Tragedi MH370: Objek 1 hingga 23 meter

Tragedi MH370: Objek 1 hingga 23 meter


Tragedi MH370: Objek 1 hingga 23 meter

Posted: 26 Mar 2014 03:10 PM PDT

Tragedi MH370: Objek 1 hingga 23 meterLokasi penemuan objek kira-kira 2,557 kilometer barat daya Perth, Australia yang dianalisis MRSA.

Kuala Lumpur: Penemuan 122 objek yang dirakam oleh satelit di selatan Lautan Hindi yang diumumkan semalam, mencerahkan peluang untuk menemui pesawat MH370 yang hilang sejak 19 hari lalu.

Objek berukuran satu hingga 23 meter itu dirakam pada Ahad lalu oleh Airbus Defence and Space, yang berpangkalan di Perancis dan imejnya dihantar kepada Agensi Remote Sensing Malaysia (MRSA), kelmarin.

Analisis imej objek

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata MRSA menganalisis imej objek berwarna cerah yang menandakan ia bahan pejal dan berkemungkinan ada kaitan dengan pesawat MAS yang hilang.

Beliau berkata, ia dikesan di kawasan lautan berkeluasan 400 kilometer persegi, kira-kira 2,557 kilometer barat daya Perth, Australia.

Keputusan analisis MRSA diserahkan kepada Pusat Koordinasi Menyelamat Australia semalam (kelmarin), tetapi perlu saya tekankan bahawa belum dapat dipastikan semua objek itu berkaitan dengan pesawat MH370.

Bagaimanapun, tidak dapat disangkal lagi ia memberi petunjuk baru untuk kita, katanya dalam sidang media.
Beliau juga berkata, misi mencari dan menyelamat kini mempunyai petunjuk utama daripada empat satelit berbeza yang boleh ditakrifkan sebagai serpihan MH370. Satelit berkenaan ialah Australia, China dan Perancis.

Ini akan membantu kita mengecilkan saiz kawasan pencarian dan seterusnya menjumpai lebih banyak serpihan, katanya.

Hishammuddin juga mengakui semua petunjuk baru itu memberi harapan kepada misi berkenaan, termasuk keadaan cuaca yang semakin baik.

Operasi diteruskan, apatah lagi banyak petunjuk baru diterima kebelakangan ini dan jika semua objek dikesan sahih berasal dari MH370, operasi akan diteruskan ke fasa seterusnya iaitu pencarian di laut dalam, katanya.

Tragedi MH370: Anak abai spekulasi negatif

Posted: 26 Mar 2014 03:08 PM PDT

Subang Jaya: Saya lebih kenal ayah saya, kata anak bongsu Kapten Zaharie Ahmad Shah, Ahmad Seth Zaharie.

Justeru, Ahmad Seth tidak mengendahkan sebarang spekulasi negatif yang mengaitkan bapanya dengan kehilangan pesawat MH370, sejak 8 Mac lalu.

Pemuda berusia 26 tahun itu kelihatan terkejut dengan kehadiran pemberita di rumahnya di sini, semalam dan hanya bercakap tidak sampai lima minit di depan pintu rumahnya.

Ketika pemberita tiba di rumah beliau, beberapa rakannya baru saja tiba dan Ahmad Seth keluar selepas mereka memanggilnya dan memaklumkan ada orang mahu berjumpa.

Ahmad Seth berkata, dia membaca semua laporan, termasuk spekulasi dan teori yang tersebar luas di laman sosial, termasuk tuduhan bapanya merampas pesawat.

Namun, apa yang saya baca langsung tidak meninggalkan kesan di hati dan saya tidak mempedulikan spekulasi itu kerana sebagai anak, saya lebih mengenali beliau berbanding orang lain.
Walaupun saya tidak begitu rapat dengannya kerana ayah terlalu sibuk bertugas, kami memahami antara satu sama lain, katanya.
Tinggalkan kediaman

Pencarian keluarga Zaharie sejak kehilangan MH370 hampir menemui jalan buntu selepas isterinya, Faizah Khanum Mustafa Khan dan anaknya dikatakan keluar dari kediaman mereka di Seksyen 13, di sini sejurus pesawat dilaporkan hilang.

