaan emosi dan psikologi. Buat masa sekarang, keadaan empat anak pasangan terbabit perlu dijaga.

Ucap terima kasih

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sweden kerana pertimbangan khas terbabit. Difahamkan tindakan sedemikian sebelum ini, amat sukar diperoleh, namun hubungan baik di antara kedua-dua negara dan atas semangat Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang ditandatangani pada 17 Februari 1995, mereka bersetuju," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian selepas beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor meluangkan masa selama sejam menerima kunjungan empat anak pasangan terbabit di kediamannya di Jalan Langgak Duta di sini, semalam.

Kanak-kanak terbabit iaitu Aisyah Azizul Raheem, 14; Ammar, 12; Adam, 11, dan Arif, 7, yang dalam keadaan lesu selepas menempuh perjalanan 16 jam dari Stockholm ditemani Hamzah tiba di kediaman Perdana Menteri pada jam 1 tengah hari.
Sebelum ini, kisah bapa kanak-kanak itu, pegawai Tourism Malaysia di Sweden, Azizul Raheem Awalludin dan ibu mereka, Shalwati Norshal, guru yang dalam tempoh bercuti tanpa gaji, mendapat liputan meluas apabila ditahan sejak 18 Disember lalu kerana didakwa memukul tangan seorang anak mereka atas alasan tidak bersolat.

Mengulas lanjut, Najib berkata, ibu bapa kanak-kanak terbabit bersetuju anak dibawa pulang ke tanah air dan dijaga saudara mereka di Kelantan.

"Kita (Kerajaan Malaysia) akan uruskan agar semua kanak-kanak terbabit dapat dijaga bapa dan ibu saudara mereka di Kelantan, di samping Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membuat pemantauan secara berterusan.

Terlepas daripada tekanan

"Apa yang penting sekarang ialah mereka terlepas daripada tekanan kerana kalau masih di Sweden, sudah pasti mereka mengalami suasana yang menekan perasaan," katanya.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan akan berusaha membantu ibu bapa mereka dalam mempertahankan kes terbabit berdasarkan prinsip undang-undang dan kaedah tertentu.

Sementara itu, Rosmah berkata, beliau bimbang dengan kebajikan kanak-kanak terbabit hingga bersedia untuk mengadap Raja dan Permaisuri Sweden bagi membolehkan empat beradik itu dibawa pulang segera.

"Saya sering terfikir, bagaimana mahu membawa pulang kanak-kanak terbabit, sehingga saya sendiri mahu terbang ke sana (Sweden) untuk menghadap bagi mendapatkan bantuan Raja dan Permaisuri Sweden. Alhamdulillah, belum sempat saya ke sana, Hamzah berjaya bawa mereka balik," katanya.

Budak maut dihempap TV 29 inci

Posted: 01 Feb 2014 10:38 AM PST

Butterworth: Kemeriahan Tahun Baru Cina bagi sepasang suami isteri berakhir apabila anak perempuan tunggal mereka maut dihempap televisyen di Taman Chai Leng, di sini, malam kelmarin.

Kemalangan pada jam 9 malam itu, berlaku apabila mangsa, Chew Hii Zhen, 3, sedang bergambar di depan televisyen di ruang tamu sebelum dihempap televisyen, yang diletak atas kabinet setinggi kira-kira satu meter.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini, akibat kecederaan di kepalanya.

Sumber berkata, kejadian berlaku ketika nenek mangsa mahu merakam foto cucunya itu dengan mangsa berdiri di depan televisyen berukuran 29 inci (73.66 sentimeter) itu.

Bagaimanapun, belum sempat bergambar, kabinet berkenaan tiba-tiba condong menyebabkan televisyen menghempap kepala mangsa.

"Ketika kejadian, ibu mangsa berada di dapur, manakala bapa mangsa yang bekerja sebagai tukang paip tiada di rumah.

"Mangsa yang kritikal dikejarkan ke HSJ oleh datuknya tetapi disahkan sudah meninggal dunia sebaik sampai di hospital berkenaan," katanya.
Mata kanan lebam

Sumber berkata, pemeriksaan awal mendapati ada kesan hempap di bahagian kanan muka kanak-kanak terbabit dan mata kanannya lebam, kesan ditimpa televisyen itu.

