Dua serpihan dicari masih belum ditemui |
- Dua serpihan dicari masih belum ditemui
- Hanya fikir keselamatan ayah
- ‘Perbandingan kerana tempoh kesan lokasi’
- Pakar kita mampu analisis simulator
- Cabaran menanti di Lautan Hindi
- ‘Henti salahkan kerajaan’
Dua serpihan dicari masih belum ditemui Posted: 20 Mar 2014 02:52 PM PDT Sepang: Gerakan mencari pesawat MH370 yang dilancarkan semalam selepas dua objek dikesan oleh satelit Australia di Lautan Hindi pada Khamis lalu, belum dapat merungkai misteri 13 hari kehilangan pesawat itu sejak 8 Mac lalu. Pasukan pencari membabitkan lima pesawat dan sebuah kapal dagang Norway yang pertama tiba di lokasi, tidak menemui apa yang dikatakan dua serpihan daripada pesawat MAS yang membawa 239 penumpang dan kru itu. Operasi disambung hari ini Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam kenyataannya malam tadi, berkata operasi disambung hari ini kerana cuaca dikatakan tidak mengizinkan. Empat pesawat digunakan AMSA membabitkan kawasan seluas 23,000 kilometer persegi, dibantu sebuah pesawat New Zealand. Kapal dagang Norway, Hoegh St Petersburg yang diminta membantu kerana berada berhampiran lokasi juga tidak menemui objek berkenaan. Sebuah kapal Tentera Laut Diraja Australia, HMAS Success juga dalam perjalanan untuk memulakan operasi hari ini. Sementara itu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata penemuan objek yang dikesan satelit komersial Australia itu dianggap petunjuk kukuh, tetapi belum dapat disahkan. Beliau berkata, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott menelefon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jam 10 pagi semalam bagi memaklumkan perkembangan itu. Pihak berkuasa Australia di sini juga memberi taklimat kepadanya, manakala Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menghubungi rakan sejawatnya di Australia berhubung perkara sama. "AMSA meneruskan pencarian dalam kawasan carian yang ditugaskan kepada Australia, dibantu pasukan pertahanan Australia, Tentera Udara New Zealand dan Tentera Laut Amerika Syarikat. "Imej satelit menunjukkan objek mungkin ada kaitan dengan operasi pesawat MH370. Pihak berkenaan juga mendapatkan penilaian pakar terhadap imej satelit komersial itu. Penilaian imej oleh Persatuan Risikan Geospatial Australia, mendapati kemungkinan ada serpihan objek, tetapi mungkin tiada kaitan dengan MH370," katanya. Carian diteruskan Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, HMAS Success yang dilengkapi keupayaan mengutip sebarang objek yang dikesan, dalam pelayaran ke kawasan berkenaan tetapi mengambil masa untuk sampai. Ditanya sama ada usaha di lokasi lain akan dikurangkan, beliau berkata, carian diteruskan seperti dirancang, cuma lebih bertumpu di kawasan baru berdasarkan maklumat terkini daripada Australia. Katanya, data satelit yang diterima sebelum ini adalah dari Laut China Selatan dan maklumat terbaharu satelit Australia itu disokong oleh maklumat data beberapa satelit lain, sekali gus mendorong keputusan menghantar kapal ke kawasan carian berkenaan. Beliau berkata, aset yang dihantar turut dilengkapi keupayaan mencari di laut dalam, termasuk pengesan sonar dan teknologi berkaitan. "Buat masa sekarang, hanya Perth bandar terdekat dengan kawasan di mana satelit Australia mengesan dua objek terbabit dan banyak aset dikerah ke kawasan itu. Kita mengharapkan jawapan seberapa cepat mungkin. Seluruh dunia juga ingin tahu," katanya. |
Posted: 20 Mar 2014 02:48 PM PDT Sepang: Ketika remaja seusianya sedang bergembira dan ada yang bersedih dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masing-masing, yang diumumkan semalam, Maira Elizabeth Nari hanya mengharapkan kepulangan ayahnya, Andrew Nari. Walaupun keputusannya sendiri disifatkannya sebagai okay, Maira, anak kepada ketua pramugara MH370, berkata beliau lebih bimbangkan keadaan ayahnya yang hilang sejak 13 hari lalu. Tweet Maira mendapat perhatian sejak menghantar tweet, Ahad lalu: "Daddy, Livepool is winning the game. Come home, so you can watch the game! You never miss watching the game. Its your first time" - merujuk kepada kemenangan Liverpool (pasukan disokong Andrew) ke atas Manchester United, hujung minggu lalu. Difahamkan, Maira memutuskan tidak mahu mengambil