Ahmad Seth, pelajar kursus bahasa Jepun sebuah universiti swasta berhampiran berkata, ketika mendengar pengumuman mengenai nasib pesawat malang itu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Isnin lalu, dia tenang dan tidak terkejut.

Saya hanya akan percaya mengenai pengumuman pesawat (terhempas) selepas pasukan penyelamat menjumpai bukti seperti serpihan pesawat atau mayat. Selagi tiada pengesahan dan saya tidak melihatnya dengan mata saya sendiri, saya percaya ayah masih hidup, katanya.

Katanya, sejak kejadian rakan sering berkunjung ke rumah bagi memberi sokongan moral dan kata semangat.

Menetap rumah saudara

Kata Ahmad Seth, ibunya kini tinggal bersama-sama ibu saudaranya.

Aktiviti harian saya seperti biasa dan kelas tidak terganggu disebabkan perkara ini. Saya lebih senang menghabiskan masa bersama rakan, tambahan pula kelas di universiti baru bermula.

Maaflah, ada kawan di dalam tu, saya perlu melayan mereka, katanya sebelum mengakhiri pertemuan.

Tragedi MH370: AirAsia gantung tugas juruterbang

Posted: 26 Mar 2014 03:07 PM PDT

Kuala Lumpur: Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia menggantung tugas seorang juruterbangnya ekoran kritikan dibuat di laman sosial mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) MH370.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, dalam satu kenyataan berkata tindakan itu bagi menyiasat sama ada pegawai kanan yang bertugas di anak syarikatnya, AirAsia X itu, melanggar polisi syarikat.

Pegawai kanan AirAsia X digantung tugas sementara menunggu siasatan berkenaan pelanggaran dasar syarikat dalam tulisan Facebook, katanya dalam satu pos yang dimuat naik di Twitternya @tonyfernandes, kelmarin.

Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini

Tragedi MH370: Ahli keluarga kru saling beri sokongan

Posted: 26 Mar 2014 03:04 PM PDT

Putrajaya: Biarpun tidak mengenali antara satu sama lain, ahli keluarga kru MH370 saling memberi sokongan antara mereka.

Laman Twitter menjadi platform untuk mereka berkongsi rasa dukacita atas tragedi yang menimpa ahli keluarga masing-masing.

Dalam akaun Twitter @theonlywannn milik Izzat Nazli, anak saudara kepada salah seorang pramugara pesawat MH370, Wan Swaid Wan Ismail, dia berkongsi kata-kata semangat dengan anak kepada Ketua Pramugara, Andrew Nari iaitu Maira Elizabeth Nari.

Perkongsian itu bertulis "Be strong. @gorgxous_ (akaun Twitter milik Maira Elizabeth Nari), your dad and my uncle will do the best to calm down the passengers on board. I know how you feel. God loves them." (Tabahlah. Ayah awak dan pak cik saya pasti sudah melakukan yang terbaik untuk menenangkan penumpang dalam pesawat. Saya tahu apa awak rasa. Tuhan sayangkan mereka).

Tweet Izzat turut dikongsi oleh lebih 40 pengguna Twitter sebagai tanda sokongan kepada ahli keluarga kru yang terbabit dalam insiden pesawat malang itu.

Malah sehingga jam 1 petang semalam laman Twitter Maira Elizabeth Nari dan Izzat Nazli masing-masing menerima lebih 101,000 dan 2,364 pengikut dan tweet mereka juga sering dikongsi di laman sosial lain seperti Facebook dan portal berita online.

Terima kata perangsang
Dalam laman Twitter berkenaan, mereka juga mendapat pelbagai kata sokongan dan perangsang daripada pelbagai pihak bagi meneruskan kehidupan.
Sementara itu, Maira dalam Twitternya menyampaikan ucapan terima kasih atas sokongan semua pihak.

"I don't know what to say to all of you, but thank you so much for the support. To my closest friends, thank you. God bless all of you!" (Saya tidak tahu apa yang perlu dikatakan pada anda semua, tetapi terima kasih banyak atas sokongan semua. Kepada rakan-rakan rapat, terima kasih. Semoga Tuhan merahmati kamu semua).