"Mayat mangsa sudah dihantar untuk bedah siasat dan ahli keluarganya akan menuntut mayat kanak-kanak berkenaan esok (hari ini)," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Superintendan Baharom Abu, mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Pelajar Malaysia di Mesir selamat

Posted: 01 Feb 2014 10:33 AM PST

Kuala Lumpur: Pelajar Malaysia di Mesir dilaporkan selamat walaupun negara itu digegarkan beberapa kejadian pengeboman dan tembakan mensasarkan polis oleh penyokong bekas presiden, Mohamed Morsi.

Perkembangan melegakan itu disahkan Unit Pendidikan, Kementerian Pendidikan, malah Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah juga sentiasa memantau keadaan keselamatan pelajar kita di sana.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam Facebooknya kelmarin, melahirkan rasa syukur kerana kira-kira 1,300 pelajar Malaysia yang ditaja MARA di Mesir, dalam keadaan selamat serta tiada masalah meneruskan pengajian dan beliau sentiasa mendoakan keselamatan semua pelajar kita walau di mana mereka berada.

"Utamakan keselamatan diri serta jauhi sebarang konflik," katanya.
Sementara itu, Ketua Unit Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Datin Rohani Mustafa, berkata pelajar Malaysia di Mesir yang dianggarkan antara 10,000 hingga 11,000 sentiasa dinasihatkan agar berjaga-jaga dengan keselamatan mereka.

"Kedutaan Malaysia di Mesir juga sentiasa memantau keadaan pelajar kita di sana. Kita ada prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa nasihatkan pelajar terutama di Universiti Al-Azhar atau Universiti Kaherah, iaitu lokasi paling hampir dengan ibu negara Mesir, supaya mengelak menghampiri kawasan demonstrasi atau pergolakan," katanya.

Hak mutlak Sultan lantik MB

Posted: 01 Feb 2014 10:33 AM PST

Kuala Lumpur: Pencalonan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menjadi topik hangat di seluruh negara.

Keputusan itu menimbulkan pelbagai persepsi, termasuk hasrat Anwar untuk menjadi Menteri Besar Selangor, namun persoalan yang sering diutarakan ialah adakah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu layak dilantik memegang jawatan itu.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah menerangkan bahawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan pelantikan individu yang layak menjadi Menteri Besar negeri itu.

Beliau berkata, kuasa itu diperuntukkan dalam Artikel 51, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

"Sultan Selangor mempunyai kuasa mutlak dalam dua perkara dan boleh membuat keputusan tanpa perlu nasihat iaitu yang pertama dalam hal pemilihan Menteri Besar dan kedua, soal pembubaran Dewan Undangan Negeri.

"Dalam membuat keputusan menyentuh kedua-dua perkara itu, Sultan tidak perlu bertindak atas nasihat sesiapa," katanya kepada pemberita di Menara Felda, di sini, baru-baru ini.

Dapat keyakinan majoriti
Jelas Mohd Noor, Sultan berhak untuk melantik seorang anggota DUN sebagai Menteri Besar yang menurut pertimbangan baginda mendapat keyakinan majoriti dewan dan syarat kedua, seorang Menteri Besar yang dilantik mestilah berketurunan Melayu dan beragama Islam.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada Artikel 51 (1) serta berdasarkan Artikel 53 (2)(a) dan Artikel 51 (2) tertakluk kepada Artikel 53 (4) dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

"Mengikut peruntukan itu, Raja atau Sultan bagaimanapun boleh melonggarkan syarat kedua menurut kuasa budi bicaranya bagi menepati syarat pertama," katanya.

Dalam erti kata lain, katanya, perlembagaan memperuntukkan kuasa berada di tangan rakyat dalam proses demokrasi, yang mana Sultan hanyalah merupakan pemerintah perlembagaan dan mempunyai kuasa melantik Menteri Besar berdasarkan undang-undang yang ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, Sultan tidak boleh memilih siapa yang disukai baginda untuk menjadi Menteri Besar kerana ia boleh ditafsir sebagai mencampuri urusan politik negeri.

"Kalau dalam kes Selangor, dua parti iaitu PAS dan PKR boleh mencadangkan nama calon yang sesuai dan jika ditolak, mereka mesti mencadangkan nama lain," katanya.

Namun, Mohd Noor berkata, calon yang dicadangkan itu mesti daripada parti yang menang dan dalam situasi di Selangor, misalnya, Sultan Selangor boleh menentukan sama ada calon itu pemimpin parti PAS atau PKR.

Katanya, Sultan juga tidak mempunyai kuasa untuk menangguhkan pelantikan itu.

BERNAMA