keputusan peperiksaan itu di sekolah, selepas kehilangan bapanya. Mahu ambil dengan bapa Sementara itu, neneknya, Catherine Tamoh yang juga ibu kepada Andrew, berkata: "Maira sebenarnya mahu mengambil keputusan SPM dengan bapanya. Dia masih belum bersedia ke sekolah. Tamoh yang berasal di Bukit Aup, Sibu, Sarawak, berkata buat masa ini, beliau sekeluarga lebih selesa menginap di Hotel Marriot di sini, dan tetap setia menunggu sehingga pesawat berkenaan ditemui. "Kami masih belum bersedia untuk pulang. Biarlah kami di sini. "Perasaan ketika ini sangat tidak menentu. Saya bersedia terima apa saja kemungkinan. Walau apa pun keputusannya, saya bersedia," katanya. Hargai usaha dilakukan Tamoh turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan keselamatan pesawat dan anak kapal serta penumpang MH370. "Walau apa pun, saya sangat berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia dan masyarakat dunia yang mendoakan keselamatan penumpang, anak kapal dan pesawat berkenaan. Doa saya sentiasa mengiringi mereka," katanya. |
‘Perbandingan kerana tempoh kesan lokasi’ Posted: 20 Mar 2014 02:47 PM PDT Sepang: Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan, beliau membandingkan usaha mencari kotak hitam MH370 dengan nahas Air France 447 pada tahun 2009 kerana kotak hitam pesawat itu hanya ditemui selepas dua tahun kejadian. Menurut Pemangku Menteri Pengangkutan, jika Perancis mengambil masa dua tahun walaupun serpihan pesawat ditemui lebih awal, pencarian kotak hitam MH370 mengambil masa sehingga lokasi sebenar pesawat dikenal pasti. "Jika objek berkenaan (dikesan satelit Australia di Lautan Hindi) disahkan serpihan milik MH370, maka kita akan menyelaraskan usaha mengesan kotak hitam," katanya. Keadaan laut sama Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata cabaran untuk mengesan kotak hitam MH370 dan Air France hampir sama kerana keadaan di Lautan Atlantik dan Lautan Hindi hampir serupa. Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, sebelum ini satu-satunya petunjuk yang ada ialah data satelit dari Laut China Selatan. Ditanya sama ada petunjuk baru itu mungkin bermakna data Satelit China dan India sebelum ini tersilap, Hishammuddin berkata, semua petunjuk dan segala aspek perlu disiasat kerana setakat ini langsung tiada maklumat mengenai MH370. |
Pakar kita mampu analisis simulator Posted: 20 Mar 2014 02:44 PM PDT Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diyakini mempunyai kepakaran yang sama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dalam menganalisis komputer dan simulator yang diambil dari rumah Kapten Zaharie Ahmad Shah. Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi Hashim (gambar), berkata kepakaran PDRM dalam bidang forensik komputer tidak boleh diperkecilkan yang terbukti menerusi siasatan kes pembunuhan kejam kanak-kanak berusia lapan tahun, Nurin Jazlin Jazimin pada 2008. Bimbang maklumat hilang "Untuk membawa peralatan itu ke Amerika Syarikat juga kena berhati-hati kerana ia amat sensitif dan dibimbangi lebih banyak maklumat yang hilang sehingga menyukarkan siasatan. "Namun, kita tidak boleh mempertikaikan keputusan pihak penyiasat terbabit untuk membawanya ke makmal mereka kerana ketiadaan peralatan canggih dibawa bersama ke negara kita," katanya ketika dihubungi, semalam. Hantar ke makmal FBI Menurut laporan USA Today, komputer dan simulator itu berkemungkinan besar dihantar ke makmal FBI di Quantico, Virginia. Ketika diminta mengulas lanjut keputusan FBI membawa peralatan itu ke AS, Kamal Affendi berkata, ia lebih kepada ketiadaan akses dan peralatan canggih dibawa bersama ke Malaysia untuk menjalankan siasatan. Dalam pada itu, pensyarah Pusat Sains Komputer dan Sistem Maklumat, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Mohammad Ishak Desa, berkata sistem forensik komputer di negara ini mampu mengembalikan log data yang terpadam atau dipadamkan. "Saya difahamkan ia boleh dicari semula oleh pakar tempatan," katanya. Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata siasatan terhadap simulator Kapten Zaharie mendapati log datanya telah dipadamkan pada 3 Februari lalu, tetapi kandungannya tidak diketahui. |