Sementara itu, difahamkan, seramai 15 kaunselor saja ditempatkan di Hotel Everly di sini yang bertugas 24 jam sehari bagi membantu memberi kaunseling kepada ahli keluarga penumpang pesawat MH370.

Jumlah kaunselor itu dikurangkan berbanding sebelum ini disebabkan bilangan ahli keluarga yang semakin berkurangan.

Tahlil di Masjid Negara selepas solat Maghrib

Posted: 26 Mar 2014 03:02 PM PDT

Putrajaya: Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil peringkat negara akan diadakan di Masjid Negara, Kuala Lumpur selepas solat Maghrib, malam ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dalam satu kenyataan semalam mengajak muslimin dan muslimat yang berkelapangan hadir beramai-ramai untuk sama-sama mengimarahkannya.

Dalam pada itu, katanya, institusi masjid dan surau seluruh negara diseru mengadakan majlis bacaan Yasin, al-Quran serta tahlil bagi mendoakan supaya dipermudahkan misi pencarian pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi.

Berkongsi rasa sedih

"Seluruh agensi Agama Islam Persekutuan, berkongsi rasa sedih atas insiden yang menimpa pesawat berkenaan.

"Kami percaya, kisah duka tragedi itu turut dirasai bukan saja oleh warga Malaysia bahkan seluruh dunia yang sama berharap agar pesawat berkenaan segera ditemui," katanya.

Dalam pada itu, katanya seperti diputuskan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, penumpang pesawat berkenaan dikategorikan sebagai Mafqud (orang hilang) dan oleh yang demikian solat jenazah ghaib terhadap mangsa yang beragama Islam hanya diadakan selepas keputusan pencarian dimuktamadkan.
"Di kesempatan yang amat mencabar ini, kita sebaik-sebaiknya, perlu sama-sama terus berusaha dan mendoakan yang terbaik agar pesawat berkenaan segera ditemui," katanya.

Imigresen ikut Perlembagaan

Posted: 26 Mar 2014 03:00 PM PDT

Mukah: Tindakan Jabatan Imigresen melarang beberapa pemimpin pembangkang memasuki Sarawak dilakukan selaras dengan peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan.

Naib Presiden Kanan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, berkata tindakan itu diambil selepas mengambil kira beberapa perkara khususnya kemungkinan tercetus ketegangan antara kaum dan agama di negeri ini.

Jejas keharmonian

Kita mempunyai asas yang diyakini (kedatangan) mampu menjejaskan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negeri ini jika mereka masuk.

Kita tidak mahu, rakyat Sarawak yang hidup harmoni berpecah belah disebabkan perkara yang (biasanya) tidak menjadi masalah kepada kita yang mereka timbulkan semata-mata untuk meracuni pemikiran rakyat, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas pelancaran projek pembinaan Kompleks PERYATIM dan Sekolah Agama Mukah, semalam.

Kelmarin, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Naib Presiden PKR, Tian Chua, dihalang masuk ke negeri ini selepas tiba di Lapangan Terbang Sibu.
Tindakan itu selaras dengan arahan berkuasa negeri mengikut Seksyen 65(1)(a) Akta Imigresen 1959/63 yang dibacakan bersama Seksyen 66 akta sama.

Kesan kehadiran

Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar berkata, tindakan itu tidak menunjukkan kerajaan negeri sewenang-wenangnya menggunakan undang-undang yang termaktub dalam Perjanjian 20 Perkara, Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya diambil selepas penelitian terhadap kesan kehadiran mereka.

Mengenai tindakan membenarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, masuk pula, beliau berkata Anwar tidak dibenarkan bebas masuk begitu saja.

Kita akan memantau apa yang beliau lakukan dan jika menimbulkan isu sensitif, beliau akan diarah segera meninggalkan negeri ini, katanya.

Mengulas dakwaan beberapa penceramah pembangkang yang menuduh Barisan Nasional (BN) mengarahkan mahkamah supaya memanggil Anwar balik ke ibu negara selepas beliau memasuki negeri ini kelmarin, Awang Tengah, berkata ia dakwaan yang tidak masuk akal.

Apa pula kena mengena dengan BN, mahkamah yang menetapkan beliau perlu hadir hari ini (semalam). Ini juga tiada kaitan dengan kerajaan negeri, katanya.