Samseng tak sempat lari

Samseng tak sempat lari


Samseng tak sempat lari

Posted: 18 Mar 2014 05:06 PM PDT

Petaling Jaya: Dua lelaki dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap mati ditembak polis di sebuah tapak pembinaan di Ara Damansara di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.55 malam itu, suspek berusia 22 dan 26 tahun yang dikehendaki berhubung beberapa kes jenayah maut di dalam sebuah kenderaan dinaiki mereka selepas berbalas tembakan dengan polis.

Ketua Polis Selangor Datuk Shukri Dahlan berkata, sepasukan anggota polis yang sedang melakukan rondaan pencegahan jenayah melihat sebuah kereta Proton Wira dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan di sekitar kawasan itu.

"Panik menyedari kehadiran kereta Unit Peronda (MPV) itu, suspek kemudian melarikan diri ke satu lorong di tapak pembinaan sebelum dihalang polis.

Foto


"Seorang daripada suspek kemudian melepaskan tembakan ke arah polis. Dalam kejadian berbalas tembakan itu, kedua-dua mereka mati ditembak di dalam kereta terbabit," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, sebentar tadi.


Menurut beliau, siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya dan mayat suspek dihantar ke hospital berdekatan untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19

Komando cari MH370

Posted: 18 Mar 2014 03:36 PM PDT

Kuala Lumpur: Sekumpulan anggota pasukan komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah dihantar ke kawasan Koridor Utara bagi membantu merungkai misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang masuk hari ke-12, hari ini.

Menurut sumber, anggota pasukan elit terbabit berlepas malam kelmarin sejurus selesai satu taklimat tergempar dengan pegawai tertinggi pasukan keselamatan negara.

Bagaimanapun, sumber itu enggan mendedahkan lokasi dituju pasukan berkenaan dan berapa jumlah anggota terbabit.

"Penghantaran pasukan itu sebahagian usaha membantu mengesan penerbangan MH370. Tindakan menghantar pasukan itu pula dilakukan selepas ada maklumat menunjukkan pesawat berkenaan memasuki kawasan udara sebuah negara dalam lingkaran Koridor Utara," katanya kepada Harian Metro.

Foto

KAPAL KD Selangor berlayar ke lokasi pencarian di Koridor Selatan, semalam.

Foto

KRU KD Terengganu bersiap-sedia memulakan SAR.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Sabtu lalu memberitahu bahawa misi mencari dan menyelamat (SAR) diperluas ke Koridor Utara dan Selatan berikutan data daripada radar tentera mengesahkan bahawa pesawat yang berpatah balik dari pusat kawalan trafik udara Vietnam adalah penerbangan MH370.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19

Lima maut langgar pokok

Posted: 18 Mar 2014 03:35 PM PDT

Juru: Lima remaja terbunuh apabila kereta mereka naiki terbabas sebelum melanggar pokok dalam kejadian di Kilometer 141.9, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, depan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru, di sini, 10.20 malam tadi.

Berikutan perlanggaran itu, tiga daripada mangsa tercampak keluar dari kenderaan berkenaan, manakala dua lagi rakan mereka tersepit di dalam kereta yang remuk.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Prai Norizal Md Rabani berkata, dua daripada mangsa tersepit di bahagian pemandu dan penumpang hadapan.

"Kami mengambil kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan terpaksa memotong badan kenderaan menggunakan alat pemotong khas.

Foto

Keadaan kereta yang mengorbankan 5 remaja di depan R&R Juru.


"Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 10.03 malam dan sampai ke lokasi bersama sebuah jentera dan 17 anggota beberapa minit kemudian," katanya.


Semua mangsa yang maut berusia 17 hingga 18 tahun dan berasal dari Sungai Bakap, Nibong Tebal, manakala seorang lagi rakan mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ), tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian.

Suasana hiba menyelubungi lokasi kejadian selepas keluarga seorang daripada mangsa yang tiba terus menangis.

Empat mangsa yang terbunuh adalah Tan Chee Win, 17, Mar Jing Quan, 18, Song Jing Ping, 17, dan Chye Zhi Fei, 17, manakala identiti seorang lagi mangsa belum dikenal pasti.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19

Tiga juta cari tak jumpa

Posted: 18 Mar 2014 03:35 PM PDT

WASHINGTON : Tiga juta penduduk dunia berganding bahu bagi mengesan pesawat MH370 berpandukan imej satelit yang dirakam oleh DigitalGlobe di koridor utara dan selatan kawasan pencarian Boeing 777-200ER milik MAS itu.

DigitalGlobe berkata, lebih tiga juta orang mengambil bahagian dalam program membabitkan 257 juta imbasan peta 2.9 juta kawasan yang ditanda oleh peserta dengan rakaman imej membabitkan kawasan seluas 24,000 kilometer persegi itu ditambah setiap hari.

Pesawat MH370 membawa 239 penumpang dan kru itu dilaporkan hilang pada awal pagi 8 Mac lalu dan hingga kini 25 negara terbabit dalam operasi SAR yang dibahagikan kepada koridor utara iaitu dari Malaysia hingga Kazakhstan dan koridor Selatan hingga ke Lautan Hindi.

DigitalGlobe mengaktifkan platform sumber daya kerumunan (crowdsourcing) dipanggil Tomnod pada 11 Mac lalu bagi mengajak orang ramai meneliti imej yang dirakam menggunakan lima satelit berdefinisi tinggi.

Foto


Maklum balas yang diterima DigitalGlobe sangat hebat hingga melebihi kapasiti sistem pelayan komputernya pada minggu lalu.


Syarikat itu menggunakan algoritma dipanggil CrowdRank bagi menapis bukti yang berpotensi berpandukan kepada lokasi yang banyak ditanda oleh orang ramai.

"Pakar penganalisis DigitalGlobe akan memeriksa tanda itu untuk disenarai pendek kepada 10 terbaik sebelum maklumat itu dikongsikan dengan pelanggan dan pihak berkuasa.

"DigitalGlobe ada hubungan langsung dengan kerajaan Amerika Syarikat (AS) selain mempunyai hubungan yang rapat dan berterusan dengan banyak acara antarabangsa," kata syarikat itu dalam satu kenyataan, semalam.

Walaupun tidak ada rekod muktamad yang dicatat oleh sumber daya kerumunan, ia dilihat sebagai usaha terbesar dalam sejarah dunia malah lebih besar daripada bantuan yang diusahakan ketika Taufan Haiyan yang melanda Filipina, November lalu.

"Memang ada projek membabitkan orang ramai namun tidak mengumpulkan seramai orang dalam tempoh sesingkat ini.

"Walaupun usaha sumber daya kerumunan ini masih belum menemukan MH370, setidak-tidaknya ia dapat mengenepikan kawasan yang tiada bukti kehadiran pesawat itu seterusnya menjimatkan masa penganalisis imej profesional," kata penyelidik yang mengkaji sumber daya kerumunan dari Woodrow Wilson International Center for Scholars, Lea Shanley.

Walaupun belum ada sebarang bukti kukuh, perbualan antara pencari sukarela ini begitu hangat malah ada yang mendakwa berjaya menemukan lokasi MH370.

"Ada yang nampak seperti bentuk kapal terbang tetapi saya meraguinya, bentuk yang mirip pesawat itu di petak peta 112075 dekat sungai...mungkin juga ia pokok tumbang dalam air," komen pencari yang menggunakan identiti Rasande Tyskar Youness Mikou.

Seorang lagi pencari dikenali Alice von Malice menjawab, "Youness, ia kelihatan agak kecil tetapi bentuknya memang seperti kapal terbang."

Ramai yang menanda kawasan yang memaparkan imej seperti kerusi yang terapung dan puing selain ada yang menanda pesawat, bot serta kawasan tumpahan minyak yang besar.

Ada sukarelawan yang mengatakan imej satelit itu tidak seperti rakaman kamera pemantau permukaan bumi kerana hanya merakam mengikut segmen dan ia bermakna anda perlu benar-benar bertuah untuk menjumpai Boeing 777-200ER yang hilang itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/18

Ramdan buka mata BAM

Posted: 18 Mar 2014 03:34 PM PDT

Kuala Lumpur: Kecemerlangan pemain perseorangan lelaki Misbun Ramdan Misbun menjuarai Kejohanan Siri Antarabangsa Romania dengan menewaskan pencabar dari Poland Adrian Dziolka 15-21, 21-8, 21-16 di aksi final kelmarin, membuka mata Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menyenaraikannya dalam pemilihan skuad Piala Thomas negara.

Setiausaha Kehormat BAM Ng Chin Chai, mengesahkan badan induk itu menjemput Misbun Ramdan ke sesi pemilihan skuad Piala Thomas di Stadium Juara, Bukit Kiara pagi ini bagi memilih barisan pemain untuk membawa cabaran negara di Wuhan, China dari 20-27 Mei ini.

"Saya ingin ucapkan tahniah atas kejayaan Ramdan di Romania. Itu menunjukkan permainannya semakin meningkat dan kita harus memberi dia peluang untuk merebut tempat dalam skuad Piala Thomas.

"Kami sudah menjemputnya ke sesi pemilihan esok (hari ini) yang akan dihadiri pemain serta barisan kejurulatihan bagi memilih yang terbaik sebelum kita menjalani latihan pusat," katanya ketika ditemui, semalam.

Foto

Misbun Ramdan Misbun


Misbun Ramdan, 23, yang juga anak kepada bekas jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek sebelum ini memilih haluan berbeza apabila mengikut jejak bapanya keluar dari pangkuan BAM.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19

Pindah bukan kerana merajuk

Posted: 18 Mar 2014 03:34 PM PDT

Perjalanan seninya dilihat semakin bersinar. Bermula dari bawah kini dia mampu berdiri setanding artis popular sedia ada.

Tidak hanya bersandarkan bakat pada lakonan semata-mata, artis jelita Soo Wincci semakin menyerlah dalam bidang nyanyian juga.

Memberanikan diri mencuba pasaran luar negara iaitu Taiwan, gadis yang mesra dengan panggilan Wincci ini tidak menyangka rezekinya begitu murah di sana sehingga dia juga mula dikenali sebaris artis popular di sana.

Dengan mempertaruhkan lagu Cina berjudul Happiness dan Not Brave, Wincci tidak menyangka lagu berkenaan mampu bertahan di dalam carta popular di negara berkenaan.


"Saya gembira, pengorbanan melaburkan wang yang begitu banyak di sana berbaloi dan membuahkan hasil. Sepanjang tahun lalu, saya sibuk dengan pelbagai aktiviti yang sudah di atur di sana.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/19