Cabaran menanti di Lautan Hindi Posted: 20 Mar 2014 02:42 PM PDT Kuala Lumpur: Imej satelit dari selatan Lautan Hindi, yang dikaitkan dengan pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS), jika disahkan benar, bakal menyaksikan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) sangat mencabar. Keadaan Lautan Hindi yang sentiasa bergelora dengan angin mencapai kelajuan 40 knot (74km/sejam) serta ombak sehingga 10 meter, adalah sesuatu yang sukar ditempuh oleh anggota penyelamat yang menggunakan kapal penyelamat kecil. Kedalaman Lautan Hindi antara 3,000 hingga 8,000 meter, memerlukan kelengkapan khusus seperti pesawat selam (Submersible) atau Kenderaan Kawalan Bawah Laut (ROUV) yang direka khas untuk menyelam dan menyelamat di laut dalam. Selain itu, anggota penyelam juga berdepan risiko kerana kelajuan arus bawah permukaan laut yang tidak menentu dan berubah secara mengejut. Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Automotif dan Kejuruteraan Laut di Universiti Teknologi Malaysia (AUTO-UTM), Prof Madya Dr Pakharuddin Mohd Samin, menyifatkan Lautan Hindi yang sangat luas, menyukarkan operasi mengesan MH370 sekiranya benar jatuh di kawasan itu. Katanya, keupayaan mencari bergantung kepada kepakaran, teknologi dan logistik yang diguna pakai berikutan kelemahan dari aspek itu, sudah pasti melambatkan operasi. "Jika pesawat meletup atau terjunam ke laut dan berkecai, pelbagai barang berkaitan pesawat pasti terapung. Jika tenggelam, beberapa bahagian pesawat pasti dapat dikesan kerana letupan pada ekor, tidak akan menjejaskan kepala, begitulah sebaliknya," katanya kepada BH, semalam. Pakharuddin berkata, pasukan SAR perlu melakukan kajian terlebih dulu kerana Lautan Hindi sangat dalam dan gelap termasuk arus deras sudah pasti menjadi punca kegagalan operasi hingga mengambil masa yang lama. "Kita tidak semestinya perlu mencari keseluruhan pesawat terbabit, namun dengan menjumpai kotak hitam terlebih awal, ia mampu menjadi kunci persoalan yang timbul selama ini," katanya. Pensyarah AUTO-UTM, Prof Dr Omar Yaakob, berkata kedudukan lokasi yang sangat jauh menyukarkan kapal kecil menyertai operasi SAR berikutan keadaan Lautan Hindi yang sangat bergelora. Katanya, kapal biasa hanya mampu meluncur dengan kelajuan 40 knot dan kapal besar pula, antara 15 hingga 20 knot, yang sangat jelas mengambil masa untuk sampai ke lokasi. "Ketika di lokasi, keadaan laut yang bergelora, angin kencang dan ombak tinggi sudah pasti boleh menyebabkan kapal kecil tidak dapat berada dalam keadaan yang stabil dan ini menyebabkan Malaysia terpaksa meminta bantuan peralatan dan kenderaan negara lain. "Hanya kapal bersaiz besar atau setaraf pengangkut besar jenis USS dapat berada di lokasi terbabit dengan stabil," katanya. Omar berkata, proses menyelam memerlukan kelengkapan khas seperti pesawat selam (Submersible) atau Kenderaan Kawalan Bawah Laut (ROUV) yang direka khas untuk berdepan tekanan tinggi pada kedalaman tiga kilometer serta keadaan gelap. "Arus deras boleh memindahkan objek dari lokasi asal. Ini sudah pasti melambatkan operasi seperti dialami pesawat Airbus, Air France 447, yang hilang di Laut Atlantik pada 1 Jun 2009, yang mengambil masa dua tahun sebelum kotak hitamnya ditemui. "Sebahagian besar penumpang pesawat terbabit juga sehingga kini, gagal ditemui," katanya. |
‘Henti salahkan kerajaan’ Posted: 20 Mar 2014 02:37 PM PDT Kuala Lumpur: Pembangkang perlu menghentikan fitnah menyalahkan kerajaan Barisan Nasioan (BN) terhadap kematian enam remaja pada konsert Future Music Festival Asia (FMFA) 2014 di ibu negara, pada Sabtu lalu. Mas Ermieyati Samsudin (gambar) (BN-Masjid Tanah), berkata kelulusan lesen penganjuran konsert itu diluluskan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. "Siapa yang membuat fitnah ini?," katanya membahas titah Diraja di Parlimen, semalam. Katanya, Kementerian Pelancongan hanya meminjamkan logo Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 bagi penganjuran konsert berkenaan. Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi Sabtu lalu, enam pengunjung konsert FMFA 2014 di Bukit Jalil maut, manakala 14 yang lain dimasukkan ke hospital dipercayai akibat pengambilan dadah berlebihan. Semua mangsa adalah rakyat tempatan berusia antara 21 hingga 27 tahun. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |